Search Everything

Sunday, 18 December 2011

PKR dedah pautan bantuan Bank Dunia pada Dr M

1:22PM Dis 18, 2011- Malaysiakini
http://www.malaysiakini.com/news/184436

PKR hari ini terus mempertahankan pendiriannya bahawa bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pernah terlibat dengan bantuan Bank Dunia semasa era pemerintahannya.

Dalam kenyataan hari ini, parti itu malah mendedahkan pautan ke laman Bank Dunia yang dikatakan "jelas menunjukkan komitmen Bank Dunia kepada Malaysia".

Kedua-dua pautan ituboleh dilayari di alamat http://go.worldbank.org/U29R77EBX0 dan http://www.worldbank.org/projects/searchlang=en&searchTerm=&countryshortname_exact=Malaysia&src=.

"Rujukan pada pautan di bawah adalah bukti jelas betapa Tun Dr Mahathir telah berbohong dan cuba memutarbelitkan fakta kenyataan beliau yang terdahulu," demikian menurut kenyataan itu.

Dr Mahathir semalam mencabar Anwar bersumpah dengan memegang al-Quran bagi membuktikannya pernah menulis surat kepada Bank Dunia untuk meminta bantuan semasa krisis kewangan pada 1999 seperti yang didakwa.

Dr Mahathir dilaporkan berkata, beliau tidak pernah berbuat demikian sebaliknya menolak permintaan daripada Bank Dunia yang datang untuk menawarkan bantuan.

Sehubungan itu, PKR dalam jawapan balasnya itu turut membangkitkan isu lain membabitkan kepentingan dalam syarikat arak.

"Sewajarnya sebelum mantan perdana menteri itu mencabar sesiapa bersumpah menjunjung al Quran, eloklah dia meneliti kepentingan siapa dalam syarikat arak San Miguel," katanya.

Dr M cabar Anwar tunjuk surat pinjaman Bank Dunia

8:09AM Dis 18, 2011 - Malaysiakini
http://www.malaysiakini.com/news/184420

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mencabar Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tunjukkan surat yang ditulis beliau kepada Bank Dunia untuk bantuan dana semasa krisis kewangan 1999.

Dr Mahathir berkata beliau adalah orang yang menolak pinjaman daripada Bank Dunia pada masa itu tetapi, sekiranya apa yang didakwa oleh Anwar itu benar, sila tunjukkan surat itu.

"Saya tahu kalau kita terima pinjaman daripada Bank Dunia, kita akan menjadi hamba kepada mereka yang tolong kita dan disebabkan itu kita tidak berbuat demikian.

"Kalau apa yang dikatakan oleh Anwar itu benar, saya cabar dia bersumpah laknat di Masjid dengan al-Quran. Saya sanggup berbuat demikian sekiranya diperlukan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Multaqa Wehdatul Ummah ke tiga di Butterworh hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah berita online (Malaysiakini) hari ini, yang melaporkan bahawa Anwar telah membuat dakwaan mengejutkan terhadap 'bekas mentornya' Dr Mahathir bahawa bekas perdana menteri itu pernah menulis kepada Bank Dunia untuk bantuan dana semasa krisis kewangan 1999.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata Anwar terkenal sebagai orang yang memperkenalkan cara-cara Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada masa itu.

"Saya biasa cakap kepada dia (Anwar), kalau kita buat pinjaman kepada bank dunia, kita tidak akan ada gaji yang cukup untuk bayar kepada pegawai-pegawai kita. Tetapi dia telah ikut cara-cara bank dunia sampai rosak fikirannya," katanya.

Sementara itu, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang turut bersama berkata beliau boleh menjadi saksi bahawa Dr Mahathir adalah orang yang menolak pertolongan bank dunia dan apa yang didakwa oleh Anwar itu tidak benar.

Nor Mohamed yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata beliau masih ingat ada satu ketika wakil daripada bank dunia dan IMF telah datang untuk mencari Dr Mahathir untuk membincang tentang cara untuk elakkan krisis pada 1999.

"Wakil bank dunia itu telah mencadangkan kepada Dr Mahathir untuk menambah kadar faedah rumah, kerajaan pula tidak boleh belanja dan bank negara harus tarik balik semua pinjaman untuk elakkan krisis ekonomi.

"Namun Dr Mahathir memberitahu mereka bahawa cadangan itu akan membawa kepada 'bloods in the street' dan mereka berkata 'let it be bloods in the streets' tetapi cadangan itu telah dibantah keras oleh Dr Mahathir yang kemudiannya menghalau  wakil bank dunia itu keluar dari pejabatnya pada ketika itu," katanya.
- Bernama

Dr M didakwa pernah minta bantuan Bank Dunia

Kuek Ser Kuang Keng 12:47PM Dis 16, 2011 - Malaysiakini

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat dakwaan mengejutkan terhadap 'bekas mentornya' Dr Mahathir Mohamad bahawa bekas perdana menteri itu ada menulis kepada Bank Dunia untuk bantuan dana semasa krisis kewangan 1999.

Dalam usaha membuang gelaran "agen AS" terhadapnya, Anwar (bawah) berkata, pada tahun 1993, beliau juga pernah menulis kepada Bank Dunia atas kapasitinya sebagai menteri kewangan ketika itu untuk menolak bantuan kewangan.

Katanya, walaupun beliau mempengerusikan jawatankuasa pembangunan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia, beliau berpendapat Malaysia tidak memerlukan dana itu.

Bagaimanapun, dakwanya lagi, pada 1999, Mahathir menulis kembali kepada presiden Bank Dunia dan merayu untuk dana dan pinjaman.

Beliau mendedahkan perkara itu ketika menyampaikan ucap utama dalam dalam majlis makan malam membincangkan Program Tranformasi Ekonomi (ETP) malam tadi yang antaranya turut dihadiri wakil kedutaan asing.

Hormat menghormati telah lenyap dari Umno BN

Khalil Idham Lim 3:50PM Nov 13, 2011 - Ruangan Surat Malaysiakini
http://www.malaysiakini.com/letters/181235

Saya ingin menjelaskan bahawa Umno BN telah berbohong buat kesekian kalinya apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak  menyatakan antara isi perkara pokok mesyuarat dewan tertinggi BN petang Jumaat lalu adalah membincangkan tentang betapa perlunya parti gabungan itu kembali kepada prinsip asal aitu semangat hormat menghormati antara sama lain.

Najib patut sedar bahawa selama ini pun prinsip tersebut sebenarnya telah lenyap berdasarkan rekod amalan pentadbiran BN yang secara jelas mencabuli prinsip itu secara total.

Sebagai contoh, hak Kelantan itu sendiri dalam isu tuntutan royalti petrolium yang sememangnya menjadi hak mutlak rakyat negeri Kelantan seperti mana perjanjian asal, di mana jaminan itu sendiri datangnya daripada Tun Razak Hussein yang merupakan mantan perdana menteri juga bapa kepada PM Najib.

Dalam isu ini bukan sahaja beliau selaku pemimpin tertinggi negara yang juga anak kepada Tun Razak tidak menghormati hak rakyat negeri Kelantan, malah beliau juga tidak menghormati amanat ayahnya sendiri .

Lalu bagaimana dan di manakah rasionalnya tindakan serta ungkapanNajib dalam isu menjaga kepentingan hormat menghormati antara satu dengan lain adalah prinsip dasar BN, tindakan sebegini tidak masuk akal dan tidak rasional.

Hormat sesama komponen BN sahaja bukanlah tafsiran tepat untuk menterjemahkan bahawa BN komited dengan prinsip tersebut.

Parti tua yang kolot seperti BN ini saban hari jelas menzahirkan bahawa mereka tidak akan berubah dan ingin terus berkuasa dalam masa sama bakal menyusahkan warga Malaysia jika rakyat tidak lakukan perubahan melalui undi khususnya.

Jalan paling selamat setakat ini ialah selamatkan Malaysia dari dikuasai BN melalui pemberian undi kepada PAS PKR dan DAP pada PRU13 tidak lama lagi.

Sikap hipokrit BN mestilah dihentikan dengan segera demi menyelamatkan Malaysia dari mereka.

Penulis adalah ketua penerangan PAS Perak dan ADUN Parit Buntar

Sunday, 4 December 2011

Ke mana pergi sikap bertanggungjawab Anwar?

Abdul Rahman Malik 9:44AM Dis 4, 2011 - Malaysiakini

Pada awal 1981 Anwar Ibrahim menggemparkan negara. Pemimpin belia yang dilihat paling dinamik dan berbakat mencorakkan lanskap politik Malaysia mengumumkan dirinya menyertai Umno.

Perisytiharan itu dibuat oleh Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad , Perdana Menteri keempat Malaysia yang baru sahaja menaiki takhta beberapa bulan sebelumnya.

Negara terkesima. Takjub. Bagaimana Anwar yang belum lagi sempat melangsaikan perjuangan memimpin lebih 60 persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ketika itu menentang pindaan Akta Pertubuhan yang dilihat mengongkong kebebasan berpersatuan boleh memilih menyertai parti kerajaan?

Maka pada sidang akhbar di Jabatan Perdana Menteri itu, wartawan tempatan dan antarabangsa bingkas bertanyakan prinsip perjuangan Anwar. Apakah sikapnya terhadap peraturan dan pelbagai akta yang mencengkam kebebasan dan hak rakyat seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) telah berubah?

Anwar menjawab ringkas tetapi tegas dan jelas : “Dulu kerajaan tidak mahu mendengar suara rakyat. Sebab itu, saya tentang. Tapi sekarang kerajaan (Dr Mahathir) lebih responsif terhadap tuntutan kita, maka kita harus bersikap lebih bertanggungjawab (responsible)”.

Bersorak Umno khasnya dan rakyat jelata amnya. Dr Mahathir pula meraih dividen politik yang amat besar dalam tempoh paling singkat memimpin Umno. Harimau muda dalam politik Malaysia itu berjaya dijinakkan dan rela bekerjasama dengannya.

Umumnya, sambutan terhadap pemikiran politik itu mendapat respons positif. Bayangkan anak muda yang bersuara lantang dan pernah ditahan di bawah ISA selama 22 bulan itu tiba-tiba menyuluh harapan baharu bahawa Malaysia akan menjadi sebuah negara lebih demokratik.

Hal ini disifatkan agak menakjubkan kerana tidak lama sebelum itu, Angkatan Belia Islam (Abim) yang dipimpin oleh Anwar membuat keputusan membenarkan beberapa pemimpin kanannya untuk menyertai PAS demi mengukuhkan gerakan Islam menawarkan alternatif kepada politik sekular di Malaysia yang ditunjangi Umno.

Allahyarham Datuk Fadzil Noor, Datuk Nakhaie Ahmad dan Syed Ibrahim mendewasakan diri dalam arena politik dengan meninggalkan Abim untuk menyertai PAS. Datuk Fadzil Noor diterima baik oleh PAS hingga dilantik menjadi presiden parti itu akhirnya.

Nakhaie pula selepas meningkat kedudukan dalam PAS hingga menjadi naib presiden berpatah balik dengan menyertai Umno untuk menuruti jejak Anwar.

Apa yang dapat diketengahkan di sini ialah pegangan dan prinsip politik Anwar. Oleh kerana ketika itu kata-kata “apabila kerajaan responsif maka rakyat harus bersikap bertanggungjawab (responsible)” keluar dari mulut seorang pemimpin muda maka ia menyimbahkan harapan baru untuk politik Malaysia.

Saingan Anwar dalam politik, terutama di kalangan Umno, amat berhati-hati dengan pemikiran politik yang bersih dan ikhlas Anwar itu. Enam bulan kemudian Anwar bertarung jawatan Ketua Pemuda Umno dan menang dengan majoriti 10 undi.

Kawan seperjuangan baik dalam Abim dan PAS kaget. Memang berkesan dan jelas pendirian politik Anwar hingga dihormati dalam Umno dan serangan terhadapnya pun mula mengendur. Kedudukan Anwar dalam Umno pun semakin kukuh hingga meningkat menjadi timbalan presidennya. Malah Anwar pun berpeluang memangku jawatan perdana menteri .

Namun agak mengecewakan apabila Anwar secara tidak terhormat terpaksa meninggalkan Umno, sikap bertanggungjawab beliau kerana meyakini kerajaan Mahathir yang responsif masih belum menjadi kenyataan. ISA tetap terus menghantui lanskap politik Malaysia.

Lebih menyedihkan ialah apabila pada 15 September lalu Perdana Menteri keenam Malaysia, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kerajaan hari ini bersedia memansuhkan ISA (sesuatu yang tidak berlaku di zaman Mahathir yang berjaya melenturkan pegangan politik Anwar), bekas pemimpin Abim ini tidak lagi mahu bersikap bertanggungjawab (responsible) seperti yang dilafaz pada 1981.

Malah beliau mengatakan ia adalah gula-gula politik menjelang pilihanraya umum ke-13 yang di ambang mata. Anwar juga menganggap pengumuman Najib itu adalah tindakan terdesak kerana diasak oleh gerakan BERSIH 2.0. Soalnya, ke mana perginya sikap bertanggungjawab Anwar?

Adakah Anwar ini terlalu serik diperlakukan pelbagai rupa oleh Umno hingga sudah hilang kepercayaan terhadap konsep politik luhur bahawa jika kerajaan responsif  terhadap kehendak rakyat, maka rakyat pula (termasuk Anwar) perlu bertanggungjawab seperti yang dicanangkan 30 tahun lalu?

Begitu juga dengan Akta Polis yang dipinda dan mungkin diambil alih oleh Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011. Jika sebelum ini hanya polis berkuasa mutlak mengeluarkan permit berhimpun, kini  melalui Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman, permit polis tidak perlu lagi kecuali jika perhimpunan dilakukan di tempat yang dilarang.

Di samping itu, dalam usaha untuk menyalakan idealisme generasi pewaris kepimpinan negara terhadap sistem politik, Kerajaan hari ini sudah pun merintis jalan untuk membuat pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Ini dilakukan berikutan keputusan mahkamah bahawa AUKU bertentangan dengan semangat perlembagaan negara.

Sekali lagi kerajaan bersikap responsif, namun mengapa Anwar dan rakan-rakan Pakatan Rakyatnya masih tidak bersikap bertanggungjawab? Adakah ini boleh dianggap politik luhur? Jika dalam tempoh 30 tahun keluhuran dan keikhlasan kenyataan dan pernyataan politikus seperti Anwar boleh dikenalpasti berubah-rubah, bayangkan bagaimana nanti menghadapi Allah?

Berlaku jujurlah. Janganlah menanamkan harapan pada rakyat bahawa keputusannya menyertai  Umno kerana percaya Dr Mahathir akan melupuskan  ISA dan melakukan pelbagai lagi untuk memperbaiki amalan demokrasi Malaysia pada 1981. Namun hakikatnya Anwar sendiri tahu bahawa bukan sahaja Dr Mahathir tidak mengotakan katanya malah Anwar sendiri ditendang keluar Umno.

Hari ini, Najib sudahpun mengorak langkah melakukan apa yang Mahathir dan Anwar sendiri tidak berani dan berupaya melakukan. Tunjukkanlah sikap bertanggungjawab itu, Anwar!

ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis/penyumbang dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang pengarang Malaysiakini.

Abdul Rahman Malik adalah bekas kakitangan awam dan kini cenderung memperjuangkan nasib politik orang-orang Melayu.

Thursday, 1 December 2011

Hendaklah Tuhan di tiap tabir ilmu

Dr Mohd Asri Zainul Abidin 8:16AM Nov 19, 2011 - Malaysiakini

Alangkah baiknya jika kita memiliki bandar seperti Oxford ini. Sebuah Bandar yang penuh dengan pusat-pusat pengajian. Hampir setiap manusia yang bergerak di bandar ini mempunyai kaitan dengan pengajian.

Pelbagai tajuk yang pelik dan aneh dikaji. BBC Oxford juga ada kelainannya. Isu-isu yang dibincangkan sesuai dengan taraf keilmuan di bandar ini.

Seminar itu dan ini begitu banyak dalam pelbagai cabang ilmu pengetahuan. Hampir semuanya percuma. Mereka biasanya tidak memperuntukkan tempat yang canggih dan anggun untuk berseminar. Cukup dengan satu ruang dalam pepustakaan ataupun selainnya yang boleh memuatkan beberapa puluh orang.

Kebanyakannya tiada pembesar suara. Hanya kerusi, meja dan pembicara. Sebahagian seminar hanya beberapa belas orang. Ia tetap berlangsung dengan penuh diskusi pengetahuan. Saya sendiri cuba hadir dalam banyak seminar setiap minggu, samada yang ada kaitan secara langsung atau tidak langsung dengan bidang saya.

Beberapa seminar di School of Anthropology umpamanya memberikan saya pengetahuan baru di luar bidang. Semalam di Muslim-Christian Studies, ada pembentangan oleh Martin Whittingham, seorang Kristian dengan tajuk: Ezra as the Corrupter of the Old Testament Text? Ibn Hazm and the Long History of an idea.

Seorang Kristian yang memperkatakan tentang idea al-Imam Ibn Hazm. Ya, banyak yang boleh dimanfaatkan jika kita ingin mencari pengetahuan di sini. Jika kita buru pengetahuan memang hidup akan sibuk. Sehingga saya kadang-kala terfikir untuk berhenti menulis setiap minggu yang sentiasa menekan waktu saya sejak hampir lima tahun lalu.

Dahulu ketika di Mingguan Malaysia, deadline saya pada hari sabtu amat mendesak. Sekarang di Sinar Harian deadline saya pada hari khamis untuk edisi Jumaat. Waktu Malaysia pula awal lapan jam dari UK.

Namun, oleh kerana tulisan menghubungkan saya dengan ramai manusia, di akhbar dan internet maka saya teruskan. Dengan harapan ada kebaikan yang mendatangkan pahala di sebalik setiap artikel yang dikeluarkan.

Ilmu untuk apa?

Di sebalik kesibukan manusia memburu ilmu di bandar seperti Cambridge dan Oxford ini, saya tertanya ke manakah ilmu pengetahuan yang penuh sarat ini akan membawa manusia? Apakah tujuan ilmu? Apakah ilmu untuk ilmu, atau ilmu hanya jambatan kepada satu tujuan lain yang lebih murni.

Apakah cukup seorang insan memegang gelaran ilmu kemudian hidup dalam lingkungan sendiri tanpa menjadikan pengetahuannya memberikan sumbangan kepada pembangunan insan? Lebih buruk lagi, apabila apa yang dianggap ‘ilmu' itu menyumbang kepada kemusnahan kehidupan manusia.

Sebelum saya pergi lebih jauh, saya teringat hari pertama saya sampai di bilik penginapan, saya bertanya arah kiblat kepada jiran bilik saya yang juga seorang ilmuwan muslim. Beliau berkata beliau tidak tahu. Saya terdiam dan berfikir apakah peranan ilmu dalam kehidupan seorang individu Muslim?

Apakah makna bagi sebuah perbahasan agama yang kononnya mencapai ketinggian falsafah sehingga ke langit tinggi jika pembahasnya gagal untuk meletakkan dahi ke bumi untuk sujud kepada Tuhan Maha Tinggi? Ilmu itu ada ruh dan tuntutannya.

Kita tidak menafikan betapa malunya dunia Islam yang ketinggalan dalam pembangunan ilmu. Sedangkan dahulu, dunia Islam telah ke hadapan dalam hal ini. Museum History Science di Oxford yang bersebelahan dengan tempat tinggal saya ini, mengiktiraf sumbangan dunia Islam terhadap perkembangan sains serta mengakui bahawa Barat mengambil manfaat dari kaum Muslimin.

Barat yang pada mulanya mengambil ilmu dari dunia Muslim lalu mengembangkannya sehingga mereka maju ke hadapan dalam pelbagai bidang kehidupan. Kita pula ketinggalan, bahkan ramai yang hidup dalam kejumudan. Ada memusuhi ilmu pengetahuan dengan menganggap pengajian selain ilmu-ilmu langsung berkaitan agama hanyalah sia-sia.

Bahkan ada yang melarang menuntut ilmu dengan orang kafir atau di ‘negara kafir'. Golongan literalist ini melupai bahawa sebahagian kemudahan beragama adalah hasil sumbangan ilmu dalam pelbagai bidang.

Perkara asas dalam kehidupan seperti jam untuk solat, kompas untuk arah kiblat, kenderaan untuk ke Mekah, pembesar suara, mesin cetak, internet dan pelbagai lagi yang membolehkan Islam tersebar adalah hasil sumbangan ilmu dalam pelbagai bidang yang secara zahirnya tidak kelihatan berkaitan agama. Namun, ramai manusia kembali kepada Tuhan hasil perantaraan ilmu dari bidang yang lain.

Permasalahan utama para penuntut ilmu di Barat ataupun Timur adalah mereka gagal menghubungkan ilmu pengetahuan dengan Tuhan semesta alam. Apabila mereka terlupa, ataupun syaitan melupakan mereka bahawa segala falsafah dan penemuan dalam pembukaan ilmu hanyalah usaha menemui rahsia ciptaan Tuhan di alam maya ini.

Umpamanya, kehairanan saintis tentang ‘black holes' yang akan menelan kehidupan maya pada ini, tidak dapat dirungkaikan tanpa menyelak lembaran-lembaran tentang kiamat dan kehidupan baru selepas kemusnahan alam.

Islam tidak pernah memusuhi ilmu. Walaupun ada pandangan-pandangan jumud seperti konservatif agama dahulu di Indonesia dan Malaya yang menentang Kiyai Ahmad Dahlan dan ‘Kaum Muda', atau golongan literalis hari ini yang menentang pengajian falsafah, namun sejarah umat Islam tidaklah seburuk Kristian yang membakar hidup ribuan ilmuan dalam rekod sejarah mereka.

Dalam dunia Islam, walaupun ada kezaliman disebabkan aliran mazhab dan school of thought yang berbeza, tetapi ruang ilmu tetap luas. Al-Ghazali, Ibn Rusyd, Ibn Taimiyyah dan selain mereka yang berbahas tentang falsafah Greek dan Yunan secara pro dan kontra, kesemua mereka mendalami ilmu tersebut secara masak dan dalam.

Mereka bukan terus mengharamkan tanpa berkenalan. Dalam apa sahaja bidang, tidak sama orang yang mengetahui dengan yang tidak mengetahui (maksudnya):

"Katakanlah: apakah sama orang yang mengetahui dengan yang tidak mengetahui?" (Al-Zumar: 9)

Tuntutan ilmu
Apa yang Islam tuntut agar ilmu sentiasa dikaitkan dengan kebesaran Allah, Tuhan pencipta alam. Allah itu di sebalik segala ilmu pengetahuan. Apa yang manusia temui hanya cebisan dari penciptaan alam yang maha luas.

Samada penemuan dalam bentuk kebendaan ataupun pemikiran dan falsafah kehidupan, semuanya hanyalah debu dari ilmu Tuhan yang tiada tepiannya.

Inilah yang Allah nyatakan (maksudnya): "Tidaklah kamu semua diberikan ilmu melainkan sedikit" (Al-Isra: 85).

Dengan ilmu yang sedikit itulah manusia berjaya menghasilkan pelbagai kemajuan yang mengkagumkan. Dengan ilmu yang sedikit itulah manusia berbangga antara satu sama lain. Dengan ilmu yang sedikit itu juga manusia boleh menzalimi antara satu sama lain.

Namun, dengan ilmu yang sedikit itulah satu-satunya jalan untuk manusia mengenali Tuhan dan tunduk kepada-ya. Justeru, Allah mengajar manusia manusia sejak awal penurunan wahyu agar ilmu pengetahuan dibaca dengan nama-Nya Yang Maha Pemurah yang mengurniakan ilmu kepada insan.

Firman Allah (maksudnya): "Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang Menciptakan (segalanya). Dia menciptakan insan dari ‘alaq. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah . Yang mengajar dengan pena. Dia mengajarkan insan apa yang tidak diketahuinya" (Al-‘Alaq :1-5).

Demikian sejak hari awal penurunan wahyu kepada Nabi SAW, asas ini telah dipasak. Tuhan itu berada di setiap tabir ilmu. Kesimpulan seorang pengkaji ilmu akan kembali kepada kebesaran Tuhan. Apa sahaja ilmu yang dikaji, Tuhan jua yang akan ditemuinya.

Jika dia berjaya atau gagal, dia hanya berjaya atau gagal membongkar rahsia ciptaan Tuhan. Namun dia tetap akur, segala ilmu hakiki berada di sisi Tuhan. Apa yang ditemui, hanya debuan dari kebesaranNya. Maka ilmu akan membawa insan mengenali Ilahi. Mengenali Tuhan menerusi ilmu membawa kepada cinta yang hakiki. Cinta itu pula membawa kepada kebahagiaan nurani.

Ilmuan yang berpaksikan Tuhan sentiasa akan menyimpulkan jawapan akhir bagi segala pencarian iaitu "Hanyalah Allah Yang Mengetahui hakikat setiap perkara".

Apa yang manusia bahas dan bincangkan hanyalah zahir ilmu, batinnya tetap dalam pengetahuan Tuhan. Benar dan salah, hanya tafsiran dan takwilan fakta dan nas; hakikatnya Tuhan jua yang mengetahui.

Manusia yang memburu ilmu dengan penuh kejujuran, menemui Tuhan di setiap penjuru ilmu. Firman Allah (maksudnya):

"Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Kami keluarkan dengan air hujan itu buah-buahan yang berlainan warnanya; dan di antara gunung-ganang pula ada yang mempunyai jalur-jalur putih dan Merah, yang berlainan warnanya dan ada juga yang hitam legam.

"Dan demikian pula antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? sebenarnya yang takutkan Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu (ulama). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun" (Fatir: 27-28).

Ayat ini sering dijadikan dalil bahawa golongan ulama yang paling takutkan Allah. Lalu, ditonjol ulama yang berserban dan berjubah, atau ahli fekah, lebai atau ustaz sebagai golongan yang takutkan Allah.

Namun, jika kita perhatikan ayat ini ia membicarakan tentang mereka yang memerhati kejadian alam dengan segala keajaiban, selepas itulah diikuti dengan penegasan "yang takutkan Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu (ulama)".

Jika berserban dan jubah tanpa meneroka rahsia alam, atau menelaah penemuan keajaiban ciptaan Tuhan tidak akan menimbulkan rasa kegerunan. Maka, tidak salah untuk kita katakan bahawa saintis itulah yang paling dimaksudkan mereka yang takutkan Allah.

Saintis itulah ulama dalam konteks ayat ini. Sesiapa mengkaji alam dalam segala bidang kebendaan dan pemikiran, merekalah ulama dalam bidang mereka. Adapun yang mendaftarkan diri dalam persatuan ulama, atau badan ulama belum tentu terangkum dalam ayat ini.

Apapun, dalam apa pengetahuan perasaan itu tidak akan hadir, jika ilmu dibaca secara berasingan dari nama Tuhan. Hendaklah Tuhan berada di setiap tabir ilmu.

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin merupakan bekas mufti Perlis dan felo pelawat di Universiti Oxford, United Kingdom.

Umno digesa bawa Dr M dan Pak Lah duduk semeja


Jimadie Shah Othman 5:49PM Dis 1, 2011 - Malaysiakini
Umno digesa membawa dua bekas perdana menteri - Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi - duduk semeja bagi memastikan parti itu lebih kuat pada masa depan.

"Duduk baik-baik. Barulah kita dapat mencapai kemenangan dan beri kredit pada pemimpin kita Datuk Seri Najib (Razak)," kata wakil Wilayah Persekutuan Datuk Syed Ali Syed Abbas Alhabshee.

Syed Ali membangkitkan isu itu ekoran pilihan raya umum yang dijangka tidak lama lagi dalam keadaan Umno yang "paling getir".

Hubungan kedua-dua bekas presiden Umno itu dilihat 'dingin', bermula sejak Dr Mahathir mula mengkritik kepimpinan Abdullah (kiri)  - pengganti yang dinamakan sendiri itu.

Malah, beberapa hari lalu sebelum menjelang perhimpunan agung Umno hari ini, Dr Mahathir (kanan) dilaporkan masih mengkritik kepimpinan  Abdullah yang didakwa menyebabkan Umno rosak dan sukar dipulihkan Najib.

Ketika membahaskan ucapan dasar presiden hari ini, Syed Ali juga menyuarakan kebimbangan akan wujudnya sabotaj dari dalam yang didakwanya sudah mula berlaku.

"Dalam taklimat presiden sebelum ini, Datuk Seri Najib tak umum negeri mana yang ada bahagian terima peruntukan tapi tak turun (kepada anggota).

"(Peruntukan itu) disimpannya untuk bertanding pemilihan ketua bahagian. Minta ibu pejabat ambil tindakan. Sudah banyak laporan," katanya.

Justeru, beliau mencadangkan lembaga disiplin parti itu diaktifkan semula. Ini juga, tambahnya, bagi mengelakkan sabotaj sebegitu berpanjangan dalam pilihan raya umum depan.

Menyentuh prospek Umno di Wilayah Persekutuan, ketua bahagian Cheras itu mensasarkan menambah penguasaan daripada tiga kepada tujuh kerusi parlimen.

Sementara itu, perwakilan Kedah Datuk Mukhriz Mahathir menyelar pembangkang yang menggunakan pelbagai label negatif kepada Umno, antaranya korup, nepotisme dan berhaluan tertentu.

"Ini seolah-olah sudah jadi hakcipta terpelihara mereka," katanya sambil menyalahkan ketua pembangkang.

"(Datuk Seri) Anwar Ibrahim sebenarnya mahu mencetuskan bibit-bibit revolusi seakan-akan Arab Spring... Malaysia Spring.

"Sebab itu demonstrasi jalanan digunakan dengan sokongan terancang media Barat dengan menunjukkan imej buruk Malaysia."

Menyentuh pentadbiran PAS di Kedah, anggota parlimen Jerlun itu menyifatkannya sebagai "kemereh", mengikut loghat Utara.

Selepas timbalan pengerusi tetap mencelah tidak faham, Mukriz berkata:

"Kemereh ini lebih teruk daripada 'koman'... Pendek akal... Tangkap ikan keli pun tak reti," sindirnya disambut senyum kambing sebahagian perwakilan.

'Ketegangan perasaan' dalam AGM Umno

Dr Mohd Asri Zainul Abidin 6:13PM Dis 1, 2011- Malaysiakini
http://www.malaysiakini.com/news/182949

ULASAN Saya pulang ke Malaysia untuk seketika. Jadi panel forum dan tetamu jemputan sempena Perhimpunan Agung Umno 2011. Saya rasa wajar saya hadir, sebab Muktamar PAS yang lepas saya telah hadir sebagai tetamu.

Menghadiri, mendengar secara langsung, merasai suasana, bertemu sahabat handal yang menjadi pimpinan parti-parti tersebut mempunyai ‘sentimental values’ yang tersendiri. Saya berterima kasih kepada kedua parti-parti tersebut yang masih sudi menerima saya sebagai sahabat.

Bahkan pada 27 November baru-baru ini saya juga dijemput oleh PKR untuk memberikan ucaptama Maal Hijrah sempena Kongres Nasional mereka. Namun saya tidak dapat hadir atas faktor masa. DAP juga pada tahun 2008 pernah menjemput saya semasa mensyuarat agung mereka untuk memberikan syarahan khas. Masa itu saya juga tidak dapat hadir atas sebab tertentu.

Secara umumnya, saya rasa parti-parti politik di Malaysia masih lagi mempunyai ruangan untuk pandangan pihak  luar parti yang kadang-kala berbeza di sana-sini. Juga, mungkin saya boleh anggap itu sebagai satu pengiktirafan kepada pihak ketiga yang tidak terikat dengan parti tertentu. Bukan pengiktirafan peribadi, tetapi untuk semua pihak yang ‘sealiran’ di sudut ketidakterikatan dengan parti tertentu.

Pihak ketiga

Hal ini memang wajar, atas banyak sebab. Antaranya; pihak ketiga atau ‘third force’ dalam negara ini bertambah meningkat. Golongan yang tidak terikat dengan lambang parti mungkin melebihi 65 peratus dalam negara ini. Mereka ini biasanya terdiri dari golongan yang ‘mesra’ dengan dunia teknologi maklumat yang pelbagai dewasa ini.

Biasanya mereka terdiri dalam kalangan golongan muda yang sukar untuk digula-gulakan, atau diperbodohkan di segi maklumat. Sekeras mana regim-regim Arab pun telah tergugat dan tumbang akibat ledakan dunia komunikasi dan maklumat moden ini. Keadaan ini nampaknya diakui oleh ucapan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin dalam ucapan mereka di perhimpunan agung ini.

Saya melihat suasana perhimpunan Umno kali ini ada ‘ketegangan perasaan’  memandangkan pilihanraya ke-13 sudah hampir. Isyarat dalam banyak ucapan memberi tanda jika Umno gagal kembali menawan hati rakyat, tidak mustahil untuk berlakunya pertukaran kerajaan pusat.

Kebimbangan itu dilahirkan sama ada untuk menjadikan ahli-ahli Umno lebih bersungguh, ataupun sememang ada isyarat ‘merah’ yang telah dilaporkan oleh jentera-jentera parti tersebut. Cumanya, saya dapati penulis ucapan presiden kurang kemas dalam menyampaikan mesej sebelum pilihanraya itu. Tidak dari segi bahasa, tidak juga kekemasan di sudut isinya. Saya menjangkakan sesuatu yang lebih mantap daripada itu.

Harapan

Dalam artikel saya yang lepas saya telah sentuh satu faktor terpenting yang mempengaruhi seseorang yang berakal dalam mengundi. Faktor itu perlu disedari oleh semua parti. Faktor itu ialah ‘harapan’. Seseorang yang berakal akan mengundi atau memilih parti yang paling dapat memberikan ‘harapan’ sebagai kerajaan yang akan memerintah.

Ini kerana politik adalah soal pengurusan kehidupan. Kita semua ini hidup atas ‘harapan’ yang ada dalam jiwa kita. Harapan terhadap masa depan diri sendiri, atau keluarga atau sesiapa yang kita cinta dan sayang menyebabkan kita terus berjuang untuk hidup. Bahkan, sehingga perjuangan kita merebut keredhaan Allah juga adalah atas harapan wujudnya rahmat Allah yang luas, keampunan dan syurga yang dijanjikan.

Maka agama menyuburkan harapan dalam jiwa insan. Para penyampai ajaran agama disuruh menanamkan harapan dalam jiwa setiap manusia. Ini jelas menerusi firman Allah: (maksudnya) “Katakanlah: "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (Surah al-Zumar: 53).

Justeru, sesiapa yang menyebabkan manusia putus harapan terhadap Tuhan maka dia akan dihukum. Dalam konteks itu Nabi s.a.w bersabda: “Jika seseorang berkata: binasalah manusia, maka dialah yang paling binasa” (Riwayat Muslim).  Maksud jika dia menyatakan bahawa sudah tiada rahmat atau keampunan untuk orang lain, maka dialah yang paling jauh dari rahmat dan keampunan.

Ini kerana, apabila manusia putus asa dari rahmat Allah maka dia akan terus menjadi pemaksiat atau penderhaka kepada Allah. Apa lagi yang hendak dilakukan apabila sudah tiada ruang keampunan dan kerahmatan melainkan meneruskan hidup ‘menikmati’ dosa. Maka, sesiapa yang menyebabkan orang putus asa, dia amat ‘celaka’. Segala kerosakan akan berlaku akibat putus asa tersebut.

Dalam kehidupan duniawi, sesiapa putus harapan maka dia akan putus asa. Sesiapa yang putus asa sanggup melakukan apa sahaja bagi menamatkan kehidupan, atau menghidupkan harapan yang baru. Jangan hairan jika orang yang putus asa itu membunuh diri, atau meletupkan diri bersama orang lain, ataupun melakukan kerosakan yang dahsyat. Tiada apa yang hendak dibimbangkan lagi. Tiada apa yang hendak ditakutkan lagi. Itulah yang akan terjadi akibat putus harapan.

Harapan Politik

Dalam politik itulah kuncinya. Mana-mana pemerintah yang menyebabkan rakyat putus asa maka segalanya mungkin berlaku. Rakyat Arab yang melakukan ‘Arab Spring’ yang sanggup mati ataupun hancur negaranya hanyalah berpunca dari putus harapan. Walaupun kerajaan yang memerintah mereka memberitahu tentang bahaya tindakan mereka, namun apa yang hendak mereka endahkan.

Mereka sudah putus harapan. Sekurang-kurang dengan tindakan mereka yang mungkin dilihat lebih merbahaya bagi orang lain, tapi bagi mereka mungkin menghidupkan harapan baru. Bahaya atau lebih bahaya atau kurang bahaya hanyalah sama bagi sesiapa yang sudah tiada harapan.

Maka dalam pemilihan politik ataupun pilihan raya, kuncinya ‘harapan’.  Jika sesuatu kerajaan menguburkan harapan rakyat, maka kerajaan itu juga akan terkubur. Jika dia dapat menghidupkan harapan, maka kerajaan itu akan terus segar dan disokong.

Maka itu sebabnya Tun Abdullah Ahmad Badawi semasa awal pemerintahannya memenangi pilihanraya dengan begitu besar dalam sejarah Umno, sebab harapan kepadanya semasa itu begitu besar. Namun, selepas beberapa tahun memerintah, harapan itu makin hancur, maka pada pilihan raya berikutnya tsunami politik pun berlaku.

Apabila Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menjadi perdana menteri, maka beliau berusaha menghidupkan semula harapan yang makin pudar terhadap Umno. Cumanya, dalam menghidupkan harapan di sudut tertentu, kadangkala di dibunuh pula harapan yang lain atau oleh pihak yang lain. Dalam Umno sendiri ada penghidup dan pembunuh harapan.

Kemudian, perkataan ‘harapan’ itu sendiri begitu luas dan sangat relatif. Harapan rakyat setiap negara, generasi dan kumpulan itu berbeza. Kerajaan yang berjaya ialah kerajaan yang dapat menghidupkan setiap harapan ini. Parti politik yang gagal mengenali harapan rakyat, ia adalah politik yang tidak relevan untuk berkuasa atau dipilih. Kerencaman harapan itu memerlukan ketangkasan politik untuk mengenali dan berinteraksi dengannya.

Persaingan Harapan


Perbezaan harapan itu sangat penting untuk dikenali. Dalam negara seperti Malaysia yang sudah maju banyak langkah ke hadapan, harapannya bukan lagi seperti negara-negara miskin yang mengharapkan makanan dan tempat perlindungan untuk meneruskan hidup.

Bantuan wang dalam sampul, beras dalam kampit, gula dan teh yang dihulurkan oleh wakil rakyat bukan lagi menjadi harapan dalam banyak keadaan di negara seperti kita. Ramai yang sudah cukup dan melebihi cukup di sudut itu.

Harapan mereka mungkin beralih kepada hak-hak kerakyatan yang lain seperti kebebasan berpolitik, bersuara, kerajaan yang cekap dan telus, kesamarataan hak dan pelbagai lagi. Inilah kesan globalisasi. Mereka akan bandingkan diri mereka dengan tempat lain yang lebih baik.

Mereka hendakkan yang terbaik untuk mereka. Dalam era ini, jangan salah percaturan bahawa apabila rakyat cukup makan, maka mereka pun akan diam. Jika tidak, masakan negara mewah seperti Arab Saudi, Kuwait dan Bahrain juga menghadapi ancaman kebangkitan rakyat. Semuanya, kerana harapan yang lebih besar berkembang selari dengan perkembangan sesebuah negara.

Dalam negara kita, persaingannya ia persaingan siapakah yang paling dapat memberikan harapan kepada rakyat. Mungkin rakyat belum putus harapan, tetapi mereka meneliti siapakah yang paling dapat memenuhi harapan.

Dengan rekod hampir tujuh dekad memerintah, dengan pelbagai jasa dan juga isu-isu yang mencontengi jasa, apakah Umno masih menjadi harapan rakyat?
Dengan perubahan ‘harapan’ bagi generasi baru, apakah Umno masih relevan untuk generasi kini menaruh ‘harapan’?

Inilah persoalan yang mesti dijawab oleh Umno pada hari ini. Rakyat yang mengundi parti lain, bukan semestinya bencikan Umno, tapi mungkin merasakan harapan mereka berada di pihak yang lain. Rakyat yang membenci Umno pula bukan semestinya menyokong parti lain, tetapi mungkin kerana merasakan Umno telah menghancurkan harapan mereka.

Rakyat yang menghargai jasa Umno yang lalu bukan semestinya akan mengundi Umno pada masa ini kerana mungkin ‘harapan’ itu sudah berubah dalam persekitaran yang baru. Inilah yang sepatutnya perwakilan Umno kena fikirkan.
Sejauh manakah sesebuah parti dapat menangani harapan rakyat, sejauh itulah ia akan menguasai undi. Jika Umno terus berjaya, Umno akan terus menang. Jika tidak, maka sebaliknya!

Nota: Ulasan ini adalah pendapat peribadi penulis/penyumbang dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin adalah felo pelawat OCIS, Oxford dan bekas mufti Perlis.

Ucapan dasar presiden Umno

10:25AM Dis 1, 2011

Berikut ucapan dasar presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak  yang sedang disampaikan sempena Perhimpunan Agung Umno di Dewan Meredeka, PWTC.
Ucapan itu bertema: “Umno Menjuarai Transformasi"

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Yang Berbahagia Pengerusi Tetap,

Yang Berbahagia Timbalan Pengerusi Tetap,

Yang Amat Berhormat Timbalan Presiden & Puan Sri Norainee Abdul Rahman,

Yang Berhormat Naib Presiden-Naib Presiden,

Ketua-Ketua Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri,

Ahli-Ahli Majlis Tertinggi,

Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad & Tun Dr. Siti Hasmah,

Yang Amat Berbahagia Tun Abdullah Ahmad Badawi,

Ketua-Ketua Parti Komponen Barisan Nasional,

Dif-dif Kehormat,

Para Perwakilan, Pemerhati, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian.
MUKADDIMAH

Saudara dan Saudari sekalian,

Alhamdulillah, dizahirkan sejuta kalimah syukur ke hadrat Allah SWT, Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani yang telah memberi izin dan inayah-Nya supaya kita dapat sekali lagi berkumpul dalam dewan penuh bermakna ini. Ucapan selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW yang senantiasa dipersadakan kepimpinannya.

Berbekal rasa tawadhu’ dan kerendahan hati, Perhimpunan Agung UMNO kali ini ditandai masuknya Tahun Baru Hijrah 1433. Ini bererti, hampir 1380 tahun wafatnya Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW pada 11 Hijrah bersamaan tahun 632 Masihi. Baginda telah kembali ke pangkuan Ilahi. Pergi selamanya meninggalkan kita dengan dua pegangan utama yakni Al-Quran dan Sunnah sebagai suluh sepanjang zaman agar tidak tersasar dalam perjalanan hidup di dunia ini.

Menyisir sirah Nabawi, dengan beriktibar daripada rentetannya, Rasul yang agung itu, telah mewariskan kepada tamadun kemanusiaan suatu riwayat kepimpinan penuh berteladan. Baginda telah didokong dan didamping, penuh kemuliaan oleh Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Khalifah Pertama selaku teman setia yang arif berpengalaman, Saidina Umar Al-Khattab, Khalifah Kedua, Al-Faruq yang menjadi perlambangan ketegasan prinsip beragama.

Seterusnya, Saidina Uthman Al-Affan, Khalifah Ketiga, hartawan amanah dengan kewarakan dan keperibadian tiada tolok bandingnya, manakala Saidina Ali, Khalifah Keempat, simbol ketokohan golongan muda yang sanggup berkorban apa saja. Dimuliakan wajahnya serta turut digelar sebagai Singa Allah sepertimana Saidina Hamzah.

Sayugialah, para cendekiawan dan para pengkaji menyifatkan tali temali perjuangan suci Baginda dalam menegakkan syiar Islam, sebagai penuh berstrategi. Semuanya dipintal dan diikat oleh sifat-sifat mahmudah yang terpuji seperti cinta dan kasih kepada perjuangan, ketaatan, kesetiaan, pengorbanan, keikhlasan, kejujuran, amanah, kuat kerja, tidak putus asa, tabah dan pastinya bertawakal kepada Allah.

Saudara dan Saudari,

Menjejaki laluan tersebut, kita mahu terus mencontohi dan mengambil pengajarannya, bagi memperelok dan memperbaiki perjuangan UMNO, yang selama ini turut dipersaksikan oleh perjalanan suka duka, pahit dan manis, selaku sebuah parti penuh berjasa.
Tahun ini, UMNO menyambut kelahirannya yang ke-65. Hampir tujuh dekad berjuang sebagai organisasi politik yang menyejarah, mendaging dan mendarah dalam ikhtiar memartabatkan maruah serta mengangkat tinggi kedudukan orang-orang Melayu.

Sungguh jauh kita berjalan. Sungguh banyak hitungan masa. Walau dihadap segenap cabaran, walau dilempar segala fitnah, walau diterjah sedemikian banyak taktik jahat lagi kotor, digodam dan dihentam oleh pihak lawan, terbukti kita tidak pernah pudar semangat, tidak akan mengalah, dan, tidak akan mungkin padam cita-cita.

Bahkan, derap demi derap, terus menyusun strategi, mengatur langkah demi langkah, mara ke hadapan, menjulang panji-panji bangsa, agama dan Negara.

Saudara dan Saudari,

Bersesekali dengan itu jua, saya pohon, marilah kita sama-sama bangun dan berdiri......, bangkit, untuk beri satu penghormatan kepada para pendahulu, kesatria-kesatria UMNO, warga parti yang tidak didendang serta barisan negarawan unggul lagi terbilang yang dilahirkan oleh perjuangan mulia ini. Marilah....., marilah, kita angkat tinggi penghargaan kepada semuanya.

Bermula dengan gemulah tokoh-tokoh tersanjung yang telah pulang menyahut panggilan Ilahi seperti Allahyarham Dato’ Onn, Almarhum Tunku Abdul Rahman, Allahyarham Tun Razak, Allahyarham Tun Hussein, Allahyarham Tun Dr. Ismail dan Allahyarham Tun Ghaffar Baba. Begitulah juga tokoh-tokoh yang masih teguh berbakti hingga ke detik ini, seperti Tun Dr. Mahathir, Tun Abdullah Badawi dan Tun Musa Hitam.

Saudara dan Saudari,

Khususnya, kalungkanlah penghormatan kita kepada parti bertuah ini, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yakni UMNO yang telah memungkinkan sebuah negara merdeka terbina gagah, ilmu pengetahuan digembur dan disebar luas pada anak-anak, belantara dipugar, sawah ladang diusahakan, hingga laba yang lumayan melimpah-limpah ke kaki halaman.

Saudara dan Saudari,
 Sememangnya termaktub, ceritera kejayaan Malaysia adalah cerita kejayaan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, yakni UMNO, bersama dengan rakan-rakannya. Parti Perikatan, yang kemudiannya bergelar Barisan Nasional, adalah satu jelmaan dan terjemahan hasil pakatan ikhlas kaum Melayu/Bumiputera beserta kaum-kaum lain di Malaysia.

Berkat pengurusan negara yang begitu cekap, terutamanya di lapangan ekonomi, wajah Malaysia telah berubah daripada sebuah negara pertanian berpendapatan rendah, diawali dengan lebih separuh warganya hidup di bawah paras kemiskinan, kepada sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi, di mana, kurang daripada empat peratus penduduknya berada bawah paras kemiskinan relatif manakala kemiskinan tegar pula hampir berjaya dibasmi.

Jika dihalusi, susur galur kejayaan ini, mempunyai bibit-bibitnya dalam prakarsa, perancangan rapi, penggubalan dasar dan pelaksanaan oleh kerajaan yang diterajui UMNO. Dalam kata lain, ia tidak terjadi secara sendiri mahupun dalam vakum atau kelompongan.
Lantas, usahlah kita berasa bimbang dan ragu. Malaysia, nyatanya, bukanlah sebuah kisah ditulis parti pemerintah yang gagal. Ia dinukil oleh sebuah parti yang berhak untuk berbesar hati, bahawa, mandat dan kepercayaan diberikan oleh rakyat Malaysia, telah digunakan sebaik-baiknya, demi kebajikan dan kegemilangan pertiwi.


Saudara dan Saudari sekalian,

Menghayati ehwal demikian, secara sedar atau tidak, bukan semua parti politik jika membentuk kerajaan akan menghasilkan kejayaan yang sama seperti kita. Lihat saja kepada sejumlah besar negara di dunia, waima, mempunyai pelbagai potensi termasuk sumber asli yang kaya, namun dek sebab kerajaan tidak berkebolehan, sia-sialah segala faktor dimiliki, malah akhirnya mereka menjadi negara yang gagal.

Saudara dan Saudari,

Pada perhimpunan tahun lepas, saya telah bercakap dan membicarakan dari sudut falsafah dan asal usulnya, siapakah itu Melayu. Kita dah dengar bahawa antara terhitung dalam kelompok Melayu adalah Bugis, Minang, Arab, Muallaf, serta berpuluh suku kaum di Sabah dan Sarawak. Hatta Mamak dan Malbari pun dah serap jadi Melayu. Celah-celah itu, ketiga-tiga Naib Presiden kita tampaknya terdiri daripada Jawa, Turki dan Bajau Laut atau lanun. Saya kata takpalah, yang penting semua kira Melayu…
Jadinya, pada perhimpunan kali ini, setelah saya belek-belek dan saya kaji-kaji pengalaman secara aktif selama 35 tahun dalam parti, bersempena pula UMNO sudah menjangkau satu umur yang sangat dewasa, berpengalaman dan matang yakni 65 tahun, elok rasanya kalau dikupas pula siapakah dan apakah ertinya menjadi orang UMNO.

Maksud saya, bilamana memperkatakan tentang parti, kita semua, sebenarnya, tidak cukup sekadar didefinisikan sebagai ahli UMNO. Sebaliknya, kita perlu menjadi orang UMNO. Makna kata, orang UMNO yang tergambar dan terpamer perwatakannya melalui tindak tanduk serta sistem nilai yang dipegang.

Saudara dan Saudari,

TAAT DAN SETIA

Pertama sekali, orang UMNO itu adalah, orang yang taat dan setia kepada parti. Orang UMNO tidak akan sekali-sekali mengkhianati parti.

Kita faham, adalah lumrah dalam sesebuah parti, mesti timbul perbezaan pendapat. Apa yang penting, kelainan pandangan itu, seharusnya membawa rahmat dan bukannya mengundang mudarat.
Dalam berijtihad pula, orang UMNO harus mencipta kebaikan untuk parti. Mengambil mufaham pengertian setia dan taat melalui syura dan musyawarah seperti difirmankan dengan indahnya pada helaian Surah An-Nisa’, apabila sesuatu keputusan telah dibuat, jika tidak menyalahi syariat, maka wajiblah ditaati.

Contohnya, kita mahu pengikut seperti Khalid al-Walid yang taat mengundur diri sebagai Panglima perang apabila diarahkan oleh Khalifah dan hanya ikut serta sebagai soldadu biasa. Sekalipun sedang berada dikemuncak karier, menurut sejarahnya tidak pernah kalah perang.

Seterusnya, Usamah bin Zaid, seorang anak muda belasan tahun yang setia menurut arahan mengepalai pasukan tentera Islam walaupun bukanlah seorang panglima yang berpengalaman di medan perang.

Inilah dia, watak, dan keperibadian pejuang sejati yang kita inginkan dalam susuk diri orang-orang UMNO.

Bercakap tentang taat setia juga, kita tak mau, bila depan kita disuruh angguk, dia angguk, disuruh geleng, dia geleng. Tapi di belakang lain pulak halnya.

Jangan tikam dari belakang dan jangan pulak main belakang. Bak kata pepatah, janganlah telunjuk saja lurus tetapi kelingking berkait.

Saudara dan Saudari,

CINTA DAN KASIH


Adapun nilai kedua orang UMNO itu adalah, orang yang cinta dan kasih kepada perjuangan parti. Seperti dimadah oleh Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, dalam lagunya… itulah kasih mesra, sejati dan mulia.

Dalam hal ini, apabila ada rasa cinta dan kasih kepada parti, orang UMNO itu juga adalah, orang yang tidak takut dan tidak gentar menyuarakan pendapat serta mendengar pula pendapat orang lain demi kebaikan parti.
 Ajaran agama dan pujangga melorongkan pedoman, perkatakanlah yang benar kerana kebenaran itu isi dan makanannya sejarah, tidak akan patah dipukul zaman.

Bersesuaian dengan nilai kesetiaan, bila kuat hawa kasihnya kepada parti, orang UMNO wajib membela dan mempertahankan parti, selagi hayat dikandung badan.

Seperkara utama lagi adalah, cerdik pandai berfatwa, tak kenal maka tak cinta. Lantaran, untuk mencintai parti, orang UMNO wajar kenal sejarah parti, samada yang tersurat, mahupun yang tersirat. Begitulah, seharusnya menjiwai prinsip serta falsafah perjuangannya.

Pendek kata, orang UMNO harus melihat parti sebagai satu-satunya wadah yang mampu membela untung nasib orang Melayu. Dalam berusaha pula, sebagai tanda kasih, orang UMNO sewajibnya bersemangat dan tidak sesekali mengecewakan parti yang dicintai.
Meluncur topik cinta dalam berorganisasi, orang UMNO wajib ada cinta yang satu sahaja kepada parti, tidak boleh cinta poligami, tidak boleh cinta berbelah bagi atau kata orang Indonesia berbagi cinta…tak mungkin Pak...engga’ bisa Pak…

Saudara dan Saudari,

BERKHIDMAT TANPA JEMU DAN BERKORBAN

Orang UMNO itu adalah orang yang sanggup berkhidmat tanpa jemu dan sanggup berkorban. Pengorbanan adalah satu sifat yang harus bersebati dalam diri orang UMNO.

Bersandarkan prinsip persalingan, orang UMNO harus menunjukkan keikhlasan berkhidmat kepada rakyat.

Beringatlah bahawa, rakyat sedang memerhati kita. Kata orang, rakyat itu sentiasa merasa, mendengar dan mengadili, biar betapapun senyap suara mereka, biar betapapun jua diam gerak geri mereka.
 Di sudut lain, sambil menghadam peradaban Melayu, orang UMNO perlu bermuhasabah ke dalam diri masing-masing. Masih wujudkah semangat Tun Tuah di sanubari? Masih bergemakah kekentalan jiwa Tun Fatimah?

Mahu tidak mahu, orang UMNO harus berusaha tanpa jemu. Biar berdepan apa pun cabaran, pastikan UMNO menang, biar dilintang apapun dugaan, orang UMNO mesti terus berdamping dengan rakyat. Sedarlah kita bahawa, dalam sistem demokrasi, tidak ada tempat kedua. Kita wajib jadi juara.

Kesimpulannya, kemuncak pengorbanan adalah menjunjung kepentingan dan maruah parti, bukannya kepentingan dan maruah peribadi.

Saudara dan Saudari,

i) 1946

Terpanggu atas segalanya, kejayaan terbesar UMNO adalah menyatupadukan orang-orang Melayu melalui penubuhannya pada 11 Mei 1946. Lantaran itu, perlu ditegaskan bahawa, kejayaan ini bukannya kecil, jauh sekali daripada bersifat enteng kerana bangsa Melayu sebelum Perang Dunia Kedua, masih belum endah politik, disamping terbelenggu semangat kenegerian.

Jangan dilupa juga, termusta’id dalam lembaran sejarah bahawa, UMNOlah yang telah berjaya menguburkan penubuhan Malayan Union dan menggantikannya dengan sistem Persekutuan Tanah Melayu. Sekaligus, ditanda dengan episod itu, UMNO telah berbakti menyelamatkan kedudukan Raja-Raja Melayu, bangsa Melayu dan kesucian agama Islam.

Saudara dan Saudari

ii) 1951

Kemudiannya, satu episod getir telah dilalui oleh UMNO apabila Dato’ Onn Jaafar seorang tokoh bangsa, selaku Presiden Pengasas, meletakkan jawatan, sebagai Yang DiPertu,a dan keluar dari parti.

Pada masa tersebut, banyak pihak telah menitipkan belasungkawa dan membacakan talqin terhadap UMNO kerana  hilangnya kepimpinan. Sekalipun begitu, pemilihan parti telah menyaksikan Tunku Abdul Rahman mengambil tempat sebagai Yang DiPertua dengan Tun Razak sebagai Timbalannya yang setia.

Ternyata, telahan kelam oleh pelbagai pihak bahawa, UMNO akan karam, amat meleset, malah, penggantian kepimpinan ini telah merancakkan lagi usaha bagi mendapat kemerdekaan negara. Serentak dengan itu, slogan “Hidup Melayu” telah diubah kepada “Merdeka”.

Kendatipun para ahli tidak menerima cadangan Dato’ Onn untuk membuka pintu UMNO kepada orang-orang bukan Melayu, kepimpinan parti waktu itu, memahami realiti yang ada dan berfikir panjang, malah berilham jauh ke hadapan dengan mencipta prinsip atau konsep perkongsian kuasa unik, melalui Parti Perikatan dengan menggabungkan UMNO, MCA dan MIC. Yang termustahak adalah, taat setia semua kaum kepada Persekutuan Tanah Melayu.

Saudara dan Saudari,

iii) 1955

Menyentuh usaha tersebut, iltizam UMNO bagi menjayakan prinsip yang dipelopori jelas terpamer sejak dari awal lagi. Sebagai contoh, dalam pilihanraya tahun 1955, untuk memilih 51 daripada 52 ahli Majlis Perundangan Persekutuan, prinsip perkongsian kuasa telah dipraktikkan UMNO apabila kita meletakkan calon di hanya 35 kawasan, berbanding MCA, 15, dan MIC, 2. Walhal, daripada 52 kerusi yang dipertandingkan, 50 adalah kawasan majoriti Melayu, dan hanya 2, kawasan majoriti Cina.

Perlu diketahui juga, pecahan pengundi semasa pilihan raya tersebut, mencatatkan majoriti kira-kira 84 peratus atau lebih 1 juta pengundi Melayu. 11 peratus atau seramai 143 ribu pula, adalah pengundi Cina, manakala 50 ribu, atau, hampir 4 peratus sahaja, di kalangan pengundi India.

Hakikat tersebut nyatanya, tidak menghalang semua calon parti MCA dan parti MIC untuk menang. Bagi pemimpin dan orang-orang UMNO, demi mencapai perpaduan antara parti-parti komponen Perikatan, mereka harus menunjukkan keikhlasan berkongsi kuasa. Keikhlasan ini dimanifestasikan dalam bentuk kerelaan memberi kerusi majoriti Melayu kepada parti-parti komponen untuk ditandingi.

Tidak terhenti setakat itu sahaja, ia diikuti pula dengan kesanggupan orang-orang UMNO untuk mengundi calon bukan daripada bangsa mereka sendiri, demi matlamat lebih besar, yakni memenangi pilihanraya, kemudiannya, membentuk kerajaan, seterusnya mencapai kemerdekaan.

Terbukti, sejak dari dulu lagi, UMNO bukanlah sebuah pertubuhan rasis. UMNO sebenar dan sebetulnya adalah pencetus serta perintis kepada semangat tolak ansur antara kaum, yang akhirnya, telah mencipta kestabilan sosial, membawa kepada kemakmuran nasional.

Saudara dan Saudari sekalian,

iv) 1957

UMNO juga melalui Parti Perikatan telah mengemudi pelayaran bahtera merdeka, tanpa pertumpahan darah, mahupun revolusi. Ia dimeterai atas meja rundingan. Syukur, tiada kemusnahan, sekalipun terhadap sumber kekayaan negara, samada dalam bentuk ladang mahupun lombong. Ini, membolehkan kerajaan yang baru merdeka, membina sebuah watan aman berjaya, di atas asas-asas pemerintahan sedia ada.

Setepatnya, kisah kejayaan kita bermula sebelum negara mencapai kemerdekaan, 54 tahun yang lalu. Ia bertitik tolak apabila Kerajaan Perikatan dengan kuasa terhad, di bawah kepimpinan Tunku Abdul Rahman dibentuk pada tahun 1955. Sebaik sahaja mencapai taraf berkerajaan sendiri, Perikatan mula mengorak langkah, bagi membaiki nasib rakyat, dengan penggubalan Rancangan Malaya Pertama, antara tahun 1956 hingga 1960. Dalam ketika itu, pada 1956, FELDA ditubuhkan, disusuli pula langkah-langkah lebih konkrit pasca merdeka.

Penubuhan FELDA menjadi satu langkah yang amat mendahului waktunya. Ia telah memberi peluang kepada mereka yang tidak bertanah, ia telah membawa sinar kepada mereka yang tidak mempunyai harapan, dan ia telah menawarkan permulaan baru untuk warga Malaysia keluar daripada kemelut kemiskinan. Segala tahmid ke hadrat Yang Esa, hari ini terdapat lebih 100 ribu peneroka di seluruh negara yang telah menikmati hasil rancangan penuh berwawasan ini, bersama-sama ratusan ribu generasi kedua.

Saudara dan Saudari,

Berbalik kepada salasilah, apabila negara memperoleh kemerdekaan, maka cabaran pertama dihadapi UMNO dan Parti Perikatan ialah, bagaimana hendak menangani pengaruh dan ancaman Parti Komunis Malaya serta menamatkan darurat yang telah diisytiharkan pada tahun 1948. Alhamdulillah, matlamat ini telah berjaya dicapai, kurang daripada tempoh tiga tahun selepas 1957.

Kejayaan yang dicapai bukanlah sedikit, sebaliknya ia begitu signifikan dan tersergam kepada negara. Kita harus melihat kejayaan ini dari perspektif apa yang berlaku dirantau ini. Kalau diamati, walau ada penglibatan kuasa besar dunia dengan kekuatan militer tanpa tolok banding, masih tidak mampu menghalang pengaruh komunisme. Sebaliknya, sebuah kerajaan baru merdeka, dengan sokongan padu rakyat, berjaya menyanggah teori domino.

Oleh yang demikian, UMNO mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak tertentu yang cuba menulis dan meriwayat semula sejarah, dengan memperlekehkan sumbangan para pahlawan negara. Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan mengenang budi, kerajaan Barisan Nasional tidak akan sekali-kali membiarkan wirawan serta wirawati kita, tanpa pembelaan sewajarnya. Sesungguhnya, jasa dan bakti mereka akan terus malar serta segar dalam sanubari dan ingatan setiap rakyat Malaysia.

Selepas memenangi keamanan, telah diisytiharkan pula perang terhadap kemiskinan dan kemunduran. Seperti disebut tadi, ini wajar dilakukan kerana, seawal merdeka, lebih 89 peratus rakyat Malaya hidup di kawasan luar bandar dan pedalaman, dengan kadar buta huruf yang tinggi, akses kepada pendidikan yang rendah, ditambah pula kemudahan asas yang terkebelakang.

Lucunya, kita kini mendengar pihak-pihak tertentu tanpa segan silu menguar-uarkan konsep negara berkebajikan. Kita ucapkan syabas dan tahniah kepada mereka, kerana, baru sedar terhadap konsep negara kebajikan ini. Sesungguhnya, mereka sudah 60 tahun terlewat.

Soalnya, kenapakah kini, baru prihatin terhadap kebajikan rakyat? Kita ingin bertanya, sebelum ini apa matlamat perjuangan mereka? Adakah matlamatnya semata-mata untuk memecahbelahkan ukhuwah umat? Hakikatnya, dengan segala inisiatif dan perlaksanaan demi rakyat, kerajaan Barisan Nasional sudah sejak melebihi enam dekad, mengamalkan konsep negara berkebajikan.

Saudara dan Saudari,

v) 1969

Apabila tragedi hitam rusuhan kaum 1969 terjadi, prognosis pemerhati antarabangsa terhadap Malaysia amat buruk. Mereka meramalkan kita akan gagal manakala rakyat seolah-olah telah hilang harapan. Sementelahan pun begitu, UMNO dan rakan-rakannya jauh dari menyerah kalah atau hilang pedoman. Sehubungan peristiwa ini juga, jangan sekali-kali kita alpa bahawa, terdapat di kalangan pemimpin pembangkang, turut terlibat mengapi-apikan slogan untuk menghina orang Melayu sehingga berlakunya tragedi 13 Mei.

Saudara dan Saudari sekalian,

vi) 1970

Tarikh 22 September 1970 menyaksikan Tunku Abdul Rahman melepaskan kepimpinan negara diikuti kepimpinan parti. Tun Razak telah mengambil alih kedua-dua jawatan tersebut, maka bermulalah era pelaksanaan DEB. Fokus masih lagi kepada kawasan luar bandar dan pedalaman.

Ini dicerminkan menerusi penubuhan agensi, antara lainnya, RISDA, untuk pekebun kecil getah, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Lembaga Pertubuhan Peladang dan Lembaga Kemajuan Ternakan Negara, masing-masing untuk petani, peladang dan penternak. Bagi merancakkan pembangunan wilayah pula, kerajaan telah menubuhkan KEJORA, KETENGAH, PERDA, KEDA, KESEDAR, DARA dan Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka.

Bagi mencipta masyarakat perdagangan dan perindustrian serta kemasukan kaum Melayu/Bumiputera ke dalam sektor moden pula, kerajaan telah menubuhkan agensi seperti Bank Bumiputra, UDA, Pernas dan Perusahaan Awam Bukan Kewangan atau PABK.

Kesan utama pelaksanaan dasar ini, dan pewujudan Barisan Nasional adalah terciptanya kestabilan sosial yang membolehkan pertumbuhan ekonomi mapan dengan kadar pukul rata hampir 7 peratus untuk dua dekad berturut-turut. Ini secara langsung telah meningkatkan kemakmuran serta taraf hidup semua rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum.

Saudara dan Saudari,

vii) 1988


UMNO menghadapi saat paling dahsyat apabila parti keramat ini diharamkan pada tahun 1988. Ini kerana keputusan pemilihan parti 1987 tidak dapat diterima dan kes telah dibawa ke mahkamah.

Walaupun UMNO berpecah dua, seraya menyaksikan satu percubaan untuk meniru konsep Barisan Nasional melalui Gagasan Rakyat dan Angkatan Perpaduan Ummah, hal ini tidak berjaya, kerana tidak ada keikhlasan.

Sungguh apapun, segala cabaran telah berjaya diharungi. Bangkit dari runtuhan UMNO lama, UMNO baru telah wujud bagi terus membela umat Melayu dalam satu proses pemulihan parti dengan tidak mengambil masa yang lama.  

Saudara dan Saudari,

viii) 1990

Berlawanan dengan tafsiran cetek oleh sesetengah pihak, DEB sejelasnya tidak pernah merugikan orang-orang bukan Melayu. Buktinya, setelah dua dekad pelaksanaan, pada tahun 1990, orang bukan Melayu masih lagi memiliki ekuiti terbesar dalam kekayaan negara manakala pendapatan pukul rata isi rumah mereka, masih yang tertinggi antara kaum di Malaysia.

Diperakui, walaupun matlamat pemilikan ekuiti tidak tercapai sepenuhnya, paling terkesan ialah penciptaan kelas menengah Melayu yang besar, menjelang berakhirnya dasar ini. Saiz kelas menengah ini meningkat tinggi dengan pelaksanaan Dasar Pembangunan Nasional antara 1991 hingga 2000. DEB, sebenarnya telah mengasaskan kestabilan sosial kebangsaan yang membolehkan penciptaan kekayaan dan kemakmuran dinikmati oleh semua pihak.

Salah satu kisah kejayaan lagi, ialah bertambahnya jumlah profesional Melayu/Bumiputera. Jika dikaji, ketika bermula pelaksanaannya pada awal 70an, hanya terdapat kurang 5 peratus profesional daripada kaum Melayu dan Bumiputera. Jumlah ini telah bertambah kepada 45 peratus dari keseluruhan profesional hasil DEB dan dasar-dasar seangkatan dengannya.

Prakarsa kerajaan melalui penubuhan sekolah berasarama penuh atau SBP dalam bentuk Sekolah Menengah Sains, Maktab Rendah Sains MARA, pusat asasi sains, matrikulasi untuk IPTA tempatan dan penghantaran pelajar ijazah pertama ke luar negara menjadi pemangkin yang telah membawa kepada kemunculan kelas pertengahan Melayu.

Dasar ini juga telah menunjang pergerakan menegak mobiliti sosial, maka tidak pelik melihat anak seorang buruh kasar hari ini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan. Anak pesawah, penoreh getah, nelayan dan peladang pula menjadi anggota pentadbiran tertinggi, penjawat awam dan korporat, usahawan, hartawan dan cendekiawan.


Saudara dan Saudari,

Sebagai dimaklumi, asalnya kita adalah sebuah negara pertanian yang eksport utamanya adalah komoditi seperti getah, kelapa sawit dan bijih timah. Pada pertengahan tahun 80an, apabila pulih daripada menghadapi kemelesetan ekonomi akibat kejatuhan harga komoditi utama negara, kerajaan telah memulakan proses industrialisasi.

Tumpuan juga mula diberikan bagi menjadikan Malaysia pusat tarikan pelancongan global disamping pembinaan projek infrastruktur yang besar. Misalnya, Lebuhraya Utara-Selatan yang telah berjaya merangsang pertumbuhan dan proses urbanisasi.

Pucuk pangkalnya, semua inisiatif, dasar dan program ini telah membawa kepada perubahan struktural bukan sahaja kepada lanskap sosioekonomi rakyat Malaysia tetapi juga kepada sistem nilai, taraf hidup dan pendidikan lebih tinggi serta akses kepada maklumat yang lebih luas.

Saudara dan Saudari,

ix) 1999


Direnung-renung dan ditinjau-tinjau semula, dalam Pilihanraya 1999, sungguhpun penggunaan telefon bimbit makin meningkat, disebabkan keupayaan teknologi masih terbatas ketika itu, ia belum mampu menyalurkan data. Maka, e-mel, faks dan laman sesawang yang tidak interaktif, menjadi medium popular sebagai penyampai berita alternatif. Meneropong kembali, waktu itu, belum ada Google, belum ada Facebook, belum ada Twitter hatta telefon pintar.

Berbanding sekarang ini, menurut data dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia kita mencatat 36 juta pelanggan telefon selular, iaitu kadar penembusan 124%, atau, 124 set bagi 100 penduduk. Penembusan jalurlebar sekarang pula telah meningkat kepada 62% langganan isi rumah. Dengan kata lain, 4 juta isi rumah dari sejumlah 6.5 juta isi rumah, atau, lebih 16 juta penduduk Malaysia mempunyai kemudahan jalurlebar.

Selain itu, lebih 40 peratus yang melanggani TV satelit berbayar, mendedahkan mereka kepada saluran berita seperti CNN, BBC dan Al-Jazeera, bagi mengikuti perkembangan dunia secara langsung.

Saudara dan Saudari,

x) 2011

Bertapak jauh selepas satu dekad, pengenalan SMS, MMS, BlackBerry Messenger, telefon pintar, media sosial, tablet eletronik pintar dan Wi-Fi percuma telah mejadikan akses kepada idea, pendapat dan berita melaluinya menjadi lebih mudah.

Umpamanya, ucapan perayaan Aidil Adha, yang disiarkan semasa saya dan rombongan mengerjakan Haji baru-baru ini, telah dirakam semasa di Padang Arafah, dengan menggunakan iPhone, sebelum diedarkan kepada media tempatan.

1.    Saudara dan Saudari,

Berkalam tentang kecanggihan sebegini, demikian kita menyaksikan saat-saat akhir Saddam Hussein di tali gantung, serta juga nasib yang menimpa Muammar Gaddafi. Perubahan yang berlaku di Tunisia, Mesir, Libya dan Yemen serta protes di Syria seperti kita lihat, adalah juga, genesis kepada medium media sosial. Kita dapati, walaupun pemerintah negara-negara berkenaan cuba untuk membuat putaran cerita, namun dengan hanya telefon pintar, jalurlebar dan YouTube, mampu menceritakan apa yang sebenarnya berlaku, di negara-negara tersebut.
                     
Berpacu dari sini, kerajaan, melalui SKMM telah mewujudkan lebih kurang 560 pusat jalurlebar masyarakat, iaitu hampir satu di setiap mukim di negara ini. Kita mantapkan lagi usaha penubuhan lebih 1300 kampung tanpa wayar di merata negara, agar, rakyat keseluruhan, berkemampuan melayari internet manakala 1700 lagi masih dalam proses.

Malaysia sekarang sudah terletak antara tangga teratas di kalangan negara Asean dari segi kemampuan ICTnya. Kita juga mempunyai 17.5 juta pengguna Internet, dan menurut kajian, orang Malaysialah, yang paling ramai mempunyai rakan Facebook, yakni, secara puratanya, 234 bagi setiap seorang.

Saudara dan Saudari,

Begitu juga bermula tahun 90an, bagi menangani perasaan tidak puas hati terhadap akses pendidikan tinggi, maka, bermula tahun 1995, kerajaan telah mengorak langkah untuk meliberalkan sektor pengajian tinggi tempatan.

Kesannya, dari hanya 9 buah universiti awam, hari ini telah bertambah menjadi 20. Disamping itu, 25 universiti, 22 kolej universiti dan lebih 400 kolej swasta serta 5 kampus tempatan universiti asing kini telah wujud.

Saudara dan Saudari sekalian,

Hasil peningkatan taraf sosioekonomi dan akses lebih meluas kepada pendidikan pasca menengah, telah mewujudkan generasi rakyat Malaysia baru lebih kritikal dan meningkat ekspektasinya terhadap kerajaan.

Generasi ini adalah anak-anak kepada generasi pertama DEB. Mereka dilahirkan bermula tahun 70an. Generasi ini, tidak suka dibentak-bentak, tidak suka diarah-arah apa yang perlu dilakukan, tidak gemar diberitahu apa yang benar dan salah, serta paling tidak disenangi mereka apabila kita mengungkit-ungkit jasa-jasa kita yang lalu.

Kita dapati bahawa, mereka ini mahu terus dirundingi, mahu kebebasan untuk menilai, berhujah dan membuat keputusan berdasarkan kepada pasaran maklumat dan idea yang ada. Jadinya, untuk terus kekal, UMNO perlu berkomunikasi mengikut langgam dan laras bahasa anak-anak muda, supaya parti kita difahami.

Lalu, dalam persekitaran inilah kerajaan mengumumkan untuk meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti atau AUKU bagi membenarkan mahasiswa dan mahasiswi universiti awam untuk menjadi ahli parti politik apabila mencapai umur baligh undang-undang atau 18 tahun.


Saudara dan Saudari,

UMNO sentiasa mendengar suara dan menghargai peranan serta sumbangan orang muda. Kita mengiktiraf mereka bukan sahaja apabila menghadapi pilihan raya, sebaliknya pada setiap masa dan ketika.

Dalam sejarahnya, UMNO adalah parti politik pertama di negara ini, yang mempunyai sayap untuk orang muda, lelaki, wanita dan diikuti dengan sayap puteri. Bagi meningkatkan peranannya, dalam pindaan Perlembagaan UMNO yang terbaru, kita telah menambah jumlah perwakilan di peringkat Bahagian dan Perhimpunan ini. Malah, jumlah mereka juga ditokok dalam proses memilih pucuk pimpinan parti.

1.    PENUTUP

Saudara dan Saudari,

Kejayaan membentuk wajah Malaysia seperti yang ada, telah menghadapkan kita dengan cabaran terbesar kepada survival parti dan Barisan Nasional itu sendiri. Sama ada kita akan kekal sebagai parti yang dipercayai rakyat dan mendapat mandat bagi terus menjadi kerajaan, bergantung kepada kesedaran, kefahaman dan tindakan kita selanjutnya.

Sepanjang ucapan saya tadi, dirakamkan kronologi 10 detik yang telah menjadi “game changer” kepada UMNO menyusuri sejarah parti.

Sehubungan itu, suka saya simpulkan, 5 kekuatan teras, yang membolehkan kita menghadapi apa pun badai dan mehnah yang merempuh parti, samada bersifat dalaman, mahupun luaran. Pertamanya ialah, keupayaan menggagas semula parti bagi memanfaatkan persekitaran yang baru.

Kedua, pengamalan prinsip wasatiyyah dalam semua bidang, samada urus tadbir, perkongsian kuasa, iktisad yakni ekonomi, perhubungan kaum mahupun perhubungan antarabangsa.

Ketiganya, UMNO sentiasa mengulungi idea atau “supremacy of ideas” dalam era pertarungan minda dan persaingan sengit pasaran idea serta maklumat.

Keempat, UMNO perlu terus meletakkan kebajikan rakyat di atas segalanya-galanya. Segala dasar yang digubal, prakarsa yang dirancang dan program yang dilaksana mengutamakan kebajikan rakyat.

Kelimanya, kebolehan UMNO untuk mengotakan apa yang dikata dan menunaikan janji. Pucuk pangkalnya, kita bukan seperti sesetengah pihak yang hanya menjadi tukang karut.

Saudara dan Saudari,

Oleh sebab itulah, apabila saya mengambil alih tampuk kepimpinan parti dan kerajaan tiga puluh bulan yang lalu, saya dan rakan-rakan sama ada dalam Majlis Tertinggi UMNO, Dewan Tertinggi Barisan Nasional mahupun Kabinet, telah mengambil keputusan untuk melaksanakan proses islah dan pembaharuan.

Dalam parti, mula-mula sekali kita telah membesarkan francais pemilih bagi ahli-ahli Majlis Tertinggi. Kita mahu lebih ramai orang UMNO diberi hak untuk memilih pemimpin mereka. UMNO bukan parti yang gentar terhadap demokrasi seperti tuduhan seteru politik kita, malah UMNO adalah parti yang mendakap demokrasi. Kata pepatah Inggeris “the proof of the pudding is in the eating”.

Kita bukan seperti pihak lawan. Contoh pertama, Parti A, jawatan Ketua Umum, sudahlah tidak dipilih secara demokratik, lebih berkuasa pulak dari Presiden parti. Contoh kedua, Parti B sebuah parti yang memakai gelar demokrasi, namun, langsung tidak demokratik.  Apakah demokratik namanya kalau perwakilan cawangan memilih 20 orang ahli jawatankuasa pusat dan kemudian ahli jawatankuasa pusat tersebut pula, memilih kepimpinan tertinggi parti? Ini jelasnya, tidak sama sekali mencerminkan kehendak ahli terbanyak.

Manakala contoh ketiga, adalah Parti C, yang kononnya memperjuangkan negara kebajikan. Lahawlawala...., jawatan Mursyidul Am pun, tampaknya tidak diundi secara demokratik, tetapi ternyata lebih berkuasa dari Presiden. Sama jugak dengan Parti A. Tambahan lagi Parti A itu, suami, Ketua Umum, isteri, Presiden, anak perempuan sulung, Naib Presiden, Timbalan Presiden pulak.....hrmm...tak payah lah kita cerita.

Saudara dan Saudari,

Menelaah perkara-perkara itu, kita mesti insaf, jika UMNO masih gagal memahami dan menghayati faktor-faktor yang menjadi “game changer” atau peneraju cara gaya baru kepada lanskap politik nasional, serta tidak pula mengambil langkah merangka semula “game plan” yakni gerakan terancang, maka kita namanya menempah tragedi untuk parti.

Apakah yang dimaksudkan dengan game changer ini? Pertamanya ialah realiti baru. Jika UMNO tidak memahami realiti baru lanskap politik nasional, bagaimana UMNO dan BN mahu berjaya? Keduanya, media baru. Mahu tidak mahu, suka tidak suka, UMNO harus menguasai media baru kerana hari ini, detik ini, ia mampu menentukan kemenangan atau kekalahan. Ia berupaya mendatarkan “the playing field” atau ia turut boleh menjadikan satu pertarungan itu, tidak setara. Dari yang demikian, orang UMNO wajib mengetahui cara-cara untuk memanfaatkan media baru demi survival parti.

Memenuhi maksud dan menjiwai realiti baru juga, UMNO selaku sebuah parti siasah yang dinamik, tidak boleh hanya sekadar hebat bertempur dalam pertarungan lalu, kita semestinya juga menjadi juara dalam berperang di medan laga terkini.

Ketiga, UMNO juga harus menghayati pemikiran baru yang ada di kalangan semua segmen pengundi, bagi menarik sokongan mereka. UMNO tidak boleh bersikap atau sekalipun dilihat sebagai bersikap angkuh lagi sombong. Jika tidak, para pengundi dan rakyat akan benci dan menjauhi kita.

Saudara dan Saudari,

Selama hampir enam dekad, UMNO telah menjadi parti teras yang menonggak kejayaan. Selama ini, rekod-rekod membuktikan bahawa, kita tidak pernah mendominasi atau sekalipun berniat untuk mendominasi parti-parti komponen seperti yang difitnah oleh pembangkang.

Jauh sekali dari kemelut gabungan parti pembangkang yang tidak mampu berijma’ dan bersatu hati walaupun dalam soal-soal dasar. Misalnya, dalam perihal negara Islam, Parti A kata, setuju secara peribadi, Parti B kata, tidak sekali-kali, langkah mayat mereka dulu, Parti C pulak kata “kita tukar jadi negara kebajikan”. Pening dan keliru rakyat dibuatnya.

Berbeza dengan UMNO, sebagai parti teras, kita mengambil langkah berganding dan bekerjasama dengan parti-parti komponen. Kerjasama kita bersifat pragmatik, realistik dan ikhlas. Kita menerima seadanya rakan-rakan dalam Barisan Nasional. Kita saling percaya mempercayai, saling bergantungan dan saling bersefahaman sejak sebelum merdeka lagi. Inilah yang membuatkan kita berjaya sebagai teraju dalam memakmurkan negara ini.

Saudara dan Saudari,

Sebagai game changer yang kesebelas, kita mulakan dengan Program Transformasi Kerajaan bagi membaiki penyampaian sektor awam. Seterusnya, Program Transformasi Ekonomi dan Model Baru Ekonomi sebagai peta halatuju pusingan akhir ke arah wawasan negara maju berpendapatan tinggi. Kemudiannya, Program Transformasi Politik bagi menyeimbangkan antara Keselamatan Kebangsaan dan Kebebasan Individu.

Program Transformasi Luar Bandar dilancar, bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar dan pedalaman, serta, Program Transformasi Sosial yang berpandukan falsafah pemandu 1Malaysia. Kita lanjutkan pula dengan inisiatif-inisiatif yang dapat mengurangkan kos sara hidup rakyat seperti Klinik 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Menu 1Malaysia dan Perumahan Rakyat 1Malaysia atau PRIMA.

1.    Saudara dan Saudari,

Sebetulnya, apa yang ada hari ini seperti dapat disaksikan oleh semua, bukan dibina dalam masa yang singkat. Ia terbina dengan penuh tatih, pengorbanan dan jerih payah. Ia dibangunkan oleh bapa-bapa kita orang-orang Melayu, orang-orang Cina, orang-orang India, Iban, Kadazan dan lain-lain lagi termasuklah orang asli dan orang Siam. Cita-cita mereka, impian mereka, tidak lain tidak bukan demi kehidupan lebih baik untuk kita. Ia diteruskan lagi oleh generasi kini yang mendambakan masa depan lebih cerah untuk anak-anak cucu kita.

Ingatlah....., ingatlah bahawa, semua ini dimungkinkan oleh kita orang-orang UMNO, sebuah parti yang amat berjasa kepada kita semua, bukan sahaja anak-anak Melayu tetapi rakyat Malaysia keseluruhannya. Namun, alangkah pedih dan alangkah lukanya hati kita, pabila hari ini, UMNO, parti yang sarat jasa dan baktinya, sedang dimomok, dinista dan dicerca semahunya. Malah, jasa kita seolah hendak dipadam terus dari helaian sejarah.

Mereka tanpa malu dan segan, gah mendakwa bahawa, UMNO langsung tiada budi atas kehidupan mereka. Kalau benarlah begitu, siapakah yang mengubur Malayan Union? Siapa yang memenangi kemerdekaan secara aman? Kalau bukan parti bertuah ini.

Saudara dan Saudari,

Mengatasi semua persoalan ini, kata orang, kalau mandi air dikali, jangan lupa pada siapa yang menggalinya. Kerana bukankah UMNO yang menjadi induk, mencipta kemakmuran?

Ini tidak, belum lagi berkuasa, sudah ibarat kaduk naik junjung. Ibarat lidah tidak bertulang, katanya mahu membuang separuh dari penjawat awam kalau sudah berkuasa. Apa maksud mereka mahu membuang lebih 200 ribu orang guru? Siapa yang mahu mengajar anak-anak kita? Bukan semua yang mampu menghantar anak ke sekolah-sekolah swasta.

Tidak cukup dengan itu, mahu ditamatkan khidmat separuh doktor dan jururawat sedangkan tidak semua rakyat Malaysia yang mampu mendapatkan rawatan di hospital-hospital swasta. Mahu diberhentikan separuh tentera dan polis? Lalu, pada siapa hendak diharap untuk membenteng keselamatan kita dan keluarga?

Saudara dan Saudari,

Inilah nasib yang akan melanda, jika UMNO sudah hilang kuasa. Siapa yang akan membela syiar Islam? Siapa yang mampu membela hak umat dan agenda orang Melayu? Siapa pula yang dapat terus memuliakan Raja-Raja kita? Tepuklah dada, tanyalah jawapan.

Saudara dan Saudari,

500 tahun yang lalu, jatuhlah empayar Melaka. Ia jatuh bukan kerana Melayu kurang hulubalang atau kependekarannya, ia rebah bukan kerana kemiskinan atau kefakiran, ia tersungkur menyembah bumi kerana terlerainya perpaduan dan berlakunya pengkhianatan.

Begitu juga nasib tamadun-tamadun besar di dunia yang hancur, mereput dan runtuh. China, terhina akibat siri perang candu, Empayar Rom, dirobek perpecahan dari dalam dan Khilafah Othmanniyah, punah dek kerana kehalusan strategi pecah belah dan perintah. Bertolak dari situ, marilah kita jadikan kisah-kisah ini sebagai teladan dan sempadan. Jangan sekali-kali kita terperangkap olehnya.

Saudara dan Saudari,

Akhir kalam, selaku Presiden UMNO, saya bersyukur kerana mempunyai Timbalan Presiden yang setia, barisan Naib Presiden yang taat, Pergerakan Wanita yang tidak jemu-jemu mendokong perjuangan parti, ketumbukan Pemuda yang lantang dan berani, para Puteri yang cekal dan bersemangat, Majlis Tertinggi yang sentiasa bersiaga, khususnya, orang-orang UMNO sekalian, yang menunggu-nunggu panggilan bertempur.

Ayuh, rapatkan saf, nyalakan jamung, gigitlah kuat-kuat perjuangan ini dengan geraham kita. Palulah genderang perang, palulah ia tabuh-tabuhan dan tiupkanlah semboyan. Masanya sudah hampir, waktunya sudah tiba. Bingkaslah orang-orang UMNO, kita turun ke medan bakti.

Mudah-mudahan Allah memberkati. Hidup UMNO! Hidup UMNO! Hidup UMNO!

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.

Tuesday, 29 November 2011

'Aliran keras Umno berubah perlahan-lahan'

Hafiz Yatim & Abdul Rahim Sabri 4:21PM Nov 29, 2011 - Malaysiakini
http://www.malaysiakini.com/news/182712

Sekalipun Umno mentadbir negara ini sejak merdeka, ahli Majlis Tertingginya Datuk Saifuddin Abdullah mengakui parti itu masih  dikuasai ahli yang dianggap sebagai hardliner atau beraliran keras.

Bagaimanapun, katanya, kumpulan itu perlahan-lahan semakin mengecil dengan kehadiran golongan yang percaya pada tranformasi dan mahu membuat perubahan berdasarkan kehendak pucuk pimpinan parti.

Jumlah kedua-dua kumpulan itu kini masih lagi kecil, dan beliau berharap untuk melihat bilangannya bertambah.

"Sokongan terhadap reform (pembaharuan) - atau istilah yang Datuk Seri Najib (Razak) transformasi - saya lihat ia berlaku dalam tiga keadaan.

"Pertama, memang ada kumpulan dalam Umno yang percaya kepada tranformasi, dan mereka akan bercakap tentang tranformasi itu, sama ada Datuk Seri Najib bercakap ataupun tidak. Yang ini angkanya sangat kecil.

"Kedua, ada yang menyokong tranformasi, bila Datuk Seri Najib cakap. Bila Datuk Seri Najib cakap, dia akan sokong. Kalau Datuk Seri Najib tak cakap, dia tak sokong. Dan dia pun tak cakap.

"Yang ketiga dan lebih besar ialah (mereka) yang selesa dengan keadaan semasa dan merasakan apa yang Umno lakukan sudah memadai," kata Saifuddin ketika ditanya tentang cabaran pembaharuan Umno, yang terpaksa berdepan "orang lama" dan kumpulan "beraliran keras".

Beliau berkata kumpulan ketiga ini cuma mahu parti itu membuat penambahbaikan dari sudut strategi dan taktik untuk menang dalam pilihan raya.

Ketika diwawancara Malaysiakini sempena perhimpunan agung Umno, Saifuddin juga berkata jumlah kumpulan ketiga - yang beraliran keras - adalah kumpulan terbesar berbanding yang lain.

"Walaupun ada dalam kumpulan ketiga ini, bila Datuk Seri Najib cakap berubah menjadi nombor dua; tetapi yang saya fikir Umno perlukan adalah tambah kumpulan nombor pertama dan juga tambah kumpulan dua pun tak mengapa.

"Saya fikir nombor satu itu bertambah empat kali ganda agaknya dan nombor dua itu jadi majoriti, pun cukup (untuk membuat tranformasi)," katanya.

'Bulatan kedua'

Ditanya bagaimana Umno berdepan dengan kumpulan beraliran keras itu, Saifuddin menggesa keseluruhan ahli Umno memahami bahawa rakyat sudah berubah, bukan sahaja dalam politik dan pilihan raya, tetapi dengan cara yang lebih besar.

"Saya lihat dalam sejarah manusia, ada waktu-waktu tertentu, perubahan itu berlaku atas faktor-faktor yang tertentu, misalnya apa yang berlaku di negara Arab. Dia kalau nak berubah, dia tak boleh tahan," tegasnya.

Dengan memberi contoh, pada tahun 1970-an perubahan berlaku di negara Islam termasuk Malaysia, India, Pakistan, Bangladesh, Indonesia dan Selatan Thailand susulan fenomena kebangkitan Islam yang dianggapnya sebagai 'bulatan pertama'.

"Sekarang ini berlaku lagi, saya panggilkannya sebagai 'bulatan kedua'. Saya fikir kita sebagai negara merdeka sudah lama, walaupun rakyat Malaysia ada bermacam-macam, ada kelas menengah, ada golongan intelektual dan sebagainya.

"Dalam bulatan kedua ini, berlakunya realiti baru ini... Ada media baru. Dalam bulatan pertama media baru itu ada, tetapi hanya digunakan sebagai alat komunikasi.

"Walaupun saya ada Facebook dan Twitter dan saya sharing online (berkongsi online), tetapi anak saya, buat tutorial (secara) online. Itu sudah lain dah tu, maknanya pada dia adalah cara hidup," katanya sambil menegaskan media baru membuka luas pandangan rakyat berbanding bulatan pertama.

PLUS sesuai jadi mangkin kempen galakan membaca

Zahiruddin Zabidi 9:55AM Nov 21, 2011 - Malaysiakini
http://www.malaysiakini.com/letters/181920

Bermula dari Tol Jalan Duta hingga ke tol terakhir PLUS di negeri Kedah, terdapat kira-kira lebih daripada 10 buah lokasi “Rehat dan Rawat” sama ada berkapasiti besar dan sederhana.

Biasanya lokasi yang menjadi pilihan para pengguna lebuhraya PLUS adalah RnR Sungai Buloh, RnR Rawang, RnR Tapah dan RnR Bukit Semanggol dan banyak lagi.

Banyak kemudahan yang disediakan seperti gerai makan yang bersih dan cantik dekorasinya, surau yang sangat selesa serta gerai-gerai menjual buah-buahan yang begitu menarik perhatian para penyinggah.

Fasilitis dan perkhidmatan kelas A sentiasa disediakan oleh pihak PLUS sentiasa wajar dipuji dan sepadan dengan bayaran tol yang dikenakan.

Di samping itu ada juga beberapa buah gerai yang menjual buku contohnya di RnR Sungai Buloh menuju ke Kuala Lumpur. Menurut pemiliknya, sambutan kepada belian buku-buku agama agak memberangsangkan.

Selain daripada itu, tiada lagi kedai buku yang benar-benar menjual buku selain beberapa hentian sahaja.

Perjalanan yang panjang di atas Lebuhraya PLUS yang memakan masa berjam-jam sewajarnya dimanfaat oleh para penumpang seperti penumpang bas, kereta khususnya mereka yang berkeluarga dan mempunyai anak-anak kecil. Kerana masa yang begitu lama dalam perjalanan wajar dimanfaatkan dengan membaca.

Ibu bapa wajar mengambil kesempatan dalam perjalanan ini bagi berinteraksi dan memujuk anak-anak mereka dengan membaca.

Dengan membelikan kepada mereka bahan-bahan bacaan yang menarik dan cantik selain daripada mempunyai maklumat dan ilmu yang sesuai dengan peringkat umur. Mewujudkan persaingan sesama anak-anak juga memberikan kesan yang positif dalam membaca.

Saya melihat pihak pengurusan PLUS sangat berpeluang memainkan peranan yang sangat strategik di sini.

Ia boleh menjadi satu daripada sumbangan sosial yang sangat besar kepada masyarakat sekali gus mengangkat nama PLUS sebagai sebuah organisasi yang sangat caknakan rakyat bukan hanya tahu mengaut keuntungan semata-mata.

Bayangkan, di setiap hentian RnR punya sebuah kedai buku dengan buku-buku yang terpilih dan terbaik dikelola sendiri oleh PLUS, uniknya kedai ini adalah diskaun tinggi yang diberikan kerana motif penjualan buku-buku ini bukan untuk keuntungan namun ia bersifat sumbangan masyarakat dalam jangka masa yang berterusan.

Kedai-kedai ini mungkin boleh menjual dengan harga modal sahaja sebagaimana biasanya penerbit akan memberikan diskaun paliing tidak 35 - 50 peratus bagi para pengedar dan penjual yang mengambil dalam kuantiti yang besar.

Pastinya ibu bapa akan lebih bersemangat bagi membeli buku-buku paling tidak sebuah seorang kepada anak-anak mereka dan diri sendiri.

Sekali lagi, sifat suka membaca itu harus dibudayakan dan ianya perlu diperjuangkan oleh semua pihak. Masyarakat membaca adalah masyarakat yang menguasai dunia dan hanya dengan membaca manusia itu dapat memastikan ketamadunan agama dan bangsanya terus gemilang.

Di sini, masyarakat masa depan akan berterima kasih kepada PLUS atas inisiatif ini.

Memali: Sejarah berdarah dan ISA

Amin Iskandar 11:38AM Nov 19, 2011 - Malaysiakini
http://www.malaysiakini.com/columns/181806

Genap 26 tahun lalu, terjadi satu peristiwa penting dalam sejarah politik negara. Sejarah berdarah menyayat hati dan tidak mungkin akan dilupakan.

Pada ketika itu, Malaysia dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri manakala Tun Musa Hitam adalah timbalannya dan menteri hal ehwal dalam negeri.

Peristiwa yang dikenali sebagai "Tragedi Memali" ini berlaku di Kampung Memali yang terletak di bawah mukim Siong, Baling, Kedah.

Daerah Baling merupakan satu daerah yang istimewa kerana banyak peristiwa bersejarah berlaku di situ, seperti Rundingan Baling pada 1955 antara kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Parti Komunis Malaya (PKM).

Demonstrasi Baling pada 1974 ekoran isu kemiskinan juga berlangsung di tempat sama.

As-Syahid Ibrahim Libya dan 13 orang pengikutnya terkorban di tangan anggota keselamatan lengkap dengan pelbagai senjata termasuk senjata automatik dan kereta kebal.

Diberitakan lebih 3,500 anggota keselamatan dikerah oleh kerajaan Malaysia untuk berhadapan dengan Ibrahim Libya dan pengikutnya serta penduduk Kampung Memali.

Pada ketika itu, kerajaan Malaysia menjustifikasikan pembunuhan beramai-ramai itu dengan alasan Ibrahim Libya atau nama sebenarnya Ibrahim bin Mahmud membawa ajaran sesat.

Kemudian pertuduhan diubah - as-syahid dikatakan membawa fahaman subversif yang berniat untuk mencetuskan huru-hara.

Siapa Ibrahim Libya?

Almarhum Ibrahim dilahirkan pada tahun 1944 ketika Malaya masih lagi dalam genggaman Jepun di Kampung Carok Putih berhampiran dengan Kampung Memali.

Mendapat pendidikan awal tentang Islam dari ayahnya sendiri Tuan Haji Mahmud - seorang guru agama yang disegani di kampungnya.

Ibrahim kemudian melanjutkan pengajian Islamnya di India, Mesir dan Libya. Selepas tamat pengajian, beliau pulang ke tanah air pada awal 1970-an.

Selepas pulang, beliau berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebagai pendakwah di Pusat Islam. Populariti beliau meningkat naik oleh kerana syarahan-syarahan agama yang diberikan dan seringkali diundang untuk berbicara mengenai Islam di RTM1.

Beliau kemudiannya berhenti dari JPM dan bekerja sebagai pegawai dakwah dengan kerajaan Libya. Selepas tamat berkhidmat dengan kerajaan Libya, beliau pulang ke Kampung Memali.

Madrasah didirikan untuk Ibrahim memulakan kelas pengajian agama. Bermulalah kariernya sebagai pendakwah bebas. Kepetahannya berceramah menyebabkan beliau sering diundang berceramah di sekitar negeri Kedah.

Ibrahim Libya kemudiannya menyertai PAS dan pernah bertanding dalam pilihan raya tahun 1978 di kawasan Bayu yang terletak dalam daerah Baling.

Beliau mendapat undi sebanyak 5,081 manakala calon BN mendapat 6,169 undi. Dalam pilihan raya tahun 1982 beliau turut bertanding di kawasan yang sama tetapi kalah.

'Dosa' Ibrahim Libya

Ibrahim Libya menjadi ancaman kepada "pihak-pihak tertentu" yang risau dengan popularitinya. Jika dibiarkan terus berleluasa, beliau akan menjadi ancaman yang lebih besar.

Menurut Senator Yusuf Husin yang penulis temui berberapa tahun lalu, selepas menyertai PAS, Ibrahim Libya menjadi ancaman kepada pemerintah oleh kerana gesaannya dalam setiap ceramah agar perubahan dilakukan terhadap kepimpinan negara.

Inilah puncanya sehingga akhirnya Ibrahim Libya dikehendaki oleh kerajaan Malaysia untuk ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Jika tidak menggunakan ISA, sudah pasti Ibrahim Libya akan memberikan kerjasama dengan syarat beliau dibicarakan di mahkamah.

Oleh kerana ISA menjadi pilihan kerajaan, beliau tidak mahu menyerah dan tunduk kepada undang-undang yang dianggap sebagai kejam, zalim dan tidak berperikemanusiaan.

Pengikut-pengikut dan anak-anak murid Ibrahim Libya juga tidak mahu beliau menyerah diri dan bertindak mempertahankannya.

Kampung Memali di kepung oleh ribuan anggota keselamatan untuk menangkap Ibrahim Libya dan pengikutnya.

Pada 19 November 1985, akhirnya Ibrahim Libya dan 13 orang pengikutnya gugur ke bumi sebagai syuhada selepas bertempur dengan anggota keselamatan.
Orang-orang kampung yang hidup ditahan oleh kerajaan Malaysia di bawah ISA termasuklah Yusuf Husin.

Simbol perlawanan terhadap ISA

Ibrahim Libya dan 13 orang lagi yang gugur di Kampung Memali merupakan simbol perlawanan terhebat terhadap ISA.

Seperti yang dikatakan oleh Editor Harakah, Ahmad Lutfi Othman dalam tulisannya sempena ulang tahun ke 25 tragedi Memali tahun lalu:
"Beliau (baca: Ibrahim Libya) menentang akta zalim itu bukan dengan memorandum atau demonstrasi, tetapi mempertaruhkan nyawanya. Dan ini merupakan satu rekod 'termahal' dalam usaha menyanggah ISA."

Benar apa yang dikatakan oleh Ahmad Lutfi itu, tindakan Ibrahim Libya dan para pengikutnya mengorbankan nyawa kerana tidak sujud kepada ISA adalah satu tindakan yang mulia.

Para syuhada Memali sebagai adalah simbol perlawanan terhebat rakyat Malaysia terhadap ISA.

Jika satu hari nanti ISA dimansuhkan, muzium bagi memperingati para syuhada Memali harus dibina agar generasi akan datang tahu bahawa ISA bukan sahaja telah merampas kebebasan ribuan orang tanpa dibicarakan di mahkamah, ISA juga telah menyebabkan nyawa melayang.

Secara peribadi, saya menganggap Tragedi Memali ini masih belum selesai.

Suruhanjaya Kebenaran dan Perdamaian atau Truth and Reconciliation Comission harus ditubuhkan untuk menyiasat kembali peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Memali yang berlaku pada tahun 1985 itu.

Hasil penyiasatan haruslah didedah kepada orang ramai dan pesalah-pesalah yang terlibat secara langsung dalam kezaliman ini harus diheret ke mahkamah untuk dibicarakan.

Selepas 26 tahun sejarah berdarah ini berlalu, tragedi Memali terus dikenang. Kampung tempat gugurnya 14 orang syuhada itu menerima pelawat yang ramai sepanjang tahun untuk melihat sendiri saki baki sejarah tragedi Memali yang masih tertinggal.

Begitulah hebatnya Ibrahim Libya dan 13 orang pengikutnya. Salut kepada para syuhada. Salut kerana melawan ISA. Salut kepada penduduk Kampung Memali yang berani.


Amin Iskandar menerima anugerah zamalah Intelektual Awam Asia (API) 2009-10 untuk menjalankan kajian tentang sejarah pemantauan pilihan raya di Filipina dan Indonesia. Memblog di http://www.aminiskandar.blogspot.com/ dan berkicau di www.twitter.com/aminiskandar.