Search Everything

Saturday, 30 July 2011

Makna dan tanda 9 Julai

Dalam pensejarahan, setiap negara bangsa akan wujud satu tarikh untuk diingati dan dikongsi bersama. Warga Palestin mengingati Nakba atau malapetaka pada 15 Mei setiap tahun. Pada tarikh ini Israel diwujudkan. Pada tarikh ini juga tanah warga Palestin mula di rampas oleh kaum Zionis.

Semenanjung Tanah Melayu menyambut hari 'malapetaka' pada 31 Ogos setiap tahun. Malapetaka menimpa Tanah Melayu di tarikh ini apabila British mengagihkan kuasa pentabiran tanah Melayu kepada United Malay National Organisation. Malapetaka ini sedang sama-sama kita rasakan.

Tetapi apa sangkut pautnya malapetaka ini dengan tarikh 9 Julai? Bukankah pada 9 Julai yang lepas hanyalah hari perhimpunan BERSIH? Untuk memahami 9 Julai ini saya akan bawa kembali kepada surah sejarah agar para pembaca yang budiman akan dapat memahami makna dan tanda tarikh dan haribulan ini.

Saya bawa kembali para pembaca ke zaman Julius Ceaser dan kerajaan Rom. Di Utara Itali ada sebatang sungai bernama Rubicon yang airnya berlumpur merah. Sungai ini telah dijadikan garis sempadan. Kerajaan Rom telah membuat undang-undang bahawa tidak ada sesiapa pun boleh melintasi sungai Rubicon dengan membawa bala tentera.

Pada tahun 49 sebelum Masehi, Julius Ceaser telah melintasi sungai Rubicon dengan membawa satu ketumbukan bala tentera menuju ke arah kota Rom. Menyeberangi Sungai Rubicon memberi makna bahawa tidak ada lagi jalan pulang melainkan mengambil kota Rom. Tetapi 9 Julai kita lebih dari ini.

Kini biar saya bawa pula ke zaman sesudah Perang Dunia Pertama. Pada tahun-tahun 30-an kerajaan Perancis telah mendirikan tembok-tembok pertahanan di sempadan Perancis/Jerman. Tembok dan kubu-kubu pertahanan ini di panggil Garis Maginot - diambil daripada nama menteri pertahanan Perancis sebelum Perang Dunia Kedua. Garis ini cukup kukuh dengan kubu-kubu batu, tembok yang lengkap dipersenjatai dan pengkalan askar yang strategik diatur sepanjang Garis Maginot.

Apabila Perang Dunia Kedua pecah, Hitler mula menyerang Perancis. Kubu-kubu di Garis Maginot yang pada awalnya kelihatan kukuh dan mustahil untuk soldadu German menorobus masuk ke Perancis. Tetapi pada 10 Mei 1940, Garis Maginot ini ditembusi oleh soldadu Hitler. Pada 14 Jun 1940 Perancis jatuh ke tangan Nazi. Tetapi 9 Julai kita lebih dari ini.

Biar saya bawa pula para pembaca yang budiman ke tahun 711 di zaman kegemilangan tamadun Arab. Pada 29 April 711, Tariq ibni Ziyad, panglima perang dari Moroko telah berjaya menyeberang Laut Tengah dan memasuki Semenanjung Ibera. Sesampainya di pantai Selatan Laut Tengah, Tariq telah membakar semua kapal yang membawa bala tenteranya.

Tariq ibni Ziyad telah menerangkan pada bala tenteranya bahawa di hadapan mereka terbentang luas negara Sepanyol yang subur dan menjanjikan untuk diambil. Di belakang mereka ialah Moroko. Tetapi mereka tidak memiliki pilihan kerana semua kapal untuk pulang telah dibakar. Hanya satu pilihan - iaitu terus mara dan menawan Sepanyol. Tetapi 9 Julai lebih dari ini.

Sekarang mari kita sama-sama melihat kembali pensejarahan 9 Julai. Apabila BERSIH mengumumkan 9 Julai sebagai hari perhimpunan dengan lapan tuntutan, saya rasa tidak bagitu ramai yang ambil pot.

Lawak menjadi seram

Ada komen yang mengatakan kempen BERSIH 2007 dahulu lebih baik kerana masa berkempen agak panjang. Kali ini masanya singkat. Pasti tidak ada sokongan. Ada yang mengatakan bahawa Rosmah dan Najib ini amat popular dan susah untuk digelincirkan. Ada pula yang memberi komen bahawa tunjuk perasaan ini bukan budaya kita.

Semua hujah-hujah ini menjadi hampeh apabila Mat Sabu dipilih menjadi timbalan presiden PAS. Semua suasana politik berubah. Perubahan mendadak berlaku apabila Mat Sabu membuat kenyataan terbuka bahawa sebagai timbalan presiden PAS, dia akan memastikan 300,000 ahli parti PAS turun ke jalan raya pada 9 Julai. Kenyataan Mat Sabu ini terus menaikkan kemarahan Rosmah Mansor sebanyak tiga kilo.

Biar saya terangkan sejelas mungkin di sini. Semua daulah yang zalim, untuk meneruskan kuasa, akan menakut-nakutkan warganya. Ini adalah teknik dan strategi yang digunapakai oleh semua pemerintah. Raja, emperor, ratu, presiden atau perdana menteri, semua menggunakan 'takut' sebagai alat. Warganegara yang takut akan menjadi bodoh. Warga yang bodoh tidak berani bersuara. Warga yang takut dan bodoh amat senang untuk ditambat dan dijadikan kuli batak.

Apa yang telah dilakukan oleh Rosmah dan Najib ialah mengarahkan sepupunya Hishammuddin Hussein untuk menakut-nakutkan rakyat. Yang menjadi orang suruhan untuk menakut-nakutkan orang ramai ini ialah timbalan ketua polis. Lihat bagaimana pada satu ketika warna kuning untuk kasut, payung dan baju telah diisytihar sebagai warna haram untuk dipakai. Ini contoh terbaik gerak kerja orang suruhan.

Tidak cukup dengan tangkapan polis, rakyat juga cuba ditakut-takutkan dengan kehadiran para pesilat yang memiliki ilmu kebal dan ilmu ghaib. Untuk terus menakut-nakutkan orang ramai, tiba-tiba kita melihat kemunculan berita di mana polis dan tentera telah mengadakan latihan bersama. Tidak cukup dengan berita ini ada sepanduk yang tertera dengan tulisan besar dalam empat bahasa termasuk tulisan Jawi: Jika Tidak Berundur Kami Akan Tembak.

Taktik untuk menakutkan orang ramai ini dinaikkan lagi suhunya dengan kemunculan Perkasa dengan juruhebohnya Ibrahim Ali. Setiap hari tanpa henti-henti Ibrahim Ali telah berleter dan berheboh dengan segala macam berita yang bertujuan untuk mengancam dan menakut-nakutkan orang ramai dari turun ke jalan raya.

Dalam masa yang sama saban hari media milik United Malay National Organisation telah mengeluarkan dua bentuk berita. Satu berita-berita yang berniat untuk mengancam warga agar jangan berani turun ke jalan raya. Satu lagi berita untuk memburuk-burukan dan memperlekeh BERSIH.

Tidak cukup dengan semua ini , enam ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah ditahan. Kali ini dengan menggunakan Ordinan Darurat. Entah macam mana putar dan belit, Rosmah, Najib and sepupunya telah memintal lidah untuk menipu orang ramai. Sepupu Najib telah berkata bahawa enam anggota PSM ini ingin melawan Agong.

Ya ampun, lawak ini menjadi seram apabila kita diberitahu bahawa hanya Dr Jeya seorang sahaja yang tahu di mana rumah Agong dan pernah melihat muka Agong! Ini kerana Dr Jeya seorang ahli parlimen dan Agong telah beberapa kali datang ke parlimen. Yang lima lagi ini, saya difahamlan hanyalah aktivis PSM yang rata-rata tidak tahu sangat tentang jalan-jalan di Kuala Lumpur. Malah mereka berlima ini mungkin tidak dapat membezakan muka Agong. Jauh sekali nak melawan Agong.

Di belakang semua huha huha ini ada pula perang saraf yang disebarkan oleh 'desas bin desus'. Ada cerita tetang tangkapan ISA, tentang askar akan ambil alih negara dan kisah penangkapan beramai-ramai ala Operasi Lalang. Cerita penglipur lara dari Desas bin Desus ini sebenarnya adalah sebahagian dari pernah saraf yang tersusun untuk menakut-nakutkan orang ramai.

Rentasi Garis Maginot, bakar kapal perpaduan

Untuk saya bukan 6,000, bukan 60,000 atau bukan 600,000 warga yang turun ke jalan pada 9 Julai untuk dijadikan ukuran. Untuk saya angka ini bukan persoalan. Kalau pun hanya enam orang yang turun pada 9 Julai yang lalu, saya anggap ini adalah satu kemenangan. Kenapa saya berkata sedemikian?

Mungkin ramai yang tidak sedar. Mungkin ramai yang belum faham lagi. Apa yang terjadi pada 9 Julai dahulu ialah kita warganegara Malaysia telah melintasi 'Garis Takut'. Garis Takut ini adalah sebahagian dari garis psokologi yang telah dipasang apabila malapetaka 31 Ogos dihempapkan kepada kita semua.

Garis Takut adalah Garis Maginot, garis pertahanan untuk United Malay National Organisation untuk menyebarkan falsafah ketuanan Melayunya. Pada 9 Julai yang lalu Garis Takut ini telah sama-sama kita lintasi. Dari kajian awal BERSIH, hampir 120,000 warga telah turun dan terlibat di jalan raya pada 9 Julai yang lalu. Kesemua mereka telah melintasi Garis Takut.

Garis Takut ini juga telah memecahkan mitos Mei 13 dan pergaduhan kaum. Babak Mei 13 ini telah menghantui kita selama berpuluh tahun. Pada 9 Julai yang lalu hantu dan mitos 13 Mei hancur berderai-derai. Anak anak muda yang turun ke jalan raya pada 9 Julai yang lalu telah menangkap hantu 13 Mei ini dan memasukkan ke dalam botol untuk dibuang ke Laut Kalzom.

Pada 9 Julai yang lalu terbukti anak-anak muda - anak semua bangsa - tidak ambil pot langsung terhadap Pekasa, polis, tentera atau ISA. Inilah bukti sahih yang mereka telah melintasi Garis Takut. Anak-anak muda di jalan raya telah masuk ke satu dunia yang baru.

Melintasi Garis Takut ini bermakna kita semua - para penyokong Bersih - telah juga menyeberang menyeberang Sungai Rubicon. Seperti Julius Ceaser kita juga tidak ada pilihan melainkan mara mendobrak kezaliman dan ketidakadilan.

Pasti ada yang akan menyoal, kapal mana yang telah kita bakar pada 9 Julai yang lalu?

Senyum dan senyumlah. Kapal yang telah kita bakar pada 9 Julai ialah 'Kapal Kerajaan Perpaduan'. Seperti Tariq ibni Ziyad, pada 9 Julai dahulu segala mimpi, segala angan-angan untuk mengundur pulang ke Tangier telah musnah. Segala mimpi, segala angan-angan untuk PAS dan United Malay National Organisation menubuhkan kerajaan perpaduan telah terbakar di Lebuh Pudu, di Jalan Petaling dan di Menara Maybank.

Tembakan gas pemedih mata di terowong stesen bas KL Sentral adalah mancis api yang membakar kerajaan perpaduan. Apabila Hadi Awang ditangkap dan Mat Sabu dilanggar kereta polis ini adalah keruntuhan tiang layar kapal kerajaan Perpaduan.

Kita telah menyeberang Sungai Rubicon, kita telah melintasi Garis Maginot dan kita telah membakar kapal perpaduan. Kini kita sedang berada dalam dunia yang baru. Kita berada dalam wilayah yang memungkinkan kita menamatkan malapetaka yang menghempap kita semenjak 31 Ogos 1957 dahulu. Di belakang kita ialah takut, di hadapan kita ialah Putrajaya yang subur dan menjanjikan untuk diambil.


Hishamuddin Rais - Ruangan Kolum Malaysiakini
           Jul 27, 11 3:54pm

Tuesday, 26 July 2011

Demokrasi Malaysia Makin Pincang

Ahli parlimen merupakan wakil yang dipilih oleh rakyat untuk menyampaikan pandangan dan masalah mereka. Konsepnya wakil yang dipilih ini adalah pekerja untuk rakyat dan rakyat adalah tuannya.

Seharusnya wakil yang dipilh oleh rakyat ini memainkan peranan penting dalam membawa isu-isu dan masalah-masalah rakyat. Namun ada sesetengah wakil rakyat ini membalas pengharapan rakyat dengan mengkhianati amanah yang diberi.

Mereka membolot harta rakyat sesuka hati mereka demi kepentingan peribadi. Membina mahligai berjuta-juta ringgit di saat ramai rakyat di sekeliling rumah mereka menanti saat rebah ke bumi. Berbelanja kelengkapan peribadi ribuan ringgit di saat ada rakyat menjadi peminta sedekah yang mencari sesuap nasi untuk anak di rumah.

Kos kehidupan yang meningkat dan kenaikan harga barang lebih menghimpit golongan miskin ini. Kajian yang dilakukan mendapati pendapatan isirumah di bawah RM 2000 boleh dikatakan sebagai golongan miskin.

Dalam keghairahan mengejar status negara maju namun Malaysia masih mempunyai jurang pendapatan yang besar.

Ibarat pepatah Melayu menyebut 'menang sorak kampung tergadai'.

Lebih parah apabila budaya rasuah dan ketirisan wang telah menyebabkan negara rugi berbilion ringgit. Malah rasuah juga berlaku kesan daripada demokrasi yang cacat. Demokrasi Malaysia masih bersifat sempit dan belum matang sepenuhnya.

Menyentuh tentang isu enam orang termasuk seorang ahli parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar yang ditahan dibawah Seksyen 3(1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969.

Ordinan Darurat hampir sama dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri yang membenarkan polis menahan seseorang suspek sehingga 60 hari tanpa perbicaraan. Sebelum itu, beliau ditahan kerana didakwa melawan Yang di-Pertuan Agong dan mahu menghidupkan fahaman komunisme.

Saya berpandangan kalau benar beliau bersalah sepatutnya beliau dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan, Biarkan mahkamah yang menentukan bersalah atau tidak. Adalah tidak adil jika beliau ditahan berhari-hari tanpa belum dibuktikan bersalah lagi. Malah penahanan beliau membantutkan tugas beliau sebagai ahli parlimen.

Keruntuhan demokrasi juga turut menjalar ke Kolej Universiti Insaniah Kedah (KUIN) apabila pentadbiran KUIN telah bertindak menggunakan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) menggantung pengajian lima orang pelajarnya kerana didakwa mengadakan demontrasi berhubung bantahan pembukaan Sekolah Insan Bestari menggunakan bangunan tahfiz.

Di Mesir pula seorang mahasiswa Mohd Firdaus Madzlan telah dibuang daripada universiti adalah disebabkan beliau menganjurkan Bersih 2.0 di Mesir baru-baru ini. Tindakan ini adalah bertentangan dengan perlembagaan negara, iaitu hak setiap warganegara untuk bersuara dan berhimpun secara aman.

Oleh itu, saya mengharapkan supaya pemimpin negara lebih serius dalam menangani rasuah dan mengamalkan kehidupan yang lebih bersederhana.

Selain itu, berdasarkan prinsip keadilan dan hak asasi manusia saya juga berharap pihak yang bertanggungjawab terutamanya Kementerian Dalam Negeri dapat mempertimbangkan semula penahanan mereka selaras dengan status Malaysia sebagai anggota Majlis Hak Asasi Manusia PBB dan mengkaji semula mana-mana akta yang melanggar nilai demokrasi di Malaysia seperti AUKU, Ordinan Darurat dan ISA.

Mohd Syahid Mohd Zaini - Ruangan Surat Malaysiakini
Jul 22, 11
4:21pm 

Penulis adalah Pengerusi Gabungan Mahasiswa Bersatu Perak

Warkah buat saudaraku anggota polis

Assalamualaikum warahmatuAllahi wabarakatuhu,

Terlebih dahulu, pohon kemaafan jika warkah ini terbuka. Saya harap ia dapat dibaca oleh semua. Jika ada kebaikan, ambillah darinya. Jika tidak, campaklah ia ke tepi dan lupakan sahaja.

Ia hanya satu coretan dari seorang rakyat bawahan. Tanda cinta dan kasih kepada saudara yang saya lihat tercegat di segala penjuru negara atas tanggungjawab menjaga keamanan kita semua. Mata memandang, hati merintih dan berdoa agar tugasan saudara benar-benar diberikan pahala di sisi Tuhan dan diiktiraf di sisi rakyat.

Saudaraku anggota polis,

Kerja polis adalah satu kerja yang mulia kerana menjaga keamanan dalam negara. Penat lelah anggota polis dalam memastikan negara kita aman dan adil adalah pahala yang amat besar di sisi Allah jika pengamalnya jujur dan ikhlas.

Sepatutnya, tiada seorang pun rakyat yang cintakan keadilan dan keamanan akan membenci polis. Sebaliknya, perasaan fitrah; sayang dan menghargai akan tertanam dan mekar sebaik sahaja mendengar nama polis, melihat anggota atau apa sahaja perlambangan polis. Itulah perkara sewajarnya berlaku.
Cegah kemungkaran

Saudaraku anggota polis,

Tugas seorang anggota polis - sebelum tugasan kenegaraan- sebenarnya adalah tugasan yang diperintahkan oleh Allah dan RasulNya iaitu 'Menyuruh Kebaikan, Mencegah Kemungkaran'.
Itu moto asal pasukan polis. Sekalipun, tumpuan terbanyaknya kepada bahagian kedua iaitu 'Mencegah Kemungkaran'. Hakikatnya, polis berperanan menyelamatkan masyarakat dari kemurkaan Allah dengan dipastikan setiap penzalim akan dihalang, dicegah dan dihukum.
Jika itu tidak berlaku, masyarakat akan porak peranda dan menerima hukuman dari Allah. Allah berfirman: (maksudnya): “Telah dilaknat mereka yang kufur daripada Bani Israil melalui lidah Daud dan Isa bin Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. Mereka sentiasa tidak berlarang (sesama sendiri) perbuatan mungkar yang mereka kerjakan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan. (Surah al-Maidah, ayat 78-79).
Nabi s.a.w pula bersabda: “Sesungguhnya manusia apabila melihat orang zalim, namun tidak menghalang tangannya, hampir Allah akan meliputi mereka dengan hukumanNya” (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan al-Nasai dengan sanad yang sahih).

Kami sebagai rakyat mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak polis yang telah menyelamatkan masyarakat dari kemurkaan Allah, kezaliman dan kerosakan.

Bahaya kuasa

Saudaraku anggota polis,

Namun, dalam masa yang sama, bidang tugas dan kuasa saudara yang menghalang kezaliman itu jika disalahgunakan boleh memberikan kesan yang sebaliknya.
Ia boleh bertukar dari melindungi yang tidak bersalah kepada menginayainya, menghalang yang zalim kepada memberi peluang kepadanya, memberi hak kepada yang berhak kepada merampas hak dari tuannya.
Jika itu berlaku, rosaklah masyarakat, hilanglah neraca keadilan, bermegah si zalim, kesakitanlah yang ditindas. Lantas, kebencian akan merebak, kepercayaan akan hilang dan saudaraku polis yang sepatutnya disayangi menjadi pihak dimusuhi, dibenci dan diragui.

Saudaraku anggota polis,
Ingin saya sebut di sini suatu tazkirah yang harapnya boleh memberikan manfaat kepada semua, khususnya mereka yang berkuasa seperti saudara.
Saudaraku, kezaliman itu adalah suatu racun. Ia bukan sahaja menyakitkan yang dizalimi, tetapi suatu hari akan membawa sengsara, bahkan mengorbankan si zalim itu sendiri.
Pada hari kita memukul orang yang tidak bersalah, melukai atau menfitnahnya, kita mungkin rasa selamat di balik peruntukan kuasa yang ada. Mungkin juga rasa selamat di balik pakaian lengkap kita yang mungkin gagal mangsa mengenali pelakunya.
Namun Tuhan tidak lupa. Akan ada harinya yang menanti kita di hadapan. Tangan yang memukul orang lain dan kaki yang menendang mangsa itu tidak akan terpadam catatannya sehingga kemaafan diberikan.
Ketika saudara pulang ke rumah berjumpa keluarga, si mangsa mendongak ke langit mengadu kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa.
Doa orang dizalimi
Dengarlah baik-baik apa yang yang disabdakan Nabi SAW: "Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sesungguh antaranya dengan Allah tiada sebarang hijab (penghalang)" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam riwayat Ahmad, baginda bersabda: "Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang jahat. Kejahatannya itu bagi dirinya" (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani).
Dalam riwayat Ahmad yang lain: "Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang kafir kerana ia tidak ada hijab (penghalang untuk Allah menerimanya). (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani).

Saudaraku anggota polis,

Tiada siapa antara kita yang dapat menyelamatkan dirinya dari hukuman Tuhan. Seseorang mungkin telah melupai orang yang dizaliminya, atau si mangsa juga mungkin terlupa, atau pergi menemui Ilahi terlebih dahulu.
Namun doanya tetap hidup. Akan ada waktu, ia tetap datang bertandang dalam kehidupan si zalim; meragut kebahagiaannya, ketenteraman hidupnya dan mencampakkan derita dalam pelbagai warna dan rupa.
Mungkin si zalim ketika itu terpinga dan bertanya 'apakah salah saya?'. Dia terlupa bahawa Tuhan tidak lupa atas kezalimannya, di dunia dan akhirat sana.

Saudaraku anggota polis,

Dunia ini sementara. Setiap kita akan ada hari akhirnya. Akan berakhirlah sebuah kehidupan dan bermulalah mahkamah keadilan Tuhan.
Tunggu balasan
Tiada kuasa yang dapat membela, tiada pembesar yang dapat berkata. Semua tunduk menunggu balasan. Firman Allah (maksudnya): “Dan janganlah kamu menyangka bahawa Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Dia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang ketika itu terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar), mereka terburu-buru (menyahut panggilan) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata yang tidak berkelip, dan hati mereka yang kosong (kerana bingung dan cemas)”. (Surah Ibrahim 42-43).

Saudaraku anggota polis,

Sekali lagi pada hari itu si zalim akan bertemu dengan semua mereka yang telah dimangsakan, di hadapan mahkamah yang Maha Adil.
Tiada bukti yang dapat disembunyikan, diputarbelit dan ditipu kepada masyarakat manusia yang berkumpul ketika itu. Tiada media yang boleh diperguna dan tiada kuasa kerajaan yang boleh melindunginya.
Adil seadil-adilnya. Bak kata Nabi s.a.w: "Segala hak akan dibayar kepada empunya pada Hari Kiamat, sehinggakan akan dibalas untuk biri-biri yang bertanduk atas perbuatannya ke atas biri-biri yang tidak bertanduk" (Riwayat Muslim).
Sabda baginda juga: "Sesiapa yang ada padanya kezaliman terhadap saudaranya (muslim yang lain); seperti terhadap maruah dan selainnya, mintalah halal pada hari ini sebelum tiba waktu yang tiada dinar dan dirham (tiada harta iaitu pada Hari Kiamat).
Arahan atasan
Sekiranya baginya kebaikan (amalan soleh) maka akan diambil darinya dengan kadar kezalimannya. Jika tiada baginya kebaikan, maka akan diambil dosa orang yang dizalimi lalu ditanggung ke atasnya" (Riwayat al-Bukhari).

Saudaraku anggota polis,

Saya tahu, kadang-kala ada keadaan yang sukar sebagai anggota polis yang terpaksa melaksanakan arahan 'atasan'. Maka, mungkin ada yang berkata 'kami hanya menjalankan tugas'.
Sudilah saudara mendengar nasihat tokoh Islam yang agung al-Imam Hasan al-Basri r.a. kepada Gabenor Iraq dan Khurasan iaitu 'Umar bin Hubairah. Ketika itu zaman pemerintahan Khalifah Yazid bin Abdul Malik.
Kata 'Umar bin Hubairah: “Sesungguhnya khalifah Yazid bin Abdul Malik kadang-kala menyuruhku melaksanakan perkara yang aku rasa tidak puas hati dari segi keadilan. Apakah jika aku melaksanakannya menjadi sutu kesalahan di sisi agama?
Kata Hasan al-Basri: “Wahai Umar bin Hubairah! Takutlah Allah mengenai Yazid, jangan engkau takutkan Yazid mengenai Allah. Ketahuilah sesungguhnya Allah azza wajalla dapat menghalang Yazid daripada bertindak ke atasmu, tetapi Yazid tidak dapat menghalang Allah daripada bertindak ke atasmu.
Wahai 'Umar bin Hubairah! Sesungguhnya akan turun kepadamu malaikat yang bengis dan keras, dia tidak akan menderhakai apa yang Allah perintahkannya. Dia akan mengambil engkau dari tempat dudukmu ini, dan memindahkan engkau dari istanamu yang luas, ke kubur yang sempit.
Tanggungjawab kepada Allah
Di sana tiada Yazid, hanya yang ada amalanmu yang menyanggahi Tuhan Yazid. Wahai 'Umar bin Hubairah! Sekiranya engkau bersama Allah dan ketaatan kepadaNya, ia boleh menghalangmu dari kejahatan Yazid di dunia dan akhirat.
Jika engkau bersama Yazid dengan menderhakai Allah, sesungguhnya Allah akan menyerahkanmu kepada Yazid. Ketahuilah wahai 'Umar bin bin Hubairah! Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam menderhakai Pencipta”. Maka menangislah Gabenor 'Umar bin Hubairah”. (rujukan: Mir at al-Jinan wa 'Ibrah al-Yaqzan)

Saudaraku anggota polis,

Kita boleh bertugas kepada sesiapa pun, tetapi jangan lupa tanggungjawab kita di hadapan Allah. Tiada cacatnya menjadi anggota polis. Saudara bukan musuh rakyat. Sebaliknya, saudara diperlukan rakyat.
Apa yang cacat dan menimbulkan kebencian awam adalah tindakan kita sendiri jika menyalahi prinsip-prinsip keadilan dan keamanan. Jika itu tidak berlaku, sayang dan cinta rakyat tertumpah kepada saudara.

Ingatlah kata-kata Abu Bakar al-Siddiq: “Benar adalah amanah, bohong adalah khianat”. Jika saudara benar, rakyat sayang, Allah juga sayang. Kedamaian jiwa pun menjelang. Jika saudara bohong rakyat benci, Allah juga benci. Rezeki tidak halal, hidup tidak bahagia.

Saudaraku anggota polis,

Inilah pandangan seorang rakyat marhaen awam seperti saya. Tiada kebencian antara rakyat dan saudara jika keadilan itu tertegak.
Rakyat awam bukan sahaja mahukan keadilan yang ditafsirkan oleh pihak saudara, tetapi keadilan yang dapat difahami oleh semua. Bukan sahaja adil dari segi bicaranya, tetapi hendaklah kelihatannya juga adil.
Semoga Allah merahmati saudara dan tugas saudara. Diberikan rezeki yang halal. Bebas dari kezaliman dan rasuah. Kami akan bersama menyanjungi saudara! Selamat bertugas!



  Dr Mohd Asri Zainul Abidin - Malaysiakini
            Jul 26, 11
            3:57pm

Monday, 25 July 2011

Bersih & Nakba orang Melayu

Maka pada pagi yang mulia ini hamba pun pergilah mengambil bulu ayam dan dakwat untuk mencatatkan surah ini agar anak cucu-cicit kita nanti tidak akan tertanya-tanya; agar cucu-cicit dan piut kita tahu apa yang telah berlaku pada hari Sabtu 9 Julai 2011 di kurun masehi ke-21 ini.

Biarlah hamba menjadi tok perawi yang sahih, membawa kisah dari mulut ke mulut agar menjadi ajaran dan pedoman kepada cucu-cicit kita yang akan datang. Yang busuk kita tanamkan hendaknya dan yang bersih kita kisahkanlah hendaknya. Amin.

Wahai anak cucu-cicit sekalian, kisahnya bermula dari sini:

Di negeri Arab Palestin berlaku Nakba pada 15 Mei 1948 apabila kaum Zionis dari Eropah datang dan menghalau Arab Palestin dari tanah air mereka. Meleleh air mata orang Palestin melihat tanah-tanah mereka dirampas dan diduduki oleh kaum Zionis.

Kesedihan orang Palestin itu kita rasakan sama kerana kita pula di Tanah Melayu ini telah juga mendapat Nakba atau malapetaka pada 31 Ogos 1957 apabila penjajah British meninggalkan tanah air kita ini kepada gerombolan United Malays National Organisation dan suku-sakatnya.

Inilah malapetaka kita. Inilah Nakba orang Melayu. Inilah malapetaka dan Nakba yang telah menimpa anak semua bangsa di Malaysia ini.

Semenjak malapetaka ini sampai, hampir setengah kurun yang lampau, orang Melayu telah dibodoh-bodohkan. Orang Melayu telah digula-gulakan. Orang Melayu telah ditakut-takutkan. Ya ampun, inilah malapetaka. Inilah Nakba.

Adalah hendak dijadikan cerita, hamba hanyalah tok perawi yang membawa kisah dari mulut tuan yang empunya ceritera. Dapatlah hamba diberitahu bahawa telah ramailah rakyat seluruh negeri ingin berhimpun kepalang peri.

Telah terdengar kisah yang amat ngeri tentang orang ditipu ketika mengundi. Diketahui umum seluruh negeri duit dipakai untuk membeli undi. Maka marahlah rakyat seluruh negeri kerana selama ini mereka ditipu dalam pilihan raya setiap kali.

Maka nujum dan pawang pun dipanggil datang untuk menetapkan tarikh dan ketika. Memilih saat memilih masa ketika bulan tidak mengambang.

Ketika matahari condong ke batang. Ketika panas mula menghilang. Hari-hari terus dihitung dan dibilang. Hari yang baik dan bulan yang baik diikat dengan saat dan ketika.

Saat itulah saat gembira. Saat yang hendaknya rakyat seluruh negara akan turun beramai-ramai ke jalan raya agar kita semua dapat bercempera. Hari yang bersih disalut oleh hati yang bersih.

Bila berita pecah terbuka. Maka menyingalah Najib mukanya marah mukanya berpuaka. Najib pun lantanglah menjerit bersuara. Ke hulu ke hilir membawa berita.

Najib mengarahkan adinda sepupu agar tangkas bersiap sedia kerana rakyat telah berani bangun bergegak gempita.

Maka dirancangkah satu rancangan. Maka disusunlah satu susunan. Maka dikumpulkanlah soldadu upahan. Lalu dipanggil para pemikir. Maka gerombolan pun bekerja dan berpakat seperti biasalah. Menggunakan cara lama yang telah biasa.

Pemikir dan soldadu mendapat upah, mendapat imbuhan. Sepakatlah mereka bersatu pendapat. Rakyat yang telah mula berani bangun wajib ditakut-takutkan. Rakyat yang mula sedar ini perlu dibodoh-bodohkan.

Mengikut orang dalam yang empunya berita semua saluran media telah diberitahu tentang akan munculnya satu berita yang paling baru. Mengikut tuan yang empunya ceritera dikatakan pada suatu malam yang gelap gelita ada seorang mamat masuk ke pusat kota. Datang membawa bom dan segala bentuk senjata.

Adalah mengikut surah ini si mamat ini bangang lagilah bodoh bukan kepalang. Datang membawa senjata memakai topeng, mukanya pula disapu arang. Memakai baju dan seluar yang compang lagi camping hinggakan nampak perut terbarai dan buntut tersadai.

Si mamat ini disurahkan hendak menyimpan semua senjata ini ditempat yang sulit. Bukan di celah kangkang atau di dalam parit tetapi ditepi busut, di sebalah kedai Kentucky tak jauh dari tempat mat pet berjual beli.

Seantero negara seluruh negeri diberitahu bahaya datang kepalang peri. Senjata menunggu masa dan ketika untuk meletup sendiri. Parang dan bom ini menunggu isyarat untuk terbang melayang-layang memenggal leher ibu dan abang.

Tidak cukup dengan kisah bom dan parang di tepi Sogo, datang pula kesah seorang mamat sudah tertangkap. Bukan di rumah dan bukan di kebun.

Bukan di Kerinchi, bukan di Pandan tetapi di Keramat yang jauh tidak jauh dari jalan. Tempat terletak di sebelah kuil Cina. Mengikut kisahnya, si mamat ini sedang berusaha menanam parang, bom dan senjata.

Wahai adik abang dan kakak, biar hamba kisahkan lagi. Inilah cara, inilah gaya, inilah teknik, inilah strategi untuk menakut-nakutkan rakyat seluruh negeri agar jangan berani turun ke jalan raya.

Adalah bom, adalah parang dipasang sendiri oleh soldadu upahan. Adalah jelas adalah nyata tidak ada sesiapa turun ke jalan raya bersih membawa senjata.

Inilah tipu, inilah helah. Inilah rupa kerja manusia yang di waktu siangnya dia menipu, di waktu malamnya dia menjarah. Biarlah di sini hamba memanjangkan surah. Wahai abang- abang dan kakak-kakak, sila lihat, sila perhatikan gambar parang dan gambar molotov.

Aduhai bodohlah SB yang makan upah. Aduhai SB yang membeli parang. Ushalah sikit. Jangan beli parang dari kedai yang sama. Nampak sangat malas bekerja. Serumpun macam baru dibeli borong dari Kedai Aked Mara di Kuala Kangsar.

Tidak cukup dengan ini, tipu helah gerombolan terbongkarlah sudah. Hendak menipu pun kita wajib pandai di sekolah. Tanyalah lebai Google dari rumah orang sebelah. Nak tahu tentang molotov cocktail, carilah surah.

Bangang terserlah mengarahkan SB membuat molotov memakai botol plastik yang salah. Kenapalah bangang wahai menteri Hishamudin. Molotov cocktail perlu botol kaca. Botol plastik tempat menyimpan kencing sehingga haring.

Aduhai segala hamba Allah, berita yang dirancang oleh gerombolan semua menjadi berita salah. Kenapalah tidak difikir dan tidak ikut usrah. Kenapa penutup botol plastik semuanya warna merah jambu macam kain tudung sang puteri.

Apakah otak, apakah yang salah. Adalah SB bangang atau tak cukup kena tarbiah. Hamba yang menjadi tok perawi kini jadi serba salah. Nak menangis pun ada, nak tersenyum pun salah.

Tidak cukup dengan ini, seantero negeri pun mula diberitahu tentang Jepun akan datang menyerang. Macam Belanda sampai di Melaka. Kereta perisai dibawa keluar. Helikopter berlegar liar. Jalan di kawal siang dan malam. Bas di tahan kereta diperiksa.

Kad pengenalan wajib ada. Beg di buka kereta digeledah macam anjing mencari dadah. Inilah sahaja satu kaedah untuk menakut-nakut rakyat yang sudah bijak bermadah.

Maka akan tercatitlah dalam sejarah tentang tentera yang akan dibawa keluar. Telah didengar khabar berita bagaimana ada jeneral, ada yang mula berkata, tugas tentera bukan untuk gerombolan. Bukan untuk membunuh rakyat, orang kampung, sanak saudara, sahabat dan taulan.

Mengikut tuan yang empunya ceritera, apabila Najib diberitahu duduk perkara. Dia pun gelabah tak tentu hala. Kejap nak jumpa Bersih, kejap berjanji memberi Stadium Negara. Najib berdolak. Najib berdalik. Perangai tak ubah semacam kera yang tercabut ekor di Tasek Bera.

Hambo sebagai tok perawi tidak mahu berlagak sombong. Hamba hanya berniat nak menyambung cerita. Ibu bapa, adik dan kakak jangan senyum, tapi ketawalah terbahak-bahak. Hamba nak royak kisah kumpulan Perkasa yang bukan main ribut melahak-lahak.

Bingar bising macam halilintar membelah busut. Beribu anggota akan dijemput. Untuk membuat onar dan bikin kelam kabut. Rakyat terdengar rakyat lalu rakyat pun menyahut.

Semua mula berkata: "Kami tak takut."

Auta Perkasa sudah terserlah. Maka geng silat pula masuk mencelah. Ini lagi lawak hinggakan kita ketawa mata terbeliak. Jangan menuduh hamba ini tok perawai yang berat sebelah. Tapi inilah hakikat cerita yang telah menjadi sejarah kita.

Perkasa lesap hilang entah ke mana muntah kedarah. Geng silat ramai yang datang tetapi sudah tersalah. Perhimpunan Bersih di Kuala Lumpur tetapi geng silat semua berkumpul di Kuala Pilah. Mereka berzikir, berkelintau memukau, akhirnya ghaib hilang ke negeri entah berentah.

Maka tinggal Pemuda Patriot Berbaju Merah. Hamba diberitahu mereka semua datang kerana makan upah. Apabila tak ramai yang datang berkumpul maka menantu ayah menjadi gelabah. Lalu Mat Bangladesh diberi upah pakai baju merah.

Tak cukup dengan Mat Bangladesh, si Patriot menghina diri lagi. Demonstrasi belum lagi selesai, mereka semua sudah masuk ke dalam kedai Kentuki.

Kepada cucu-cicit yang akan datang zaman berzaman, marilah kita belajar dari alkisah ini. Hendaknya kisah ini akan turun temurunlah. Hendaknya disurahkanlah dari mulut ke mulut, dari laman ke laman, dari blog ke blog, dari Twitter ke Twitter.

Di akhirnya, ini hamba sebagai tok pewaris ingin mengundur diri. Hamba di sini merakam sejarah untuk anak segala bangsa. Nakba dan malapetka tidak akan kita tangisi. Rakyat sudah berani bangun untuk melawan.

Dengarlah wahai yang zalim dan wahai yang jahat; kita saentero negara tidak akan lagi takut. Datanglah taufan, datanglah Perkasa, datanglah silat, datanglah Patriot.

Semua ini hanya kentut-kentut hangat. Setelah malapetaka busuk ini, pergi Bersih akan menyusun lagi. Kalau lapan tuntutan tidak apa-apa, Bersih akan turun ke jalan sekali lagi.

Hishamuddin Rais - Ruangan Kolum Malaysiakini
           Julai 19,2011

Sunday, 24 July 2011

Salam Malaysiaku

Satu situasi yang saya ingin kongsikan dan kita fikirkan bersama. Telah menjadi lumrah dalam kehidupan kita jika seseorang penjenayah yang benar-benar telah melakukan jenayah seperti membunuh, merompak atau mengedar dadah akan berasa takut untuk berhadapan dengan polis walaupun berselisihan dengan secara tidak sengaja.

Malahan dengan sedaya upaya untuk mengelak dan melarikan diri dari polis kerana takut akan ditangkap, dipenjarakan dan dihukum. Lebih-lebih lagi memang terdapat bukti yang kukuh. Subjeknya penjenayah takut dengan polis.

Sekarang pula kerajaan BN amat takut dengan perhimpunan BERSIH 2.0 yang telah berlangsung baru-baru ini. Tujuan dan motif perhimpunan ini diadakan adalah untuk menuntut piliharaya di Malaysia dijalankan secara bersih.

Sebelum perhimpunan dilansungkan, pelbagai propaganda telah dilemparkan oleh pemimpin-pemimpin tertinggi BN. Antaranya isu perkauman yang merendahkan martabat orang melayu dengan menyatakan bahawa orang melayu sahaja yang suka berdemo.

Hakikatnya semua kaum Malaysiaku yang menyertai perhimpunan tersebut. Semua jalan masuk ke pusat bandaraya Kuala Lumpur pula ditutup. Seolah-olah telah berlaku darurat secara tidak perasan. Hasilnya perhimpunan tersebut tetap disambut hangat oleh warga kota.

Namun apa yang dilaporkan oleh akhbar harian Malaysia amat jauh berbeza pada realiti sebenar. Keganasan peserta perhimpunan tersebut akan menyebabkan kecederaan, kerosakan hartabenda awam dan merugikan para peniaga.

Kenyataannya ialah pihak polis yang telah bertindak ganas sehingga menyebabkan kematian kepada peserta perhimpunan BERSIH tersebut. Dalam berita media perdana telah menemuramah beberapa peniaga yang telah mengalami kerugian hasil dari perhimpunan tersebut.

Tetapi yang telah ditemuramah adalah pendatang asing. Adakah terdapat peniaga yang berwarganegara Malaysiaku di sekitar tempat kejadian (kedai pakaian dan jamu Jalan Tunku Abdul Rahman) tempoh hari?

Persoalannya mengapa kerajaan BN mesti takut jika memang pilihanraya di Malaysia dijalankan dengan telus dan bersih? Jika benar bersih, kenapa kerajaan BN bertindak sedemikian?

Sekurang-kurangnya membenarkan peserta bebas berhimpun di Dataran Merdeka ataupun di Stadium Merdeka. Itupun andai benar-benar bersih. Andai tidak bersalah seperti cerita penjenayah diatas, mengapa takut sehingga bertindak sedemikian rupa dalam mendukung demokrasi? Subjek kali ini ialah kerajaan BN takut kepada perhimpunan BERSIH.

Perdana Menteri telah berkata bahawa tidak perlu berdemostransi atau mengadakan perhimpunan sedemikian untuk menyampaikan permintaan atau suara rakyat. Dalam era teknologi maklumat, rakyat seharusnya mengunakan kemudahan internet untuk menyampaikan rasa tidak puas hati atau permintaan.

Ini telah dipetik dari kata-kata beliau di media perdana serta akhbar harian tempatan pada sehari selepas perhimpunan BERSIH dilansungkan. Maka sebuah laman facebook yang bertajuk “100,000 People Request Najib Tun Razak Resignation” telah dilaksanakan pada masa yang sama.

Dalam tempoh hanya 48 jam, laman tersebut telah mencapai lebih 100,000 sokongan dalam usaha hanya untuk mendapatkan 100,000 sokongan sahaja. Secara tidak lansung, rakyat telah menyahut cabaran beliau dan saya percaya beliau juga telah maklum dengan hasil yang diperolehi daripada laman facebook tersebut.

Tetapi apa reaksi dan tindakan beliau sekarang?

Sedangkan rakyat telah menyahut cara seperti yang beliau sarankan. Beliau tidak ambil peduli lansung dan telah pergi melawat ke luar negara. Agenda rakyat telah diketepikan tanpa perasaan.

Jadi dengan cara apa lagi untuk rakyat dapat menyampaikan rasa dan suara tidak puas hati setelah perhimpunan BERSIH dan melalui internet tidak diambil peduli? Adakah kerajaan BN sangat takut sekiranya apabila tumbang di pilihanraya akan datang, segala penyelewengan yang para menteri telah lakukan akan terbongkar?

Seperti yang pernah berlaku kepada kerajaan BN Selangor sebelum ini? Berani kerana benar, takut kerana salah. Nyatakan apa pendirian Perdana Menteri setelah rakyat bersuara melalui perhimpunan BERSIH yang dikatakan haram dan laman facebook “100,000 People Request Najib Tun Razak Resignation” yang dikatakan halal oleh beliau sendiri.

Jangan tipu, tipu-tipu rakyat lagi!

Terumbu Karang - Malaysiakini
Jul 22, 11
4:27pm

Saturday, 16 July 2011

Antara Pendatang Dan Menumpang

Pada mulanya saya agak keberatan nak ulas kekecohan yang berpunca ekoran daripada kenyataan ketua UMNO bahagian Bukit Bendera, Pulau Pinang bernama Ahmad bin Ismail. Sama ada benar atau tidak apa yang didakwa dikatakan olehnya mengenai rakyat Malaysia keturunan Cina bukan persoalannya kerana isu tersebut sudahpun merebak dan mengapi-apikan keadaan.

Jika tidak ditangani dengan cermat, teliti dan bijak, isu itu boleh ditangguk dalam air yang keruh oleh anasir-anasir yang ingin melihat negara ini hancur serta mengundang campur tangan kuasa asing.

Dalam zaman dunia tanpa sempadan dan liputan meluas dan segera oleh media elektronik antarabangsa, apa yang berlaku di sesebuah negara itu tidak dapat disembunyi atau dinafikan.

Isu pokok yang dibangkitkan oleh Ahmad Ismail membabitkan persoalan "menumpang" iaitu rakyat Malaysia keturunan Cina adalah penumpang di negara ini. Beliau menjelaskan bahawa ia merujuk kepada zaman pra-Merdeka. Bagaimanapun, sensitiviti rakyat Malaysia keturunan Cina telah terguris.

Saya tidak mengenali secara peribadi Ahmad Ismail, tetapi kenal agak rapat dengan Allahyarham abangnya, Abdul Rahim Ismail, pemilik Syarikat Pembinaan Rahim yang pada satu ketika dahulu agak terkenal sebagai sebuah firma pembinaan Bumiputera yang unggul di Pulau Pinang. Saya tidak tahu apa dah jadi dengan syarikat itu selepas Abdul Rahim meninggal dunia.

Secara peribadi, saya tidak setuju dengan apa yang didakwa dikata oleh Ahmad Ismail atas beberapa sebab.

Bagi saya, hampir 90 peratus rakyat Malaysia, khususnya di Semenanjung, adalah pendatang dan kita semua sebenarnya menumpang hidup di bumi Allah. Kita bukan pemilik kekal tetapi hanya menumpang.

Sebagai contoh, saya sendiri adalah keturunan pendatang yang menumpang hidup di bumi bertuah ini. Datuk nenek di sebelah bapa saya berhijrah dari Makkah dan dari Brunei ke sini manakala di sebelah ibu pula dari Hadhramut, Yaman. Kami adalah pendatang dan penumpang sama seperti hampir semua penduduk negara ini khususnya di Pulau Pinang.

Bagi Ahmad Ismail, dia juga datang dari keluarga pendatang dan menumpang hidup di negara ini. Ahmad Ismail tidak boleh menafikan hakikat bahawa datuk neneknya adalah pendatang dari India untuk menerokai penghidupan yang lebih baik dan selesa di bumi bertuah ini.

Perdana Menteri Abdullah bin Ahmad juga tergolong dalam kategori yang sama. Datuknya di sebelah ibu adalah pendatang dari wilayah Guandong, China. Pendek kata, datuk Pak Lah iaitu bapa Allahyarhamah Kailan bernama Hassan Salleh atau Hah Su Chiang adalah seorang pendatang. Beliau berhijrah ke Tanah Melayu dari wilayah Guandong (Kwantung) pada pertengahan abad ke-19 dan menetap di Bayan Lepas sebagai pekebun getah, pesawah padi dan kemudian saudagar intan berlian.

Najib Tun Razak, Timbalan PM juga berasal daripada keluarga pendatang iaitu dari Sulawesi, Indonesia atau lebih senang disebut orang Bugis manakala sepupunya Hishamudin Hussein tidak terlepas daripada darah keturunan Turki.

Datuk nenek mantan PM Tun Dr Mahathir Mohamad juga pendatang dari Kerala, India manakala ibu Almarhum Tunku Abul Rahman berasal dari negeri Siam (Thailand).

Kesultanan Melayu Melaka pun dibuka oleh orang pendatang dari Sumatra bernama Parameswara, seorang anak raja atau bangsawan beragama Hindu.

Dalam sejarah kesultanan Melayu, kita dapati ada yang ditubuh oleh pendatang dari Bugis dan ada pula dari Hadhramut selain dari Minangkabau.

Hampir semua orang Melayu di sini berasal dari luar Tanah Melayu tetapi diiktiraf sebagai "bangsa Melayu" oleh Perlembagaan Persekutuan. Kita adalah "Melayu mengikut takrifan Perlembagaan" iaitu beragama Islam, mengamalkan adat resam Melayu dan bertutur dalam bahasa Melayu. Malangnya, bahasa Melayu nampaknya dimatikan oleh orang Melayu (UMNO) sendiri apabila dinamakan sebagai bahasa Malaysia.

Oleh itu, orang Arab seperti Syed Hamid Albar dan saya, orang Aceh seperti Sanusi Junid, orang India seperti Kader Sheikh Fadzir dan Nor Mohamed Yakcop, orang Bugis seperti Najib, orang Minang seperti Rais Yatim, orang Jawa seperti Mohamad Rahmat dan yang lain seperti dari Madura, Pulau Boyan, Siam, Burma, Yunnan (China) dan selatan Filipina dengan mudah boleh diiktirf sebagai "Melayu".

Mereka diterima sebagai orang Melayu tidak kira sama ada mereka bertutur bahasa Melayu atau tidak di rumah umpamanya si Arab berbahasa Arab, si Jawa berbahasa Jawa dan si Minang berbahasa Minang atupun si Mamak berbahasa Tamil.

Bahasa-bahasa yang disebut itu bukan bahasa Melayu dan jika dilihat dari sudut Perlembagaan Persekutuan, tidak boleh diterima atau diiktiraf sebagai bangsa Melayu. Walau bagaimanapun, atas kepentingan dan faktor politik, semuanya diterima sebagai Melayu dan Bumiputera.

Oleh itu, adalah tidak adil untuk menuding jari kepada orang Cina yang juga kaum pendatang sama seperti orang Arab, India, Aceh, Minang, Batak, Mandailing, Jawa, Madura mahupun Bugis, sebagai menumpang di negeri ini. Kita tidak boleh menafikan bahawa sebilangan besar datuk nenek orang Cina telah berhijrah ke negeri ini semasa Kesultanan Melayu Melaka, bahkan kesultanan-kesultan an terdahulu di Kedah mahupun Terengganu dan Kelantan serta semasa Francis Light berjaya menipu Sultan Kedah untuk menduduki Pulau Pinang pada 1786.

Kita adalah kaum pendatang yang menumpang hidup di negeri ini. Golongan yang boleh diiktiraf sebagai orang asal atau anak bumi tulen adalah mereka yang kita kenali sebagai Negrito, Jakun, Semang, Jahut, Orang Laut, Orang Darat, Senoi dan suku kaum masyarakat Asli lain yang masih menjadi penghuni belantara.

Kita tidak harus lupa akan sumbangan dan pengorbanan semua kaum dan suku kaum untuk membangunkan Malaysia sama ada dari sudut ekonomi, kemasyarakatan, keselamatan dan yang paling penting kesepakatan dan perpaduan. Semua orang yang kena dan seharusnya membayar cukai, berbuat demikian tanpa mengira kaum atau asal keturunan, sama ada pendatang atau penumpang.


Kita semua adalah rakyat Malaysia.

Oleh Buaya-Merah  Anak Keningau
http://www.buaya-merah.com/
September 9 2008

Negara kebajikan melalui sosialisme

Tiba-tiba negara kebajikan menjadi isu perbincangan. Ini adalah hasil dari keputusan muktamar PAS tahun 2011 baru-baru ini. Hasil dari muktamar ini, umum diberitahu bahawa PAS akan menjadikan negara kebajikan sebagai akidah perjuangan.

Bila sahaja PAS mengajukan negara kebajikan kepada umum, dengan serta merta United Malays National Organisation bangun mengaku bahawa dasar ini telah mereka jalankan. Justeru, mengikut United Malays National Organisation PAS hanya menjadi "pak turut".
Saya rasa memang ada warga kurang faham tentang apa sebenarnya negara kebajikan. Saya yakin, ramai yang kabur dan kurang faham dan mungkin menjadi sasau apabila United Malays National Organisation mengakui bahawa mereka telah menjalankan dasar negara kebajikan.

Jika dasar yang sedang dilakukan oleh United Malays National Organisation ini sebagai agenda negara kebajikan, ini bermakna warga Palestin di Gaza juga hidup dalam negara kebajikan.

Hampeh. Pengakuan United Malay National Organisation ini betul-betul mengelirukan ramai warga. Pengakuan United Malay National Organisation ini sama seperti George Bush mengakui bahawa dia menyerang Iraq untuk membawa demokrasi dan keamanan. Justeru, ciri pertama negara kebajikan ialah apa sahaja dasar yang sedang dilakukan oleh United Malays National Organisation bukan negara kebajikan.

Sudahnya kita semua menyedari 'cakap tipu' United Malays National Organisation ini. Biar saya sambung penerangan tentang negara kebajikan. Sesebuah daulah wujud berasaskan ekonomi. Dalam dunia wujudiah kita pada hari ini hanya ada dua bentuk sistem ekonomi - ekonomi kapitalis dan ekonomi sosialis. Ini adalah dua sistem ekonomi induk. Yang lain-lain hanyalah pecahan dari sistem ekonomi ini.

Saki baki budaya feudal
Ekonomi kapitalis berpaksikan keuntungan maksima. Keuntunganlah yang mengemudikan arah dan dasar negara yang mengamalkan sistem ekonomi kapitalis. Manakala sistem ekonomi sosialis berpaksikan kepada kebajikan ramai. Justeru negara atau daulah yang mengamalkan sistem ekonomi sosialis akan menjadikan kebajikan ramai sebagai pedoman.

Tanah Melayu pada satu ketika dahulu adalah negara bersistemkan ekonomi feudal. Sistem ekonomi ini muncul sebelum ekonomi kapitalis. Raja menjadi kepala yang mewakili seluruh kehidupan. Raja berkuasa memungut cukai. Raja berhak memiliki tanah. Maka lahirlah budaya Melayu yang menjadi lambang sistem ekonomi feudal ini. Justeru kita melihat orang Melayu tunduk kepada raja walaupun raja itu hampeh. Hingga ke hari ini saki-baki budaya yang dilahirkan oleh sistem ekonomi feudal itu masih wujud sebagai bukti.

Di negara-negara tandus berpadang pasir seperti Arab Saudi telah muncul satu budaya dan tamadun yang berpaksikan ekonomi padang pasir. Di Kutub Utara yang sejuk bersalju telah melahirkan budaya dan tamadun negara bangsa warga Eskimo. Amat jelas bahawa sistem ekonomilah yang melahirkan tamadun negara bangsa.
Saya tidak perlu bersuluh untuk memahami bahawa dari sistem ekonomilah munculnya budaya, moral, nilai, tata susila dan tamadun. Semua budaya bangsa dalam dunia ini wujud hasil dari sistem ekonomi. Tamadun negara bangsa adalah cermin dari sistem ekonomi yang sedia dipakai.

Mari saya bawa kembali untuk memahami dua sistem ekonomi - kapitalis dan sosialis. Untuk saya amat jelas dua bentuk sistem ekonomi ini memiliki perbezaan yang hakiki. Malah dua sistem ekonomi ini bertentangan antara satu sama lain. Keuntungan maksima tidak boleh wujud jika kebajikan ramai ingin diberi. Dalam masa yang sama kebajikan ramai tidak mungkin wujud jika keuntungan maksima ingin di capai.

Ini adalah hakikat bertentangan antara dua sistem ekonomi ini. Memang betul kita sering cuba dikelentong dengan kata-kata 'sama-sama menang' atau win-win situation. Dalam sistem ekonomi tidak wujud sama-sama menang. Jika loji Lynas di Gebeng akan dibuka, yang untung membuat kekayaan ialah syarikat Australia. Yang akan rugi warga Gebeng dan Kuantan. Mustahil syarikat loji untung dan warga di Gebeng juga untung. Tidak pernah lagi dalam sejarah ekonomi sosialis atau kapitalis akan wujud situasi sama-sama untung.

Dalam bahasa orang kampung - tidak mungkin tauke untung dan kuli juga untung. Saya tahu ada juga yang berani berkata sedemikian. Untuk saya ini adalah kata-kata dari orang gila yang tidak faham asas ekonomi. Kita selalu mendengar atau membaca kata-kata win-win situation. Kata-kata ini datangnya dari mulut politikus United Malays National Organisation yang kerjanya hanya menipu orang ramai.

Kepentingan ekonomi

Dalam sisem ekonomi kapitalis, pelaburan dibuat untuk membawa untung. Justeru balak ditebang untuk menguntungkan tauke balak. Mustahil penebangan balak ini akan menguntungkan kera dan siamang dalam hutan, jauh sekali orang Penan. Tanah sawit dibuka dikatakan untuk membawa peluang pekerjaan. Ini kata-kata dari seorang munafik yang menyorokkan niat asalnya untuk mencari keuntungan dari tenaga buruh pekerja ladang sawit ini.

Saya amat berharap para pembaca yang budiman faham bahawa politik itu adalah ekonomi. Perebutan kuasa politik itu ialah perebutan kuasa ekonomi. Kerana itu kempen politik adalah kempen tentang dasar ekonomi. Jika para pembaca telah memahami sudut ini maka dengan senang sekali para pembaca akan memahami apa dia politik terkini dalam negara kita.

Biar saya jelaskan bahawa para penyokong sistem ekonomi kapitalis tidak henti-henti merancang untuk merebut kuasa politik agar mereka dapat membolot semua punca ekonomi. Rasa saya ini fakta yang jelas dapat kita lihat dalam budaya politik United Malays National Organisation. Justeru kaum kapitalis ini akan menyokong United Malays National Organisation kerana parti ini menyebelahi kepentingan mereka.

Bagitu juga pendokong yang mengajukan sistem ekonomi sosialis. Mereka juga akan menyusun penyokong. Kalau dalam sistem ekonomi kapitalis, pihak yang menyokong ialah kaum pemodal dan pelabur. Dalam sistem ekonomi sosialis yang menyokong ialah kaum buruh, kaum tani dan warga miskin yang hidup tanpa harta kekayaan.

Justeru, sekali lagi saya tunjukan wujudnya pertembungan antara dua sistem ekonomi. Lalu pertanyaan muncul, di mana hendak kita letakkan negara kebajikan yang telah diajukan oleh parti PAS?

Biar saya terangkan dengan sejelas mungkin tentang negara kebajikan ini. Negara kebajikan bukan satu sistem ekonomi. Jangan sesekali silap untuk mentakrifkan bahawa negara kebajikan ini satu sistem ekonomi. Bukan.

Naratif dalam al-Quran

Negara kebajikan ini muncul dari satu sistem ekonomi. Negara kebajikan dilahirkan dari sistem ekonomi sosialis. Hanya sistem sosialis sahaja yang memiliki kudrat dan iradat untuk membawa kemunculan negara kebajikan. Lalu timbul persoalan bahawa PAS ini bukan parti sosialis. Pas mengakui diri sebagai parti Islam. PAS sebuah parti Islam adalah kenyatan yang betul dan tepat.

Wajib kita sedari bahawa Islam itu adalah agama kepercayaan dan bukan sistem ekonomi. Dalam kitab suci al-Quran yang dimunculkan adalah ayat-ayat yang membawa naratif-naratif contoh yang menggambarkan negara kebajikan. Justeru terpulanglah kepada si penganut untuk menggunakan akal dan fikrah untuk melakar dan mencipta satu sistem ekonomi yang melahirkan negara kebajikan.

Di tahap tamadun manusia hari ini, negara kebajikan hanya dapat diwujudkan melalui struktur sistem ekonomi sosialis. Lalu timbul satu lagi persoalan, bukankah sosialis ini tidak beragama dan tidak bertuhan?

Saya rasa masa dan ketikanya telah sampai untuk kita semua berani membebaskan diri dari diperangkap oleh propaganda 'perang dingin' yang mengatakan bahawa penyokong sistem ekonomi sosialis ini tidak bertuhan. Ini sebenarnya lahir dari kejayaan propaganda licik ketika pertempuran hebat antara dua ideologi sistem ekonomi. Ideologi sistem kapitalis yang dikepali oleh Amerika Syarikat dengan sistem sosialis yang dipimpin oleh Rusia. Pertempuran ini berjalan hebat bermula sesudah Perang Dunia Kedua hingga runtuhnya Tembok Berlin pada tahun 1989.

Adalah betul dan tepat apabila kita mengatakan bahawa sistem ekonomi kapitalis atau sosialis tidak memiliki agama dan tidak memiliki tuhan. Sistem ekonomi ini samalah seperti enjin kereta yang wujud. Tugas enjin hanya untuk bergerak dari kampung ini ke kampung itu. Tidak mungkin enjin kereta ini beragama dan bertuhan.

Biar saya terangkan lagi sejelas mungkin tentang beza agama dengan sistem ekonomi. Ini agar kita semua akan memiliki pandangan yang cerah dan terbuka. Biar saya tunjukkan bagaimana Syed Mukhatar seorang penganut agama Islam yang selalu bersedekah; tetapi dia juga seorang kapitalis besar. Harta kekayaan Syed Mukhtar datangnya dari tenaga kaum buruh.

Seorang lagi kapitalis besar ialah Bill Gates. Bill Gates tuan empunya Microsoft adalah seorang atheis. Apa yang ingin saya paparkan, bukan agama dan kepercayaan yang penting tetapi akidah. Bill gates dan Syed Mukhtar memiliki akidah yang sama sebagai kaum kapitalis. Kaum kapitalis mencari untung. Akidah mereka ialah keuntungan maksima.

Hishamuddin Rais - Ruangan Kolum Malaysiakini
5 Julai 2011



Thursday, 14 July 2011

Nirvana History


Bengkel Selari HRMIS

Terlupa kata laluan BIOS

SAYA terlupa kata laluan untuk sistem Basic Input Output System (BIOS) sebuah komputer. Bagaimanakah caranya untuk setkan semula kata laluan tersebut?
* N Day, Bukit Lada

TERIMA kasih. Sekiranya kata laluan tersebut disediakan oleh pihak pengilang yang menghasilkan BIOS tersebut, maka sila semaknya dengan pihak pengilang.
Ini bagi memastikan sama ada pihak pengilang ada menyediakan satu kata laluan yang piawai secara lalai kepada BIOS tersebut.

Sebagai contoh, bagi BIOS yang dikeluarkan oleh pihak Award atau Award BIOS ada menyediakan kata laluan seperti AWARD SW, AWARD_SW, Award SW, AWARD PW, _award, awkward, J64, j256, j262, j332, j322, 01322222, 589589, 589721, 595595, 598598, HLT, SER, SKY_FOX, aLLy, aLLY, Condo, CONCAT, TTPTHA, aPAf, HLT, KDD, ZBAAACA, ZAAADA dan ZJAAADC.

Anda boleh lakukan ini dengan mengenal pasti terlebih dahulu pihak pengeluar BIOS yang digunakan.Dengan ini, cuba lakukan pencarian di Internet dengan menggunakan enjin carian atau terus menghubungi pihak pengeluar BIOS tersebut.

Sekiranya kata laluan tersebut disetkan oleh seseorang dan terlupa apakah kata laluan tersebut, maka, ia boleh disetkan semula dengan setkan semula sistem BIOS atau reflashed dengan cara menggunakan perisian atau perkakasan.Bagi kaedah setkan semula sistem BIOS menggunakan perisian, kita perlu mencapai komputer tersebut yang sedang dilarikan atau log in.

Sekiranya tidak berupaya mencapai komputer yang sedang dilarikan, kaedah setkan semula sistem BIOS menggunakan perkakasan boleh digunakan.Kaedah setkan semula sistem BIOS dengan menggunakan perisian boleh dilakukan dengan melayari laman web pihak pengeluar.Seterusnya, muat turun program untuk setkan semula sistem BIOS yang disediakan oleh pihak pengeluar.

Gunakan program tersebut untuk setkan semula sistem BIOS komputer anda.Selain program komputer yang disediakan oleh pihak pengeluar, boleh juga menggunakan program-program yang dihasilkan oleh pihak ketiga.Bagaimana pun, perlu dipastikan ia sesuai dengan jenis sistem BIOS yang digunakan. Sebagai contoh, boleh menggunakan program MS DEBUG. Namun begitu, perlu tahu cara menggunakannya.

Bagi kaedah setkan semula sistem BIOS menggunakan perkakasan, ia perlu dilihat suisnya yang dikenali sebagai jumper yang berada pada papan utama. Jumper ini perlu disetkan semula untuk setkan semula sistem BIOS.
Caranya adalah seperti berikut:

1. Sila lihat manual pengguna bagi senibina papan utama atau motherboard komputer tersebut. Kenal pasti lokasi jumper bagi BIOS yang berada pada papan utama. Biasanya jumper ini mempunyai 3 pin dan jumper tersebut akan temukan dua daripada tiga pin tersebut. Konfigurasi ini boleh dilihat dalam manual pengguna papan utama tersebut.

2. Pastikan komputer tersebut sudah dimatikan. Seterusnya, cabut jumper tersebut daripada pin-pin tersebut.

3. Masukkan kembali jumper tersebut pada pin yang berlawanan dengan konfigurasi asal. Sebagai contoh, sekiranya pada asal jumper tersebut diletakan pada pin 1 dan pin 2. Jadi, kita letakan kembali jumper tersebut pada pin 2 dan pin 3. sila rujuk buku manual papan utama anda.

4. Sila tunggu dalam beberapa saat.

5. Seterusnya kembalikan semula konfigurasi jumper tersebut ke lokasi pin yang asal.

6. Akhirnya, buka komputer seperti biasa.
Antara cara lain yang boleh digunakan untuk setkan semula sistem BIOS adalah dengan mencabut bateri CMOS yang ada pada papan utama. Sebelum itu, pastikan anda telah tutup komputer. Setelah mencabutnya, boleh hidupkan semula komputer anda. Dengan ini, kata laluan bagi sistem BIOS anda akan tiada. 

Ruangan Megabit Utusan Malaysia - 4 Julai 2011

Dokumentasi Artikel

Mulai hari ini, laman blog ini akan cuba mendokumentasi sebanyak mungkin artikel-artikel dari Surat Khabar Online,Web Site dan laman-laman blog yang lain untuk simpanan dan rujukan di masa hadapan.

Diharap semua bloger-bloger di luar sana dapat menyokong inisiatif ini untuk warisan di masa hadapan.

Adios......

Saturday, 2 July 2011

Model Terbaru Dari Lenovo

 

LENOVO baru-baru ini melancarkan sembilan laptop dan komputer meja bagi organisasi besar dan perniagaan kecil dan sederhana yang menawarkan produktiviti lebih tinggi bagi usahawan profesional.
Model ThinkPad Edge E220s, ThinkPad Edge E420s, ThinkPad T420, ThinkPad X220, ThinkPad X120, ThinkCentre M70z, ThinkCentre M91, ThinkStation C20 dan ThinkStation E30 boleh didapati di pasaran bermula bulan April.
Think PC yang dibina atas platform inovasi terkini Lenovo yang bertindakbalas terhadap keperluan utama perniagaan termasuk panggilan suara dan video, ciri PC pintar bagi kuasa, hayat bateri sepanjang hari, pengurusan enterpris dan pengalaman mudah menggunakan komputer.
Pengurus Besar Negara, Lenovo Malaysia, Khoo Hung Chuan berkata, dengan pemprosesan terkini Intel dan perisian Enchanced Experience 2.0, Lenovo terus menambah nilai kepada Think PC.
"Think PC akan menyediakan peningkatan bagi kepada pelanggan seperti hayat bateri, persidangan video dan komunikasi," katanya.
PC berkenaan menampilkan Lenovo Enhanced Experience 2.0 bagi Windows 7, generasi kedua Windows 7 eksklusif yang hanya ada pada produk Lenovo terpilih. 
Generasi ke dua Windows 7 meningkatkan prestasi PC dengan ciri-ciri menarik dan prestasi mula (start-up) dan menutup (shut-down) yang lebih pantas bagi pelanggan pengguna dan perniagaan Lenovo.
Jenama PC Think dengan Enhanced Experience 2.0 menawarkan persidangan sesawang dan ciri keselamatan terbaik termasuk pembaca cap jari yang boleh digunakan bagi menghidupkan PC, pemacu keras enkripsi sendiri pilihan, set kunci port BIOS dan Pengurus Kata Kunci Perkakasan bagi meningkatkan ciri-ciri keselamatan antara PC.
Pengguna boleh mengenalpasti Lenovo Enhanced Experience 2.0 menerusi pelekat sijil khas yang dilekatkan pada model berkenaan.

PC dengan Enhanced Experience 2.0 terlipih memaparkan teknologi RapidBoot yang menggunakan teknologi yang dioptimumkan bagi memberikan masa start-up dan shut-down lebih pantas.
Manakala dengan teknologi RapidBoot, PC Lenovo start-up 20 saat lebih cepat berbanding PC Windows 7 biasa serta menawarkan 28 peratus lebih cepat bagi shut-down. 
Lenovo Enhanced Experience 2.0 PC dengan teknologi terpilih RapidDrive SSD lebih pantas menggunakan Solid State Drive berbanding dengan pemacu biasa.
Teknologi RapidDrive menawarkan prestasi dua kali lebih cepat berbanding Windows 7.
ThinkPad Edge E220s dan E420s dengan skrin 12.5 inci dan 14 inci bakal menggamit pandangan usahawan kecil dan sederhana.
Saiz yang nipis dan ringan, ThinkPad E220s hanya setebal 1 inci dengan berat kurang 1.6 kilogram (kg) bagi memudahkan pergerakan manakala ThinkPad E420s hanya satu inci dan kurang 1.8 kg.
Kedua-duanya boleh didapati dengan pilihan generasi kedua pemprosesan Intel Core i3, i5 dan i7 selain pengalaman audio Dolby Home Theatre.
Lebih istimewa ia juga dilengkapi dengan port HDMI bagi membolehkan pengguna melihat pembentangan atau berehat sambil menonton televisyen pada monitor.
ThinkPad T420 pula menggunakan pemprosesan generasi kedua Intel Core dan Core vPro bagi memudahkan pengurusan IT lebih baik.
Apa yang lebih menarik, hayat bateri bagi T420 adalah sehingga 15 jam menggunakan 9 sel bateri.
Bagaimanapun dengan bateri tambahan 9 sel lagi, hayat bateri boleh dipanjang sehingga 30 jam.
Sebagai komputer riba Siri T pertama yang menggunakan teknologi grafik NVIDIA Optimus boleh ubah secara automatik, model ini masih membekalkan sehingga 33 peratus prestasi bateri lebih baik.

ThinkPad X220 pula memberikan ahli perniagaan yang sentiasa bergerak dengan prestasi penuh yang biasa didapati pada komputer riba yang bersaiz besar.
Beroperasi menggunakan pemprosesan Intel Core i7 membolehkan X220 beroperasi 75 peratus lebih laju berbanding pesaing selain mempunyai hayat bateri sehingga 24 jam.
Tambahan pula X220 mempunyai papan kekunci kalis habuk dan tumpahan air dan 50 peratus peningkatan ujian jatuhan.
ThinkPad X120 pula yang ultra ringan direka khusus bagi pengguna yang inginkan kesederhanaan.
Dilengkapi dengan AMD Fusion E-Series APU memberikan pengguna prestasi grafik 65 peratus lebih pantas bagi pencarian laman sesawang, memuat muka surat dan menjalankan operasi bisnes.
Pada masa yang sama, X120 juga memberikan pengguna sehingga 30 peratus lebihan hayat bateri dan menepati spesifikasi Energy Star 5.0 dan membawa kadar EPEAT Gold bagi alam sekitar.
Mempunyai berat kurang 1.4 kg, X120 dilengkapi dengan kemudahan WiFi, pilihan Bluetooth dan jalur lebar mudah alih.
ThinkCentre M91 hadir dalam bentuk menara, ia direka bagi kelajuan dan prestasi hasil pelbagai teknologi baru termasuk pemprosesan Intel Core i3 dengan grafik Intel HD bersepadu.
Bagi pengguna yang bergantung kepada pelbagai skrin bagi data atau grafik, model terpilih boleh menyokong sehingga empat paparan bebas menggunakan kad grafik berasingan.
Selain itu ia juga dilengkapi dengan teknologi Lenovo ThinkVantage seperti Rescue and Recovery, System Update dan Power Manager bagi membantu pengguna.
ThinkCentre M70z boleh dikatakan cantik dan pintar mengumpulkan semua prestasi dalam komputer meja kepada paparan 19 inci.
Ia dilengkapi dengan pilihan pemprosesan Intel Core i5 dan i3 terkini sehingga 8GB memori DDR3 dan pemacu DVD nipis.
ThinkStation C20 pula direka khusus bagi memacu pasaran kewangan dengan saiz kecil tapi berkompromi dengan prestasi.
Ia didatangkan dengan pilihan pemprosesan Siri Intel Xeon 5600 sehingga dua NVIDIA kelas grafik.

ThinkStation E30 merupakan peningkatan daripada model sebelumnya E20 yang digelar Pilihan Editor oleh PC Magazine bagi stesen kerja pada tahun 2010.
Mendapat pengiktirafan daripada vendor perisian bebas dalam kejuruteraan, kandungan digital dan pasaran kewangan termasuk AutoCad, SolidEdge, Adobe dan SolidWorks selain sokongan Red Hat Linux. 

Petikan Dari Utusan Malaysia

Linkin Park - In The End