Search Everything

Tuesday, 21 February 2012

Tahun Naga dengan semangat kekuatan

Dr Wan Azizah Wan Ismail 9:33PM Jan 23, 2012 - Ruangan Surat Malaysiakini
http://www.malaysiakini.com/letters/187380

Di kesempatan ini saya mengambil sedikit ruang untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina - Gong Xi Fa Cai kepada seluruh bangsa Tiong Hua di Malaysia. Juga kepada rakyat Malaysia yang sama-sama menghormati sambutan tahun baru ini.

Mengikut kalendar kepercayaan kaum Cina, tahun ini adalah tahun Naga. Tahun yang akan dipenuhi dengan semangat kekuatan, kesihatan serta membawa nasib yang baik.

Kita rasa beruntung dengan keharmonian di antara kaum yang telah dipupuk sekian lama. Inilah semangat perpaduan dan hormat menghormati yang perlu kita semua pertahankan.

Walaupun ada pihak yang terus menyebarkan fitnah dan mengadu domba di antara kaum, namun PKR tetap yakin bahawa rakyat kini sudah matang dan bersedia untuk tinggal secara harmoni tanpa membezakan kepercayaan dan budaya itu satu penghalang kepada keadilan serta hak.

Isu-isu penyelewengan dan salah guna kuasa sudah tidak dapat disembunyikan lagi.

Pendedahan terus dibongkar agar rakyat dapat memahami bagaimana pentadbiran negara yang diuruskan itu menyebabkan merudumnya ekonomi negara. Malah rakyat dikaburi dengan berita yang kononnya negara berada di landasan yang selamat.

Hakikatnya, lihatlah sahaja harga barang-barang keperluan yang tidak terkawal. Kebebasan rakyat juga disekat. Pandangan rakyat tidak diambil peduli. Generasi kini terus ditekan demi mempertahankan golongan elit yang tamakkan kuasa.

Oleh itu, adalah menjadi kewajipan kita semua sebagai rakyat yang cintakan kedamaian dan keadilan untuk terus konsisten dalam agenda membersihkan Malaysia dari gejala-gejala yang mencemarkan negara.

PKR menyeru kepada semua golongan, tidak kira di kampung atau pun kota, anak muda dan juga mahasiswa, profesional dan kakitangan awam, inilah masanya untuk kita sepakat membina kebangkitan bangsa berteraskan maruah, keadilan, penghormatan dan persaudaraan.

Dr M didakwa lupa hubungan 'akrab' dengan Amerika

3:53PM Jan 31, 2012 - Malaysiakini

PKR menyelar Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwa memutarbelitkan kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu Israel-Palestin tetapi melupakan "hubungan akrabnya" dengan Amerika Syarikat suatu ketika dahulu.

Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad (bawah) berkata, Dr Mahathir mungkin kelihatan lantang menentang Zionis dan Barat tetapi dia didakwa mempunyai hubungan baik dengan mereka hingga menandatangani perjanjian ketenteraan dengan Amerika sebelum ini.

"Nampaknya Dr Mahathir terus menyimpan dendam lamanya terhadap Anwar. Beliau dan pimpinan Umno nampaknya tidak dapat berhenti menghamburi fitnah semata-mata untuk mengalihkan dari satu demi satu skandal yang membelenggu mereka," katanya.

Nik Nazmi merujuk kepada Bilateral Training and Consultation Agreement (BITAC) yang membolehkan Amerika Syarikat menjalankan latihan ketenteraan di Malaysia pada tahun 1984.

Dr Mahathir semalam berkata, beliau kecewa dengan kenyataan Anwar yang didakwa mempunyai hubungan rapat dengan Yahudi, malah berkawan dengan anggota kongres Amerika Syarikat yang berbangsa Yahudi.

Dalam kenyataannya hari ini, Nik Nazmi berkata, Dr Mahathir juga membayar pelobi Zionis Jack Abramoff untuk mengatur pertemuannya dengan presiden Amerika Syarikat ketika itu George W Bush.

"Selepas itu, Bush menganggap Malaysia sebagai sekutu di dalam perang melawan keganasan.

"Dan Malaysia menggunakan alasan tersebut untuk menangkap sesiapa sahaja yang dikehendaki termasuk anggota pembangkang yang dituduh sebagai pengganas di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri," katanya.

Menyentuh kenyataan Anwar kepada akhbar antarabangsa Wall Street Journal, Nik Nazmi mempertahankan kenyataannya bosnya itu selari dengan penyelesaian dua negara yang diterima dunia Arab, Malaysia malah pejuang Palestin Hamas sendiri.

Ciri-ciri Orang Munafik

Ciri-ciri Orang Munafik Hadith :

Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:

“Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya maka ia adalah seorang munafik tulen. Sesiapa yang melakukan satu daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafik, hingga dia meninggalkannya . (Empat sifat itu ialah) apabila dipercayai ia khianat, apabila bercakap ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir dan apabila bertengkar ia mengenepikan kebenaran. (Menegakkan benang basah ) “.
Riwayat Ahmad Huraian

Pengajaran Hadith:
i) Amanah bermaksud tanggungjawab yang diterima oleh seseorang yang kepadanya diberikan kepercayaan bahawa ia dapat melaksanakannya sebagaimana yang dituntut tanpa mengabaikannya.

Ii) Amanah meliputi berbagai-bagai aspek seperti amanah tehadap Allah dan Rasul-Nya, amanah terhadap diri sendiri dan amanah terhadap masyarakat dan perkhidmatan.

Iii) Monopoli kuasa dan tanggungjawab yang luas di tangan seseorang akan menyebabkan kuasa itu tidak berkesan dan tanggungjawab tidak dapat dijalankan. Oleh itu sesuatu tugas itu hendaklah diamanahkan kepada mereka yang layak dan mampu melaksanakannya di mana ia memiliki ciri-ciri amanah, kepakaran dan ketakwaan.

iv) Tidak amanah adalah satu tanda munafik. Akibatnya seseorang itu tidak lagi dipercayai oleh masyarakat disebabkan sifat khianat yang telah dilakukannya terhadap sesuatu tanggungjawab yang diberikan kepadanya

Politik benci

Rizal Abd Rahman
4:35PM Jan 31, 2012 - Ruangan Surat Malaysiakini
http://www.malaysiakini.com/letters/187914

Kebelakangan ini ramai orang begitu taksub dengan politik masing-masing sehingga berulang kali merendahkan kemampuan intelektual dan memilih hanya mempercayai hal yang ingin mereka percaya.

Oleh kerana taksub dan mempunyai sifat benci yang tinggi pada lawan, puak dari pelbagai kubu politik seringkali menerima apa saja yang disaji tanpa memeriksa kebenaran informasi yang diterima.

Kebebasan berfikir dan memilih dengan baik adalah anugerah sebagai rakyat yang bebas. Hari ini perkara tersebut menjadi lebih sulit. Kedua kubu kerajaan dan pembangkang, demi kepentingan politik masing-masing sering memberi fakta-fakta putar belit yang mengelirukan dan lebih buruk lagi fokus utama kubu mereka adalah berkata buruk pada pihak lawan.

Tak lama dahulu kempen-kempen politik adalah demi meyakinkan pemilih tentang perkara yang boleh dilakukan oleh calon yang bertanding. Agenda bangsa, negara selalu menjadi fokus kempen. Pada ketika itu, pemilih memilih orang yang benar-benar boleh mewakili mereka dan suara-suara mereka.

Hari ini mereka yang terpilih bergantung kepada kepandaian calon mencaci cerca lawan. Kemenangan tidak tergantung kepada kualiti calon terpilih tetapi bergantung kepada keburukkan pihak lawan.

Kini rakyat Malaysia yang boleh mengundi terbahagi kepada tiga golongan. Satu dan dua adalah mereka yang begitu anti kerajaan dan anti pembangkang. Ketiga adalah golongan yang malas mengambil tahu.

Golongan ketiga ini terbagi pula kepada dua. Satu mereka yang malas mengambil tahu kerana kurang berminat, tetapi yang lebih ramai adalah mereka yang malas mengambil tahu kerana muak dengan permainan politik yang nampak berat.

Ini satu fenomena yang menyedihkan. Rakyat dan pemilih yang baik adalah mereka yang seharusnya memilih kerana menyokong, bukan membenci. Budaya menyokong calon yang ingin dipilih akan menghasilkan keputusan yang lebih baik.

Pemilih sebegini akan meletakkan 'kayu ukur' sebelum memilih pemimpin mereka. Ciri-ciri seperti calon yang lebih bijak, mampu mewakili pemilih dengan lebih baik, tidak angkuh atau sombong boleh dijadikan antara kriteria.

Sebagai contoh, pemilih yang menyokong kerajaan tidak seharusnya hanya memilih calon dari parti kerajaan. Jika 'kayu ukur' mereka lebih cenderung kepada calon pihak lawan, demi hasil pilihanraya yang lebih baik, adalah tidak salah untuk memilih mereka. Ini kuasa memilih sebagai rakyat yang bebas dan bijak.

Hal yang sama berlaku pada mereka yang menyokong pembangkang. Sudah tentu kita akan senang hati jika parti pilihan menang tetapi sebelum memilih, kenalilah terlebih dahulu kedua-dua calon. Jika calon yang lain adalah calon yang lebih baik, adakah salah untuk kita memilih sesuatu yang lebih baik? Be gentleman and let the best man win.

Apabila kita tanamkan sifat benci dan anti sudah tentu kita tidak akan dapat menggunakan kuasa memilih dengan baik. Oleh kerana kita benci dan anti kepada pihak lawan, kita tidak mempunyai banyak pilihan  kerana keinginan benci membuak ingin pihak lawan tersebut kalah walaupun belum tentu calon yang kita pilih adalah calon yang lebih baik.

Kebencian mengaburi keputusan yang dibuat dan keputusan dibuat atas kebencian dan pertimbangan yang tidak baik beerti suatu keputusan bodoh. Tak salah singkatan bahasa Melayu 'membabi buta' untuk memilih binatang tersebut mewakili cara bodoh seseorang yang terburu-buru.

Politik benci perlu dijauhkan dari corak politik Malaysia. Politik benci mungkin berhasil untuk membuat pemilih membenci pihak lawan dan akhirnya tidak ada pilihan dan memilih kita tetapi cara ini tidak akan membawa Malaysia menjadi negara yang lebih baik.

Politik benci akan melalaikan perjuangan, melambatkan pertumbuhan, menjadi risiko kepada rusuhan seterusnya memusnahkan semua yang telah tercapai. Mungkin secara pribadi ia menguntungkan, hakikatnya secara keseluruhan ia mampu merosakkan Malaysia.

Tidak salah untuk berpolitik secara lebih sihat. Rakyat Malaysia dan pemilih hari ini sudah tentu mereka yang lebih bijak mengetahui apa yang lebih baik buat mereka.

Jangan terlalu takut kekalahan atau terlalu taksub ingin berkuasa, Malaysia sudah berada di landasan yang baik dan pemimpin yang ideal adalah mereka yang menolak kepentingan diri sendiri dan sama-sama lebih bertanggungjawab membawa Malaysia ke hadapan dengan baik.

Penulis adalah aktivis mahasiswa di Jakarta dan pelajar perubatan tahun akhir

Layakkah Najib tanding sebagai MP Pekan?

Pemuda Prihatin : 11:07AM Feb 5, 2012 - Ruangan Surat Malaysiakini
http://www.malaysiakini.com/letters/188328

Benarkah populariti Datuk Seri Najib Abdul Razak kini lebih baik berbanding populariti Datuk Seri Anwar ibrahim pada masa ini?

Maksud "popular" di sini boleh jadi positif atau negatif.

Seseorang yang didakwa terlibat dengan kes pembunuhan berprofil tinggi boleh juga menjadi begitu popular di kalangan rakyat yang tertipu di sebalik topeng seorang ahli politik yang berjaya menduduki kerusi nombor satu di sesebuah
negara itu.

Dan sebaliknya seorang pejuang rakyat yang sebenar boleh juga menjadi begitu popular apabila didakwa difitnah dan diaibkan sedemikian rupa kepada sekalian rakyat jelata apabila dituduh seorang peliwat atau kaki seks pelacur.

Jadi interpretasi "popular" boleh membawa makna yang positif atau negatif.  Namun ‘positif juga boleh dimanipulasikan menjadi negatif’, begitulah sebaliknya, ‘negatif juga boleh dimanipulasikan menjadi positif’.

Rakyat kini ternanti-nanti debat di antara Anwar dengan Najib.  Di zaman serba canggih dan telus ini di mana kredibiliti dan kebijaksanaan seseorang pemimpin itu dinilai daripada cara dia berfikir dan menyampaikan buah fikirannya, maka debat merupakan suatu cara paling tepat bagaimana kita boleh menilai cara pemikiran dua orang pemimpin itu tentang sesuatu dasar yang ingin mereka terajui di dalam sistem pentadbiran negara.

Dengan berdebat, rakyat dapat menilai secara adil dan saksama tahap pemikiran dua orang pemimpin besar sesebuah negara itu mengenai pandangan kedua-duanya tentang cara mentadbir sesebuah negara, serta menjawab pelbagai isu-isu berkaitan tuduhan yang saling dilemparkan di antara kedua-dua belah pihak.

Jangan cuma jadi pengecut apabila media massa milik Umno/BN diperlembukan untuk menyerang Pakatan Rakyat tanpa pihak Pakatan mampu menggunakan saluran yang sama untuk menepis serangan jahat serta fitnah yang dilemparkan itu?

Seorang pengecut dikatakan bukan “anak jantan sejati”, atau dengan sindiran yang lebih pedas seorang lelaki yang pengecut. telur". Tentulah Datin Seri Rosmah Mansor tidak mahu suaminya digelar sedemikian rupa.

Maka untuk membuktikan kejantanan Najib yang sebenarnya, maka beliau perlulah menyahut cabaran Anwar untuk turun berdebat untuk disaksikan oleh seantero rakyat 1Malaysia di kaca-kaca TV milik parti Najib sendiri juga!

Sekiranya Najib tetap tidak mahu berdebat juga, maka sudah pastilah rakyat akan melihat ada yang tidak kena tentang dirinya (“something is wrong somewhere”).

Mungkin kerana beliau memang tidak layak untuk jadi PM yang baik atas dakwaan pelbagai skandal salah laku orang-orang di bawah pimpinannya yang terlibat dengan pelbagai kes rasuah, pecah amanah serta salahguna kuasa.

Contoh terdekat, kes seorang menteri di bawah pentadbiran Najib yang terlibat dengan skandal perniagaan keluarganya iaitu NFC dengan pembiayaan RM250 juta yang masih belum dapat ditangani oleh Najib secara telus dan berkesan.

Program yang selalu dicanang-canangkan Najib kepada rakyat iaitu “transformasi” kini telah bertukar kepada “trans-for-money”.  Betapa banyak projek-projek di negara ini dijalankan hanya kerana tujuan utamanya adalah untuk kekayaan kroni-kroni Umno/BN semata-mata.

Slogan “Rakyat Kena Dulu, Kroni Diutamakan” begitu relevan sekali untuk mengungkapkan persepsi rakyat terhadap apa yang sebenarnya terjadi.

Sekiranya Najib tetap tidak mahu berdebat dengan Anwar juga, maka apa lagi yang tidak kena tentang dirinya?

Slogan 1Malaysia yang diwar-warkan oleh Najib juga sudah tidak boleh dipakai lagi memandangkan masih wujud agenda-agenda perkauman di dalam Umno, ditambah pula kaitan pertubuhan PERKASA dengan Umno sebagai golongan ultra Melayu yang seringkali menghamburkan api perkauman, sehingga baru-baru ini wujud provokasi daripada pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang meletakkan kepada babi di depan masjid di dua tempat berasingan di Lembah Klang, iaitu dua buah kawasan yang diterajui oleh wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat.

Najib tidak boleh ‘menebus dosanya’ hanya dengan menziarahi perarakan kavadi di Batu Caves semasa hari Thaipusam akan datang sahaja semata-mata kononnya untuk mengambil hati orang berketurunan India atau penganut-penganut agama Hindu.

Kepada Najib, silalah bertanya kepada para mufti terlebih dahulu samada perbuatannya itu adalah betul atau boleh menjejaskan aqidah Islamnya kerana bersama-sama menyambut suatu perayaan berunsur agama tersebut?

Rakyat kini sudah muak dengan permainan kotor politik Umno/BN yang mengambil pendekatan fitnah seks kepada Anwar yang mana akhirnya masyarakat Malaysia terutama muda-mudi kini banyak yang musnah akhlak mereka terutama terlibat dengan gejala seks rambang, seks luar tabii, pembuangan bayi, dan bermacam-macam lagi kerosakan moral yang terbit daripada pelbagai gejala seks haram kelolaan Umno/BN.

Dan sekiranya Najib tetap tidak mahu berdebat dengan Anwar juga, maka apa lagi yang tidak kena tentang dirinya?

Tambahan pula daerah Pekan yang terletak berhampiran Kuantan bukanlah suatu tempat yang selamat untuk didiami rakyat lagi apabila kilang nadir bumi milik Lynas bakal didirikan di sana tidak lama lagi!

Najib sewajibnya mestilah membersihkan dirinya terlebih dahulu terhadap pelbagai isu dan skandal sebelum layak menjadi calon bertanding kerusi parlimen Pekan pada PRU-13 nanti.  Najib sepatutnya mencerminkan dirinya dan bermuhasabah terlebih dahulu benarkah dirinya seorang calon yang "bersih"?

Untuk menjawab pelbagai persoalan-persoalan di atas, maka sebagai seorang anak jantan yang tulen, Najib perlulah berhadapan dengan rakyat dengan berdebat dengan Anwar sepertimana yang selalu dilaksanakan di negara-negara maju khususnya sebelum pilihan raya umum bagi menentukan pemimpin utama mana yang selayak-layaknya diterima oleh rakyat.

Biarlah rakyat sendiri yang menentukan pemimpin pilihan mereka melalui suatu medium yang adil dan saksama.

Terima kasih kerajaan negeri Selangor

Pengundi DUN Kota Anggerik - 7:59PM Feb 5, 2012 : Ruangan Surat Malaysiakini
http://www.malaysiakini.com/letters/188378

Mengikut laporan akhbar mangsa-mangsa kezaliman peristiwa pengambilan Kampung Berembang telah diberikan rumah oleh kerajaan negeri Selangor pimpinanPakatan Rakyat.

Saya sebagai warga Selangor mengucap seribu tahniah kepada Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor serta Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai MenteriBesar Selangor.

Walaupun ada sesetengah pihak yang mengaku memperjuangkan hak dan kebajikan orang Melayu, namun hakikatnya kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan Tan Sri Khalid tidak hanya bercakap tetapi membuktikannya.

Penduduk-pendudik Kampung Berembang yang majoritinya Melayu telah dihalau dan dihambat dari rumah tangga mereka secara zalim.

Yang menzalimi penduduk Kampung Berembang juga adalah mereka yang mengaku membela dan memperjuangkan bangsa Melayu.

Penduduk-penduduk Kampung Berembang akan mendapat rumah di perumahan yang diberi nama Flat Berembang Indah

Mengikut laporan akhbar, mereka sudah boleh berpindah ke rumah-rumah mereka pada 1 April tahun ini.

Sekalilagi, syabas saya ucapkan kepada Tan Sri Khalid Ibrahim serta kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Saturday, 4 February 2012

Apa sebenarnya AWSJ?

Hishamuddin Rais
1:34PM Jan 31, 2012 - Malaysiakini

The Asia Wall Street Journal (AWSJ) menjadi buat mulut pada minggu ini. Jarang sekali akhbar luar negara dibincang begini hebat terutama oleh orang-orang yang tidak membaca akhbar ini. Dari Pemuda PAS hingga ke menteri luar Malaysia semua ada memiliki pandangan tentang AWSJ. Pandangan ini berkaitan dengan kenyataan temubual Anwar Ibrahim yang baru dilaporkan dalam akhbar itu.

Saya juga memiliki pandangan tentang AWSJ. Saya juga memiliki pandangan tentang Israel. Saya juga memiliki pandangan tentang peranan zionis Israel di Timur Tengah dan di seluruh dunia.

Saya juga memiliki pandangan tentang perjuangan adil rakyat Palestin. Saya juga memiliki pandangan tentang homoseksual. Pandangan-pandangan saya ini mungkin tidak selari dengan pandangan Anwar Ibrahim, atau dengan pandangan pandangan Dewan Pemuda PAS. Mustahil pandangan saya akan sama dengan pandangan menteri luar Malaysia.

Tetapi di sini bukan pandangan tentang zionis Israel atau tentang hubungan homoseksual yang ingin saya lakar. Saya ingin menggarap tentang apa dia akhbar ASWJ. Untuk saya jika warga Malaysia memahami apa dia ASWJ maka dengan serta merta kita akan sedar betapa bangangnya heboh-heboh kita minggu ini. Saya juga berharap apa yang saya lakar ini akan membawa pencerahan fikrah untuk membantu kita memahami realpolitik - memahami peranan media dan modal.

ASWJ ini bukan secara tiba-tiba wujud di Asia untuk menjadi bacaan wajib kepada politikus dan kaum pemodal di Asia Tenggara. Sebelum meluasnya pengaruh ASWJ ini telah wujud satu majalah yang dipanggil Far Eastern Economic Review (FEER). Majalah mingguan terbitan Hong Kong yang dimulakan dari tahun 1946.

Majalah FEER ini cukup berpengaruh di kalangan kaum pemodal dan politikus di Asia Tenggara. FEER adalah suara dan lambang keagungan empayar British. FEER mewakili kepentingan kaum pemodal Anglo-Amerika. Majalah ini menjadi suara dan nadi kaum pemodal British yang ketika itu masih banyak menguasai gedung-gedung perniagaan di China dan Asia Tenggara.

Pada tahap gemilangnya FEER pernah mencecah lebih dari 90,000 naskhah jualan untuk satu minggu. Dan jangan terperanjat, warga yang paling banyak membeli dan membaca FFER ialah warga Malaysia. Ini pada ketika pengaruh kaum pemodal British di Tanah Melayu kemudian Malaysia masih mencengkam kukuh.

FEER kemudian telah dibeli oleh syarikat Dows Jones & Company pemilik ASWJ. Nampak atau tidak apa ertinya pembelian ini? Tauke AWSJ membeli FEER bukan hendak memastikan majalah ini laris dan terus berkembang. Niat pembelian ialah untuk memautkan majalah ini. Apabila FEER tutup kedai pada tahun 2009 maka berkembanglah akhbar AWSJ yang seratus peratus mewakili kepentingan ekonomi kaum pemodal multinasional dari Wall Street Amerika. Kematian FEER adalah tanda bahawa pengaruh kaum pemodal British telah malap dan pengaruh kaum pemodal Amerika melonjak naik di Asia dan Asia Tenggara.

Hubungan Wall Street-Rumah Putih

AWSJ - namanya sahaja telah menunjukkan bahawa akhbar ini tanpa segan silu mengatakan kepada dunia bahawa ianya mewakili kepentingan Wall Street. Untuk Mak Cik Felda dan Pak Cik Felda yang tidak tahu - Wall Street ialah nama satu jalan di New York. Di jalan ini ialah rumah Bursa Saham Amerika, NASDAQ , New York Mercantile Exchange. Jalan ini adalah tempat di mana lanun dan penyangak-penyangak kapitalis bertelur, mengeram dan menetaskan kerenah, masalah dan bala bencana kepada muka bumi ini.

Wall Street tempat berjual beli. Wall Street juga menjadi reban utama kaum Zionis Antarabangsa. Di Wall Street kaum Zionis berkumpul bersama kaum kapitalis antarabangsa untuk membuat duit dan mencari laba. Penyangak dan lanun besar di Wall Street ini akan menjual apa sahaja yang boleh dijual. Mereka akan membeli apa saja boleh dibeli dengan murah dan dijual dengan mahal.

Tepung, sawit, minyak, candu, bom, kapal terbang, China doll, hutang, kokain, ganja, arak - malah apa sahaja yang mendatangkan keuntungan akan diniagakan di Wall Street. Warga di Wall Street ini tuhannya bernama dolar. Kiblat mereka ialah Federal Reserve. Nabi mereka ialah pada ketika ini ialah Ben Benarke, seorang Zionis. Sebelumnya Allen Greensopan, juga seorang Zionis.

Kalau di zaman Nabi. Wall Street ini ialah jalan ke rumah Abu Jahal. Kalau di zaman kerajaan Melayu Melaka Wall Street ialah jalan ke rumah Kitul dan Mendeliar. Kalau di Malaysia Wall Street ini ialah jalan ke rumah Mahathir.

Di Wall Street ini akan dirancang siapa naik dan siapa turun. Bukan hanya siapa naik dan siapa turun di Rumah Putih sahaja yang dirancang di Wall Street malah kuasa politik dunia pun akan diniagakan di Wall Street. Di sini akan dirancang siapa mendapat kuasa di negara Dunia Ketiga atau siapa yang wajib dijatuhkan dan negara mana wajib diserang.

Untuk pembaca budiman biar saya nyatakan di sini, pintu Rumah Putih dan pintu Wall Street saling berhubung. Masuk pintu hadapan Rumah Putih akan membuka pintu belakang Wall Stret. Kadangkala masuk pintu hadapan Wall Stareet akan membuka pintu belakang Rumah Putih. Ini realpolitik dalam dunia hari ini. Ini kuasa politik, kuasa ekonomi dan kuasa bala tentera empayar Amerika dan kuasa Wall Street.

Akhbar ASWJ journal ini ada edisi Eropah, ada edisi khusus untuk dunia termasuk Amerika Latin. Tuan empunya AWSJ ini ialah Dow Jones & Company - syarikat penerbitan gergasi yang berpangkalan di Amerika. Kaum pemodal dan kaum kapitalis selain dari melanggan dan mengupah ‘tukang lobi' mereka juga memiliki akhbar dan media yang bertujuan untuk mengolah pandangan dan pendapat untuk memastikan kepentingan modal mereka didahulukan. Media kapitalis ini mengolah pandangan untuk memastikan kaum pemodal akan mendapat keuntungan maksimum.

Juga wawancara Najib

Peranan AWSJ ini tidak jauh bezanya dari peranan Utusan Malaysia. AWSJ melakar pandangan untuk kaum pemodal antarabangsa. Utusan Melayu melakar pandangan untuk kepentingan United Malay National Organisation. Yang berbeza hanyalah Utusan ditulis oleh penulis lekeh hinggakan tak ada sesiapa membeli dan membaca Utusan. AWSJ dengan dana yang lumayan mengupah penulis yang licik lagi berpengalaman hinggakan agenda jahat kaum pemodal dan kaum Zionis antarabangsa ini tidak dapat dilihat.
 
Ramai yang lupa atau sengaja tidak mahu ingat bahawa sebelum Anwar ditemubual, AWSJ juga telah menemubual Najib Razak.

AWSJ memberi nasihat agar Najib meneruskan ‘dasar terbuka - dasar liberal' sehingga ‘terkangkang' luas agar kaum kapitalis antarabangsa dapat mengaut keuntungan maksimum. Menurut AWSJ Najib hanya berkemungkinan menang pilihan raya jika Najib berani melupuskan kepentingan dasar pro-Bumiputera. Dasar pro-Bumiputera ini menyusahkan kaum pemodal antarabangsa untuk meniaga di Malaysia, menurut pandangan AWSJ.

Dari bacaan saya, ini bukan nasihat. Ini tekanan. Tetapi temubual ini tidak menjadi buah mulut kerana dalam negara kita ini para pemikir Melayu yang pro-Bumiputera ‘kecut telur' tak berani bersuara takut tersalah cakap. Jika silap cakap mungkin tidak lagi akan dijemput untuk menjadi ahli panel di rancangan forum RTM atau tidak dipilih untuk menjadi juri di pertandingan Juara Lagu.
 
Temu bual Anwar Ibrahim di AWSJ ini juga adalah satu tekanan untuk memastikan kepentingan kaum pemodal antarabangsa didahulukan. Perhatikan betul betul buah butir yang dilapor. Anwar berkata ‘lebih banyak lagi penswastaan akan dilakukan'. Ini untuk menyedapkan hati kaum pemodal antarabangsa kerana Anwar sedar dan tahu siapa di belakang AWSJ ini.

Mengenai Israel dan Zionis, saya harap telah jelas dari apa yang telah saya lakar. Kepentingan kaum kapitalis antarabangsa dan kaum Zionis adalah pada ketika ini ikat mengikat. Hari ini enam buah syarikat Yahudi Zionis menguasai 96 peratus saluran semua bentuk media di dunia. Sayugia cukup untuk saya menuliskan bahawa New York Times, Wall Stret Journal dan Washington Post adalah milik Yahudi yang pro-Israel.

Melalui temubual dengan pemimpin politik Malaysia AWSJ ingin melihat apakah Najib Razak akan memberi keuntungan dan laba yang lebih berbanding dengan Anwar Ibrahim. Ini agenda asasi AWSJ. Akhbar ini tidak akan mempedulikan tentang kezaliman ISA atau AUKU atau Akta Cetak atau jumlah bayi mati dibuang.

AWSJ sedar pada ketika ini politik di Malaysia sedang cair. Penyelidik dan pemerhati politik di AWSJ melihat tahun ini adalah tahun pilihan raya. AWSJ ingin memastikan jika Najib Razak atau Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri kepentingan kaum kapitalis akan terjaga rapi. Inilah makna temubual dari Asia Wall Street Journal.


Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi sidang pengarang Malaysiakini.

Dana KWSP diguna bagi wang saku BN, kata PKR

4:35PM Feb 3, 2012 - Malaysiakini
http://www.malaysiakini.com/news/188221


PKR hari ini menyelar tindakan kerajaan untuk menggunakan RM1.5 bilion daripada dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membantu mereka yang gagal mendapatkan pinjaman bank bagi membiayai pembelian rumah awam kos rendah.


"Malah bank-bank juga tidak bersedia memberi pinjaman. Apakah yang dilakukan oleh panel pelaburan KWSP?

"Mengapa wang KWSP yang digunakan sebagai wang saku BN?" soal naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar (kanan) pada sidang media hari ini.

Sekurang-kurangnya empat bank telah diminta membantu menggubal draf perjanjian pembiayaan, kata Nurul Izzah sambil menyoal mengapa dana KWSP digunakan jika bank komersial sendiri tidak menganggap skim itu sebagai berdaya maju.

"Kita tidak mahu situasi seperti krisis pajak gadai subprima di Amerika Syarikat, di mana peminjam tidak dapat membayar ansuran mereka, jadi KWSP bukan bank (dalam kesusahan)," katanya, sambil mengingatkan bahawa dana KWSP juga telah digunakan untuk membiayai projek transit aliran ringan (LRT).

"Kerajaan tidak boleh membeli undi sesuka hati semata-mata kerana pilihan raya semakin dekat.

"Awak (kerajaan) boleh membantu Projek Perumahan Rakyat (PPR), tetapi jangan gunakan dana KWSP bagi maksud itu," kata Nurul Izzah yang juga ahli parlimen Lembah Pantai.

Isnin lalu, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Raja Nong Chik Zainal Abidin dilapor mengumumkan "skim pembiayaan mudah" untuk 20,000 penyewa PPR yang layak dan bakal pembeli yang tidak layak mendapatkan pinjaman bank.

Ketua Penerangan DAP Tony Pua juga menyelar tindakan itu dengan mengatakan bahawa peranan KWSP adalah memastikan pencarum mempunyai simpanan yang mencukupi apabila mereka bersara kelak.

Kedua-dua mereka, Pua dan Nurul Izzah mencadangkan Bank Rakyat dan Malaysia Building Society Bhd mengambil-alih tanggungjawab itu.

Cuepacs mahu kemuka formula pindah gaji ke SBPA

11:00AM Feb 4, 2012

Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan mengemukakan formula perpindahan gaji daripada Skim Saraan Malaysia kepada Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) untuk dipertimbangkan dalam semakan semula skim baru itu.
  
Timbalan Presiden 1 Cuepacs Aziz Muda berkata perpindahan gaji berkenaan mengambil kira gaji maksimum dan kekananan agar ia diterima baik oleh semua penjawat awam.
  
"Setakat ini kenaikan gaji penjawat awam dalam SBPA tidak jelas dan mengelirukan," katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam Kesatuan Sekerja Lembaga Air Sibu (SWBEU) di Sibu malam tadi.
  
Beliau berkata hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi iaitu sekitar US$15,000 setahun menjelang tahun 2020 tidak akan tercapai dengan kadar gaji yang diperkenalkan SBPA sebelum ini.
  
Sementara itu Cuepacs telah mengemukakan lima tuntutan utama yang akan menjadi indikator tuntutannya kepada kerajaan bagi memastikan penambahbaikan berlaku secara menyeluruh pada pelaksanaan SBPA.

Beliau berkata berdasarkan perkembangan semasa, Cuepacs yakin lima asas utama itu akan dipertimbangkan pasukan petugas khas SBPA.
  
"Sekiranya lima asas utama tuntutan ini masih tidak diterima oleh jawatankuasa, Cuepacs juga tidak akan menerima pandangan mereka. Ini kerana penambahbaikan tidak berlaku.
  
"Kalau ini (penambahbaikan) tidak berlaku ia akan menyebabkan rasa tidak puas hati (di kalangan penjawat awam) berterusan," katanya.

- Bernama