Search Everything

Thursday, 31 May 2012

Wawancara Mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan Bahagian Satu

Bekas IGP: Ada Orang Politik Marah 'rezeki' Disekat

Ahmad Fadli KC
2:15PM Mei 29 2012
http://www.malaysiakini.com/news/199345

WAWANCARA Mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengesahkan wujud pakatan sulit di antara rangkaian kongsi gelap dan pasukan Polis Di Raja Malaysia.

Dalam temubual eksklusif dengan Malaysiakini, Musa turut mengakui rangkaian sama wujud antara kongsi gelap dan ahli politik tanah air yang disifatkannya berada pada tahap "serius."

ex-igp musa hassan interview with malaysiakini 4Katanya, beliau mula mengambil langkah serius untuk membanteras aktiviti haram seperti judi, pelacuran dan sindiket peminjam wang ketika mula memegang jawatan Ketua Polis Johor.

Ini kerana beliau tidak percaya kepada konsep "menggunakan penjenayah untuk mengawal penjenayah lain," seperti digambarkan dalam filem Godfather yang menceritakan hubungan kongsi gelap dan pasukan polis.

"Mereka sendiri (di Amerika Syarikat) mengambil masa bertahun-tahun untuk menghapuskan perkara ini," katanya.

Menurutnya, rangkaian kongsi gelap yang memperolehi banyak wang melalui aktiviti haram tidak boleh dibiarkan "mengawal" ahli politik.

"Mereka ini banyak dana. Jadi apabila dana luas mereka boleh kawal orang. Kalau ahli politik terlibat, mereka boleh kawal ahli politik," katanya.

Usaha tersebut katanya diperhebatkan lagi apabila beliau mengetuai Jabatan Siasatan Jenayah.

Namun, tindakan tegasnya kurang disenangi ahli politik tertentu dan sebahagian daripada pegawai di dalam pasukan polis.

"Apabila saya ambil tindakan, orang politik datang pejabat saya tanya 'Kenapa you ambil tindakan sebegini?' dan mengatakan ini (mereka yang dikenakan tindakan adalah) kawan-kawan mereka.

"Jadi apabila kita hendak banteras, mereka marahlah kita sekat rezeki mereka," katanya.

Maklum kepada Pak Lah

Menurutnya, beliau sendiri pernah bertemu secara peribadi dengan ahli politik yang mempunyai hubungan dengan kongsi gelap agar mereka menghentikan hubungan itu.

"Saya dah tegur Menteri berkenaan perkara ini. Tugas saya menyampaikan sahaja. Nak berubah awak kena arahkan sayalah dan saya akan buat cara saya (untuk banteras)," katanya.

Malah, beliau mendakwa turut memanjangkan perkara itu kepada Perdana Menteri pada masa itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Perdana Menteri (Abdullah) pun saya beritahu," katanya.

ex-igp musa hassan on a motorbike 2Menurut Musa, beliau tidak mahu peminjam wang tidak berlesen (Along) terus mewujudkan masalah kepada orang ramai sehingga mengakibatkan kanak-kanak takut pulang ke rumah kerana serangan Along.

Menurutnya, orang ramai tidak sepatutnya menyalahkan peminjam sahaja dalam situasi ini, kerana tindakan perlu diambil terhadap sindiket itu yang mengenakan faedah melebihi 18 peratus setahun.

"Jika mereka bebas mengenakan kadar faedah melebihi 18 peratus, ini bermakna tiada penguatkuasaan," katanya.

"Malah, siapa yang memberikan peminjam wang ini lesen? Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Ada anggota polis bertugas di kementerian itu tetapi masih ada orang menjadi mangsa hari ini," katanya.

Ketegasan beliau, menurutnya, menimbulkan "reaksi balas" dari mereka yang mempunyai hubungan dengan kongsi gelap terbabit.

Menurutnya, individu berkenaan cuba memburukkan namanya dengan menuduhnya mengatur pelantikan pegawai kanan polis dengan "restu" kumpulan kongsi gelap terbabit.

"Saya terima backlash kerana satu saya cuba banteras aktiviti haram dan kerana saya hendak bersihkan (pasukan polis).

"Kalau saya sertai mereka (kongsi gelap) sayalah IGP terbaik," katanya.

Dalam temubual sama, Musa turut mengiyakan bahawa rangkaian ahli politik-kongsi gelap-polis itu adalah "kuasa ketiga" yang sebelum ini didakwanya membantutkan usaha-usaha reformasi dalam pasukan polis yang cuba dibawa beliau.

"Campur tangan datang dari banyak pihak termasuk ahli politik," katanya.

Wawancara dijalankan Fathi Aris Omar, Hafiz Yatim, Ahmad Fadli KC dan Nigel Aw.

Monday, 28 May 2012

Himpunan Jutaan Belia Melalaikan


  • Ahmad Amir Arshad Ahmad Shariman
  • 1:54AM Mei 26 2012
  • http://www.malaysiakini.com/letters/199074
Kelab Anwar Ibrahim (AIC) percaya pada marcapada, peredaran zaman memerlukan belia untuk mengharungi kehidupan dengan lebih cergas dan proaktif.

Arus pemodenan ketika ini diperderas dengan memaksimumkan minda ke tahap yang lebih kritis. Belia harus mengambil peluang dalam arus ini untuk bangun dan bawa perubahan kepada negara.

Banyak informasi yang dapat dimanfaatkan belia dipaparkan dalam media massa, tentang kebobrokkan dan kezaliman oleh pemerintah kepada rakyat.

Di seluruh dunia, terutama di Mesir, yang menjadi penggerak utama kepada naik dan jatuhnya sesebuah kerajaan.

Belia adalah nadi kepada negara, pasak yang mendukung aspirasi negara, malah Imam Syafie pernah menyebutkan: "Jika mahu lihat masa depan sesebuah negara, lihat anak mudanya sekarang."

Selari dengan ayat daripada al-Quran, surah al-Kahfi, menjelaskan (maksudnya):

"Kami ceritakan kepada engkau cerita mereka dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhannya, dan Kami beri mereka tambahan pimpinan.

"Dan Kami teguhkan hati mereka, ketika mereka berdiri dan berkata: Tuhan kami ialah Tuhan langit dan bumi, kami tiada memuja selain daripada-Nya. (Kalau kami sembah selain Allah), tentulah kami mengatakan perkataan yang salah."

AIC meyakini pencerapan daripada kedua-dua ayat tersebut adalah, anak muda harus menjadi kental, harus keras dan berani untuk tolak kezaliman, tolak rasuah, jangan takut kerana Tuhan pasti bersama orang yang benar.

Jiwa anak muda yang taat kepada agama sudah tentu akan menitik beratkan integriti dan nilai yang positif. Tidak harus ada kegoyahan kepada ugutan dan kekerasan yang dilontarkan penzalim.

Pastinya ramai anak muda yang tidak menyedari hakikat tentang hak-hak mereka yang diabaikan kerana terleka dengan ‘keselesaan' palsu yang dihidangkan kerajaan BN. Adakah itu jenis anak muda yang ingin dihasilkan oleh Malaysia?

Anak muda harus berada di barisan hadapan, menjadi whistleblower di dalam negara, iaitu menjadi penggera kepada setiap perkara yang memberi impak buruk kepada negara.

Hingga satu tahap, selayaknya anak muda bakal dijadikan kayu pengukur kepada kecemerlangan negara.

Selain itu anak muda harus meletakkan idea mereka pada tahap yang boleh dibanggakan, merebut peluang untuk jawatan penting dalam komuniti, kerana sudah menjadi norma masyarakat di Malaysia yang hanya menerima pendapat dan idea daripada individu yang berpengaruh atau berjawatan.

Menjadi sia-sia apabila sebuah idea yang bagus menjadi kurang kredibilitinya kerana individu yang melontarkan idea itu tidak berpengaruh atau berjawatan.

Terutama dalam isu jaminan kehidupan, kestabilan dan keselesaan belia, sekalian anak muda telah muak dengan pelan jangka masa pendek yang dihulurkan oleh sang kapitalis yang akhirnya menjerut leher anak muda, sebagai contoh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Asalnya sebagai pelan untuk membantu anak muda untuk belajar, namun modus operandinya adalah untuk mengaut keuntungan dan menguntungkan kapitalis.

Anak muda yang baru menamatkan pengajian membawa pulang gulungan sijil berserta setimbun hutang yang akhirnya akan melambatkan tingkat hidup anak muda.

Oleh itu, AIC menggesa agar semua anak muda untuk bangkit dan tolak kezaliman demi membebaskan jiwa dan naluri anak muda.

Bangkit menentang kezaliman pemerintah. Isu anak muda bukan sahaja berkisar di PTPTN, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang menyekat pemikiran mereka, menyekat kebebasan anak muda untuk menyuarakan pandangan mereka tetapi juga kesengsaraan sekeliling yang meruntun perasaan.

Jiwa anak muda memang fitrah mereka (seperti yang disebutkan dalam surah al-Kahfi) untuk menolak segala bentuk penindasan.

AIC melihat segala bentuk program yang dianjurkan oleh kerajaan BN di Himpunan Jutaan Belia 2012 sebagai tidak mencerminkan pembentukan belia yang kita impikan untuk masa depan negara.

Kejahilan dan kematangan akal tidak boleh bergerak seiring, maka penganjuran sesebuah program yang "berniat" baik tidak akan mencapai sasaran dengan pengisian aktiviti yang menjurus ke arah kelalaiaan.

Justeru AIC menyeru agar semua belia menjadi ejen perubahan yang akan menganjak pemikiran dan daya anak muda ke satu tahap yang lebih dihormati bukannya menjadi penerus pada sisi gelap yang memperbodohkan minda dan mencengkam perlakuan belia sehingga kehilangan kehebatannya.

AHMAD AMIR ARSHAD AHMAD SHARIMAN bergiat sebagai koordinator pembangunan belia di Anwar Ibrahim Club (AIC).

Thursday, 24 May 2012

Polemik berterusan politik, ekonomi Melayu PP

Dr Afif Bahardin 
9:38AM Mei 24 2012
http://www.malaysiakini.com/news/198853

ULASAN Polemik terbesar di Pulau Pinang pastinya persoalan kuasa politik dan ekonomi orang Melayu di negeri ini.

Sering kali kita mendengar atau membaca tajuk berita seperti ”Melayu Pulau Pinang terpinggir”, ”Melayu tiada suara di Pulau Pinang” dan banyak lagi ungkapan yang cuba menggambarkan bahawa kewujudan orang Melayu di Pulau Pinang benar-benar terancam.

Amat malang sekali, sejak Mac 2008 keadaan Melayu di negeri ini digambarkan seolah-olah lebih parah. terutamanya oleh media kawalan pembangkang di negeri ini iaitu, Umno dan BN.

Mengikut statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, untuk tahun 2010, jumlah penduduk Pulau Pinang 1,609,000 orang. Mengikut pecahan etnik, orang Melayu sudah mengatasi jumlah orang Cina di negeri ini sebanyak 676, 900 (42.06 peratus) dan Cina 658, 700 (40.93 peratus) dan selebihnya 155,600 India dan 118,700 etnik lain-lain.

Maka, label bahawa Pulau Pinang negeri majoriti Cina tidak lagi sesuai untuk digunapakai. Hakikatnya jumlah orang Melayu dan Cina hampir
seimbang tetapi secara geografinya terpisah di pulau dan tanah besar, Seberang Perai.

Mac 2008 menyaksikan tsunami politik terbesar berlaku di Pulau Pinang. Jika pada pilihan raya umum 2004, BN dengan selesa memenangi 38 kerusi DUN.

Tsunami politik 2008 menyaksikan Pakatan Rakyat, terdiri daripada DAP memenangi 19 kerusi, PKR sembilan kerusi dan PAS satu kerusi, manakala BN melalui Umno sekadar memenangi 11 kerusi.

Ini bukanlah kali pertama rakyat Pulau Pinang memilih untuk menukar kerajaan kerana sejarah menunjukkan rakyat negeri ini pernah menolak Perikatan pada pilihan raya umum 1969 dengan memilih parti Gerakan.

Masalah yang diwarisi

Saat Pakatan menubuhkan kerajaan di Pulau Pinang, serangan retorik terkikisnya kuasa politik Melayu di negeri ini bermula. Stigma bahawa DAP sebuah parti cauvinis Cina diapi-apikan di kalangan orang Melayu.

Secara tiba-tiba rakyat disajikan dengan berbagai laporan kemiskinan orang Melayu, isu pemilikan tanah oleh orang Melayu yang kurang di Pulau Pinang dan pelbagai lagi bentuk serangan yang berasaskan politik perkauman sempit.

Walhal, kita semua sedia maklum, Umno pernah menerajui kerajaan negeri bukan hanya selepas merdeka, bahkan selepas 1969 pun, parti itu berada di tampuk kuasa.

Maka di manakah perwira dan pejuang bangsa Melayu yang merupakan pimpinan Umno ini berada ketika orang Melayu Pulau Pinang memerlukan pembelaan dan idea-idea baru dalam memajukan orang Melayu baik dari segi politik mahupun sosioekonomi?

Amat malang apabila masalah ekonomi dan kuasa pemilikan hartanah orang Melayu di negeri ini dipolitikkan seolah-olah ia bermula hanya selepas Pakatan memerintah. Sedangkan masalah ini diwarisi daripada kerajaan negeri di bawah pimpinan Umno dan BN.

Hakikatnya kerakusan Umno selama lebih 40 tahun memerintah Pulau Pinang menyebabkan banyak tanah milik orang Melayu, terutamanya di Tanjung tergadai, lantas kuasa ekonomi orang Melayu menguncup.

Krisis kepimpinan
Umno bukan saja gagal meningkatkan penguasaan ekonomi orang Melayu, tetapi telah memilih untuk membenarkan mereka yang korup kekal berkuasa kononnya di atas agenda ketuanan Melayu.

Namun, sejak 2008, kerajaan Pakatan pimpinan Ketua Menteri Lim Guan Eng melakukan beberapa reformasi penting di negeri ini.

Antaranya menghapuskan kemiskinan tegar, meningkatkan perbelanjaan hal ehwal agama Islam, memberi bantuan lebih banyak kepada rumah ibadat, khairat kematian yang lebih tinggi, hadiah untuk anak yang baru lahir, bantuan RM100 untuk warga emas dan lebih 70 peratus kontraktor Melayu memenangi projek kerajaan negeri hasil sistem tender terbuka.

Hakikat yang tidak dapat kita lari, nasib orang Melayu dan rakyat seluruhnya lebih terjamin semenjak Pakatan memerintah.

Program-program ekonomi yang disusun, kecekapan dan ketelusan pentadbiran kerajaan Pakatan bukan lagi rahsia atau retorik kosong semata-mata.

Laporan Audit Negara dan laporan pelabur asing menunjukkan negeri ini bebas dari amalan korup dan salahguna kuasa sejak Pakatan Rakyat memerintah.

Menjelang pilihan raya umum ke-13 yang semakin hampir, parti komponen BN - MCA dan Gerakan - masih lagi gagal untuk mengembalikan sokongan bukan Melayu di negeri ini.

Krisis kepimpinan yang dihadapi komponen BN nyata bakal merencatkan lagi usaha mereka untuk menawan kembali negeri ini. Usaha transformasi Datuk Seri Najib Razak yang indah khabar dari rupa juga disambut dingin oleh majoriti rakyat negeri ini.

Pencerahan buat segenap bangsa


Umno tidak mampu untuk membentuk kerajaan tanpa kemenangan parti komponen, MCA dan Gerakan, tanpa sokongan dari etnik lain selain Melayu di negeri ini.

Kenyataan pengerusi perhubungan Umno negeri Datuk Zainal Abidin Osman bahawa mereka bersedia menjadi pembangkang untuk satu lagi penggal membuktikan Pakatan bakal mengekalkan kuasa pada pilihan raya depan.

Maka, realiti politik orang Melayu Pulau Pinang pada pilihan raya umum depan tidak lagi duduk sebagai majoriti pembangkang, tetapi menambah wakil rakyat Melayu dalam barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Sudah tiba masanya sokongan orang Melayu dialihkan kepada PKR dan PAS. Orang Melayu harus berani keluar dari dogma bahawa Umno saja mewakili orang Melayu.

Orang Melayu harus sedar bahawa parti politik untuk masa depan adalah parti politik yang mampu mendapat sokongan semua rakyat Malaysia tanpa kira ras dan agama.

Tiada guna lagi mengangkat pemimpin Melayu yang hebat melaungkan ketuanan tetapi sebenarnya korup dan pura-pura. Pemimpin Melayu yang progresif, berjiwa rakyat dan adil kepada semua adalah sosok pemimpin yang kita perlukan di saat ini.

Moga sosok pemimpin ini mampu membawa pencerahan kepada segenap bangsa di negeri ini untuk kita bina Pulau Pinang yang lebih gemilang untuk diwariskan pada anak- anak negeri.


DR AFIF BAHARDIN adalah naib ketua Pemuda PKR Pulau Pinang. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.