Search Everything

Tuesday, 29 November 2011

'Aliran keras Umno berubah perlahan-lahan'

Hafiz Yatim & Abdul Rahim Sabri 4:21PM Nov 29, 2011 - Malaysiakini
http://www.malaysiakini.com/news/182712

Sekalipun Umno mentadbir negara ini sejak merdeka, ahli Majlis Tertingginya Datuk Saifuddin Abdullah mengakui parti itu masih  dikuasai ahli yang dianggap sebagai hardliner atau beraliran keras.

Bagaimanapun, katanya, kumpulan itu perlahan-lahan semakin mengecil dengan kehadiran golongan yang percaya pada tranformasi dan mahu membuat perubahan berdasarkan kehendak pucuk pimpinan parti.

Jumlah kedua-dua kumpulan itu kini masih lagi kecil, dan beliau berharap untuk melihat bilangannya bertambah.

"Sokongan terhadap reform (pembaharuan) - atau istilah yang Datuk Seri Najib (Razak) transformasi - saya lihat ia berlaku dalam tiga keadaan.

"Pertama, memang ada kumpulan dalam Umno yang percaya kepada tranformasi, dan mereka akan bercakap tentang tranformasi itu, sama ada Datuk Seri Najib bercakap ataupun tidak. Yang ini angkanya sangat kecil.

"Kedua, ada yang menyokong tranformasi, bila Datuk Seri Najib cakap. Bila Datuk Seri Najib cakap, dia akan sokong. Kalau Datuk Seri Najib tak cakap, dia tak sokong. Dan dia pun tak cakap.

"Yang ketiga dan lebih besar ialah (mereka) yang selesa dengan keadaan semasa dan merasakan apa yang Umno lakukan sudah memadai," kata Saifuddin ketika ditanya tentang cabaran pembaharuan Umno, yang terpaksa berdepan "orang lama" dan kumpulan "beraliran keras".

Beliau berkata kumpulan ketiga ini cuma mahu parti itu membuat penambahbaikan dari sudut strategi dan taktik untuk menang dalam pilihan raya.

Ketika diwawancara Malaysiakini sempena perhimpunan agung Umno, Saifuddin juga berkata jumlah kumpulan ketiga - yang beraliran keras - adalah kumpulan terbesar berbanding yang lain.

"Walaupun ada dalam kumpulan ketiga ini, bila Datuk Seri Najib cakap berubah menjadi nombor dua; tetapi yang saya fikir Umno perlukan adalah tambah kumpulan nombor pertama dan juga tambah kumpulan dua pun tak mengapa.

"Saya fikir nombor satu itu bertambah empat kali ganda agaknya dan nombor dua itu jadi majoriti, pun cukup (untuk membuat tranformasi)," katanya.

'Bulatan kedua'

Ditanya bagaimana Umno berdepan dengan kumpulan beraliran keras itu, Saifuddin menggesa keseluruhan ahli Umno memahami bahawa rakyat sudah berubah, bukan sahaja dalam politik dan pilihan raya, tetapi dengan cara yang lebih besar.

"Saya lihat dalam sejarah manusia, ada waktu-waktu tertentu, perubahan itu berlaku atas faktor-faktor yang tertentu, misalnya apa yang berlaku di negara Arab. Dia kalau nak berubah, dia tak boleh tahan," tegasnya.

Dengan memberi contoh, pada tahun 1970-an perubahan berlaku di negara Islam termasuk Malaysia, India, Pakistan, Bangladesh, Indonesia dan Selatan Thailand susulan fenomena kebangkitan Islam yang dianggapnya sebagai 'bulatan pertama'.

"Sekarang ini berlaku lagi, saya panggilkannya sebagai 'bulatan kedua'. Saya fikir kita sebagai negara merdeka sudah lama, walaupun rakyat Malaysia ada bermacam-macam, ada kelas menengah, ada golongan intelektual dan sebagainya.

"Dalam bulatan kedua ini, berlakunya realiti baru ini... Ada media baru. Dalam bulatan pertama media baru itu ada, tetapi hanya digunakan sebagai alat komunikasi.

"Walaupun saya ada Facebook dan Twitter dan saya sharing online (berkongsi online), tetapi anak saya, buat tutorial (secara) online. Itu sudah lain dah tu, maknanya pada dia adalah cara hidup," katanya sambil menegaskan media baru membuka luas pandangan rakyat berbanding bulatan pertama.

PLUS sesuai jadi mangkin kempen galakan membaca

Zahiruddin Zabidi 9:55AM Nov 21, 2011 - Malaysiakini
http://www.malaysiakini.com/letters/181920

Bermula dari Tol Jalan Duta hingga ke tol terakhir PLUS di negeri Kedah, terdapat kira-kira lebih daripada 10 buah lokasi “Rehat dan Rawat” sama ada berkapasiti besar dan sederhana.

Biasanya lokasi yang menjadi pilihan para pengguna lebuhraya PLUS adalah RnR Sungai Buloh, RnR Rawang, RnR Tapah dan RnR Bukit Semanggol dan banyak lagi.

Banyak kemudahan yang disediakan seperti gerai makan yang bersih dan cantik dekorasinya, surau yang sangat selesa serta gerai-gerai menjual buah-buahan yang begitu menarik perhatian para penyinggah.

Fasilitis dan perkhidmatan kelas A sentiasa disediakan oleh pihak PLUS sentiasa wajar dipuji dan sepadan dengan bayaran tol yang dikenakan.

Di samping itu ada juga beberapa buah gerai yang menjual buku contohnya di RnR Sungai Buloh menuju ke Kuala Lumpur. Menurut pemiliknya, sambutan kepada belian buku-buku agama agak memberangsangkan.

Selain daripada itu, tiada lagi kedai buku yang benar-benar menjual buku selain beberapa hentian sahaja.

Perjalanan yang panjang di atas Lebuhraya PLUS yang memakan masa berjam-jam sewajarnya dimanfaat oleh para penumpang seperti penumpang bas, kereta khususnya mereka yang berkeluarga dan mempunyai anak-anak kecil. Kerana masa yang begitu lama dalam perjalanan wajar dimanfaatkan dengan membaca.

Ibu bapa wajar mengambil kesempatan dalam perjalanan ini bagi berinteraksi dan memujuk anak-anak mereka dengan membaca.

Dengan membelikan kepada mereka bahan-bahan bacaan yang menarik dan cantik selain daripada mempunyai maklumat dan ilmu yang sesuai dengan peringkat umur. Mewujudkan persaingan sesama anak-anak juga memberikan kesan yang positif dalam membaca.

Saya melihat pihak pengurusan PLUS sangat berpeluang memainkan peranan yang sangat strategik di sini.

Ia boleh menjadi satu daripada sumbangan sosial yang sangat besar kepada masyarakat sekali gus mengangkat nama PLUS sebagai sebuah organisasi yang sangat caknakan rakyat bukan hanya tahu mengaut keuntungan semata-mata.

Bayangkan, di setiap hentian RnR punya sebuah kedai buku dengan buku-buku yang terpilih dan terbaik dikelola sendiri oleh PLUS, uniknya kedai ini adalah diskaun tinggi yang diberikan kerana motif penjualan buku-buku ini bukan untuk keuntungan namun ia bersifat sumbangan masyarakat dalam jangka masa yang berterusan.

Kedai-kedai ini mungkin boleh menjual dengan harga modal sahaja sebagaimana biasanya penerbit akan memberikan diskaun paliing tidak 35 - 50 peratus bagi para pengedar dan penjual yang mengambil dalam kuantiti yang besar.

Pastinya ibu bapa akan lebih bersemangat bagi membeli buku-buku paling tidak sebuah seorang kepada anak-anak mereka dan diri sendiri.

Sekali lagi, sifat suka membaca itu harus dibudayakan dan ianya perlu diperjuangkan oleh semua pihak. Masyarakat membaca adalah masyarakat yang menguasai dunia dan hanya dengan membaca manusia itu dapat memastikan ketamadunan agama dan bangsanya terus gemilang.

Di sini, masyarakat masa depan akan berterima kasih kepada PLUS atas inisiatif ini.

Memali: Sejarah berdarah dan ISA

Amin Iskandar 11:38AM Nov 19, 2011 - Malaysiakini
http://www.malaysiakini.com/columns/181806

Genap 26 tahun lalu, terjadi satu peristiwa penting dalam sejarah politik negara. Sejarah berdarah menyayat hati dan tidak mungkin akan dilupakan.

Pada ketika itu, Malaysia dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri manakala Tun Musa Hitam adalah timbalannya dan menteri hal ehwal dalam negeri.

Peristiwa yang dikenali sebagai "Tragedi Memali" ini berlaku di Kampung Memali yang terletak di bawah mukim Siong, Baling, Kedah.

Daerah Baling merupakan satu daerah yang istimewa kerana banyak peristiwa bersejarah berlaku di situ, seperti Rundingan Baling pada 1955 antara kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Parti Komunis Malaya (PKM).

Demonstrasi Baling pada 1974 ekoran isu kemiskinan juga berlangsung di tempat sama.

As-Syahid Ibrahim Libya dan 13 orang pengikutnya terkorban di tangan anggota keselamatan lengkap dengan pelbagai senjata termasuk senjata automatik dan kereta kebal.

Diberitakan lebih 3,500 anggota keselamatan dikerah oleh kerajaan Malaysia untuk berhadapan dengan Ibrahim Libya dan pengikutnya serta penduduk Kampung Memali.

Pada ketika itu, kerajaan Malaysia menjustifikasikan pembunuhan beramai-ramai itu dengan alasan Ibrahim Libya atau nama sebenarnya Ibrahim bin Mahmud membawa ajaran sesat.

Kemudian pertuduhan diubah - as-syahid dikatakan membawa fahaman subversif yang berniat untuk mencetuskan huru-hara.

Siapa Ibrahim Libya?

Almarhum Ibrahim dilahirkan pada tahun 1944 ketika Malaya masih lagi dalam genggaman Jepun di Kampung Carok Putih berhampiran dengan Kampung Memali.

Mendapat pendidikan awal tentang Islam dari ayahnya sendiri Tuan Haji Mahmud - seorang guru agama yang disegani di kampungnya.

Ibrahim kemudian melanjutkan pengajian Islamnya di India, Mesir dan Libya. Selepas tamat pengajian, beliau pulang ke tanah air pada awal 1970-an.

Selepas pulang, beliau berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebagai pendakwah di Pusat Islam. Populariti beliau meningkat naik oleh kerana syarahan-syarahan agama yang diberikan dan seringkali diundang untuk berbicara mengenai Islam di RTM1.

Beliau kemudiannya berhenti dari JPM dan bekerja sebagai pegawai dakwah dengan kerajaan Libya. Selepas tamat berkhidmat dengan kerajaan Libya, beliau pulang ke Kampung Memali.

Madrasah didirikan untuk Ibrahim memulakan kelas pengajian agama. Bermulalah kariernya sebagai pendakwah bebas. Kepetahannya berceramah menyebabkan beliau sering diundang berceramah di sekitar negeri Kedah.

Ibrahim Libya kemudiannya menyertai PAS dan pernah bertanding dalam pilihan raya tahun 1978 di kawasan Bayu yang terletak dalam daerah Baling.

Beliau mendapat undi sebanyak 5,081 manakala calon BN mendapat 6,169 undi. Dalam pilihan raya tahun 1982 beliau turut bertanding di kawasan yang sama tetapi kalah.

'Dosa' Ibrahim Libya

Ibrahim Libya menjadi ancaman kepada "pihak-pihak tertentu" yang risau dengan popularitinya. Jika dibiarkan terus berleluasa, beliau akan menjadi ancaman yang lebih besar.

Menurut Senator Yusuf Husin yang penulis temui berberapa tahun lalu, selepas menyertai PAS, Ibrahim Libya menjadi ancaman kepada pemerintah oleh kerana gesaannya dalam setiap ceramah agar perubahan dilakukan terhadap kepimpinan negara.

Inilah puncanya sehingga akhirnya Ibrahim Libya dikehendaki oleh kerajaan Malaysia untuk ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Jika tidak menggunakan ISA, sudah pasti Ibrahim Libya akan memberikan kerjasama dengan syarat beliau dibicarakan di mahkamah.

Oleh kerana ISA menjadi pilihan kerajaan, beliau tidak mahu menyerah dan tunduk kepada undang-undang yang dianggap sebagai kejam, zalim dan tidak berperikemanusiaan.

Pengikut-pengikut dan anak-anak murid Ibrahim Libya juga tidak mahu beliau menyerah diri dan bertindak mempertahankannya.

Kampung Memali di kepung oleh ribuan anggota keselamatan untuk menangkap Ibrahim Libya dan pengikutnya.

Pada 19 November 1985, akhirnya Ibrahim Libya dan 13 orang pengikutnya gugur ke bumi sebagai syuhada selepas bertempur dengan anggota keselamatan.
Orang-orang kampung yang hidup ditahan oleh kerajaan Malaysia di bawah ISA termasuklah Yusuf Husin.

Simbol perlawanan terhadap ISA

Ibrahim Libya dan 13 orang lagi yang gugur di Kampung Memali merupakan simbol perlawanan terhebat terhadap ISA.

Seperti yang dikatakan oleh Editor Harakah, Ahmad Lutfi Othman dalam tulisannya sempena ulang tahun ke 25 tragedi Memali tahun lalu:
"Beliau (baca: Ibrahim Libya) menentang akta zalim itu bukan dengan memorandum atau demonstrasi, tetapi mempertaruhkan nyawanya. Dan ini merupakan satu rekod 'termahal' dalam usaha menyanggah ISA."

Benar apa yang dikatakan oleh Ahmad Lutfi itu, tindakan Ibrahim Libya dan para pengikutnya mengorbankan nyawa kerana tidak sujud kepada ISA adalah satu tindakan yang mulia.

Para syuhada Memali sebagai adalah simbol perlawanan terhebat rakyat Malaysia terhadap ISA.

Jika satu hari nanti ISA dimansuhkan, muzium bagi memperingati para syuhada Memali harus dibina agar generasi akan datang tahu bahawa ISA bukan sahaja telah merampas kebebasan ribuan orang tanpa dibicarakan di mahkamah, ISA juga telah menyebabkan nyawa melayang.

Secara peribadi, saya menganggap Tragedi Memali ini masih belum selesai.

Suruhanjaya Kebenaran dan Perdamaian atau Truth and Reconciliation Comission harus ditubuhkan untuk menyiasat kembali peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Memali yang berlaku pada tahun 1985 itu.

Hasil penyiasatan haruslah didedah kepada orang ramai dan pesalah-pesalah yang terlibat secara langsung dalam kezaliman ini harus diheret ke mahkamah untuk dibicarakan.

Selepas 26 tahun sejarah berdarah ini berlalu, tragedi Memali terus dikenang. Kampung tempat gugurnya 14 orang syuhada itu menerima pelawat yang ramai sepanjang tahun untuk melihat sendiri saki baki sejarah tragedi Memali yang masih tertinggal.

Begitulah hebatnya Ibrahim Libya dan 13 orang pengikutnya. Salut kepada para syuhada. Salut kerana melawan ISA. Salut kepada penduduk Kampung Memali yang berani.


Amin Iskandar menerima anugerah zamalah Intelektual Awam Asia (API) 2009-10 untuk menjalankan kajian tentang sejarah pemantauan pilihan raya di Filipina dan Indonesia. Memblog di http://www.aminiskandar.blogspot.com/ dan berkicau di www.twitter.com/aminiskandar.

'Martabat semula raja berperlembagaan'

Salhan K Ahmad 3:04PM Nov 25, 2011 - Malaysiakini
http://www.malaysiakini.com/news/182404

Ketua Pemuda PKR (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin menuntut supaya institusi raja berperlembagaan dimartabatkan semula agar tidak dipergunakan sebagai alat politik oleh parti pemerintah.

Dalam ucapan dasarnya di kongres pergerakan itu di Johor Bahru hari ini, Shamsul berkata institusi beraja harus dilihat berwibawa dan mengambil peranan aktif untuk menyekat tindakan melampau pemerintah.

Katanya lagi, raja tidak seharusnya sekadar menjadi simbol tetapi turut mengambil peranan untuk memberi perlindungan kepada golongan lemah dan membela golongan tertindas.

"Institusi raja-raja harus mampu menjadi pengimbang dan penegak ketertiban dengan mengambil peranan aktif menyekat sebarang tindakan melampau permerintah atau sebarang cubaan melibatkan istana untuk kepuasan serakah politik.

"Raja cuba diheret sama bagi memperkuatkan agenda perkauman. Tindakan ini telah mencemar fungsi dan peranan raja untuk menjadi penegak keadilan.

"Padahal, menjalankan keadilan itu merupakan tugas asasi raja sebagaimana terkandung di dalam sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong," katanya lagi kepada lebih 2,000 perwakilan di kongres itu.

Shamsul Iskandar membangkitkan isu yang sering dianggap tabu itu dalam kongres kelapan PKR yang kali pertama diadakan di Johor Bahru, sejajar dengan usaha PKR untuk meluaskan pengaruh mereka di negeri yang menjadi kubu kuat Umno itu.

Shamsul juga berkata, soal reformasi institusi beraja tidak sepatutnya menjadi isu tabu kerana soal membincangkannya bukanlah bermakna tidak mengasihi raja.

"Hormat dan kasih kita itu membuatkan kita percaya bahawa perlu ada reformasi agar raja berperlembagaan dapat memainkan peranan yang benar-benar berkesan di negara ini," katanya.

Tambahnya, raja dan Yang di-Pertuan Agong perlu disediakan dengan ilmu dan pengalaman sebagai prasyarat sebelum diangkat ke jawatan berkenaan, memandangkan raja perlu memenuhi tuntutan jawatan berkenaan sebagai ketua agama Islam.

Katanya lagi, raja sepatutnya mampu menjadi simbol ketuanan rakyat dengan mengambil peranan sebagai "penaung kepada semua rakyat dan tidak terhad kepada orang Melayu."

PKR AMK: PM untuk Melayu 'cabaran mendahului zaman'

Salhan K Ahmad 4:26PM Nov 27, 2011- Malaysiakini
http://www.malaysiakini.com/news/182568

Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar Md Akin berkata beliau berasa kagum kerana ketua umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim memahami cabarannya kepada Umno supaya mememinda perlembagaan untuk membolehkan hanya orang Melayu menjadi perdana menteri.

Jelasnya, cabaran yang "mendahului zaman" itu hanyalah "alat retorik" untuk mencabar Umno, seperti tindakan seorang strategis muda China yang mengasaskan Dinasti Jin, Sima  Yi.

Katanya, pandangan Sima Yi ketika itu bukan sahaja menimbulkan kemarahan pemimpin, malah turut menimbulkan kemarahan maharaja.

"Dalam kes saya, ramai tak faham. Itu 'rhetorical device' untuk cabar Umno. Saya kagum sebab Anwar sahaja yang faham sebab dia baca (kisah sejarah berkenaan) dan faham," kata Shamsul dalam ucapan penggulungannya di Kongres Nasional PKR hari ini.

Kongres yang berlangsung di Pulai, Johor itu diuar-uarkan sebagai usaha PKR untuk menembusi kawasan kubu kuat Umno di negeri berkenaan.

Di sebalik isu yang ditimbulkannya itu, cabaran untuk PKR waktu ini adalah untuk meningkatkan undi Melayu kerana parti itu perlu bertanding di kawasan berkenaan dan mendapatkan sokongan masyakat itu, kata Shamsul lagi.

Bagaimanapun, PKR tetap memperjuangkan politik yang tidak berasaskan perkauman dengan menampilkan Anwar sebagai "bapa orang Melayu, bapa orang India dan bapa orang Cina."

"(PKR) kena cari jalan betul yang komprehensif untuk pastikan sokongan semua kaum pada tahap maksimum, untuk bubar kerajaan (pusat) dan bukan semata-mata menjadi pembangkang," katanya lagi.

Isu yang ditimbulkannya ketika menyampaikan ucapan dasar di kongres sayap parti itu kelmarin mencetus kontroversi sehinggalah dijelaskan oleh Anwar semalam.