Search Everything

Monday, 20 June 2011

Nissan MPV - Grand Livina

Di sini aku nak kongsikan serba sedkiti tentang sebuah MPV keluaran Nissan iaitu Grand Livina. Aku telah menggunakan kenderaan ini sejak setahun yang lepas. Banyak kelebihan yang aku dapati pada MPV ini , jadi aku nak kongsikan petikan artikel yang aku baca dari KOSMO (2008) untuk pengetahuan kita bersama.
"Diletakkan sebaris dengan MPV bersaiz sederhana dengan tujuh tempat duduk (Midi/Mini MPV) seperti Toyota Avanza, Naza Citra dan Honda Stream, MPV selepas model Serena ini nyata memiliki banyak kelebihan. 

Apa yang membuatkan Grand Livina begitu menyerlah berbanding pesaingnya? Aspek luaran model ini nampak lebih moden dan elegan menerusi reka bentuk hadapan agak tajam, ditambah dengan penggunaan gril radiator dan lampu utama yang lebar.
Menawarkan kualiti pemanduan seperti sebuah sedan, posisi stereng dan tempat duduk pemandunya cukup ergonomik. Ruang kabin Grand Livina nampak kemas dengan papan pemuka berwarna hitam yang ringkas. Menempatkan sistem audio dan suis pendingin hawa, ia berada dalam jangkauan dan mudah dikendalikan.
Sebahagian besar ruang kokpit (tempat duduk dan panel pintu) dibalut dengan material berwarna beige yang secara peribadinya kurang penulis gemari. Memang nampak cantik, tetapi selama mana ia boleh bertahan kalau anak anda suka makan di dalam kenderaan? 

Ruang tempat duduk baris ketiga boleh dikatakan agak selesa untuk diduduki oleh orang dewasa bersaiz sederhana. Untuk mengelakkan mereka daripada kepanasan, konsol corong udara dipasang di antara tempat duduk hadapan, ia cukup kuat untuk menghantar udara sejuk hingga ke bahagian belakang.
Untuk kargo lebih luas, tempat duduk baris kedua dan ketiga juga boleh dilipat dengan mudah, bergantung kepada keperluan. 

Berbanding MPV lain yang biasanya dibina menggunakan platform berasaskan model trak, Grand Livina dibangunkan di atas struktur kerangka monocoque yang memberikannya kestabilan. Malah, kerangka ini juga lebih ringan, memiliki titik graviti rendah dan memudahkan akses kepada setiap penumpangnya. 

Mahu memberikan kualiti pemanduan terbaik, Grand Livina menggunakan teknologi sistem suspensi dengan ciri kawalan desiran yang berfungsi mengurangkan getaran dan olengan. Ini sekaligus menjamin kestabilan dan keselesaan walaupun berada di atas kondisi jalan raya yang teruk. 

Terdapat tiga varian enjin pada Grand Livina yang boleh anda pilih. Sama ada bersesaran 1.6 dengan kod enjin HR16DE bertransmisi manual dan automatik atau 1.8 liter (MR18DE), transmisi automatik sahaja. 

Enjin generasi baru yang diperbuat daripada aluminium ini ringan dan mampu menjana kuasa dengan lebih efisien. Jika enjin 1.6 liter hanya disertakan dengan teknologi drive by wire, enjin 1.8 liter pula dilengkapi dengan teknologi CVTC (Continuously Variable -valve TimingControl).

Penggunaan bahan apinya juga menjimatkan. Nissan mendakwa Grand Livina 1.8 liter hanya menggunakan 6.5 liter petrol bagi setiap 100 kilometer (pada kelajuan 90 kilometer sejam). 

Tidak perlu meragui kualiti yang ada pada Grand Livina. Didatangkan dalam bentuk CKD menerusi proses pemasangan di kilang ETCM di Serendah, model ini mengaplikasikan Kaedah Pengeluaran Nissan (NPW). NPW merupakan piawaian antarabangsa bagi kualiti pengilangan dan pemasangan kenderaan keluarannya."

Kredit Untuk AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN dari KOSMOS kerana artikel yang berguna ini.

No comments:

Post a Comment