Search Everything

Wednesday, 28 September 2011

Hudud perlu ijtihad baru, kata Dr Asri

  Sep 20, 11 5:57pm - Malaysiakini

Pelaksanaan hudud memerlukan ijtihad atau pandangan baru dengan mengambil kira soal perubahan zaman dan tempat, kata bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Katanya, tiada orang beriman menafikan kewujudan nas hudud, tetapi ijtihad baru diperlukan kerana ahli fekah sejak dahulu berbeza pendapat dalam hal itu.

Perdebatan itu, kata Dr Asri (kiri), tentang suasana masyarakat, kadar barang curi tertakluk bawah hudud serta cara potongan tangan, alatan dan ubatan moden yang boleh digunakan.

"Demikian ruangan taubat dalam hudud juga hendaklah diluaskan dengan memakai mazhab yang luas dalam hal ini.

"Mereka yang bertaubat sebelum tangkapan patut digugurkan hukuman hudud dan boleh diganti dengan takzir (discretionary punishment)," katanya.

Dalam kertas kerjanya yang dibentangkan sempena sambutan Hari Hudud 2011 di Kota Bharu hari ini, Dr Asri berkata, hukuman rejam kepada penzina juga patut mengambil kira pandangan yang memasukkannya bawah peruntukan takzir, bererti pemerintah boleh meminda atau membatalkannya.

'Hudud bagai wanita baik'

Katanya, terdapat juga pandangan antaranya supaya hukuman rejam disempitkan kepada lelaki ataupun perempuan yang masih berkahwin sahaja kerana "pengkhianatan kepada pasangan dan keluarga sesuatu yang amat buruk".

"Jika suasana kondusif, perubahan zaman dan tempat diambil kira dalam pelaksanaan hukuman, maka kita akan dapati hudud mencapai matlamat pencegahan, pendidikan dan dalam masa yang sama menonjolkan keindahan hukuman tersebut.

"Jika tidak, hukuman itu akan membawa fitnah dan salah sangka terhadap Islam.

"Saya selalu sebutkan hudud bagaikan wanita yang baik, ia akan indah jika bersuamikan lelaki yang baik.

"Namun keindahannya akan hilang jiwa berada di bawah suami yang fasik dan rosak," kata pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu.

Hudud merupakan jenayah dalam Islam meliputi kesalahan berzina, qazaf, minum arak, mencuri, merompak, murtad dan derhaka kepada pemerintah yang menjalankan syariat Islam.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Dr Asri berkata, hudud belum sesuai dilaksanakan di negara ini kerana keadaan tidak kondusif dan tidak wajar mana-mana pihak menyalahkan pihak lain kerana tidak melaksanakan hukum itu.

Katanya jika dilaksanakan juga, ia akan menimbulkan ketidakadilan kepada semua pihak dalam masyarakat majmuk di negara ini.

"Jika ada hukum yang ditegak atas nama Islam tetapi gagal membawa keadilan kepada kehidupan manusia, maka ia bukan syariat yang Allah kehendaki sekalipun dipetik dalil-dalil agama dalam mempertahankannya," katanya kepada pemberita.

Monday, 26 September 2011

Nik Aziz: Jangan takut dengan hukum hudud

  Sep 25, 11 10:08am - Malaysiakini

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata tidak ada yang perlu ditakutkan sangat dengan hukum hudud kerana ia adalah perundangan yang digariskan Allah SWT.

Malahan katanya, undang-undang sedia ada yang dilaksanakan di negara ini jauh lebih zalim kerana memperuntukkan hukuman gantung sampai mati untuk kesalahan tertentu yang tidak terdapat dalam hukum hudud.

“Apa yang nak takut sangat (dengan hukum hudud)? Macam takut hantu... orang takut hudud macam takut hantu, tapi bila tanya apa itu hudud tidak tahu.

“Di Malaysia ada hukuman gantung sampai mati bagi kesalahan jual dadah, merompak dan sebagainya tetapi orang tak kata apa pun... bagaimana dengan keluarga yang suaminya digantung sampai mati? Hudud tak mati, kenapa orang tak marah hukumam gantung sampai mati tapi marahkan saya pasal hudud?

Menurut mursyidul am PAS itu, hudud adalah undang-undang Allah dan sebagai parti pemerintah, PAS hanya menjalankan kewajipan sekadar menyenaraikannya dalam dalam senarai undang-undang Kelantan.
Jelasnya, yang akan melaksanakan hukum hudud adalah hakim yang dilantik dan bukan dirinya atau pemimpin PAS yang lain.

“Kalau dibandingkan dengan hukuman gantung yang lebih kejam daripada hudud, hudud tak mati, cuma kerat tangan itu pun perlu ikut syarat-syarat yang ditetapkan. Hukum hudud tak mati, malah mereka masih boleh bekerja macam orang biasa,” katanya dipetik TV Selangor ketika berucap pada majlis Jamuan Aidilfitri Bersama Tuan Guru di dataran parkir Masjid Nurul Hidayah Kampung Pandan Dalam di Kuala Lumpur malam semalam.

Mursyidul Am PAS itu sebelum ini tetap dengan pendiriannya akan menegakkan hukum hudud dan penubuhan negara Islam.

Sejak awal 1990-an, kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS berusaha untuk melaksanakan undang-undang itu tetapi tersekat berikutan amaran dan halangan kerajaan pusat, khususnya pada 1994.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pula secara peribadi berkata beliau menyokong pelaksanaan hukum hudud, tetapi perkara itu belum dibincangkan oleh Pakatan Rakyat.

Tambah Nik Aziz, hukuman hudud tidak semestinya dilaksanakan, namun mahu ia dimasukkan dalam undang-undang syariah Islam sedia ada.

“Dekat pilihan raya timbul balik, saya di Kelantan hanya nak masuk dalam undang-undang syariah Kelantan, lepas pada itu terserah kepada hakim (untuk laksanakan), bukan saya yang laksanakan.

“Bukan saya atau orang politik laksanakan, hakim yang tentukan,” katanya.

Pada ceramahnya itu, Nik Aziz juga berkata ajaran Islam bukan diwujudkan oleh PAS tetapi Allah dan semua mereka yang beragama Islam perlu mengikut perintah dan meninggalkan larangannya.

“Umno tolak Islam ambil kebangsaan, Islam bukan dari PAS... dari Allah, Islam adalah cara hidup dan semuanya perlu ikut cara Islam.

“Pangkah parti yang boleh selamatkan Islam, sekarang bukan Islam sahaja, demokrasi pun tak selamat... Islam datangnya dari Allah, bumi, langit dan kita, Allah yang punya,” katanya.

Hudud dan Kelantan

  Abdul Aziz Bari Sep 26, 118:33am - Malaysiakini

Selepas melawat Kelantan dan memberi taklimat kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat, semalam serta mendengar sentimen daripada akar umbi, saya kini boleh meluahkan perkara berikut; yang masyarakat di luar Kelantan tidak boleh menghargai.

Saya akui bahawa apa yang saya lihat dan dengar semasa lawatan singkat itu telah mengubah perspektif saya mengenai isu berkenaan.

1. Hudud adalah tuntutan/hasrat rakyat Kelantan. Tok Guru berada di bawah tekanan dan saya fikir mereka sanggup mengadakan referendum atau pungutan suara bagi tujuan itu.

Berdasarkan sentimen ini, pemimpin Umno di Kelantan mengutuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana menolak hukum hudud yang secara tidak langsung membawa makna Umno boleh gulung tikar di negeri itu.

2. Seminar yang dianjurkan itu bukanlah sesuatu yang baru, saya pernah menjadi ahli panel untuk acara Hari Hudud pada tahun-tahun sebelumnya. Ini adalah program tahunan walaupun sebelum Pakatan diwujudkan.

Bagaimanapun bagi tahun ini, media-media milik Umno telah memutar-belitkan isu itu atas sebab-sebab yang jelas: pilihan raya dan berharap ia dapat mengkucar-kacirkan Pakatan. Sebelum ini, Umno langsung tidak mempedulikan Hari Hudud.
3. Tetapi saya berpendapat Najib membuat langkah yang salah. Dengan menolak pelaksanaan hukum hudud, beliau berfikiran bahawa boleh mendapatkan sokongan dan undi masyarakat bukan Islam.

Tetapi Tok Guru bukan bodoh. Mereka mempunyai laman Facebook sendiri dan berdasarkan maklum balas yang diterima, PAS yakin bahawa Umno kini tergugat atau terdedah di kawasan Melayu/Islam. Berdasarkan sambutan di Facebook, tidak ada jaminan bahawa mereka akan mendapat undi bukan Islam. DAP juga membuat kesilapan di sini.

4. Tok Guru telah menyatakan dengan jelas: hudud adalah hanya untuk Kelantan sahaja dan untuk orang Islam. Jadi apa masalah?

Saya telah berkata bahawa dari segi perlembagaan negara, ini tidak ada masalah. Masalahnya adalah dengan pengerusi DAP Karpal Singh dan parti itu yang yang berpegang pada keputusan mahkamah yang hakim itu sendiri - Tun Salleh Abas - mendakwa berlaku kesilapan. 

Dan juga, apa yang DAP perkatakan bukan sahaja merupakan satu pandangan yang hanya betul. Ia hanya pendapat. Tidak ada kebenaran mutlak dalam hal ini.

Perkara yang paling penting untuk difahami adalah bahawa perlembagaan tidak melarang pemakaian undang-undang Islam. Malah Najib sendiri mengakui perkara itu sudah ada dalam sistem sekarang. Kini, PAS boleh berkata kepada PM: lakukannya.

5. Najib seolah-olah mengulangi apa yang saya katakan selama ini; bahawa unsur-unsur hudud sudah ada dalam sistem di negara ini.

Persoalannya jika demikian, mengapa menentang PAS berhubung isu itu? Umno sepatutnya membantu dan bukannya menjadi halangan. Atas alasan itu, saya katakan Umno berada dalam bahaya kehilangan undi orang Melayu beragama Islam dalam usaha mereka merayu mendapatkan sokongan masyarakat bukan Islam.  

Dan masyarakat bukan Islam tidak semestinya mempercayai apa yang dilaporkan oleh media mereka setakat ini. Cuba perhatikan apa yang PAS akan lakukan mulai hari ini berhubung isu berkenaan.

6. Tidak timbul persoalan mengubah dasar Pakatan, seperti yang didakwa oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, LimGuan Eng yang juga adalah setiausaha agung DAP.

Hukum hudud adalah hanya untuk Kelantan dan untuk umat Islam. Malah di Kedah, PAS mempunyai dasar yang berbeza. Menteri Besar Datuk Seri Azizan Razak tegas berkata hukum hudud tidak akan dilaksanakan di negeri pimpinan PAS itu.

Nampaknya DAP cuba membuktikan bahawa mereka mendahului MCA dan Gerakan dalam usaha menentang hudud. Mereka terlepas pandang hakikat bahawa Nik Aziz hanya mendengar dan bertindak mengikut sentimen akar umbi di negeri itu. 

Yang DAP lihat dari perspektif ini - sama seperti Umno, MCA dan Gerakan - mengambil pendekatan tidak demokratik. Mereka menolak hudud walaupun ia tuntutan orang ramai dan permintaan seumpama itu dibenarkan oleh perlembagaan.

Di Kelantan, PAS dengan yakin mengisytiharkan bahawa mandat untuk memerintah termasuk mandat untuk melaksanakan hudud. Jadi, pada dasarnya, ini adalah mengenai menghormati permintaan ramai dan bukannya semata-mata melaksanakan hukum hudud atau mengkhianati rakan-rakan Pakatan.

Kita harus ingat bahawa permintaan hudud di Kelantan dilakukan melalui saluran demokrasi. Ini adalah apa yang Umno, DAP, MCA dan Gerakan perlu sentiasa ingat.
 
7. Saya bersetuju dengan Tok Guru bahawa tiada perubahan dalam sistem atau di dalam polisi. Ia hanya melakukan sesuatu yang boleh didapati dalam kerangka sistem sedia ada . Tetapi sudah tentu beliau menyedari bahawa ini hanya boleh menjadi kenyataan dengan kerjasama dari Umno.

Akta Mahkamah Syariah yang akan mengekang kuasa mahkamah syariah selama ini perlu dimansuhkan dan juga bagi membolehkan agensi-agensi persekutuan seperti polis dan sebagainya menjalankan tugas mereka di sisi undang-undang.

Jika Umno menolak melakukan ini, maka PAS boleh mencanangkan perkara ini ke seluruh negara bagi mendedahkan tembelang sebenar Umno. Selama ini, Umno telah melakukan pelbagai perkara untuk membuktikan bahawa mereka adalah pembela dan pejuang Islam yang sebenar. Antara contohnya, seperti serbuan gereja di Selangor, isu kepala lembu dan sebagainya.
 
Apabila Najib menolak hukum hudud, beliau sebenarnya telah merosakkan semua kerja keras parti dan ahli-ahli Umno lakukan selama ini.

8. Saya fikir PAS bersedia bertarung pada pilihan raya umum akan datang tanpa DAP. Mereka masih mempunyai PKR dan Dewan Perhimpunan Penyokong PAS (DHPP) mereka sendiri.

Saya tidak pasti jika DAP, MCA dan Gerakan benar-benar mewakili masyarakat bukan Islam. Masalah dengan parti-parti Cina adalah kerana mereka berfikiran hudud tidak boleh diterima meskipun perlembagaan tidak menyatakan demikian.  

Golongan berkecuali atau atas pagar di kalangan masyarakat bukan Islam saya fikir adalah rasional, mereka tidak bimbang, khususnya selepas Tok Guru memberi jaminan bahawa hukum hudud akan hanya dilaksanakan di Kelantan dan untuk umat Islam sahaja.

9. Umat Islam liberal? Undang-undang adalah jelas. Malah, sekarang pun, mereka tertakluk kepada undang-undang Islam. Mereka tidak mempunyai hak untuk memilih apa undang-undang.

Perlembagaan negara telah menyatakan dengan jelas bahawa di bawah Artikel 8 (5) bahawa hak sama-rata tidak boleh diguna-pakai. Sebagai contoh, jika orang Islam yang mempunyai hubungan seks dengan persetujuan orang bukan Islam, maka dia akan menghadapi tindakan manakala rakan bukan Islam akan terlepas dan dibebaskan.

10. Nik Aziz berkata, beliau ingin cuba melaksanakan hukum hudud di Kelantan sekarang kerana majoriti umat Islam di negeri itu telah memberikannya mandat. Negeri-negeri lain, katanya, hanya perlu menunggu dan melihat bagaimana Kelantan melakukannya. Jika ia 'baik' dan berjaya, mereka boleh melakukan perkara yang sama.

11. NGO seperti kumpulan pendesak Melayu, PERKASA, Pembela Islam dan yang lain perlu menyokong Kelantan dalam isu ini. Jika tidak, mereka menghadapi risiko dilabel sebagai boneka atau barua Umno semata-mata.
Pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari adalah pensyarah di UIAM.
Tulisan ini adalah pendapat peribadinya dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang pengarang Malaysiakini.

Friday, 16 September 2011

Pakar: Kuasa raja 1948 sekadar di kertas

Sep 15, 11 6:24pm - Malaysiakini

Pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari hari ini menolak pendapat ahli akademik terkenal Prof Datuk Ramlah Adam berhubung kuasa raja selepas pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948.

Katanya, berdasarkan kerangka perjanjian itu dan konteks raja berperlembagaan, raja sebenarnya sekadar formaliti dan mula kehilangan peranan.

"Contohnya, meskipun perlantikan menteri besar adalah kuasa mutlak sultan, ada sejarahwan yang mencatat bahawa Umno mendesak supaya para pemimpin mereka dilantik ke jawatan itu.

"Fenomena itu tidak mengejutkan kerana Umno berjaya menggembleng Orang Melayu menentang Malayan Union dan raja-Raja terhutang budi kepada mereka," kata Dr Abdul Aziz (kanan).

Ramlah semalam ketika mempertahankan status polis semasa tragedi Bukit Kepong berkata, selepas 1948, British benar-benar menjadi penasihat raja-raja Melayu dan arahannya tidak mesti diikuti, berbeza ketika Perjanjian Pangkor dimeterai pada 1874.
 
Katanya, British juga membuat perjanjian bertulis dengan raja-raja Melayu yang mengakuinya ketua negeri masing-masing dan berkuasa melantik menteri besar dan pegawai kerajaan.

Menurut Ramlah (kiri), selepas Malayan Union ditolak dan Persekutuan Tanah Melayu dibentuk, raja-raja Melayu dipulangkan kuasa mentadbir negeri dan jajahan takluknya, kecuali Kuala Lumpur yang masih bawah British.

Dr Abdul Aziz juga menolak pendapat Ramlah yang dikatakan dibuat tiga bulan lalu dalam seminar di Brunei bahawa bawah perlembagaan sekarang Agong dan Raja-Raja begitu berkuasa.

Status Kuala Lumpur
"Dia bawa macam-macam peruntukan perlembagaan sebagai bukti. Yang anehnya dia semacam tidak menyedari bahawa peruntukan-peruntukan itu perlu difahami dalam konteks raja berperlembagaan.

"Maksudnya di atas kertas memang raja nampak begitu gagah dan berkuasa sekali. Tetapi kenyataannya raja hanya mengikut nasihat.

"Dan malangnya dalam hal-hal yang raja ada kuasa pun kita tak nampak apa-apa yang siginifikan," katanya kepada Malaysiakini.
 
Sebagai contoh, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu berkata, boleh dilihat dalam bidang agama yang secara peribadi kuasa raja.

Sementara itu, Dr Abdul Aziz turut mempersoalkan hujah Ramlah bahawa kuasa mentadbir negeri dipulangkan kepada raja pada turut 1948, kecuali Kuala Lumpur yang masih bawah British.

"Bukankah KL waktu itu di bawah Selangor? Tapi dia kata Sultan berkuasa semula di bawah perjanjian 1948.

"Pelik. Macam mana British boleh berkuasa di tempat yang dimiliki oleh sultan? soalnya lagi.
Polemik berhubung status Tanah Melayu ketika tragedi Bukit Kepong pada tahun 1950 timbul apabila pada 9 September lalu, Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara Datuk Dr Zainal Kling (kiri) berkata, kecuali tiga Negeri Selat, Tanah Melayu "tidak pernah terjajah", sebaliknya, hanya dinaungi atau dilindungi British.

Ia lanjutan kenyataan kontroversi Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu pada 21 Ogos yang berkata, penyerang balai polis Bukit Kepong Mat Indera wira sebenar dan bukan "polis British".

'Gendang tari pilihan raya telah dipalu...'


Nasrudin Hassan Sep 16, 11 4:45pm - Malaysiakini

ULASAN Syukur Alhamdulillah, setelah sekian lama PAS berjuang dan kini bersama Pakatan Rakyat, menuntut keadilan dan kesaksamaan dalam sistem pemerintahan negara terutama tuntutan supaya dimansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kini hampir menjadi kenyataan setelah ramai pimpinan PAS dan aktivisnya terpaksa merengkok dalam tahanan kejam tanpa bicara itu, semata-mata kerana persaingan politik yang tidak matang.

Saya tidak lokek untuk mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Datuk Seri Najib Tun Abd Razak yang telah mengisytiharkan komitmennya untuk memansuhkan ISA sebentar tadi, biarpun Umno dan BN telah mengambil masa yang terlalu lama untuk memahami betapa kejam dan zalimnya undang-undang ISA ini ke atas makhluk yang bergelar insan. Sementara PAS telah menentang ISA sejak hari pertama ia dibentang dan diluluskan di Parlimen justeru ia bertentangan dengan semangat keadilan yang dianjurkan oleh syariat Islam.

Sejurus mendengar pengisytiharan Datuk Seri Najib pada malam ini, hampir mengalir air mata saya mengenang penderitaan dan kesengsaraan yang terpaksa dialami oleh bekas tahanan ISA sebelum ini. Alangkah jika ISA dimansuhkan sejak komunis menyerah diri dan membubarkan parti serta perjuangan mereka tempoh silam. Pastinya mereka tidak perlu menderita dan sengsara hanya kerana dendam politik sang pemerintah.

Datuk Seri Najib mesti mengotakan komitmennya dengan membentangkan secara rasmi kertas pemansuhan ISA ini di dalam Parlimen yang akan bersidang awal bulan depan dan disokong pula oleh keseluruhan ahli parlimen Umno dan BN sekaligus mengusulkan penutupan Kem Kemunting dengan membawa semua tahanan yang masih ada ke muka pengadilan untuk diadili mengikut proses undang-undang negara.

Dewan Pemuda PAS Malaysia mengharapkan kerajaan Umno dan BN pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib juga mestilah mengemukakan permohonan maaf secara terbuka serta membayar pampasan kepada semua mangsa-mangsa tahanan ISA dan keluarga mereka yang terpaksa mengalami penderitaan dan trauma yang teruk akibat akta draconian ini.

Alhamdulillah, Sekali lagi saya lafazkan rasa syukur kepada Allah swt. berikutan komitmen yang diberi oleh Perdana Menteri untuk turut mengkaji semula seksyen 27 Akta Polis 1967 serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.

Subjek yang diumum dan diisytiharkan oleh YAB Perdana Menteri adalah merupakan jurus-jurus kecil dari pelan induk Reformasi yang digerakkan oleh Pakatan Rakyat khasnya melalui Buku Jingganya sebelum ini. Demikian juga apa yang ditawarkan oleh PAS menerusi Dokumen Negara Berkebajikan.

Tidak mengapalah siapa pun yang melaksanakannya asal ia membawa kebaikan kepada rakyat. Namun Kerajaan Umno dan BN mesti sedar dan insaf, bahawa masih terlalu banyak perkara yang perlu direformasikan secara menyeluruh. Tidak memadai Perdana Menteri pancing sokongan pengundi dengan hanya membuat beberapa perubahan atau pindaan yang bersifat jurus-jurus kecil sedang masaalah pokok masih tergantung diawangan.

Masalah pokok yang saya maksudkan di sini ialah pemulihan sistem demokrasi yang adil dan ketelusan sistem pengurusan pilihan raya. Tiada erti perubahan itu dilakukan sedang hak pengundi untuk mengundi secara adil, telus dan saksama ternafi atau dinafikan dengan pincangnya sistem demokrasi dan selewengnya pengurusan pilihanraya.

Hari ini, negara masih berdepan dengan pelbagai bentuk kekeliruan dan keraguan yang timbul dari daftar pemilih, corak pengendalian pilihan raya, identiti pengundi, mykad palsu, pengundi klon dan undi pos sebagaimana yang didedahkan oleh DPP (Dewan Pemuda PAS) Malaysia, malah ianya masih gagal dijawab dengan jawapan yang meyakinkan oleh pengendali pilihanraya iaitu SPR mahupun kerajaan sendiri.

Ketelusan sistem pengurusan pilihan raya menjadi perkara terpenting setelah dilihat kepada usaha Perdana Menteri cuba melakukan perkara yang serupa dengan apa yang mahu dilakukan oleh PAS dan Pakatan Rakyat. Apabila dilihat program dan subjeknya serupa, maka rakyat perlu kepada keadilan dan ketelusan untuk memilih siapakah yang lebih layak untuk menjadi kerajaan atau pemimpin bagi melaksanakan program reformasi negara tersebut.

Apa yang pasti, kini Pakatan Rakyat telah dilihat mampu memimpin dan memerintah. Tiada siapa boleh menafikannya lagi setelah banyak idea dan program reformasi negara yang dicadang oleh Pakatan Rakyat kini dilaksanakan oleh kerajaan Umno dan BN.

Saya sendiri bertambah yakin. Bahawa Pakatan Rakyat mampu mengambil alih teraju kepimpinan negara, kerana rakyat kini beralih perhatian untuk memilih siapa yang paling layak memimpin dan memerintah setelah dilihat idea dan program perubahan hampir serupa dari kedua-dua parti iaitu Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional. Malah rakyat tahu siapa yang menggerakkan program dan idea perubahan tersebut.

Ertinya selepas ini nilai integriti, akhlak pemimpin, kecerdasan dan karisma kepimpinan akan menjadi nilai fokus pada pengundi untuk diberi mandat kepimpinan negara, kerana tiada erti diserahkan urusan pemerintahan kepada manusia yang rosak nilai integriti, rasuah dan tidak diyakini kewibawaannya. Justeru itu, berikan ruang secukup dan seadilnya untuk rakyat membuat pilihan tepat tanpa sebarang tekanan dan ugutan jua tanpa sebarang manipulasi.

Dewan Pemuda PAS Malaysia percaya, pengumuman Perdana Menteri malam tadi adalah isyarat gendang tari pilihan raya telah dipalu. Pemuda PAS secara asasnya telah bersedia untuk menghadapi kemungkinan pilihan raya di adakan pada bila-bila masa secara spiritual, mental, material dan fizikal.

Pembentangan belanjawan pada bulan hadapan juga pastinya akan dijadikan belanjawan pilihan raya seperti lazimnya dan akan banyaklah tawaran - tawaran dikemukakan kepada rakyat terutama rakyat marhaen dan menengah.

Kini DPP Malaysia telah memasuki gear lima untuk terus meluncur dengan persiapan dan gerakkerjanya ke arah memenangi pilihan raya umum ke-13, insyaallah.

Nota:
Nasrudin Hassan adalah ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Thursday, 15 September 2011

Dijajah atau dinaungi?

Anwar Ridhwan Sep 12, 116:22pm - Malaysiakini Ruangan Kolum

Negara yang bertamadun dan berdaulat terlebih dahulu harus bebas daripada penjajahan politik.

Mutakhir ini timbul polemik sama ada Malaysia pernah dijajah oleh Inggeris, atau hanya dinaungi oleh Inggeris.

Kali ini mari kita kembali kepada pandangan pakar sejarah. Mereka ialah Barbara Watson Andaya dan Leonard Y Andaya yang telah menghasilkan buku Sejarah Malaysia (Petaling Jaya: Macmillan, 1982, 391 halaman). 

Barbara Watson Andaya pernah bertugas sebagai tutor kanan di Jabatan Sejarah, Universiti Auckland. Beliau merupakan pengarang buku berjudul Perak, the Abode of Grace: A Study of an Eighteen Century Malay State (1979), dan telah bersama-sama menterjemahkan satu edisi anotasi teks Melayu abad ke-19, Tuhfat al-Nafis (1982).

Leonard Y Andaya pula pernah bertugas sebagai pensyarah kanan di Jabatan Sejarah, Universiti Auckland. Buku-buku beliau termasuklah The Kingdom of Johor 1641 - 1728 (1975), dan Heritage of Arung Palaka: A History of South Sulawesi (Celebes) in the Seventeen Century (1981).

Kedua-dua mereka pernah mengajar di Universiti Malaya dan telah mengadakan Research Fellowship di Australian National University (ANU).

Berikut ialah petikan daripada buku mereka Sejarah Malaysia. Diturunkan sub bab dalam buku tersebut, bersama-sama petikannya yang relevan dengan judul tulisan ini.
Hidupnya sebuah masyarakat kolonial 1919-57

"Menjelang tahun 1919, seluruh Semenanjung Tanah Melayu tertakluk kepada satu corak penguasaan Inggeris. Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu (NMB) telah berada paling lama di bawah pengaruh Inggeris, dan akibatnya berbagai-bagai institusi adalah lebih erat diselaraskan daripada institusi yang sama di Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu (NMTB)...
"Sebaik saja Inggeris berjaya menjadi kuasa yang agung di Semenanjung Tanah Melayu, mereka meneruskan dasar 'berbaik-baik' dengan Raja-raja Melayu dan 'campur tangan yang minimum' dengan kaum petani Melayu... Namun mereka tidak dapat mengenepikan pertimbangan utama yang telah membawa mereka ke Semenanjung: mengekalkan keamanan dan ketenteraman supaya pihak pedagang Inggeris dapat mengambil kesempatan dari kekayaan daerah itu.

"Ke arah inilah pihak Inggeris mendirikan jentera politik dan pentadbiran untuk menggemblengkan sumber-sumber negeri di Semenanjung... Semasa zaman kolonial, kebanyakan tulisan penting mengenai sejarah awal dan kebudayaan orang Melayu telah diterbitkan oleh sekumpulan sarjana-pentadbir terutama dalam Journal Malayan Branch of the Royal Asiatic Society ." (halaman 238-240).

Mengadakan rangka bagi ekonomi eksport

"Kekuasaan pemerintah kolonial baru yang hampir-hampir tidak boleh dicabar itu segera mendorong perubahan-perubahan yang dikatakan mustahak bagi memudahkan pembangunan serta membawa keuntungan yang berterusan dari ekonomi eksport. 

"Mereka mencari serta mengadakan 'rangka politik dan pentadbiran yang cocok sekali' yang dengan demikian pengusahaan swasta boleh berkembang maju.

"Tanpa cabaran dari kelompok kepentingan tempatan yang kuat, pihak Inggeris dengan bebas dapat melakukan penyusunan semula masyarakat tempatan dengan mengaturkan semula kegunaan sumber-sumber untuk maklumat kemajuan ekonomi yang lebih besar.

"Sehingga tahun 1919, Semenanjung Tanah Melayu telah melihat perubahan-perubahan yang begitu pesat dalam bidang sosio ekonominya. Kini wajarlah istilah 'British Malaya' mula digunakan, sebab sesungguhnya Malaya telah menjadi 'British' dalam ertikata matlamat sosial dan ekonominya." (halaman 240).
Kemerdekaan

"Pada bulan April 1949, Parlimen Inggeris telah membuat pengikatan memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu dengan disahkan dalam bulan Mac berikutnya oleh Perdana Menteri Inggeris. 

"Apabila Leftenan-Jeneral Sir Gerald Templer sampai di Tanah Melayu pada awal Februari 1952 sebagai Pesuruhjaya Tinggi yang baru, beliau mengumumkan bahawa objektifnya yang segera ialah ialah membentuk satu bangsa Malaya yang bersatu padu.

"Ke arah matlamat ini, juga bagi melemahkan dan seterusnya menghancurkan PKM, Templer telah memperkenalkan pilihanraya setempat, majlis mesyuarat kampung, dan kewarganegaraan kepada lebih separuh daripada orang-orang Cina; menggabungkan Majlis Perang dengan Majlis Mesyuarat Kerja Kerajaan; dan membolehkan orang-orang Cina, buat pertama kalinya, memasuki Perkhidmatan Awam Tanah Melayu.  

"Dalam bulan April 1954, Templer mengumumkan bahawa pilihan raya yang awal akan diadakan untuk Majlis Perundangan Persekutuan pada tahun 1955, dengan itu membayangkan bahawa Tanah Melayu sudah berada di ambang pintu kemerdekaan." (halaman 304) ...

"Sungguhpun kemenangan muktamad menentang komunis masih belum dicapai pada tahun 1957 apabila kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu diumumkan, ancaman komunis itu telah hampir-hampir hapus.

"Namun, ancaman perkauman masih kekal, warisan pemerintah kolonial, yang akan menentukan kehidupan terus atau pun kehancuran muktamad negara yang baru itu." (halaman 308). 

Datuk Dr Anwar Ridhwan merupakan sasterawan negara ke-10. Anak kelahiran Sungai Besar, Selangor itu terkenal sebagai seorang novelis dan penulis cerpen. Antara karyanya yang terkenal Hari-hari Terakhir Seorang Seniman dan Naratif Ogonshoto.

Tulisan ini bahagian ketiga daripada siri artikel pendek bertemakan "Masyarakat Bertamadun" yang akan diterbitkan setiap dua minggu.

Tulisan ini merupakan pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Teks penuh perutusan khas Hari Malaysia

Sep 15, 11 9:13pm - Malaysiakini

Perutusan khas Hari Malaysia
YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak
Perdana Menteri Malaysia
sempena sambutan Hari Malaysia 2011

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam sejahtera dan Salam Hari Malaysia.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian.

1. Alhamdulillah dengan limpah izin dan kurnia-Nya jua, kita dapat menyambut ulangtahun penubuhan Malaysia bagi kali ke-48 sebagai warga sebuah negara yang merdeka, berdaulat, demokratik, aman dan makmur.

2. Sesungguhnya kisah perjalanan Malaysia penuh warna-warni. Bermula daripada sebuah negara pertanian berpendapatan rendah semasa penubuhannya, hari ini, hasil mahsul perancangan penuh sistematik dan pelaksanaan begitu mapan, kita telah berjaya muncul sebagai negara perindustrian moden yang berpendapatan sederhana tinggi. Bertolak dari situ, sekalipun kejayaan yang telah dicapai bersifat monumental dan amat signifikan, ia bukanlah alasan yang membenarkan kita untuk berhenti berusaha, berasa puas hati, berasa selesa, apatah lagi mengambil sikap bersimpuh sambil berpeluk tubuh.

3. Apa yang sewajarnya dilakukan demi survival serta kesejahteraan rakyat terus meningkat lagi terjamin dalam dunia yang amat kompetitif dewasa ini, marilah melipatgandakan usaha bagi menambahbaik daya saing nasional melalui penggunaaan kreativiti, inovasi dan menjulat usaha penciptaan kekayaan baru berasaskan sifat keusahawanan mandiri. Semua matlamat ini tidak mungkin akan tercapai tanpa wujudnya perpaduan nasional, keamanan, kestabilan dan keharmonian.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

4. Membelek helaian-helaian tawarikh, apabila negara mencapai kemerdekaan 54 tahun lalu sehingga Malaysia dibentuk enam tahun kemudiannya, bersama-sama Sabah dan Sarawak, banyak pihak ketika itu, sama ada pemerhati asing, mahupun warga tempatan berasa ragu-ragu serta waham mempersoalkan tentang, sebuah negara baru yang negeri-negerinya terpisah dek Laut Cina Selatan, sedang diancam pula pemberontakan komunis, dengan separuh penduduknya hidup di bawah paras kemiskinan, ditambah oleh faktor kemajmukan demografik yang luar biasa kompleksitinya, mungkinkah mampu untuk kekal utuh sebagai sebuah negara bangsa apatah lagi untuk berjaya?

5. Ternyata, pencapaian Malaysia selama ini, bertatih dan berjalan jatuh untuk mengecap nikmat kejayaan diiringi sebuah takdir yang penuh cabaran. Jika disisir sejarahnya, semacam satu keajaiban diawal usia setahun jagung meraih kemerdekaan, hakikat yang tersebut tadi ditambah berat pula dengan penerimaan sistem dan falsafah pentadbiran negara berasaskan Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan serta Persekutuan, telah diterima amal secara tuntas oleh kita begitu awal ketika mana proses pembudayaan masih lagi tidak matang.

6. Jelas sekali, sebelum merdeka, warga tiga belas buah negeri yang bersatu membentuk Malaysia tidak pernah berpeluang untuk memilih kerajaan yang akan memerintah sekalipun corak pentadbirannya. Kewujudan mereka hanyalah sebagai rakyat negeri-negeri naungan atau tanah jajahan yang diberi keistimewaan politik terhad mengikut budi bicara kuasa pemerintah. Pastinya, ini, bukanlah hak politik tulen yang terbit daripada kewarganegaraan sebuah negara merdeka serta berdaulat.

7. Menyingkap fakta, sebelum merdeka, pemilihan politik pertama yang berlangsung di mana rakyat telah diberi peluang secara terhad untuk memilih wakil mereka adalah semasa pemilihan beberapa Majlis Perbandaran pada tahun 1952 dan seterusnya pemilihan sebahagian Anggota Majlis Perundangan Persekutuan pada tahun 1955. Sebaliknya, hanya tahun-tahun selepas merdeka bermula 1959, rakyat mula diberi hak dan tanggungjawab sepenuhnya untuk memilih semua ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri sebagai hak budi bicara mutlak dalam menentukan parti manakah bagi membentuk kerajaan.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

8. Sememangnya kita perlu bersyukur kerana dari masa hingga masa, walau apapun rintangan menjelma, sama ada bersifat dalaman mahupun luaran yang telah mengancam demokrasi dan kebebasan individu seperti pemberontakan komunis, konfrontasi menentang penubuhan Malaysia, rusuhan kaum, kemelesetan ekonomi, ekstrimisme agama mahupun cauvinisme perkauman, Alhamdulillah, setiap satunya telah berjaya ditangani dan dihadapi menggunakan kerangka tindakan berhemah, demokratik berasaskan prinsip keluhuran perlembagaan serta kedaulatan undang-undang.

9. Barang harus diingat jua, sepanjang tempoh tersebut tidak pernah terlintas di benak pihak kerajaan walau sedetikpun untuk menukar sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan sedia ada dengan sebarang sistem anti-demokratik, waima betapa getir cabaran yang dihadapi. Seperti terakam pada susur galur negara, disebabkan tragedi 13 Mei, Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong bertindak atas nasihat YAB Perdana Menteri ketika itu menurut peruntukan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, telah mengisytiharkan darurat.

10. Salah satu kesan pengisytiharan darurat 1969 tersebut adalah proses pilihanraya yang belum selesai di Sabah dan Sarawak telah digantung. Peristiwa selanjutnya yang berlaku adalah pemilihan Dewan Rakyat telah disempurnakan dalam tempoh lebih kurang dua puluh bulan kemudian dan sistem Demokrasi Berparlimen dipulih kembali apabila keamanan negara telah stabil seperti sediakala.

11. Kendatipun begitu, Allahyarham Tun Abdul Razak selaku Timbalan Perdana Menteri pada masa tersebut merangkap Menteri Pertahanan yang telah diamanahkan mengetuai Majlis Gerakan Negara atau MAGERAN, dengan memiliki kuasa mutlak eksekutif dan perundangan, tidak pernah menyimpan hasrat untuk mengekalkan kuasa-kuasa tersebut lebih lama daripada apa yang perlu.

12. Sudah terang lagi bersuluh, Allahyarham Tun bersama rakan-rakan ketika itu amat menyedari bahawa kuasa luar biasa tanpa sempadan yang tergenggam di tangan mereka tersebut tidak boleh sekali-kali dijadikan suatu kelaziman demi masa depan negara tercinta. Sebaliknya, mereka faham kuasa total itu sekadar suatu amanah untuk mengekang dan mengawal tragedi serta kegoncangan yang berlaku.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

13. Sebetulnya lagi, sebagai sebuah negara demokrasi berparlimen, kuasa untuk menentukan parti politik mana yang akan membentuk kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan mahupun di peringkat negeri terletak secara mutlak tanpa kekecualian di tangan rakyat. Setelah lebih lima dekad kemerdekaan negara dan hampir lima dasawarsa pembentukan Malaysia, kita dapati bahawa, pengalaman, kematangan serta kebijaksanaan rakyat negara ini dalam memilih kerajaan demi menentukan halatuju masa depan yang mereka dambakan tidak boleh dinafikan oleh sesiapapun jua.

14. Bahkan, saya sering mengutarakan bahawa era kerajaan mengetahui segala-galanya dan memiliki monopoli terhadap kebijaksanaan sudah melewati tempohnya. Revolusi dalam bidang teknologi maklumat, kemajuan komunikasi dan kecanggihan pengangkutan telah membuka persaingan serta perbandingan secara meluas lagi dinamik dalam pasaran idea.

15. Kontemporari ini, taraf serta akses rakyat kepada semua peringkat pendidikan semakin meluas seiring dengan korpus pengetahuan yang dimiliki. Disamping itu, pertumbuhan ekonomi yang mapan, pengurangan kadar kemiskinan dan inisiatif kejuruteraan sosial serta keberkesanannya, telah berjaya meningkatkan taraf hidup serta mewujudkan kelas menengah yang besar. Mutakhir pula, keutamaan kehendak dan keperluan rakyat Malaysia telah mengalami perubahan yang besar berbanding empat atau lima dekad yang lalu.

16. Melangkah lebih jauh, mentadbir negara yang terzahir dari saat kemerdekaan dikudratkan oleh kehendak rakyat, kerajaan kini akan terus komited menjunjung sistem Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan, kedaulatan undang-undang, falsafah persekutuan serta prinsip imbang dan periksa di antara ketiga-tiga cabang kerajaan.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

17. Sebagai yang ramai maklum bahawa, kecuali darurat akibat konfrontasi tahun 1964, yang telah dibatalkan secara tersirat, kesemua proklamasi darurat lain yang telah diisytiharkan sebelum ini, masih dianggap berkuatkuasa sehingga hari ini. Justeru, menginsafi bahawa realiti negara Malaysia telah berubah, merasai denyut nadi, resah gelisah dan aspirasi rakyat yang mahukan Malaysia menjadi lebih terbuka lagi dinamik demokrasinya, di mana, pendapat, idea dan kebimbangan massa lebih diberi perhatian, agar dapatlah kita berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan sistem demokrasi lain di dunia yang berasaskan falsafah universal dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat, maka, kerajaan kini, di bawah Fasal 3 Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, akan membentangkan kepada kedua-dua Majlis Parlimen dengan usul agar ketiga-tiga proklamasi darurat yang telah diisytihar dulu, supaya ditamatkan kuatkuasanya. Pada hemahnya, sudah tiba waktu rakyat Malaysia menuju masa depan dengan paradigma seterusnya yang berasaskan harapan baru dan bukannya terbelenggu oleh nostalgia kekangan sejarah lampau.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

18. Dalam menyusun atur peradaban bernegara bagi menghadapi keadaan luarbiasa yang mengancam keselamatan tanahair dan kesejahteraan rakyat, tidak dapat tidak, menuntut kepada langkah-langkah khas yang kadangkala, bersifat di luar norma demokratik. Umpamanya, tindakan tahanan pencegahan. Sesungguhnya, kebijaksanaan menangani keganasan memerlukan kita mencegah perlakuan itu, sebelum kehilangan nyawa mereka yang tidak berdosa, harta benda atau menatijahkan apa-apa kecederaan. Ini merupakan satu kebenaran yang bersifat global dan diterima ramai.

19. Dari perspektif undang-undang Islam pula, ia terangkum jelas dalam Maqasid Syariah yang berobjektif melindungi lima perkara utama yakni; pertama: agama, kedua: nyawa, ketiga: akal, keempat: keturunan dan maruah serta kelima: harta benda. Bahkan prinsip Usul Fiqah banyak membicarakan tentang perlunya disekat lebih awal sesuatu kemungkaran itu, sebelum ia berlaku. Manakala satu prinsip menyatakan bahawa, keputusan pemerintah adalah satu amanah yang perlu dibuat bagi pihak yang diperintah atas kepentingan maslahah ramai.

20. Ini bukanlah ehwal yang pelik, tidak lazim atau asing. Terbukti, negara-negara demokrasi yang maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom juga telah menggubal rangka perundangan khas bagi menangani ancaman pengganas pasca tragedi 11 September.

21. Pucuk pangkalnya, perseimbangan serta perimbangan yang harus ada bagi sebuah demokrasi moden adalah, diantara keselamatan nasional dan kebebasan individu. Itulah tugas dan tanggungjawab sebuah kerajaan yang matlamat tertingginya, menjunjung kebajikan serta kesejahteraan rakyat untuk mencari keseimbangan yang betul ini.

22. Misalnya, kebebasan bersuara yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan tidak sesekali bermaksud sebagai kewenangan hak kepada mana-mana pihak untuk membuat fitnah dan menghasut api kebencian. Sebagai contoh mudah yang lain, kerajaan turut bertanggungjawab untuk menghalang jeritan palsu tentang bom dalam sebuah stadium yang penuh sesak. Ini kerana, kebebasan luar kawal sebegitu, akan hanya menimbulkan panik yang boleh membawa kepada kecederaan dan kehilangan nyawa.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

23. Sepertimana yang saya janjikan dalam ucapan sulung saya semasa mula-mula mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 3 April 2009, bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yakni ISA) akan dikaji secara komprehensif. Sehubungan dengan itu, suka saya mengumumkan pada malam yang bersejarah ini, bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (yakni ISA) akan dimansuhkan terus.

24. Untuk mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah bagi memelihara ketenteraman dan keselamatan awam, dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal di bawah
semangat serta payung Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan. Pokoknya, akta-akta ini nanti bermatlamat untuk memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

25. Di atas segalanya, Kerajaan akan tetap memastikan hak asasi mereka yang terbabit terpelihara. Apa-apa undang-undang yang diperbuat akan mengambil kira hak dan kebebasan asasi berlandaskan Perlembagaan Persekutuan. Undang-undang baru ini akan memperuntukkan tempoh tahanan oleh polis yang secara substansialnya lebih pendek daripada apa yang ada sekarang dan apa-apa tahanan lanjut hanya boleh dibuat dengan perintah mahkamah kecuali undang-undang berkaitan keganasan, masih dikekalkan bawah kuasa Menteri.

26. Di sudut lain, kerajaan juga memberi komitmen bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik. Umumnya pula, kuasa untuk melanjutkan penahanan akan beralih daripada badan eksekutif kepada badan kehakiman kecualilah undang-undang berkaitan keganasan itu tadi.

27. Dalam konteks ini juga, selain memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, Kerajaan juga akan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa. Sehubungan dengan itu lagi, kita tidak akan teragak-agak untuk meminda atau memansuhkan undang-undang yang tidak lagi relevan.

28. Kajian semula komprehensif ini akan melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan. Kerajaan juga akan mengkaji semula seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan. Namun, kebenaran berhimpun diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak disamping mengambilkira norma-norma di peringkat antarabangsa.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

29. Sebagai sebuah negara, Malaysia dan seluruh warganya kini berada di persimpangan jalan. Pilihan yang kita putuskan hari ini akan menentukan nasib serta mencorakkan rupabentuk Malaysia pada masa hadapan, tanah air yang akan kita wariskan kepada anak-anak kita dan generasi mendatang. Persoalannya, mampukah kita melampaui dan mencabar wasangka lazim bahawa rakyat Malaysia daripada latarbelakang yang majmuk, status sosioekonomi berbeza dan fahaman politik pelbagai, secara iradat manusiawinya, tiba kepada konsensus untuk tidak tunduk menyerah kepada sekam kebencian dan kecurigaan yang pastinya mengheret kita ke lembah kehinaan. Sebaliknya, ayuhlah kita bersama mendaya sebuah masa depan yang sarat dengan harapan dan kemuliaan.

30. Yakinlah bahawa, ia satu kekuatan bukan satu kelemahan untuk kita meletakkan kepercayaan kepada kebijaksanaan rakyat Malaysia membuat pilihan dalam mencorakkan hala tuju masa depan mereka sendiri. Jika kita menganggap ia satu kesilapan maka, apakah maknanya pencapaian kita hari ini, apakah gunanya kita merancang pembangunan negara degan begitu tersusun semenjak merdeka, apakah gunanya kita membelanjakan sebahagian besar khazanah negara setiap tahun untuk memberikan akses pendidikan berkualiti kepada semua rakyat, membebaskan warga daripada cengkaman kemiskinan, membina infrastruktur fizikal serta teknologi komunikasi maklumat yang berkelas dunia?

31. Jawapannya sangat jelas yakni, langkah-langkah yang saya umumkan sebentar tadi tidak lain tidak bukan adalah inisiatif awal transformasi politik secara tertib lagi berhemah. Ia berdiri sebagai pelengkap amat penting serta perlu kepada insiatif-inisiatif transformasi bidang ekonomi dan penyampaian awam yang pihak kerajaan telah rangka dan laksanakan semenjak lebih dua tahun kebelakangan dalam usaha menuju sebuah negara moden dan progresif.

32. Pastinya, masa bukan terlalu awal mahupun terlalu lewat, akan tetapi inilah kala paling sesuai serta waktu paling tepat untuk perhitungan-perhitungan besar sedemikian diambil dan dilancarkan. Kita maklum, walaupun bagi pendapat sesetengah pihak ia penuh berisiko, kita akan melakukannya demi survival, setelah lebih lima puluh tahun negara merdeka, dan hampir lima dekad Malaysia terbentuk. Lantaran kita di ambang pedati yang sedang berpacu deras untuk sampai ke destinasi sebagai sebuah negara maju sepenuhnya.

Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,

33. Akhir kalam, saya ingin tegaskan bahawa tanpa syak dan tanpa ragu-ragu lagi, Malaysia yang kita impikan bersama dan sedang kita cipta ini adalah Malaysia yang mengamalkan demokrasi berfungsi dan inklusif di mana keamanan dan ketenteraman awam dipelihara selaras dengan roh ketertinggian Perlembagaan, kedaulatan undang-undang, penghormatan kepada hak asasi manusia dan hak-hak individu.

Demi Malaysia, bertawakallah semua dan kepada Tuhan kita berserah.

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.

Mat Indera ketuai serangan di Bukit Kepong

Sep 15, 11 9:33am - Malaysiakini

Bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng pernah mengakui dan mengesahkan bahawa serangan pengganas di Balai Polis Bukit Kepong diketuai oleh Mat Indera yang juga seorang panglima pemerintah komunis di negeri Johor.

Bekas Pengarah Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Zulkifli Ab Rahman berkata, perkara itu diceritakan sendiri oleh pemimpin komunis paling berpengaruh itu di hadapan para cendekiawan dalam satu dialog yang diadakan di sebuah universiti terkemuka di Canberra, Australia pada 22 dan 23 Feb 1999.
 
"Mat Indera pada masa itu dikenali sebagai panglima yang memerintah komunis di kawasan selatan dan utara Johor iaitu di Batu Pahat, Muar, Segamat, Tangkak dan seluruh Melaka.

"Ini bukan cerita yang dikutip di tepi jalan, tetapi disahkan oleh Chin Peng kerana baginya untuk menjadi pengganas mereka mesti menjadi komunis,” katanya dalam Forum Merdeka bertajuk ”Kekejaman Komunis, Mat Indera dan Kemerdekaan” di Kuala Lumpur malam tadi.

Selain Zulkifli, forum itu turut dibarisi oleh tiga anggota panel yang lain iaitu bekas Timbalan Panglima Tentera Darat Leftenan Jeneral (B) Datuk Jaafar Onn, pakar sejarah Prof Datuk Ramlah Adam serta Pengerusi Majlis Perundingan Melayu Prof Datuk Kamaruddin Kachar.

Forum yang dianjurkan oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) itu dipengerusikan oleh presidennya Datuk Ibrahim Ali.
 
Sehubungan itu, Zulkifli yang berkhidmat selama 37 tahun di dalam PDRM dan bertanggungjawab dalam risikan mengenai komunis pada masa itu, berkata dakwaan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu atau Mat Sabu yang menyatakan Mat Indera adalah pejuang kemerdekaan, tidak benar dan tidak berasas.

"Macam manalah Mat Sabu berani kata Mat Indera ini bukan komunis, kenapa Mat Sabu pilih Mat Indera sebagai hero dalam peristiwa Bukit Kepong padahal dia tidak kenal siapa itu Mat Indera,” katanya.

- Bernama

Sunday, 11 September 2011

Cukai perkhidmatan 6%: PM perlu bertanggungjawab

Mohd Rafizi Ramli Sep 10, 11 9:57pm - Malaysiakini

ULASAN Kenyataan Datuk Seri Najib Razak yang menyalahkan syarikat telekomunikasi atas kenaikan harga akibat cukai perkhidmatan 6 peratus tidaklah mengejutkan. Kebelakangan ini, tindakan beliau yang suka menuding jari kepada orang lain apabila keputusannya sendiri tidak disukai rakyat sudah menjadi tabiat.
 
Adalah tidak patut apabila seorang perdana menteri menyatakan beliau tidak tahu menahu mengenai kenaikan kos prabayar yang ditanggung rakyat, sedangkan beliau sendiri dengan gahnya mengumumkan kenaikan cukai perkhidmatan dalam pembentangan belanjawan 2011 di Dewan Rakyat tahun lepas.

Rakyat harus sedar bahawa cukai perkhidmatan 6 peratus ke atas perkhidmatan telekomunikasi termasuk kad prabayar adalah cukai kerajaan. Cukai ini adalah milik kerajaan sepenuhnya dan tidak ada satu sen pun yang masuk poket mana-mana pihak lain, yang hanya bertanggungjawab mengutip cukai ini bagi pihak kerajaan. Setiap tahun, dianggarkan kerajaan mengutip sehingga RM750 juta daripada pembelian kad prabayar oleh rakyat Malaysia.

Walaupun saya berpendapat keputusan syarikat telekomunikasi untuk menaikkan kos kad prabayar untuk menampung kenaikan cukai perkhidmatan adalah tidak berpatutan kerana keuntungan mereka yang begitu tinggi, kita juga perlu adil dengan memahami bagaimana kos bagi segmen prabayar meningkat apabila cukai perkhidmatan dinaikkan.
Namun, tabiat perdana menteri yang suka menuding jari dan tidak mahu mengambil tanggungjawab perlu ditegur dengan keras oleh ahli-ahli politik dan pimpinan golongan niagawan. Kerajaan tidak boleh berdolak dalih dalam melaksanakan dasar percukaiannya. Jika ia telah meluluskan undang-undang yang menetapkan semua perkhidmatan dikenakan cukai 6 peratus
sebagai satu bentuk cukai penggunaan, ia tidak boleh secara diam-diam berharap cukai itu ditanggung oleh syarikat, kerana cukai perkhidmatan adalah satu bentuk cukai yang ditanggung oleh rakyat bagi tujuan mengawal penggunaan.

Tabiat sebegini akan menghuru-harakan keadaan. Ia akan menyebabkan pentadbiran percukaian dan ekonomi negara kucar-kacir kerana kaedah percukaian yang berbeza sudah hilang maknanya; apabila perdana menteri sendiri yang keliru di antara tujuan dan fungsi di antara cukai langsung (ke atas keuntungan dan pendapatan) berbanding cukai tidak langsung (ke atas penggunaan melalui cukai perkhidmatan dan barangan). Maka tidak hairanlah perdana menteri sehingga sekarang tidak berjaya mengembalikan keyakinan pasaran kepada dasar dan kepimpinannya.
 
Tabiat Datuk Seri Najib Razak juga berbahaya kerana ia memberi gambaran syarikat berlainan akan mendapat layanan berbeza walaupun undang-undangnya sama. Jika beliau mahu syarikat telekomunikasi menanggung cukai perkhidmatan 6 peratus, beliau juga perlu berlaku adil kepada semua. Makanya, beliau wajar memberi arahan agar semua syarikat lain dari pelbagai industri, termasuklah industri penyiaran (Astro) hinggalah kepada industri makanan (KFC dan restoran mamak) juga perlu menanggung cukai perkhidmatan itu.

Alang-alang beliau mahu menjadi jaguh rakyat, lebih baik beliau menghapuskan saja cukai perkhidmatan kerana beliau tidak ada hak untuk memberi arahan syarikat mana perlu menanggung cukai perkhidmatan. Tindakan itu akan menyebabkan sudah tidak ada beza di antara cukai perkhidmatan dan cukai pendapatan.
Hakikatnya, rakyat harus sedar bahawa tindakan Datuk Seri Najib Razak menaikkan cukai perkhidmatan kepada 6 peratus berkuatkuasa 1 Januari 2011 memainkan peranan dalam kenaikan kos; termasuk kos prabayar.

Jika beliau mahu menjadi seorang perdana menteri yang bertanggungjawab, beliau sepatutnya mengumumkan pengecualian daripada cukai perkhidmatan semua perkhidmatan harian yang ditanggung sebahagian besar rakyat; termasuklah perkhidmatan siaran TV berbayar (Astro), telekomunikasi dan restoran.

Itu lebih bertanggungjawab daripada terus menuding jari kepada orang lain apabila keputusannya dibangkang rakyat.

Nota:
Mohd Rafizi Ramli adalah pengarah strategi PKR

Dr M: Sejarah di sekolah kurang tepat

Sep 11, 11 2:34pm - Malaysiakini

Matapelajaran sejarah yang diajar di sekolah-sekolah dilihat kurang tepat kerana tidak mempunyai latar belakang perjuangan kemerdekaan, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata subjek itu tidak begitu tepat kerana salah satunya cerita mengenai peranan Tunku Abdul Rahman yang memperjuangkan kemerdekaan negara tidak banyak disebut dalam sukatan matapelajaran berkenaan.

"Ramai daripada generasi muda tidak begitu faham dengan sejarah dan asal-usul negara kerana ada percubaan untuk mengubah sejarah daripada fakta kepada khayalan," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Pecah Tanah Dewan Centennial KSAH-SAHOCA di Alor Setar hari ini.

Beliau berkata kerana itulah kerajaan perlu menumpukan apa sebenarnya berlaku supaya tulisan tentang sejarah negara tidak dipengaruhi oleh kepentingan politik semasa.

"Bukan mengkaji semula sejarah tetapi perlu balik kepada benda yang benar. Sejarah sudah berlaku dan kita tidak boleh ubah sejarah dan apa yang berlaku dahulu...berlakulah," katanya mengulas kenyataan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Jumaat.

Mohamed Khaled berkata sukatan pelajaran subjek sejarah peringkat sekolah akan dikaji semula selepas didapati beberapa fakta sebelum ini tidak lengkap dan terdapat percanggahan fakta mengenainya hasil kajian ahli falsafah dan teologi negara, Tan Sri Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas di dalam buku terbarunya 'Historical fact and fiction'.
Tun Mahathir berkata sekarang ini generasi muda menganggap bahawa perjuangan untuk kemerdekaan itu perkara biasa kerana mereka dilahirkan dalam sebuah negara yang sudah merdeka dan makmur.

"Jadi mereka (generasi muda) menganggap bahawa dalam mana-mana negara pun akan berlaku demikian, tapi kalau kita buat lawatan ke negara-negara lain yang mencapai kemerdekaan semasa kita mencapai kemerdekaan, kita akan dapati bahawa mereka tak dapat bangunkan negara mereka seperti Malaysia," katanya.

Undi India: Pemimpin Pakatan akan tumbang...

Hazlan Zakaria Sep 11, 11 8:26pm - Malaysiakini

Beberapa pemimpin utama Pakatan Rakyat dijangka tumbang sekiranya undi masyarakat India kembali memihak BN pada pilihan raya umum akan datang.
 
Mangsa hayunan politik pengundi India itu mungkin termasuk ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dan Dzulkefly Ahmad dari PAS yang memegang kerusi Kuala Selangor.  
 
Turut dikatakan akan terjejas termasuk kerusi dewan undangan negeri yang dipegang oleh Menteri Besar selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim di Ijok dan kerusi pengarah penerangan PKR Nik Nazmi Nik Ahmad di Seri Setia.

"BN mampu menang sehingga sembilan kerusi parlimen tambahan jika 30 peratus undi (masyarakat India) kembali kepada parti pemerintah," kata penganalisis politik, Ong Kian Ming di sebuah forum di Petaling Jaya hari ini.
Forum anjuran Persatuan Peniaga India Malaysia (MIBA) ini mengumpulkan ahli politik daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang, ahli akademik, masyarakat sivil dan ahli perniagaan. Tujuannya adalah untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai 'pertempuran memenangi hati dan undi masyarakat India'.

Bagi kerusi Dewan Undangan Negeri pula, menurut Ong (kanan), jika hayunan itu berlaku, tidak kurang 14 akan berjaya diramapas semula oleh BN.



Saturday, 10 September 2011

TPM: Mat Sabu khianati pejuang bangsa, negara

Ogos 28, 11 9:10am - Malaysiakini

Kenyataan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berhubung tragedi Bukit Kepong adalah satu penghinaan dan pengkhianatan terhadap perjuangan bangsa Melayu menuntut kemerdekaan tanah air, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

"Saya amat kesal dengan kenyataan Mohamad Sabu itu bahawa pengganas komunis yang membunuh dengan kejam anggota keselamatan dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong adalah hero sebenar dalam perjuangan kemerdekaan negara," katanya dalam satu kenyataan.

Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu didakwa membuat kenyataan itu dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu, seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia.

Muhyiddin berkata pemimpin PAS itu turut membuat kenyataan biadab dengan mendakwa Allahyarham Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj tidak layak dianggap pejuang kemerdekaan.

"Beliau dengan angkuhnya telah mengangkat kezaliman pengganas komunis sebagai satu kemuliaan. Kenyataan seperti itu adalah manifestasi kealpaan Mohamad Sabu terhadap sumbangan besar pemimpin Melayu terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan tanah air," katanya.

Muhyiddin menegaskan Mohamad wajar memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana membuat kenyataan yang amat tidak bertanggungjawab itu.
"Beliau (Mohamad Sabu) lupa bahawa hasil perjuangan mereka (pemimpin Melayu), bangsa Melayu telah mendapat suntikan semangat dan kesedaran politik luar biasa untuk bangkit menentang penjajah Inggeris dan Malayan Union.

"Hasil sumbangan tokoh-tokoh besar pemimpin Melayu inilah, bangsa Melayu bangkit bersatu melalui persatuan-persatuan Melayu, yang kemudiannya melahirkan wadah Umno untuk memperjuangkan kemerdekaan negara serta mempertahankan kedudukan Raja-Raja Melayu, hak keistimewaan Melayu, bahasa Melayu dan agama Islam," kata Muhyiddin.

Beliau berkata hasil perjuangan suci barisan pemimpin Melayu berkenaan, negara bukan sahaja mencapai kemerdekaan, malah kedudukan Raja-Raja Melayu, hak-hak keistimewaan Melayu, bahasa Melayu, agama Islam dan hak-hak yang sah bagi kaum lain telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya perkara asas ini yang menjadi teras pembentukan negara Malaysia yang merdeka, telah terpahat dalam perlembagaan dan terpelihara sehingga ke hari ini.

"Hakikatnya, penyatuan bangsa Melayu dan persefahaman murni dengan kaum-kaum lain yang dipelopori oleh pemimpin kita terdahulu telah membolehkan negara kita mencapai kemerdekaan dalam masa yang singkat tanpa pertumpahan darah.

"Hakikat sejarah ini tidak boleh dipadamkan atau ditulis semula oleh sesiapapun," tegas Muhyiddin.
Muhyiddin menyifatkan Mohamad sebagai buta sejarah apabila beliau sanggup bersubahat dengan orang zalim dan pembunuh dengan mengagungkan komunis.

"Perjuangan komunis bukanlah untuk membebaskan rakyat daripada belenggu penjajahan. Sebaliknya, mereka hanya berminat untuk membentuk sebuah negara komunis dengan pemerintahan kuku besi," jelas beliau.

Beliau berkata rakyat Malaysia yang mengingati dan memahami sejarah tentunya tidak lupa tentang keganasan komunis yang telah mencetuskan rusuhan, pembunuhan orang awam yang tidak berdosa dan perbalahan kaum sejurus selepas tentera Jepun menyerah kalah.

"Jika dilihat sejarah hitam kekejaman pemerintahan rejim komunis di beberapa buah negara di rantau ini sewaktu negara kita bergelut menentang kegiatan subversif Parti Komunis Malaya, kita pastinya bersyukur kerana rakyat berbilang kaum di negara kita telah memilih untuk tidak menyokong perjuangan komunis," katanya. 

Sementara itu, Ketua Pemuda BN Parlimen Pagoh, Ismail Mohamed semalam membuat satu laporan polis di Balai Polis Pagoh, Muar, Johor berhubung kenyataan Mohamad itu.

Dalam laporan itu, Ismail berkata kenyataan Mohamad itu menunjukkan beliau tidak sensitif dan ketandusan idea demi kesinambungan politik murahan pakatan pembangkang sehingga menidakkan kebenaran.

Pemimpin PAS itu didakwa menyifatkan Muhammad Indera, lelaki Melayu yang bersekongkol dengan Goh Peng Tun dan 200 anggota komunis, adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis serta keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai polis Bukit Kepong.

- Bernama

'Mat Indera murid bapa Muhyiddin'

Sep 6, 11 12:42pm - Malaysiakini

Di sebalik serangan bertubi-tubi terhadap Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dalam isu Muhammad Indera, lelaki itu didakwa pernah menjadi anak murid kepada bapa Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Malah, kata Ketua Pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat (gambar sebelah, kanan), pemimpin Kesatuan Melayu Muda (KMM) itu didakwa hampir menikah dengan kakak timbalan perdana menteri.

"Mat Indera mahu berkahwin dengan kakak TPM Muhyuddin Yassin tapi tidak dipersetujui oleh bapa Mat Indera," kata Suhaizan selepas menziarahi adik Muhammad - Johan Shah (gambar atas, kiri) - semalam.

Menurut Suhaizan, Mohamad dan Pesuruhjaya PAS Johor Datuk Dr Mahfodz Mohamed turut serta dalam pertemuan itu.

Menulis di laman Facebook, Suhaizan berkata, Mat Indera pernah menegaskan bahawa beliau bukan komunis dalam pertemuan terakhir dengan Johan di Penjara Air Molek, Johor Bahru.

"(Sebaliknya) British (yang) tuduh Mat Indera Komunis," tulisnya yang diberi tanggungjawab berdebat dengan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dalam isu sejarah itu.

Dibuang daerah, diseksa British
Justeru, Suhaizan menyifatkan tiada pembelaan terhadap kematian Muhammad Indera sebelum ini disebabkan "orang takut dengan British".

Suhaizan turut menyenaraikan beberapa fakta yang kurang diketahui tentang Mat Indera, antaranya:

- Mat Indera anak kedua daripada lapan adik beradik. Ibunya meninggal ketika Johan (bongsu) berusia dua tahun.

- Johan, bapa Mat Indera, ibu tiri dan neneknya diseksa British dan dibuang daerah ke Singapura selama 5 tahun daripada tahun 1950 hingga 1954.

- British tawar $25,000 sebelum Peristiwa Bukit Kepong untuk tangkap Mat Indera. Selepas peristiwa itu, tawaran dinaikkan kepada $75,000.

- Mat Indera datang ke Bukit Kepong di saat akhir peristiwa tersebut dan tidak terlibat dalam serangan tersebut.

- Mat Indera pernah menyelamatkan anggota polis pada masa itu Yusof Rono.

- Mat Indera dilantik oleh kerajaan Johor sebagai guru agama. Beliau diberikan baju dan songkok rasmi. Beliau pernah belajar dengan ulama dikenali senagai Tuan Guru Fadil.

- Beliau digantung di Kampung Jambu Air, Taiping pada tahun 1953 dan kuburnya diasingkan daripada kubur utama.

- Mat Indera tidak pernah berkahwin.

Panduan melihat sejarah menurut Islam

Dr Mohd Asri Zainul Abidin Sep 8, 113:14pm - Malaysiakini

Ramai orang berkata sejarah tidak boleh menipu, history cannot lie. Namun kita jangan pula lupa bahawa manusia boleh menipu fakta sejarah sehingga hakikat sejarah dirobah dan diubah.

Peristiwa lampau kita tidak saksikan sendiri, ia diriwayatkan kepada kita melalui sumber-sumber yang menceritakan apa yang telah berlaku. Sumber-sumber itu pula terdedah kepada benar dan dusta.

Jika kita menerima dari sumber yang benar, maka persepsi kita terhadap sesuatu peristiwa mungkin akan benar. Itu pun bergantung kepada aliran pemikiran atau school of thought yang kita pegang.

Jika fakta yang salah, maka sudah pasti tafsiran yang salah akan kita buat terhadap sesuatu sejarah. Pasti ada pihak dizalimi haknya.

Ketulenan fakta

Maka dalam Islam, beberapa asas penting diletakkan dalam mengkaji sejarah. Asas pertama ialah kebenaran sesuatu fakta iaitu sejauh manakah sesuatu riwayat (narration) boleh dipercayai (authentic).

Maka, Islam amat mengambil kira soal sumber sesuatu riwayat yang dipetik. Dalam ilmu hadis khususnya, ada bab 'rijal al-hadith' iaitu ilmu yang mengkaji latar belakang perawi (narrators).

Dikaji sifat amanah perawi, kekuatan ingatannya, kemungkinan pertemuannya dengan perawi sebelumnya dan pelbagai lagi. Kemudian, riwayat yang dibawa itu akan dibanding dengan para perawi lain yang lebih dipercayai untuk dinilai.

Demikian susahnya sesebuah hadis hendak mencapai darjat 'sahih'. Malangnya, apabila ilmu hadis tidak diambil berat, ramai penceramah termasuk ustaz dan ustazah yang membaca hadis palsu dalam ucapan mereka.
Dalam Islam, maklumat sejarah biasa sekalipun tidak diketatkan syaratnya seperti hadis, namun soal sumber yang dipercayai itu tetap penting. Ini terutama apabila membabitkan maruah atau tuduhan terhadap pihak-pihak tertentu.

Muhammad bin Somil al-Salma dalam tesisnya 'Manhaj Kitabah al-Tarikh al-Islamiy wa Tadrisuhu' (Metodologi Penulisan Sejarah Islami dan Kajiannya) menyebut:

"Riwayat sejarah apabila berkaitan hukum syarie seperti halal dan haram, atau berkaitan mencerca seseorang muslim, mempertikaikannya, atau memberikan gambaran buruk mengenainya kepada orang lain, maka mestilah dipastikan kedudukan perawinya dan dikenali pembawa beritanya" (ms 227, Mesir: Dar al-Wafa/1408H).

Ya, ini sebenarnya berasaskan arahan Allah dalam al-Quran: (maksudnya) "Wahai orang-orang yang beriman! Sekiranya datang kepada kamu orang yang fasik membawa sesuatu berita maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan kamu itu". (Surah al-Hujarat: 6).
Ini penting, ramai yang menjadi mangsa cemuhan dan tohmahan hanya disebabkan sumber yang khianat dan menyeleweng dalam menyampai sesuatu berita. Dalam kehidupan seharian yang watak-watak masih hidup pun, banyak penipuan fakta, pembohongan dan fitnah dilakukan.

Apatah lagi apabila membabitkan mereka yang sudah tiada, tentu pembohongan lebih mudah dilakukan. Umpamanya, betapa banyak maklumat sejarah yang menipu tentang pertelingkahan yang terjadi antara sahabat Nabi SAW sehingga lahirnya mazhab Syiah yang mempercayai fitnah sejarah terhadap sahabat-sahabat Nabi SAW.

Ramai yang menjadi mangsa diburukkan oleh sumber sejarah yang tidak amanah. Antara yang dimangsa Khalifah Muawiyah bin Abi Sufyan yang diburukkan oleh sumber sejarah seburuk-buruknya. Sehingga Munir Ghadban menyebut:

"Aku tidak berpendapat bahawa adanya suatu peribadi di dalam sejarah Islam yang terdiri daripada kalangan para sahabat yang awal, yang ditarbiyah dengan tangan Rasulullah s.a.w dan mereka hidup dengan wahyu langit, (tidak ada) mereka ini yang diperburukkan, dibohongi tentangnya dan didustakan kepadanya seperti yang dilemparkan kepada Mu'awiyah ibn Abi Sufyan r.a. (Munir al-Ghadhban, Mu'awiyah ibn Abi Sufyan, ms 5. Damsyik: Dar al-Qalam/ 1410H).

Begitu juga Khaliah Harun al-Rasyid yang dikaitkan dengan pelbagai cerita buruk dan lucu kepadanya seperti dia sering ditipu oleh Abu Nuwas. Sedangkan Abu Nuwas itu seorang penyair yang sering memuji arak dan wanita.

Syair-syairnya memuatkan keruntuhan moral. Kata Ibn Khaldun (meninggal 808H): "Adapun apa yang dipalsukan oleh hikayat; mengenai Harun al-Rasyid yang selalu meminum arak dan mabuk seperti mabuknya seorang kaki arak - Allah memelihara daripada itu semua! - kita tidak pernah tahu dia seorang yang berbuat jahat. Mana mungkin ini semua, sedangkan dia dalam keadaan sering melaksanakan tanggungjawab agama dan keadilan sebagai khalifah, seorang yang mendampingi ulama dan auliya`, selalu berbincang dengan al-Fudail bin `Iyad, Ibn al-Sammak dan al-`Umari, selalu berutusan surat dengan Sufyan al-Thauri, menangis mendengar nasihat mereka, berdo`a di Mekah ketika tawaf, kuat beribadah, menjaga waktu solat dan hadir solat subuh pada awal waktunya". (Ibn Khaldun, Muqaddimah Ibn Khaldun, m/s 17, Beirut: Dar al-Fikr/t.t)

Sebab itu, sesiapa yang menuduh atau menghukum orang lain hanya kerana terpengaruh dengan riwayat sejarah, tanpa membuat semakan dan kajian seperti yang al-Quran arahkan, maka dia berdosa dan akan dipertanggungjawabkan di hari akhirat kelak kerana menfitnah dan menuduh tanpa asas.

Mengkritik teks

Setelah kita mendapat sumber yang diyakini, maka itu tidak mencukupi sebaliknya kita perlu melihat teks sejarah itu secara kritis. Perawi yang amanah mungkin juga silap dalam periwayatan.

Maka, sikap kritis terhadap matan atau teks amat perlu. Bahkan, jika kita tidak mampu mengkaji kesahihan sumber sekalipun, kita boleh menggunakan nilai-nilai kritis dalam menilai sesuatu fakta.

Umpamanya, saya selalu contohkan bagaimana sesetengah penceramah suka bercerita kisah ucapan panglima tentera Islam di Andalus, Tariq bin Ziyad ketika mengucapkan kata-kata semangat kepada tenteranya: "Ke mana tempat lari? Lautan di belakang kamu, musuh di hadapan kamu. Tiada bagi kamu-demi Allah- melainkan sifat benar (kesetiaan) dan sabar".

Kononnya selepas itu Tariq membakar kapal agar tentera Islam tidak dapat ke mana-mana lagi melainkan berperang terus. Kisah dijadikan kebanggaan sesetengah penceramah. Padahal kisah ini patut dikritik.

Hanya mereka yang lemah minda sahaja yang menjadikan kisah dalam versi ini sebagai lambang keberanian dan kepahlawanan. Riwayat ini ditolak. Pertama sekali, cerita bakar kapal tiada sumber yang boleh dipercayai daripada mereka yang berada pada zaman tersebut.

Mereka yang selepas itu yang menyebutnya. Keduanya, kisah itu boleh menggambarkan kebaculan tentera Islam yang terkenal dengan kepahlawanan dan kesanggupan menyeberang laut untuk membuka Andalus.

Seakan jika Tariq tidak lakukan demikian mereka akan lari dari medan jihad. Ini bukan sifat tentera Islam yang membuka Andalus.

Ketiga, Apakah wajar bagi Tariq yang merupakan panglima tentera yang bijak untuk membakar harta kerajaan dan kekuatan tentera Islam iaitu kapal yang boleh digunakan untuk membuka negeri yang lain pula.

Kalau Tariq melakukan pembaziran demikian, tentu dia akan diambil tindakan oleh kerajaan Islam. Di sana banyak lagi persoalan yang boleh ditimbulkan untuk membuktikan ketidak benaran kisah ini.

Justeru itu, Mahmud Syakir yang merupakan tokoh sejarahwan Islam mempertikaikan kisah ini di dalam buku kecilnya Al-Muntalaq al-Asasi fi al-Tarikh al-Islamiy. Sesiapa yang ingin perincian bantahan terhadap kisah ini boleh merujuk kepada buku tersebut.
Maka ketajaman minda dalam melakukan textual criticism atau kritikan matan adalah sesuatu yang penting dalam mengkaji sejarah.

'Abd al-Rahman Fakhuri dalam membincangkan sejarah pertelingkahan para sahabat mengatakan:

"Sejarah bukan sekadar suatu cerita yang dicampakkan di tengah jalan, yang penulisnya memilih apa yang dia suka dan meninggalkan apa yang dia tidak suka. Sesungguhnya terdapat dua kaedah kritikan yang mesti dibuat terhadap setiap riwayat sejarah sebelum dibuat keputusan untuk menerima atau menolaknya. Pertama: Mengkritik sanad, ini bermakna mengkaji para perawi dan pembawanya. Dipastikan dari sudut kesinambungan sanadnya adalah sahih dan terselamat daripada sebarang kecacatan yang tersembunyi. Perbincangan secara panjang lebar telah diperkenalkan oleh ahli hadis dan para pengkritiknya (pengkaji hadis), tidak mengetahui ilmu ini melainkan mereka sahaja. Kedua: Mengkritik matan (teks)". ('Abd al-Rahman Fakhuri, Muqaddimah Miftah al-Jamaah, m/s 77, Mesir: Dar as-Salam/1990M).

Tafsiran

Setelah melalui dua proses di atas, barulah tafsiran terhadap sesuatu fakta sejarah boleh dibuat. Siapa yang hendak diangkat menjadi wira dan siapa pula yang hendak diangkat menjadi musuh atau pengkhinat, banyak bergantung kepada tafsiran.

Setiap orang mempunyai aliran dan sudut pandangan yang tersendiri. Namun, di sana ada perkara yang jelas lagi terang antara baik dan buruk, malaikat dan syaitan, Tuhan dan iblis yang setiap pihak wajib akur kepada nilai yang sama itu.

Di sana ada fakta yang kabur atau sesuatu yang boleh diberikan pelbagai tafsiran. Boleh dilihat baik dari satu sudut, mungkin tidak baik di sudut yang lain. Juga, baik pada sesetengah pihak, buruk pada pihak yang lain.

Umpamanya, dalam masyarakat feudal yang taat membuta tuli kepada sultan dan raja Melayu akan menganggap Hang Tuah sebagai tokoh dan wira. Tindakannya menculik Tun Teja juga mungkin dipandang mulia.

Namun dalam masyarakat yang merdeka dan bertamadun, Hang Tuah - jika benar watak seperti itu wujud dalam sejarah - akan ditafsirkan sebagai manusia berjiwa hamba, dangkal, tiada bermaruah dan tidak berprinsip. Perbezaan nilai, membezakan tafsiran.

Apa pun seorang muslim yang mengkaji fakta sejarah hendaklah akur kepada firman Allah dalam Surah al-Nisa 135 (maksudnya):
"Wahai orang-orang yang beriman! hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu...."

Kita hendaklah akur kepada apa yang benar dalam sejarah dengan memberikan tafsiran yang adil tanpa khianat. Nilai pertimbangannya ialah nilai-nilai keadilan sejagat yang diputuskan oleh al-Quran dan al-Sunnah.

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin merupakan bekas mufti Perlis.

MAS kecewa kesatuan ancam tindakan industri

Sep 9, 11 3:00pm - Malaysiakini

Malaysia Airlines (MAS) menyuarakan kekecewaan terhadap pelbagai laporan berita mengenai ancaman tindakan industri oleh tiga kesatuan dalam MAS.

Menurut MAS, Kesatuan Pekerja-pekerja MAS Semenanjung Malaysia (MASEU), Kesatuan Pekerja Penerbangan Sarawak (AWUS) dan Kesatuan Sekerja Penerbangan Sabah (ATWUS), turut dilibatkan dalam pelbagai urusan berkaitan Kerangka Kerja Usaha Sama Komprehensif (CCF).

"MAS mahu menjelaskan bahawa CCF bukannya melibatkan pertikaian perdagangan dan menganggap CCF sebagai urusan pengurusan, lembaga pengarah dan pemegang saham yang dilakukan dengan mengambil kira kepentingan terbaik syarikat itu.

"Bagaimanapun MAS sentiasa meletakkan kepentingan pekerja sebagai keutamaan dalam semua keputusan perniagaan," kata syarikat penerbangan negara itu dalam kenyataan.

MAS berkata ia telah dan akan terus melibatkan kesatuan.

MAS juga berkata pengurusan kini bekerja keras untuk menyelesaikan butiran penggabungan dan akan mengumumkannya secara rasmi, tertakluk kepada kelulusan pengawal aturan, pada masa yang sesuai.

Semalam tiga kesatuan itu mempunyai keanggotaan seramai 15,000 orang mengumumkan anggotanya akan berpiket ekoran pertukaran saham syarikat penerbangan kebangsaan itu dengan AirAsia.

Presiden Maseu Alias Aziz dilaporkan berkata mereka berpendapat bahawa janji niaga itu tidak akan memberikan manfaat kepada MAS, dan percaya pengurusan baharu syarikat penerbangan itu merancang mewujudkan satu jenama baharu dalam syarikat penerbangan sebagai sebahagian daripada langkah menghapuskan kesatuan.

- Bernama

Wednesday, 7 September 2011

Tiada motif politik rumah terbuka Aidilfitri di P Pinang

Ogos 30, 11 9:23pm - Malaysiakini

Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2011 yang akan diadakan di Pulau Pinang pada 11 Sept ini tidak mempunyai sebarang motif politik, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim. 

Beliau berkata program adalah landasan untuk menyatukan rakyat Malaysia serta menghargai gagasan 1Malaysia.

"Perayaan ini akan kita tunjukkan sebagai penaut kepada jurang dan kita tidak akan mengadakan ini untuk tujuan siasah politik," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Perdana Menteri di Seri Perdana di Putrajaya.

Beliau berkata Pulau Pinang dipilih sebagai tuan rumah kerana negeri itu belum pernah menganjurkan sambutan seperti itu secara besar-besaran berbanding negeri-negeri jiran seperti Kedah, Perlis dan Perak.

Katanya, semua pihak dijemput hadir bagi memeriahkan majlis itu yang akan dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan dijangka menarik tidak kurang 20,000 pengunjung. 
 
Mengenai majlis rumah terbuka di Seri Perdana hari ini, beliau berkata kehadiran orang ramai yang tidak putus-putus sejak pukul 11 pagi menunjukkan sokongan mereka terhadap Perdana Menteri.

Selain itu, kehadiran pelbagai lapisan masyarakat termasuk pemimpin parti pembangkang jelas menunjukkan penonjolan budaya bermuhibah semasa sambutan Hari Raya dan sambutan kemerdekaan ke-54 tanpa mengira ideologi politik.

- Bernama

Dr M bimbang ada pihak cuba pesong fakta sejarah

Ogos 30, 11 10:07pm - Malaysiakini

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bimbang dengan segelintir pihak yang cuba memesongkan fakta sejarah dengan memburuk-burukkan pemimpin yang telah berjuang untuk mencapai kemerdekaan.

"Terdapat satu trend sekarang ini memburuk-burukkan imej pemimpin yang telah berusaha untuk berjuang demi kemerdekaan negara.

"Saya khuatir trend ini berjalan begitu lancar dan apa yang dikatakan oleh Mat Sabu adalah sebahagian daripada usaha memburukkan pemimpin lama mungkin kerana kaitan mereka dengan Umno," katanya ketika ditemui pada Rumah Terbuka Perdana Menteri dan Jemaah Menteri di Seri Perdana di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata kerajaan harus memberi penerangan yang jelas tentang perjuangan pemimpin-pemimpin terdahulu dan tidak ada alasan yang mengatakan bahawa komunis yang memperjuangkan kemerdekaan negara.

"Komunis itu bukan berjuang untuk kemerdekaan, yang berjuang untuk kemerdekaan ialah Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan lain-lain yang betul-betul berjuang supaya kita bebas daripada cengkaman penjajah.

"Dan hari ini kita hidup bahagia kerana perjuangan mereka dan tidak harus sesiapa memburukkan pemimpin lama kerana mereka yang memberikan nikmat kepada kita," katanya.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein terkilan dengan kenyataan pemimpin tertinggi PAS itu yang menyentuh mengenai datuk beliau, Datuk Onn Jaafar yang merupakan pejuang kemerdekaan pada ketika itu.

Beliau berkata tindakan memesongkan sejarah ini merupakan politik cetek dan pembangkang cuba melakukan provokasi dalam politik.

Mengenai cadangan untuk meletakkan Mohamad Sabu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Hishammuddin berkata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar telah pun menyatakan undang-undang yang akan dikenakan terhadap Timbalan Presiden PAS itu, bergantung kepada siasatan.

- Bernama

Pelbagai versi status Mat Indera

Abdul Rahim Sabri Sep 6, 11 10:52am - Malaysiakini

Pelbagai rekod menunjukkan versi berbeza tentang status dan aliran perjuangan penyerang balai polis Bukit Kepong Muhammad Indera, kata penyunting buku biografi tokoh pejuang Johor Prof Datuk Abu Bakar A Hamid.

Sehubungan itu, penyunting buku Pengukir Nama Johor (bawah) itu berkata beliau tidak pasti sama ada pemimpin Kesatuan Melayu Muda (KMM) itu seorang pejuang atau komunis.
 
Abu Bakar mencadangkan supaya ahli akademik supaya terus membuat kajian berhubung perkara itu kerana banyak tulisan lain lagi memaparkan bentuk penulisan yang sama.

Oleh itu, beliau yang juga karyawan Tamu di Universiti Malaya (UM) menasihatkan agar ahli politik tidak mempolitikkan perkara itu.

"Isu ini belum selesai, saya meminta orang politik tidak mempolitikkannya. Serahkan kepada ahli akademik buat penyelidikan, (walaupun) akan ada dua pendapat sama ada menyokong (sebagai wira) atau tidak.

"Isu ini dibangkitkan oleh orang-orang politik, (sehingga) jadi heboh tak tentu pasal. Buktikan (berdasarkan) penyelidikan," ketika dihubungi Malaysiakini petang semalam.

MB Johor tulis pengantar
Selepas kontroversi status Muhammad Indera yang dinobatkan pejuang sebenar oleh Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, buku itu menjadi sebutan apabila ia membariskan Mat Indera antara 21 pejuang kemerdekaan Johor.

Mohamad sendiri merujuk kepada buku biografi terbitan Yayasan Johor - ditubuhkan bawah kerajaan negeri - bagi mempertahankan ucapannya pada 21 Ogos lalu.
Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dikatakan menulis kata pengantar untuk buku itu.

Menurut Abu Bakar, berdasarkan rencana dalam Pengukir Nama Johor oleh Ismail Adnan, Muhammad Indera atau lebih dikenali sebagai Mat Indera bukan komunis.

Katanya, hasil penyelidikan Ismail menyebut Mat Indera seorang Islam yang kuat beragama, termasuk menghafal al-Quran, maka "tidak mungkin beliau menjadi seorang komunis".

"Itu garis yang diambil Ismail Adnan," katanya sambil menambah Mat Indera juga pernah menjadi penolong guru besar di Sekolah Agama Parit Setongkat di Muar sekitar tahun 1940-an.

Platun PKM
Ayah Abu Bakar merupakan guru besar di sekolah tersebut pada waktu itu dan mengenali Mat Indera secara dekat.

Bagaimanapun, satu lagi tulisan oleh Shahgidon Dirhan dalam buku tersebut - diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor pada 2004 - menyifatkan Mat Indera seorang komunis.
"Itu menunjukkan terdapat pendapat yang berbeza tentangnya. Ini perkara biasa dalam pentafsiran sejarah. (Seperti juga) ramai menganggap Tunku (Abdul Rahman) sebagai wira.

"Ramai juga menggapnya penggadai kepentingan Melayu, maka itu berlaku (tragedi) 13 Mei. Ramai memuja Dr M, (tapi) tak kurang yang membencinya. Ini pentafsiran masing-masing," katanya.

Abu Bakar berkata, dalam buku lain pula seperti biografi bekas pengerusi Parti Komunis Malaya (PKM) Abdullah CD (gambar atas, kiri) merakamkan Mat Indera sebagai komunis kerana menanggotai satu platun dalam PKM.

"Itu kata dia (Abdullah CD)... Masing-masing buat penyelidikan dan tulis tentang hasil penyelidikan itu. Orang politik tak payah masuk campur soal ini," katanya lagi.

Tuesday, 6 September 2011

Tentang media perdana yang 'berfoya-foya'

Firdaus Jaafar Sep 6, 11 10:58am - Malaysiakini

Media seharusnya menjadi medan kepada rakyat untuk mengetahui isu-isu semasa. Media sepatutnya menjadi tempat rujukan bagi mendapatkan berita-berita terkini yang dapat membuka minda rakyat.

Rakyat yang dahagakan infomasi serta maklumat terkini yang lengkap serta adil sepatutnya dihidangkan dengan sesuatu yang mana akan membuka ruang fikiran rakyat dengan lebih luas dan membolehkan rakyat bertindak mengikut akal bukannya nafsu semata-mata.

Tambahan pula media arus perdana berdepan dengan saingan sengit daripada portal-portal berita yang 'bersepah' di internet. Jadi seharusnya media arus perdana menjadi pemangkin kepada ketelusan dalam menyiarkan berita-berita yang bersifat membina 'sistem' pemikiran rakyat.

Namun ini tidak terjadi di Malaysia yang sentiasa melaungkan slogan 'kebebasan media' yang kononnya memberikan berita yang 'tidak memihak' kepada mana-mana parti ataupun individu.

Media arus perdana bebas 'menghentam' dan 'membelasah' mana-mana parti atau individu yang tidak sealiran dengan parti pemerintah.

Utusan Malaysia dan TV3 dilihat lebih terkehadapan dalam mengeluarkan berita walaupun kadang-kadang berita yang disiarkan itu belum tentu sahih.

Ada kalanya mereka hanya bersandarkan berita yang dikutip daripada blog-blog 'picisan' penulis upahan Umno/BN lalu di war-warkan sehingga menjadi tajuk utama media mereka.

Mulut, tangan, kaki terikat

Sekadar mengambil contoh apabila mereka mensensasikan tajuk 'kristian agama rasmi negara' jelas menunjukkan bahawa cubaan untuk 'meniup api' perkauman dikalangan rakyat yang hidup berbilang bangsa serta harmoni.

Yang terbaru bagaimana Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu atau dikenali dengan Mat Sabu dihentam setiap waktu kononnya beliau dalam satu ceramahnya menyokong pergerakan komunis di dalam peristiwa Bukit Kepong.

Media arus perdana terus memainkan isu tersebut dengan serangan bertali arus terhadap beliau sedangkan dalam masa yang sama mulut, tangan dan kaki beliau 'diikat'.

Kenapa tidak diberi peluang untuk beliau muncul di media arus perdana untuk membela diri daripada serangan bertubi-tubi sedangkan media 'berfoya-foya' dalam 'menjaja' berita berkaitan isu ini?

Mat Sabu hanya berpeluang menjawab kembali serangan terhadap beliau hanya di dalam portal-portal berita di internet yang mana liputannya amat terhad.

Sudah pasti tindakan media arus perdana seperti ini didalangi oleh 'tangan-tangan ghaib' yang menjalankan kerja disebalik tabir.

Mereka tidak menghiraukan samada berita yang akan dikeluarkan nanti sahih atau tidak tetapi hanya mengambil kira keuntungan politik yang bakal diperolehi daripada pihak pemerintah.

Slogan tinggal slogan

Media arus perdana harus berubah. Sesuatu mesti dilakukan untuk mendapatkan kembali integriti yang sudah tiada lagi disisi majoriti rakyat Malaysia.

Rakyat sudah mula beralih kepada media alternatif kerana muak dengan 'perangai' dan 'kelakuan' media arus perdana yang terus menerus menabur fitnah demi untuk survival politik Umno/BN yang semakin terhakis.

Apakah di situ ada keberkatan sekiranya perbuatan memfitnah dan pembohongan menjadi salah satu agenda utama? Mengapa mufti-mufti yang begitu ramai di dalam negara yang sekecil Malaysia ini tidak bersuara untuk menegur 'kebiadapan' media arus perdana yang terang-terang melanggar apa yang diajarkan dalam al-Quran dan Hadis?

Sedangkan dalam masa yang sama mereka juga bersama-sama mewar-warkan bahawa Malaysia sebuah negara Islam. Tidak malukah apabila menulis atau menyiarkan sesuatu yang tidak benar dan dalam masa yang sama rakyat mengetahui kesahihannya?

Apakah pembaca berita tidak ada sedikit pun rasa bersalah ketika berhadapan dengan rakyat yang dibohonginya atas hanya bersandarkan alasan cari makan?

Tema Hari Kemerdekaan yang ke-54 iaitu "1Malaysia: Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera" tidak akan mencapai sasarannya selagi media tidak mahu melakukan transformasi dan yang pasti slogan hanya akan tinggal slogan selagi mana Umno/BN terus memerintah.


Penulis merupakan anggota parlimen Jerai dan pengerusi lajnah pengguna dan alam sekitar Pemuda PAS.