Search Everything

Wednesday, 7 September 2011

Tiada motif politik rumah terbuka Aidilfitri di P Pinang

Ogos 30, 11 9:23pm - Malaysiakini

Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2011 yang akan diadakan di Pulau Pinang pada 11 Sept ini tidak mempunyai sebarang motif politik, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim. 

Beliau berkata program adalah landasan untuk menyatukan rakyat Malaysia serta menghargai gagasan 1Malaysia.

"Perayaan ini akan kita tunjukkan sebagai penaut kepada jurang dan kita tidak akan mengadakan ini untuk tujuan siasah politik," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Perdana Menteri di Seri Perdana di Putrajaya.

Beliau berkata Pulau Pinang dipilih sebagai tuan rumah kerana negeri itu belum pernah menganjurkan sambutan seperti itu secara besar-besaran berbanding negeri-negeri jiran seperti Kedah, Perlis dan Perak.

Katanya, semua pihak dijemput hadir bagi memeriahkan majlis itu yang akan dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan dijangka menarik tidak kurang 20,000 pengunjung. 
 
Mengenai majlis rumah terbuka di Seri Perdana hari ini, beliau berkata kehadiran orang ramai yang tidak putus-putus sejak pukul 11 pagi menunjukkan sokongan mereka terhadap Perdana Menteri.

Selain itu, kehadiran pelbagai lapisan masyarakat termasuk pemimpin parti pembangkang jelas menunjukkan penonjolan budaya bermuhibah semasa sambutan Hari Raya dan sambutan kemerdekaan ke-54 tanpa mengira ideologi politik.

- Bernama

No comments:

Post a Comment