- Afif Bahardin
- 10:35AM Jul 22 2012
- http://www.malaysiakini.com/news/204310
Ramai sedia maklum, "Janji Ditepati" menjadi platform utama Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam jelajah ke seluruh negara bagi
melaungkan retoriktransformasi dan menjadi pentas untuk menyerang
Pakatan Rakyat terutama sekali apabila "Janji Ditepati" singgah di
negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat iaitu, Kedah, Pulau Pinang,
Kelantan dan Selangor.
Tika “Janji Ditepati" menjadi jenama
jelajah politik Perdana Menteri, saya tiada punya masalah, tetapi
apabila ia menjadi tema sambutan Kemerdekaan negara yakni "55 Tahun
Merdeka, Janji Ditepati" - itu masalah!
"Janji" membawa maksud
pernyataan kesediaan untuk berbuat atau memberi sesuatu; manakala
"Ditepati" pula bermaksud tidak memungkiri atau memenuhi janji yang
telah dilafaz. Jika "55 Tahun Merdeka, Janji Ditepati" menjadi tema
sambutan Kemerdekaan negara, makanya kita harus merujuk kepada janji
yang mana? Adakah janji Program Transformasi Kerajaan (GTP), atau janji
manifesto Cemerlang,Gemilang,Terbilang, atau janji Wawasan 2020?
Janji manakah yang telah dipenuhi dan tepati seperti dimaksudkan eksekutif hari ini?
Bagi
berlaku adil baik untuk rakyat dan sang pemerintah, wajar kita
menyoroti kembali latar masa sejarah, 55 tahun ke belakang iaitu tanggal
31 Ogos 1957, tarikh keramat di mana Tunku Abdul Rahman melaungkan
'Merdeka' selepas beliau membacakan satu pemasyhuran keramat. Arakian
pemasyhuran tersebut menandakan detik perubahan dalam sejarah tanahair.
Beralihnya dari status sebuah negara terjajah kepada negara bangsa yang
bebas dan merdeka. Maka tiada 'janji-janji' lain yang lebih layak untuk
diangkat sebagai 'Janji' melainkan teks keramat - Pemasyhuran
Kemerdekaan.
Ketika Pemasyhuran ini mula diperkenalkan, seluruh
rakyat diminta membaca dan menghayatinya. Rakyat ketika itu rata-rata
menyebut bahawa isi kandungan pemasyhuran tersebut sebagai sesuatu yang
amat bernilai, sesuatu yang diibaratkan sebagai 'sijil kelahiran' negara
merdeka. Malangnya, berbeda dengan dokumen penting negara lain seperti
'Sumpah Pemuda 1928' di Indonesia, pidato 'Tryst with Destiny' oleh
Jawaharlal Nehru, Pengisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat yang
dikarang Thomas Jefferson; pemasyhuran negara ini telah karam hampir
tidak dibaca, apatah lagi diwacanakan secara serius. Apa yang penulis
paling khuatiri adalah dengan pudarnya dakwat pemasyhuran, maka semangat
idealismenya juga turut terhakis.
Pemasyhuran Kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 menyebut:
"Dan
bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang tersebut itu, maka,
ada disediakan syarat untuk menjaga keselamatan hak-hak dan keutamaan
Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta hak-hak asasi dan kebebasan
sekalian rakyat dan untuk memajukan Persekutuan Tanah Melayu dengan aman
dan damai serta teratur sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai Raja
yang Berperlembagaan yang berdasarkan demokrasi cara Parlimen."
Jelas
Pemasyhuran Kemerdekaan menyebut akan prinsip asas pembentukan negara
bangsa Malaysia ini adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem Raja
Berperlembagaan, amalan demokrasi berparlimen dengan penekanan khusus
diberikan dalam menjamin hak asasi dan kebebasan rakyat di negara ini
terpelihara. Sekali lagi kita tertanya, apakah 55 tahun merdeka,
pemerintah Umno dan BN telah berjaya memenuhi atau menjunjung prinsip
asas yang termaktub ini?
Amalan demokrasi yang matang dan baik
haruslah mempunyai beberapa asas yang penting seperti suruhanjaya
pengendali yang bebas dari segala bentuk tekanan politik, akses kepada
media yang adil dan bebas, gelanggang politik yang sama luas' dan rata
untuk semua pihak serta punya usaha yang efektif dan berterusan untuk
melibatkan seluruh rakyat di dalam proses itu.
Perbezaan pendapat
atau pandangan politik juga diraikan di dalam amalan demokrasi yang
matang, dan lebih penting perdebatan mahupun wacana serius dan
berterusan adalah penting dalam menjelaskan kebijakan atau apa jua
agenda yang ingin dibawa oleh sesiapa dapat diketengahkan kepada umum
dan diberikan pertimbangan sewajarnya oleh semua pihak.
Dalam
amalan demokrasi di Malaysia, adalah salah apabila rakyat masih
dimomokkan dengan hujah bahawa setiap lima tahun kita mengundi,
membuktikan amalan demokrasi sudah terlaksana. Walhal proses demokrasi
itu harus berterusan sehari-hari dan menjadi amalan kerajaan untuk
melibatkan rakyat secara aktif di dalam proses itu. Lebih malang apabila
amalan pilihanraya setiap lima tahun itu juga turut dinodai dengan
penyelewengan dan penipuan yang melampau.
Kegagalan Suruhanjaya
Pilihan Raya memastikan daftar pemilih dikemaskini dan bersih dari
pengundi dicurigai, amalan politik wang yang membarah, 'gelanggang' yang
tidak sama rata antara parti pemerintah dan parti pembangkang, serta
kebebasan media yang disekat - sekat; menunjukkan bahawa kerajaan Umno
dan BN yang telah memerintah sejak 55 tahun lepas gagal untuk menepati
'janji' yang dimeterai bersama Pemasyhuran Kemerdekaan yang dilafaz
Tunku Abdul Rahman.
Bagaimana pula dengan janji untuk menjunjung
hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat seperti yang termaktub di
dalam Pemasyhuran dan juga Perlembagaan negara? Saat artikel ini
ditulis, mereka yang masih ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam
Negeri (ISA) di Kem Kamunting masih lagi tidak dibebaskan, bahkan
dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan pun masih tidak dibuat lagi.
55
tahun merdeka, kita dihantui undang-undang drakonian seperti Akta
Keselamatan Dalam Negeri, Akta Mesin Cetak, Akta Hasutan, Akta Rahsia
Rasmi dan beberapa akta dan juga Peraturan Polis. Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Razak menjuarai transformasi, retorik pemansuhan akta
seperti ISA, Akta Darurat dan juga beberapa akta lain. Malangnya
transformasi yang dijanjikan masih tidak terlaksana dan sekadar indah
khabar dari rupa.
Dengan kesedaran ini, tatkala slogan sambutan
Kemerdekaan tanah air kali ke – 55 diumum sebagai ’55 Tahun Merdeka,
Janji Ditepati’, tiada kata-kata yang lebih memualkan yang pernah lahir
daripada Umno dan BN setakat hari ini.
Retorik politik sebegini
rupa; mempergunakan sambutan nasional negara, sambutan yang sepatutnya
menjadi hak milik seluruh rakyat, sebagai alat untuk parti pemerintah
melaungkan pujuk – rayu, bukan itu saja, bahkan dengan berani melaungkan
bahawa inilah masa untuk segenap rakyat membalas budi.
Tindakan
Umno dan BN mempergunakan sambutan Kemerdekaan yang terakhir sebelum
Pilihan Raya Umum ke 13 sebagai alat kempen adalah tindakan yang tidak
bertanggungjawab, memalukan dan memualkan. Strategi terbaru Umno dan BN
ini membuktikan betapa mereka terdesak untuk mendapatkan sokongan
rakyat.
Konotasi seolah-olah rakyat terhutang budi kepada Umno
dan BN, maka, bagi mengenang jasa, rakyat perlulah meneruskan
kesinambungan kepimpinan kerajaan di bawah Umno dan BN. Rakyat diminta
untuk tidak merenung jauh dan terima sahaja bahwa janji sudah dilaksana,
oleh itu teruskan saja mengundi mereka menjadi kerajaan.
Perdana
Menteri hari ini masih melaungkan Transformasi. Banyak wang
dibelanjakan untuk Program Transformasi Kerajaan (GTP), dengan berbagai
bentuk laporan dikeluarkan. Hakikatnya rakyat sedar. Janji asas yang
terkandung di dalam Pemasyhuran Kemerdekaan, sehingga hari ini gagal
ditepati oleh Umno dan BN.
Melihat retorik politik terbaru yang
dilaungkan Umno dan BN hari ini (baca : 55 Tahun Merdeka, Janji
Ditepati), rakyat harus faham bahawa sebenarnya ini sajalah yang
termampu dilakukan oleh Umno dan BN. Kerajaan autokratik ini sudah tiada
kemampuan dan iltizam untuk meneruskan atau menjuarai apa yang kita
panggil perubahan. Pada mereka, semuanya sudah tepu, maka rakyat
terimalah seadanya. Mana–mana suara yang menentang atau tidak senada
dengan mereka, maka orang-orang ini adalah pengkhianat.
Rakyat
harus jelas akan janji yang kita wajib tuntut. Rakyat perlu kembali
menoleh ke masa lampau – 55 tahun lalu. Generasi pendiri negara bangsa
Malaysia yang merdeka ini berdiri di atas ‘janji’ yang sama.
Janji
ini dibacakan pertama kalinya oleh Tunku Abdul Rahman dan diuar-uarkan
ke seluruh negara. Janji yang menjadi tiang seri tertegaknya negara ini
termaktub di dalam Pemasyhuran Kemerdekaan dan telah dijamin
Perlembagaan Persekutuan.
Janji tersebut bagaimanapun mutakhir ini
kelihatan jarang–jarang sekali meniti di bibir, bukan hanya di kalangan
rakyat terbawah, bahkan cuba ditepis jauh–jauh oleh mereka yang telah
kita amanahkan dengan kuasa dan masa depan negara kita.
Selagi
janji ini tidak ditepati, jangalah sesiapapun tanpa segan melaungkan
bahawa tugas mereka sudah selesai. Janji ini akan terus kita tuntut,
kerana saya dan anda semua tahu, janji yang ini masih lagi belum
terlaksana;
“....dengan limpah rahmat Allah subhanahu wa ta'ala
akan kekal menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta
berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan
kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara
segala bangsa.”
- Pemasyhuran Kemerdekaan, 31 Ogos 1957
Dr
AFIF BAHARDIN merupakan Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang.
Tulisan ini merupakan pendirian penulis dan tidak menggambarkan
pendirian rasmi Malaysiakini.