Search Everything

Wednesday, 20 March 2013

Memo Pada sultan, MB Gesa Batal Projek Datum Jelatek

  • Bernama
  • 10:24AM Mac 20 2013
  • http://www.malaysiakini.com/news/224362

Badan Bertindak Datum Jelatek menyerahkan memorandum kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam memohon perkenan campur tangan baginda agar kerajaan Selangor membatalkan pembangunan Projek Datum Jelatek di Taman Keramat, Kuala Lumpur.
  
Memorandum itu turut mencadangkan supaya projek pembangunan perumahan mewah di tengah-tengah kawasan yang majoriti penduduknya Melayu digantikan dengan pembangunan mampu milik.
  
Pengerusi Badan Bertindak Datum Jelatek Salleh Samad menyerahkan memorandum itu kepada pegawai pengiring baginda ASP Ahmad Rohisham Ahmad di hadapan pintu pagar Istana Bukit Kayangan di Shah Alam pada pukul 4.10 petang semalam.
  
Wakil penduduk Taman Keramat itu turut disertai beberapa badan bukan kerajaan seperti Waris Malaya, Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) dan Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI) serta Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA).
  
Sebelum itu, pada pukul 3.30 petang Salleh menyerahkan memorandum serupa kepada Ketua Setiausaha Sulit Kepada Menteri Besar Selangor, Norzaton Aini Mohd Kassim di pintu pagar utama  Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
  
Mereka juga melakukan bantahan secara aman di hadapan pintu pagar utama bangunan kerajaan negeri itu yang telah sedia dikunci dengan rantai.
  
Laporan Bernama sebelum ini menyebut Projek Datum Jelatek menjadi  kontroversi susulan dakwaan Badan Bertindak Datum Jelatek Januari lepas,  bahawa projek disokong kerajaan Selangor pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu menyingkirkan penduduk setempat secara terhormat dari kawasan bandar.
  
Projek Datum Jelatek di atas tapak 2.4 hektar di sebelah Stesen LRT Jelatek itu kini menumpukan kepada projek pembangunan empat blok bangunan kondominium mewah dengan harga seunit hampir sejuta ringgit, hotel, pejabat dan pusat membeli-belah.
  
Selain Kampung Baru, kawasan Keramat adalah penempatan Melayu di pinggir pusat bandar raya Kuala Lumpur, yang kian terhimpit dengan arus kemajuan metropolitan kawasan sekitarnya.
  
Pembangunan Datum Jelatek dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM1.2 bilion yang dirancang sejak 2010 dikhuatiri akan mengubah demografi dan geopolitik kawasan berkenaan kerana disasarkan untuk golongan berpendapatan tinggi dan korporat.
  
- Bernama

No comments:

Post a Comment