Search Everything
Friday, 28 December 2012
Sunday, 14 October 2012
Hanya rakyat marhaen
Mereka kata kami semua sejak dulu terbiasa memanggil Dr Asri ataupun Dr MAZA, rasa macam tidak sedap sebut Dato' pula di depan nama. Saya senyum. Saya tidak pernah kisah tentang itu semua.
Sebelum saya meneruskan, saya ingin terlebih dahulu mengucapkan terima kasih kepada DYMM Raja Perlis atas penganugerahan kepada saya gelaran Dato' Arif Perkasa sempena hari keputeraan ada 17 Mei 2012 yang lepas. Semasa itu saya berada di UK dan tidak dapat menghadiri upacara berkenaan.
Hanya pada 25 September baru-baru ini saya dapat menghadirkan diri untuk sesi saya yang tertangguh tersebut. Saya berterima kasih kerana pihak Istana Arau sudi kerana mentauliahkan saya yang merupakan rakyat marhaen ini Dato' bergelar bagi Istana Arau. Di sini saya coret satu perkara yang boleh kita kongsi.
Carilah orang yang salih
Apabila pihak kerajaan Perlis mengumumkan anugerah tersebut di media pada bulan Mei lepas, ramai yang menghantar ucapan tahniah. Namun dalam masa yang sama ada beberapa e-mel yang saya terima memohon agar saya tidak memakai apa-apa gelaran kebesaran. Saya perlu kekal sebagai Dr Asri, ataupun Dr MAZA. Saya perlu kekal sebagai suara rakyat marhaen, kata mereka.
Baru-baru ini setelah pulang ke Malaysia dan saya terlibat dengan banyak program, seringkali nama saya diiklankan bersama gelaran Dato', beberapa orang menghantar pandangan kepada saya dengan sungutan seakan "alangkah baiknya jika Dr Asri ataupun Dr MAZA itu kekal dengan panggilan asalnya".
Itu lebih mesra dan dekat di hati kami. Saya terkesan dengan hal itu.
Sebenarnya, anugerah yang diberikan kepada saya itu, hanyalah atas kemurahan hati pihak Istana Perlis sahaja. Dari segi jasa, tiada apa jasa besar saya untuk disebut ataupun dikenang. Dari segi harta, jika gelaran Dato' itu sering dibayangkan orang yang berharta, maka saya tidak termasuk untuk dibayangkan.
Saya tidak berharta, melainkan sekadarnya seperti rakyat kebiasaan yang lain. Sehingga artikel ini ditulis, jika anda berjumpa saya di hotel mewah, itu biasanya ada penganjur program yang sewakan untuk saya. Jika anda bertemu saya dalam kereta mewah, itu menunjukkan ada orang bermurah hati menumpangkan saya. Rezeki masa depan hanya Allah Yang Maha Tahu.
Setiap kita mengetahui siapakah diri kita. Selepas Allah Yang Maha Tahu segalanya, insan itu sendirilah yang paling tahu tentang dirinya. Segala penampilan, pujian, gelaran dan pangkat yang manusia berikan tidaklah semestinya sama dengan hakikat sebenar diri yang berkaitan itu di sisi Allah Yang Maha Mengetahui.
Betapa ramai orang yang dipuji dengan pelbagai pujian, dia sendiri pun tahu dia bahawa dia bukan layak dengan segala ungkapan itu. Betapa banyak orang yang dianggap tiada nilai ataupun rendah kedudukannya, dia di sisi Allah jauh lebih baik dari mereka yang banyak dipuji dan dipuja.
Nabi SAW bersabda: "Boleh jadi orang yang kusut masai, berdebu, yang dihalau di pintu (tidak diterima kedatangannya), jika dia bersumpah dengan nama Allah nescaya Allah tunaikan." (Riwayat Muslim).
Justeru, orang yang mempunyai gelaran kebesaran, belum tentu lebih baik di sisi Allah dibanding rakyat marhaen biasa. Ustaz yang berceramah di depan majlis, belum tentu lebih disayangi Allah dari mereka yang duduk di bawah mendengar ceramahnya. Bahkan mungkin yang berceramah itu Allah benci disebabkan kesombongan, riak dan ‘gila dunia' yang bersarang dalam jiwanya.
Sementara yang hadir mendengar dengan ikhlas, tanpa sebarang tujuan melainkan mencari redha Allah, dia sangat Allah sayangi. Saya memberitahu dalam kuliah saya bahawa dalam sunah, bayi yang lahir dibawa kepada Nabi SAW lalu didoakan. Maka, eloklah membawa anak kita kepada orang salih yang mustajab doanya supaya mendoakannya.
Ada yang salah faham, mereka sering membawa anak-anak mereka berjumpa saya supaya saya mendoakannya. Saya terpaksa beritahu mereka, saya mungkin seorang yang agak terpelajar dalam bidang agama tetapi itu tidak menunjukkan saya seorang salih, ataupun saya ini dikasihi Allah sehingga doa saya mustajab. Carilah orang yang salih, sekalipun mereka itu tidak ternama.
Rahsia insan
Insan yang baik ialah insan yang hubungannya dengan Allah sangat indah, melebihi apa yang disangka oleh manusia. Sesiapa yang baik hubungannya dengan Allah, maka Allah akan membaiki urusannya.
Namun dalam pergaulan sesama insan, kita tidak disuruh oleh Islam untuk mencari rahsia peribadi orang lain. Bahkan kita diharamkan menyingkap keaiban yang disembunyikan oleh seseorang. Kita menilai manusia apa yang zahir sahaja. Adapun urusan batinnya, itu antara dia dengan Allah.
Khalifah ‘Umar bin al-Khattab menyebut:
"Sesungguhnya manusia pada zaman Rasulullah SAW diambil tindakan berdasarkan (pemberitahuan dari) wahyu. Sesungguhnya wahyu pada hari ini telah terputus. Maka kami pada hari ini bertindak berdasarkan apa yang zahir pada kami dari amalan kamu. Sesiapa yang menzahirkan kebaikan, maka kami berikannya kedamaian (tidak diganggu) dan memuliakannya. Kami tidak masuk campur urusan rahsia batinnya. Sesiapa yang menzahirkan keburukan, maka kami tidak berinya kedamaian dan tidak mempercayainya sekalipun dia berkata batinnya baik."(Riwayat al-Bukhari).
Batin yang baik, akan melahirkan akhlak yang baik. Namun tidak dinafikan, ada batin yang jahat, tetapi berpura-pura baik pada zahirnya. Adapun kita hanya mampu menilai yang zahir, urusan rahsia batin seseorang akan dinilai oleh Tuhan.
Justeru, kita berdoa agar batin dan zahir kita, kesemuanya dinilai baik di sisi Tuhan. Allah Maha Mengetahui yang nyata dan yang tersembunyi.
Ada apa pada gelaran
Kita hormati gelaran baik yang orang berikan. Namun, kita hendaklah sentiasa tahu hakikat diri kita bukan bergantung kepada apa orang sangka, tetapi kepada siapa sebenarnya kita. Rahsia batin antara dia dan Tuhan adalah intipati sebenar diri seseorang.
Saya tersenyum apabila mendengar kisah ada orang agama yang cuba memberikan pelbagai gelaran kehebatan untuk dirinya sendiri. Saya teringatkan Nabi SAW yang menyebut:
"Jangan kamu memujiku berlebihan seperti Kristian berlebihan memuji Isa bin Maryam. Aku hanya seorang hamba Allah. Katakanlah: Hamba Allah dan rasul-Nya." (al-Bukhari).
Namun dalam pergaulan, sebagai Muslim, agama mengajar kita menghormati orang lain dan beradab sopan. Kita memanggil manusia dengan panggilan yang layak atau panggilan baik yang dipanggil kepada mereka.
Ketika Nabi SAW menghantar surat kepada maharaja Rom, baginda Nabi SAW tetap menyebut kebesaran pangkatnya.
Nabi SAW memulakan surat baginda: "Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, daripada Muhammad pesuruh Allah kepada Hercules Orang Maha Besar Rom..." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Nabi SAW menyebutkan selepas namanya kedudukannya sebagai azim ar-Rum. Azim bererti orang yang teramat besar Rom.
Saya tidak kisah sama ada sesiapa hendak memanggil saya Dato' ataupun tidak. Itu semua tidak mengubah apa-apa dalam hidup saya sebagai rakyat marhaen ini. Namun, saya tidak menggalak hal itu dibuat kepada orang lain, kerana mungkin nanti mereka tidak suka. Sedangkan dalam hadis riwayat Muslim secara ta'liq dan sahih:
"Kata ‘Aishah r.a: Nabi SAW memerintahkan kami meletakkan manusia pada kedudukannya."
Adapun saya, tidak kisah selagi tidak memanggil dengan panggilan yang buruk kerana itu tidak disukai oleh agama ini. Kemuncak kepada kehidupan bukan gelaran dan pangkat, tetapi di manakah nanti tempat kita di akhirat. Ini mengingatkan saya sekali lagi kepada dialog Khalifah Umar bin ‘Abdul Aziz dan penasihatnya yang jujur Rajak bin Haiwah.
"Kata Rajak bin Haiwah, ketika ‘Umar bin ‘Abdul Aziz menjadi Gabenor Madinah, beliau pernah berkata kepadaku:
"Wahai Rajak! pergi belikan untukku sehelai baju. Aku pun belikan untuknya sehelai baju yang bagus, harganya lima ratus dirham. Apabila aku membawanya kepada beliau, maka beliau memegangnya dan berkata: Bagus, cuma ia murah.
"Selepas beberapa tahun beliau menjadi khalifah. Suatu hari beliau berkata kepadaku: Belikan untukku sehelai baju".
"Maka aku membeli untuknya sehelai baju yang murah lagi amat sederhana, harganya hanya lima dirham. Apabila aku membawanya kepada beliau, maka beliau memegangnya dan berkata: Bagus, cuma ia mahal.
"Aku kehairanan, bagaimana mungkin baju yang aku beli untuknya di Madinah beberapa tahun lalu dengan harga lima ratus dirham dianggap murah dan baju yang aku beli sekarang dengan harga hanya lima dirham dianggap mahal. Perasaanku tersentuh dengan perkataan beliau dan aku pun menangis.
"‘Umar bin Abdul Aziz bertanya: Apa yang membuatkan engkau menangis wahai Rajak?.
"Kataku: "Perkataanmu wahai Amirul Mukminin, bagaimana mungkin engkau menganggap baju yang lepas yang berharga lima ratus dirham murah, dan baju sekarang yang berharga lima dirham mahal?
"Kata ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz: "Wahai Rajak, sesungguhnya aku memiliki jiwa yang sentiasa berkeinginan. Setiap kali aku mencapai sesuatu, jiwaku inginkan sesuatu yang lebih dari itu. Wahai Rajak! Jiwaku inginkan sepupuku Fatimah binti Abdul Malik, lalu aku mengahwininya. Kemudian jiwaku inginkan jawatan gabenor, lalu aku dilantik memegangnya. Kemudian jiwaku inginkan jawatan khalifah, lalu aku mencapainya. Sekarang jiwaku inginkan syurga, aku harap aku dapat menjadi penghuninya." (lihat: Salah al-Khalidi, Al-Khittah al-Barraqah lizi al-Nafs al-Tauwaqah, 93-94, Damsyik: Dar al-Qalam).
Pangkat dan nama adalah panggilan dan kedudukan di dunia. Hakikatnya apabila mati, seperti yang Allah nyatakan (maksudnya):
"Dan demi sesungguhnya, kamu tetap datang kepada Kami (pada Hari Kiamat) dengan bersendirian, sebagaimana Kami jadikan kamu pada mulanya; dan kamu tinggalkan di belakang kamu apa yang telah Kami kurniakan kepada kamu; dan Kami tidak melihat berserta kamu penolong-penolong yang kamu dakwa bahawa mereka ialah sekutu-sekutu Allah dalam kalangan kamu. Demi sesungguhnya, telah putuslah perhubungan antara kamu (dengan mereka), dan hilang lenyaplah daripada kamu apa yang dahulu kamu dakwa." (Surah al-An'am, 94)
Panggillah saya dengan apa sahaja panggilan yang sopan sebagai insan Muslim, yang sesuai pada penilaian anda. Panggillah dengan panggilan yang masing-masing dapat menjaga kesopanan Muslim serta menjadikan jiwa kita lunak dan kita dapat bersahabat di dunia dan di akhirat. Marilah kita pentingkan persahabatan melebihi segala pangkat dan panggilan.
PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.
Laporan tonjol pengaruh Dr M pada pencapaian BN
Laporan akhbar itu antara lainnya membangkitkan pengaruh Mahathir kepada prestasi teruk BN dalam pilihan raya umum 2008 yang berpunca daripada kenyataannya ke atas perdana menteri pada masa itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Ia memetik kenyataan presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali yang berkata satu tulisan Mahathir dalam blognya menyebabkan populariti Abdullah jatuh ke paras 71 peratus menjelang pilihan raya umum ke-12 itu.
"Memang ada kena mengenai dengan Dr Mahathir sebab beliau sebelum itu kritik Pak Lah, pemimpin lemah, pemimpin begitu, pemimpin begini dan seolah-olah menggambarkan Pak Lah sebagai presiden Umno yang dilantik Dr Mahathir tetapi tidak menghargai Mahathir," kata presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali seperti dipetik akhbar itu.
Pengarah Institut Kajian Tun Dr Mahathir di Universiti Utara Malaysia Profesor Dr Abdul Rahman Abdul Aziz yang dipetik dalam laporan itu menyebut, sokongan Mahathir itu meyakinkan rakyat dan seterusnya membolehkan Najib "menang besar" dalam pilihan raya umum akan datang.
Seorang lagi yang pengkaji, pengarah eksekutif pusat kajian Merdeka Center Ibrahim Suffian berpendapat, pengaruh Mahathir itu sekurang-kurangnya membolehkan BN kekal dengan jumlah sokongan sedia ada.
Dalam laporan itu, Ibrahim berkata Mahathir bagaimanapun tetap berbeza pandangan dan menegur pentadbiran Najib apabila menyifatkan Bantuan Rakyat 1Malaysia sebagai politik wang.
Anak muda pula mempunyai pandangan positif ke atas Mahathir, kata Ibrahim yang menjelaskan golongan tersebut kini lebih analitikal.
"Mereka tidak tolak kepimpinan Mahathir tetapi mereka turut didedahkan dengan berita rasuah dan media baru," katanya.
Sementara itu, dua orang pemimpin Pakatan Rakyat pula mengulas mengenai faktor pertentangan antara Mahathir dan Najib – terutamanya berhubung masa depan anak kepada bekas perdana menteri itu, Datuk Mukhriz Mahathir.
Naib presiden PAS Datuk Mahfuz Omar tidak menolak kemungkinan bahawa Mahathir mamasang hasrat supaya Mukhriz juga akan menjadi perdana menteri.
"Banyak pihak dalam Umno yang tidak senang dengan percaturan politik untuk mengatur kedudukan anaknya.
"Hatta apabila disebut anaknya untuk bertanding sebagai calon menteri besar, ia akan berlaku pergolakan dalaman Umno," katanya.
Mahfuz juga memberi amaran bahawa Najib mungkin berdepan nasib yang sama dengan Abdullah sekiranya tidak memenuhi tuntutan Mahathir, menurut laporan itu.
Naib presiden PKR R Sivarasa pula berpendapat, Mahathir kini "menyalahkan" Najib atas kedudukan Umno pada waktu ini.
"Ini kerana kalau Umno kalah bermakna peluang anaknya untuk menjadi perdana menteri akan tipis. Malah Mahathir juga merasakan kedudukannya dalam bahaya," kata Sivarasa seperti dipetik Sinar Harian.
Katanya lagi, peranan penting Mahathir dalam pilihan raya umum ke-13 adalah untuk memastikan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menjadi perdana menteri.
Kenyataan Mahathir terus menjadi bahan laporan utama media walaupun selepas berundur daripada kerajaan pada 2003 – selepas 22 tahun menjadi perdana menteri.
Terbaru, beliau mencetus kontroversi apabila mendakwa pembiaya asing menyalurkan dana kepada NGO Suaram demi menjatuhkan kerajaan dan menjadikan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.
Dakwaan itu disiarkan akhbar pro-kerajaan, bahawa modus operandi sama dijalankan negara asing dalam Arab Spring – untuk menukar kerajaan di negara Arab.
Projek memburuk-burukkan pembangkang dengan jutawan George Soros – seperti yang dilaporkan meluas oleh media sekarang – telah dirancang oleh sebuah jabatan khas Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sejak pertengahan tahun ini.
Melalui sebuah buku tebal Panduan Penjelasan Isu Semasa terbitan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Anwawr didakwa mendapat dana spekulator mata wang dunia itu bagi menghadapi pilihan raya umum.
Wednesday, 15 August 2012
Siapa selepas Lajim, Wilfred?
Isnin, 13 Ogs 2012 04:08
Harakahdaily
http://m.harakahdaily.net/index.php/columnist/editor-harakah/12480-siapa-selepas-lajim-wilfred
Ribut politik Sabah yang menyaksikan BN secara tiba-tiba kehilangan dua ahli Parlimennya telah menyuntik keyakinan bahawa impian dan tekad majoriti rakyat untuk melihat kerajaan persekutuan bertukar tangan semakin menghampiri kenyataan, insya-Allah.
Tsunami politik yang melanda Semenanjung dan tertampan di Negeri Sembilan empat tahun lalu dilihat bakal menyeberangi Laut China Selatan. Pakatan Rakyat yang memerlukan tambahan lebih kurang 30 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, untuk memudahkan laluan ke Putrajaya, dijangka dapat meruntuhkan tembok psikologi "simpanan tetap" BN di Sabah dan Sarawak.
Dalam PRU12, BN menang 24 daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah dan 30 daripada 31 di Sarawak (tidak termasuk satu lagi di Sibu melalui pilihan raya kecil).
Sebuah lagi negeri "simpanan tetap" BN ialah Johor, apabila ia meraih 25 daripada 26 kerusi Parlimennya. Justeru, untuk tiga negeri "kubu tradisi" ini, BN sudah boleh menarik nafas lega. Sejumlah 80 kerusi Parlimen "dalam tangan", iaitu hampir menyamai jumlah kerusi Pakatan Rakyat pada 2008.
Itu statistik lama. Dalam politik, jangka masa empat tahun bukan sahaja terlalu lama dan "ketinggalan zaman", malah dalam hanya tempoh seminggu, pelbagai kejutan boleh berlaku, 'kan? Sesuatu yang dilihat mustahil boleh berlaku tanpa diduga dalam tempoh tersebut, apatah lagi jika ia memang sudah boleh diunjur atau sekurang-kurangnya diramal.
Sebenarnya, sebelum Lajim Ukin, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, pemimpin berpengaruh atau Janang Gayuh kaum Bisaya mengisytihar keluar BN, bersama Ahli Parlimen Tuaran, Wilfred Bumburing, yang juga Timbalan Presiden Upko, terlebih dahulu "simpanan tetap" BN di Johor kelihatan sudah goyah.
Sekurang-kurangnya 10 kerusi Parlimen di selatan Semenanjung itu dijangka bertukar tangan kepada Pakatan Rakyat, khususnya di kawasan-kawasan bandar, begitu juga yang bermajoriti pengundi Cina serta kerusi campuran. Malah, bagi saya, usah remehkan keupayaan pengundi Melayu di kampung tradisi dan juga penempatan Felda; tidak mustahil mereka boleh juga boleh menerajui perubahan, bagi meleburkan "kubu Umno' di Johor.
Pada masa sama, beberapa kerusi lain yang belum dimenangi Pakatan, misalnya di Kedah, Perak, Selangor, Melaka dan Pahang (negeri Perdana Menteri) sendiri, adalah berpeluang cerah untuk menang. Antara yang disebut-sebut, sekadar contoh, seperti Pandan dan Sabak Bernam (Selangor), Alor Setar (Kedah), Kampar, Padang Rengas dan Kuala Kangsar (Perak), juga Raub, Jerantut dan Temerloh (Pahang).
Negeri Sembilan dan Terengganu juga bakal menyumbang tambahan kerusi buat Pakatan. Perkembangan politik di kedua-dua negeri ini cukup memberangsangkan. Saya kira mungkin tiga kerusi lagi di Terengganu boleh dimenangi jika momentum sedia ada dipertingkatkan. BN Negeri Sembilan sudah lama lama berada diambang kejatuhan.
Ya, sekali lagi fokus ditumpukan kepada kecenderungan pengundi Melayu dan oleh itu bebanan ini digalas oleh PAS disebabkan kebanyakan kerusi-kerusi berkenaan ditandingi parti Islam.
Di Sabah, selain Kota Kinabalu, satu-satunya kerusi yang dimenangi pembangkang, melalui DAP (dalam pertandingan empat penjuru itu, jumlah undi calon KeADILan -- yang kalah -- pun lebih tinggi berbanding calon BN) dan tiada masalah untuk mempertahankannya dalam PRU13, maka dua kerusi lagi, yang mempunyai peratusan pengundi Cina yang signifikan, iaitu Sandakan (jumlah undi calon DAP dan Bebas sebenarnya jauh mengatasi calon BN yang menang dengan majoriti 176 undi sahaja) dan Tawau (juga menyaksikan pertembungan sesama sendiri antara DAP dan KeADILan) merupakan kerusi gelap buat BN.
Sekali gus situasi itu membayangkan Sabah masih terjebak dalam dilema berpanjangan, pertarungan sesama sendiri di antara pembangkang. Jelas, majoriti pengundi di kawasan berkenaan sudah menolak BN, namun ia diselamatkan apabila undi untuk Pakatan Rakyat terbahagi.
Di atas kertas, dicampur kerusi yang disandang Lajim Ukin (Beufort) dan Wilfred Bumburing (Tuaran), Pakatan dijangka tidak menghadapi masalah besar untuk menguasai minimum lima kerusi itu.
Bagaimanapun ramai rakan-rakan dan pemerhati politik di Sabah mempunyai senarai kerusi berpotensi yang lebih panjang buat Pakatan. Di antara yang disebut-sebut ialah Kota Marudu, Kota Belud, Penampang, Pensiangan, Sepanggar, Keningau dan Putatan.
"Saya tidak mahu hanya meramal berdasarkan sentimen. Ia berdasarkan fakta dan data yang ada," kata Rahimin Mustafa, Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS Sabah, ketika berkunjung ke rumah saya, 3 Ogos lalu. Dia seperti menyimpan pandangannya sendiri, sebaliknya lebih suka menunjukkan analisis.
Ternyata Rahimin gemar dengan angka dan kajian. Mudah saja beliau mengutip tinjauan pendapat dan sokongan dari buku-buku akademik. Sempat juga beliau berkuliah tentang latar belakang politik Sabah kepada saya; "syarahan" kali kedua selepas saya bertemunya di Kota Kinabalu, empat bulan lalu.
Rahimin membentangkan statistik penduduk dan pengundi Sabah. Rupanya di sana perhatian bukan sahaja tertumpu kepada tiga kelompok terbesar, iaitu Bumiputera Islam, Bumiputera Bukan Islam dan Cina tetapi juga kepada kepelbagaian etnik, yang turut mempengaruhi pola pengundian.
Justeru, kedudukan Lajim sebagai Janang Gayuh etnik Bisaya dilihat mampu mempengaruhi pengundi di luar Beaufort juga. Dari segi lain, tuntutan perubahan bukan setakat menjadi agenda utama masyarakat Tionghua, malah didamba oleh masyarakat Islam dan juga Bumiputera Bukan Islam.
Kekuatan Pakatan Rakyat (KeADILan, PAS dan DAP) yang sedia bertapak kukuh di Sabah, kini disokong kuat oleh PPS (Pakatan Perubahan Sabah), diterajui Lajim dan APS (Angkatan Perubahan Sabah), diketuai Wilfred.
"Dengan wujudnya kumpulan APS, ia akan melakar satu gerakan meroboh kerajaan negeri di Sabah. Dari dua hala, orang Islam dan bukan Islam. Harus diingat, sejak 1967, apabila Kadazan-Dusun-Murut menukar haluan politik, perubahan kerajaan pasti berlaku. Kali ini, ia disertai gerakan kebangkitan Melayu-Islam melalui PPS; itu melengkapkan perubahan," kata Wilfred kepada Suara Keadilan.
"Tidak syak lagi, rakyat Sabah, seperti juga Semenanjung, mahukan perubahan, tapi ramai mempersoalkan, apakah pembangkang daripada pelbagai parti itu dapat bersatu dan bermuafakat, sekurang-kurangnya memastikan pertandingan satu lawan satu," kata Rahimin.
Segera saya teringat seorang lagi tokoh kontroversi, Dr Jeffrey Kitingan, yang telahpun melancarkan parti Star negeri Sabah dan membentuk Pakatan Borneo Bersatu bersama Usno Baru (masih di peringkat penajaan). Memang beliau nampak seperti sukar berkompromi namun dalam keadaan sekarang, semua pihak harus berlapang dada membina kekuatan untuk menumbangkan BN di Sabah.
Seorang lagi tokoh yang diperhatikan ialah Yong Teck Lee, Presiden SAPP. Difahamkan, seperti Jeffrey, tuntutan kerusi bagi pihak partinya juga terlalu tinggi. Mungkin mereka merasakan Sabah perlu diberi lebih peluang kepada "parti-parti Sabah" sendiri?
Sesungguhnya mood rakyat Sabah, seperti ditunjukkan oleh kajian terkini Merdeka Center di kawasan Parlimen Kota Kinabalu dan Penampang pada Mac lalu, cukup "menjanjikan". Potensi untuk membentuk tsunami perubahan begitu menyerlah.
Seramai 59 peratus responden mahu kerajaan ditukar. Selain itu, 44% sahaja berpuas hati dengan prestasi kerajaan BN. Kajian turut mendedahkan hanya 43% berpuas hati dengan prestasi Ketua Menteri, Musa Aman.
"Anwar Ibrahim nampaknya memberi tumpuan istimewa kepada Sabah, paling kurang sebulan sekali beliau ke sini, begitu juga dengan Lim Kit Siang. Komitmen mereka begitu tinggi, sekali gus menunjukkan keyakinan bahawa laluan ke Putrajaya hanya berjaya jika berlaku perubahan di Sabah.
"Kami harapkan pimpinan utama PAS juga dapat berbuat demikian bagi membantu rakan-rakan di Sabah melonjakkan imej parti di sini. Lebih baik lagi jika Lajnah Politik sendiri dapat turun," kata seorang aktivis muda PAS kepada saya melalui emel.
Rahimin pula meninggalkan banyak dokumen yang perlu saya halusi sebelum lebih terperinci mengulas politik Sabah.
Rakan saya, Mohd Sayuti Omar, yang mengikuti lawatan kerja Anwar ke Sarawak dan Sabah baru-baru ini memberi input menarik: "Saya tidak mahu membongkar berbagai kepelikan dan keanihan yang berlaku di Sabah yang mengarah kepada perubahan besar politik di negeri bawah bayu ini.
"Cukup kalau saya menyebut pertemuan Anwar dengan para pemimpin politik Sabah tengah hari tadi (11 Ogos) mengesahkan kata-kata bahawa Sabah di ambang kehancur buat UBN. Para arkitek politik Sabah sedang merangka bagaimana proses penumbangan itu dan memikirkan pula bagaimana untuk membangun bentuk politik baru yang lebih diterima serta meyakinkan."
Menurut Sayuti, sambutan yang diterima Anmwar di Sabah begitu memberangsangkan. Anwar sendiri mengakui, semasa beliau berada dalam kabinet dulu tidak pernah beliau mendapat sambutan hangat sebegitu rupa.
Cuma Sayuti terlepas pandang apabila merasakan tiada wakil PAS yang hadir dalam mesyuarat bersama Anwar di Kota Kinabalu itu. Sebenarnya ada tiga wakil PAS Sabah dalam pertemuan Pakatan Rakyat Sabah bersama kumpulan Lajim dan Wilfred itu, yang diketuai Ustaz Awang Laiman Ikin, Setiausaha Perhubungan Negeri.
Monday, 13 August 2012
Konsep Kafir Harbi-Zimmi - satu penjelasan
|
- http://www.malaysiakini.com/news/206163
Tuan Guru Haji Abdullah Sa’mah, seorang guru pondok dari Geting, Tumpat, Kelantan, berhujah bahawa umat Islam di negara ini tidak boleh menyokong PAS dan PKR justeru kedua-dua parti tersebut bersekongkol dengan DAP.
PKR berpendirian bahawa konsep kafir harbi (boleh diperangi dan dibunuh) serta kafir zimmi (patuh kepada pemerintahan Islam) perlu diperjelaskan kepada umum secara lebih tepat.
Ini bagi memastikan supaya konsep ini difahami mengikut perkembangan semasa bersesuaian dengan perkembangan dunia pemikiran Islam yang bersifat global.
Sebenarnya, begitu ramai figur ulama dan cendekiawam Islam yang telah memberikan pandangan mereka yang lebih bersifat kontemporari berasaskan pemahaman yang nyata mengenai perbezaan di antara syari’ah dan fiqh serta menganalisis fiqh berasaskan realiti semasa (fiqh al-waqi’),
Sheikh Rashid Ghanoushi (Ketua Parti al-Nahdah, Tunisia), yang kini menjadi penasihat kepada kerajaan baru Tunisia, dalam beberapa tulisan ilmiahnya menyatakan bahawa idea kafir harbi dan kafir zimmi serta kewujudan negara yang boleh diperangi (dar al-harb) memang relevan pada zaman keagungan empayar Islam di masa yang silam.
Namun, pada hari ini, ketika umat Islam tergabung dalam sebuah entiti dunia yang terbahagi di antara warga Muslim dan bukan Muslim yang berimbangan serta semakin bersifat global, maka kedudukan kafir harbi dan kafir zimmi sudah tidak praktikal lagi. Justeru, beliau menganjurkan konsep al-muwatinun (kewarganegaraan) diguna pakai sebagai alternatif yang praktis.
Fahmi Huwaidi, seorang pemikir Islam dari Mesir, secara khusus, menyetujui pandangan Sheikh al-Ghanoushi. Beliau telahpun menghasilkan sebuah karya yang berjudul “Muwatinun La Zimmiyyun” (Kewarganegaraan Bukan Zimmi).
Karya beliau yang bersifat ijtihadi dalam konteks pemikiran politik Islam semasa ini, amat bermanfaat untuk di telaah secara kritis guna meleraikan polemik yang sedang digembar-gemburkan ini.
Shaikh Taha Jabir al-‘Ilwani (Iraq), Munir Shafiq (Jordan), Shaikh Faisal Mawlawi (Lubnan), Shaikh Jaafar Idris (Sudan) turut membahaskan tajuk ini dengan memberikan pandangan yang serupa.
Umumnya, mereka bersetuju bahawa konsep-konsep berkaitan - kafir zimmi, kafir harbi dan kafir musta’min – memang dicipta oleh para ‘ulama fiqh silam dalam membahaskan isu-isu fiqh siasah syariah.
Walaubagaimanapun, bagi mereka ia wajar dikaji semula kesesuaiannya dalam konteks sistem politik dunia pada masa ini yang sentiasa dinamik dan berkembang.
Lebih menarik lagi, disarankan agar semua pihak mengkaji perkembangan terkini yang sedang berlaku di bawah kerajaan baru Mesir yang dipimpin oleh Dr Muhammad Mursi (seorang tokoh Ikhwan al-Muslimun).
Beliau dan rakan-rakannya sedang berusaha untuk merealisasikan konsep kewarganegaraan Mesir yang sama rata (al-muwatinun al-misriyyun al-musawuun). Di bawah kerangka ini, konsep kafir harbi dan kafir zimmi dalam mengklasifikasikan rakyat telah tidak menjadi relevan lagi.
Hasilnya, semua warganegara Mesir (Muslim, Kristian Koptik dan penganut agama minoriti lain), berhak mendapat perlindungan yang sama rata di bawah Perlembagaan Mesir.
Adalah jelas, cara Umno menggarap persoalan ini dengan menggunakan pandangan Tuan Guru Haji Abdullah Sa’mah di atas adalah ketinggalan zaman dan tidak menepati perkembangan politik dunia Islam semasa.
Kita berpandangan bahawa melalui laporan Utusan Malaysia tersebut, Umno kini telah memulakan kempen pelampau agama demi mengekalkan kedudukan mereka. Sesungguhnya, sekiranya pendekatan ini diteruskan negara yang dicintai ini akan berada di ambang krisis yang besar.
Adalah amat mengaibkan, selepas diamanahkan mengurus Negara selama 54 tahun, demi mengekalkan kuasa, Umno terpaksa menggunakan pendekatan lapok ini, dengan menjadikan orang Melayu berada dalam keliru dan bingung.
Sikap ini juga akan menjadikan masyarakat bukan Islam menjadi tersepit dan cemas. Akibatnya, perhubungan diantara rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan agama ini akan menjadi tegang. Apakah agenda tersembunyi Umno dengan sengaja menimbulkan polemik ini?
PKR berpandangan bahawa dengan sikap yang diperagakan ini, nyatalah Umno telah begitu terdesak dan bengkrap dalam menarik sokongan rakyat Malaysia seluruhnya, sehingga terpaksa memperalatkan pandangan seperti ini sebagai alat propaganda politik murahan.
Jelas dan nyata, Umno tidak layak lagi diamanahkan mengurus negara selepas PRU ke-13 nanti, kerana telah kehilangan arah, hilang kawalan diri dan tandus formula mengemudi rakyat kearah kegemilangan masa depan. Wallahu’alam.
DR MUHAMMAD NUR MANUTY adalah ketua penerangan PKR. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.
'Kafir harbi' umpama lampu hijau untuk membunuh
|
Istilah kafir harbi merupakan istilah fiqh yang membawa konotasi suasana zaman perang di antara wilayah Islam di zaman dahulu dengan negara musuh.
Di zaman ini, warga atau rakyat bukan Islam yang tinggal bersama umat Islam tidak dikira sebagai kafir harbi. Malah pengklafikasian harbi atau dhimmi yang digunakan oleh ulama klasik telah diperbaiki oleh ulama moden, memandangkan negara-negara moden mempunyai konsep kewargenegaraan yang memberikan hak dan tanggungjawab yang saksama di antara Muslim dan bukan Islam.
Pengkelasan Abdullah Sama'ah bahawa DAP adalah kafir Harbi adalah tidak tepat sama sekali, malah membahayakan. Beliau seolah-olah memberikan lampu hijau untuk umat Islam memerangi parti DAP dan membunuh ahli-ahli dan kepimpinannya.
'Fatwa' liar dan membahayakan seperti ini perlu dibendung. Majlis Fatwa Kebangsaan perlu berani menegur beliau dan juga Utusan kerana mencetuskan provokasi yang berkemungkinan akan membuka jalan bagi para ekstrimis bangsa dan golongan subversif untuk menumpahkan darah ahli-ahli DAP.
Saya menggesa agar pihak keselamatan segera menahan Abdullah dan membuat siasatan terhadap kenyataannya yang berbau ekstrimisme dan boleh menyemarakkan api perkauman sekaligus menggerakkan para penggganas di atas nama Islam untuk bangkit melancarkan jihad membunuh ahli-ahli DAP.
Pihak media, terutamanya Utusan Malaysia sepatutnya lebih peka dengan laporan mereka. Mereka hendaklah tidak menjadi agen kekacauan dan ketegangan kaum, sebaliknya sepatutnya menjadi agen keharmonian dan perpaduan kaum.
Anwar: Umno mula 'kempen pelampau agama'
|
Laporan berkenaan yang memetik pandangan seorang guru pondok antara lainnya menyatakan bahawa DAP "secara terang-terangan menentang penubuhan negara Islam serta pelaksanaan hukum hudud."
Namun, Anwar memberitahu satu sidang media hari ini, akhbar tersebut tidak melaporkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan mantan perdana menteri juga tidak menyokong hukum hudud.
"Kalau ini pandangan mereka, kenapa DAP saja disebut tak boleh disokong sedangkan kenyataan Umno dan MCA masuk kategori sama," katanya lagi.
Kit Siang: Ini hasutan berapi-api
Dalam sidang media sama, ketua parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, Utusan melalui laporan muka depannya hari ini juga meneruskan hasutan tersebut dengan seruan untuk menolak parti tersebut.
"Pendirian kita tidak berubah. Kita negara sekular dengan Islam sebagai agama rasmi," kata Lim (kiri).
Jelasnya, kenyataan itu sama dengan pendirian oleh tiga perdana menteri pertama Malaysia.
Namun, kata Lim, DAP diserang begitu rupa oleh Utusan sehingga disifatkan sebagai "kafir harbi".
"Perdana menteri yang kempen 1Malaysia tak patut benarkan Utusan teruskan kempen ini," katanya lagi.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, di Pulau Pinang, setiausaha politik kepada setiausaha agung DAP Zairil Khir Johari turut membuat laporan polis berhubung laporan Utusan itu.
Isu haram undi DAP: 'Utusan tak serik'
|
Dengan tajuk sensasi, "Haram sokong DAP" pada muka hadapan serta laporan susulan di muka surat dalaman, Utusan Malaysia telah menyiarkan beberapa tuduhan liar seperti yang dipetik di bawah:
Adalah haram dan berdosa untuk umat Islam menyokong DAP yang secara terang-terangan menentang penubuhan negara Islam serta pelaksanaan hukum hudud.
Beliau berkata, agenda perjuangan DAP berbeza dengan MCA dan MIC dalam Barisan Nasional (BN) yang digolongkan sebagai bukan kafir harbi iaitu tidak membawa kemudaratan kepada kedudukan Islam dan umat Islam.
"Perjuangan DAP tidak terima Perlembagaan negara, mereka mahu sama rata Islam dan bukan Islam, kuil dan masjid juga mahu sama rata..."
(Dipetik daripada "Haram, berdosa undi DAP", mukas urat 5, Utusan Malaysia 8 Ogos 2012.)
Adalah jelas di sini bahawa laporan tersebut bermotif politik dan bertujuan untuk menabur fitnah dan implikasi bahawa:
- DAP merupakan parti yang haram.
- DAP tidak menerima Perlembagaan Persekutuan.
- DAP merupakan parti kafir harbi.
Tuduhan bawa implikasi DAP kafir harbi
Umum mengetahui bahawa DAP merupakan sebuah parti pelbagai bangsa yang sah atau "halal" dari segi undang-undang.
Perjuangan DAP pula berteraskan prinsip-prinsip keadilan, ketelusan, kebenaran, kesaksamaan dan demokrasi, sepertimana yang diperjuangkan parti-parti rakan dalam Pakatan Rakyat yakni PAS dan PKR.
Selama 46 tahun sejarahnya, tidak sesekali pun DAP diharamkan atau dibatalkan pendaftarannya. Tambahan juga, sekian lama ini DAP telah berjuang di bawah kerangka kenegaraan Malaysia sebagai sebuah demokrasi berparlimen yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan.
Prinsip perjuangan DAP bukan sahaja terpahat dalam perlembagaan parti, tetapi juga diulangi dalam Deklarasi Shah Alam, iaitu suatu ketetapan yang telah dipersetujui dalam persidangan kebangsaan parti awal tahun ini.
Antara lainnya, wakil-wakil kebangsaan DAP telah menegaskan "komitmen untuk mempertahankan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara.
DAP komited untuk menjunjung Perlembagaan Persekutuan Malaysia sebagai undang-undang yang paling agung negara dan meluhurkannya dalam semangat merdeka 1957 dan Perjanjian Malaysia 1963."
Oleh itu, dakwaan bahawa DAP merupakan sebuah parti haram yang menolak Perlembagaan Persekutuan itu jelas merupakan fitnah dan tohmah semata-mata.
Laporan Utusan Malaysia tersebut juga membawa implikasi bahawa DAP adalah parti kafir harbi, hatta menjadi musuh yang ingin memerangi Islam.
Tidak musuhi mana-mana agama
Ini merupakan satu tuduhan yang sangat berbahaya dan jelas dilakukan dengan niat untuk mengapi-apikan sentimen perkauman dan agama.
Apakah asas untuk tuduhan sedemikian memandangkan DAP tidak pernah memusuhi mana-mana agama?
Malah, DAP jelas mendukung agama Islam sebagai agama Persekutuan dan pada masa yang sama ingin memelihara kebebasan rakyat untuk mengamalkan agama-agama lain, seperti yang termaktub dalam Artikel 3 dan 11 Perlembagaan.
Justeru, tuduhan sedemikian tidak mempunyai asas langsung serta berunsur hasutan.
Untuk mengelak daripada sebarang kekeliruan dan ancaman yang mungkin timbul akibat tuduhan-tuduhan palsu yang tidak bertanggungjawab oleh Utusan Malaysia, saya telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah, Jalan Patani, Pulau Pinang pagi tadi.
Walaupun kecewa dengan tindakan lidah rasmi Umno, khususnya dalam bulan Ramahan yang mulia ini, saya pasti bahawa rakyat Malaysia tidak senang termakan dengan umpan hasutan yang cuba dimainkan oleh Utusan Malaysia.
Lagipun, suratkhabar milik Umno ini sudah pun beberapa kali dibuktikan memfitnah oleh mahkamah.
ZAIRIL KHIR JOHARI setiausaha politik kepada setiausaha agung DAP. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.
'Abdullah Sa'amah mahu senangkan hati Umno'
|
Ketua penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kenyataan Abdullah itu tidak berdasarkan fakta yang tepat dan beliau tidak boleh mengeluarkan hukum di luar bidang kuasanya.
Sambil membawa kisah Khalifah Umar al-Khattab dalam sejarah Islam yang pernah 'dinasihati' seorang individu kerana "mahu menyenangkan hati Khalifah", Tuan Ibrahim turut menyamakan tindakan Abdullah dalam kisah itu.
"Kenyataan itu saya lihat sama (dengan kisah). Beliau tidak menasihati mengikut hukum, tetapi lebih kepada mahu senangkan pemimpin Umno.
"Sepatutnya (keluar hukum itu) bawah Majlis Fatwa Kebangsaan. Kenyataan beliau tidak berdasarkan maklumat yang tepat, hanya (berdasarkan) satu pihak sahaja untuk mengeluarkan hukum.
"Kalau kata lihat, penentangan MCA tentang hudud lebih hebat daripada DAP sehingga beri amaran kepada Umno (jika menyokong hudud)," katanya.
Laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini memetik Abdullah sebagai mendakwa DAP "secara terang-terangan menentang penubuhan negara Islam serta pelaksanaan hukum hudud."
Bagaimanapun, Abdullah mendakwa MCA yang lantang menentang hukum hudud disifatkan sebagai "bukan kafir harbi kerana tidak membawa kemudaratan kepada kedudukan Islam dan umatnya".
Sehubungan itu, Tuan Ibrahim yang juga pesuruhjaya PAS Pahang menganggap kenyataan Abdullah itu tidak bermaklumat serta tidak sahih, dan PAS tidak perlu melayaninya.
"Orang awam juga dapat membezakan sama ada kenyataan itu dibuat dengan ilmu atau mengikut parti pemerintah," katanya sambil mendakwa rakyat di Kelantan 'mengenali' guru pondok itu.
Sementara itu Setiausaha Politik ketua menteri Pulang Pinang Zairil Khir Johari berkata pihak tidak perlu mengulas kenyataan Abdullah itu.
"Kita rasa tak payah beri komen apa-apa," katanya sambil menambah rakyat mampu menilai perkara yang benar atau yang salah.
Kit Siang: Tajuk Utusan galak curiga antara agama
5:51PM Ogos 8 2012 - http://www.malaysiakini.com/news/205811
Dalam satu kenyataan hari ini, Lim berkata akhbar milik Umno itu juga "menghasut konflik agama" dengan membesar-besarkan isu di muka hadapan seperti itu.
Lim berkata, sebagai akhbar nasional, Utusan perlu lebih bertanggungjawab dan tidak memilih tajuk yang bertentangan dengan dasar 1Malaysia perdana menteri.
Beliau mendakwa akhbar itu hanya dibenarkan untuk melakukan perkara "tidak bertanggungjawab" itu dengan menyerang DAP dan bukannya parti komponen BN MCA, MIC atau Umno.
"(Jika ia menyerang parti BN) Kementerian Dalam Negeri tentu telah bertindak cepat untuk mengharamkah akhbar itu.
"Namun di sini kita lihat perdana menteri, menteri dalam negeri dan (BN) membiarkan, jika tidak menyokong penerbitan yang tidak bertanggungjawab, bersifat keji dan menghasut," katanya.
Beliau mengulas laporan Utusan hari ini yang memetik kenyataan pengasas pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa'amah yang mendakwa DAP "secara terang-terangan menentang penubuhan negara Islam serta pelaksanaan hukum hudud."
Bagaimanapun, MCA yang lantang menentang hukum hudud disifatkan Abdullah sebagai "bukan kafir harbi kerana tidak membawa kemudaratan kepada kedudukan Islam dan umatnya".
MCA malah pernah mengugut untuk meninggalkan BN sekiranya Umno cuba melaksanakan hukum hudud - rancangan yang disifatkan MCA sebagai cadangan yang "hilang akal".