Search Everything

Monday, 13 August 2012

Kit Siang: Tajuk Utusan galak curiga antara agama

 

  • 5:51PM Ogos 8 2012    
  • http://www.malaysiakini.com/news/205811

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang berkata tindakan Utusan Malaysia menyiarkan pandangan seorang guru pondok yang mendakwa "haram sokong DAP" hanya menggalakkan perasaan curiga di kalangan agama.

Dalam satu kenyataan hari ini, Lim berkata akhbar milik Umno itu juga "menghasut konflik agama" dengan membesar-besarkan isu di muka hadapan seperti itu.

Lim berkata, sebagai akhbar nasional, Utusan perlu lebih bertanggungjawab dan tidak memilih tajuk yang bertentangan dengan dasar 1Malaysia perdana menteri.

Beliau mendakwa akhbar itu hanya dibenarkan untuk melakukan perkara "tidak bertanggungjawab" itu dengan menyerang DAP dan bukannya parti komponen BN MCA, MIC atau Umno.

"(Jika ia menyerang parti BN) Kementerian Dalam Negeri tentu telah bertindak cepat untuk mengharamkah akhbar itu.

"Namun di sini kita lihat perdana menteri, menteri dalam negeri dan (BN) membiarkan, jika tidak menyokong penerbitan yang tidak bertanggungjawab, bersifat keji dan menghasut," katanya.

Beliau mengulas laporan Utusan hari ini yang memetik kenyataan pengasas pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa'amah yang mendakwa DAP "secara terang-terangan menentang penubuhan negara Islam serta pelaksanaan hukum hudud."

Bagaimanapun, MCA yang lantang menentang hukum hudud disifatkan Abdullah sebagai "bukan kafir harbi kerana tidak membawa kemudaratan kepada kedudukan Islam dan umatnya".

MCA malah pernah mengugut untuk meninggalkan BN sekiranya Umno cuba melaksanakan hukum hudud - rancangan yang disifatkan MCA sebagai cadangan yang "hilang akal".

No comments:

Post a Comment