Diterbitkan pada 19 March 2012 Kategori Ucapan
http://www.blogtokguru.com/berkebajikan-dalam-perjuangan/
“Bukanlah suatu kebajikan itu kamu menghadapkan muka ke Timur dan Barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, segala malaikat, segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermakan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang miskin, orang yang musafir, orang yang meminta-minta, orang yang memerdekakan hamba abdi; orang mendirikan sembahyang, serta mengeluarkan zakat, dan perbuatan orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka berjanji orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan kesakitan, dan dalam peperangan. Mereka itulah orang yang benar; dan mereka itulah juga orang yang bertakwa” (Surah Al-Baqarah 2:177).
Sesungguhnya pendekatan ‘berkebajikan’ sudah dua dekad dilaksanakan di Kelantan, iaitu sebaik sahaja PAS bersama Angkatan Perpaduan Ummah menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri. Ia satu pendekatan yang selari dengan kehendak Islam, kerana ajaran Islam sendiri mengutamakan urusan berkebajikan di dalam amalan berkerajaan. Urusan ini adalah sesuai dengan sifat Kelantan sebagai Serambi Mekah dan ‘Negeri Tadahan Wahyu’ yang bercirikan baldatun toyyibatun warabbun ghofur.
“Sesungguhnya bagi penduduk Saba, ada tanda-tanda yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu dua kebun, yang terletak di sebelah kanan dan kiri. Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada-Nya. Negerimu adalah negeri yang baik dan Tuhan yang Maha Pengampun!” (Surah Saba’ 34:15).
Justeru itu, sejak saya menyandang jawatan Menteri Besar bermula 1990 lagi saya tidak pernah mengambil pemberian elaun-elaun kerajaan sebagai tanda bersederhana dalam hidup. Amalan ini saya panjangkan pula kepada semua wakil rakyat. Ia suatu langkah berkebajikan kerana elaun yang tidak diambil itu boleh dimanfaatkan bersama rakyat atau membantu rakyat meskipun ia nampak kecil. Sebagai contoh sebulan elaun dapat RM5,000, dan cuba bayangkan kalau setahun sudah mencapai RM60,000.
Begitulah, saya tidak pernah menggunakan wang kerajaan untuk tujuan peribadi, malah kemudahan rumah yang disediakan oleh kerajaan saya tak tinggal di rumah itu. Sebaliknya, rumah itu telah dimanfaatkan untuk urusan umum.
Demikian lagi, saya tidak menggunakan kenderaan kerajaan untuk kemudahan peribadi mahupun keluarga. Saya sedia mendidik rakyat berekonomi secara Islam, misalnya dilaksnakan Ar-Rahn iaitu sistem pajak gadaian Islam. Begitu juga amalan pentadbiran seperti cuti mingguan selama dua hari iaitu Sabtu dan Ahad, Skim Kifalah untuk keluarga warga emas dan Skim Armalah untuk wanita yang kematian suami atau ibu tunggal dan banyak lagi.
Selain itu, elaun sambutan hari raya Aidilfitri dan Aidiladha yang disediakan kerajaan untuk menteri besar sebanyak RM30,000 hingga RM50,000 tidak pernah saya ambil. Sambutan hari raya itu tetap dibuat (di rumah Pulau Melaka), tetapi dengan belanja sendiri. Ia suatu pendirian bagi menjimatkan duit rakyat.
Sikap pemimpin sebegini bukan bermakna rakyat akan miskin dan jadi bangsat, sebab mereka akan dapat bahagian (nikmat) atas keperihatinan kita yang memimpin. Justeru kita perlu memimpin berlandaskan cara Islam, sebab Islam itu menganjurkan ‘sebuah badan kebajikan’ yang menolong orang.
Atas prinsip Islam sebegini, apabila Islam mentadbir maka jaminan berkebajikan ialah keredhaan Allah atas segala urusan berkerajaan dan khidmatnya kepada rakyat. Maka konsep mengharamkan riba di Kelantan, membebaskan negeri itu daripada amalan berjudi dan seumpamanya lagi adalah membezakan natijah berkebajikan yang difahami oleh Barat.
Dengan kata lain, Islam tidak melihat berkebajikan itu atas nilai benda semata-mata. Malah benda itu hendaklah dikongsi sama dengan unsur keberkatan dan keredhaan. Nilai ini hanya berjaya diraih setelah sesuatu yang dilaksanakan selari dengan perintah Allah dan sudah tentu mendapat keampunan-Nya.
Semoga segala usaha Kerajaan Negeri Kelantan selama ini telah dalam melaksanakan pengisian konsep ‘Negeri Berkebajikan’ sentiasa mendapat pentunjuk Allah SWT. Semestinya juga ia hendaklah berkonsep ‘keimanan dan ketaqwaan’ atas segala amalan kebajikan yang dilaksanakan.
“Dan Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan” (Surah Al-A’raf 7:96).
Intisari ucapan pada Majlis Makan Malam Bersama Pemimpin PAS anjuran Muslimat PAS Pusat di Shah Alam Convention Centre (SACC), 23 Rabi’ul Akhir 1433 /16 Mac 2012.
No comments:
Post a Comment