Search Everything

Saturday, 13 April 2013

Di balik pujian melangit Daim Zainuddin

Tun Daim Zainuddin adalah antara segelintir pemimpin veteran Umno yang masih menyakini kepimpinan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri. Pujian beliau melangit tinggi dengan mendakwa perdana menteri (PM) telah melaksanakan tugasnya dengan begitu baik dan patut diberikan mandat untuk menerajui negara dan meneruskan dasar-dasar transformasi beliau.

Menjadi lumrah pemimpin Umno-BN, mengangkat pemimpin sendiri dengan menghentam pemimpin Pakatan Rakyat. Jika sebaliknya beliau memuji Datuk Seri Anwar dan Pakatan dengan menghentam Najib, maka ia berita menggemparkan yang tidak akan dimuatkan dalam ruangan media utama negara.

Sebenarnya rakyat sudah cukup matang, bijak dan tahu siapakah pemimpin yang layak diberikan mandat atau ditolak dalam PRU ke-13. PM sudah diberi tempoh empat tahun untuk melaksanakan segala janji dan pembaharuan. Tempoh empat tahun sejak 2009 sehingga 2013 sudah cukup untuk melihat segala hasil tangan beliau. Hendak uji apa lagi?

Di sebalik kejayaan yang diangkat melangit Daim terhadap kepimpinan PM, sebenarnya terserlah lagi kegagalan beliau. Dan antara kegagalan beliau yang paling ketara adalah memerangi rasuah, khususnya terhadap pemimpin-pemimpin negara serta skandal-skandal lain yang memalukan negara.

Belum pernah terjadi seorang perdana menteri dikaitkan dengan skandal besar seperti skandal komisen kapal selam Scorpene bernilai RM500 juta yang sedang dibicarakan di mahkamah Perancis. Belum pernah juga terjadi para pembantu dan pengawal peribadi PM disabitkan dengan hukuman bunuh warganegara Mongolia, Altantuya Shaaribu sehingga dihukum mati. Salah seorang pegawai khas beliau pula disebut sebagai antara pemain watak utama kes Liwat 2 terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh Azlan Mohd Lazim, bapa Saiful Bukhari sendiri.

Di era Najib juga skandal rasuah Pusat Fidlot Nasional (NFC) bernilai RM250 juta berbangkit. Datuk Seri Dr Khir Toyo didapati bersalah kerana rasuah beberapa tahun yang lepas, manakala dakwaan rasuah sebanyak RM 40 juta Umno Sabah melibatkan ketua menterinya Datuk Seri Musa Aman dan taikun balak, Michael Chia, juga berlaku di era Najib. Skandal paling besar yang sedang meletup melibatkan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud mengenai penglibatan keluarga beliau dalam aktiviti penyelewengan mereka tersebar luas ketika ini.

Kesemua ini menjadi bukti betapa PM gagal mentransformasikan kerajaan menjadi kerajaan yang bersih, amanah dan adil. Ketika rakyat dibuaikan dengan pelbagai inisiatif dan insentif, rakyat pula tidak lupa bagaimana lemahnya PM memerangi rasuah dan penyelewengan di zamannya. Negara menjadi hampir lingkup oleh sikap ketamakan segelintir pemimpin negara membolot harta negara. Cukuplah mandat yang sebegini lama untuk Najib, menandakan berakhirnya era BN memerintah negara ini.



NONEAHMAD ZAMRI ASA'AD KHUZAIMI timbalan pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

No comments:

Post a Comment