Search Everything

Monday, 30 January 2012

Kebas

Friday, December 25, 2009

http://alyaaquutwalmarjaan.blogspot.com/2009/12/kenapa-kaki-terasa-kebas-bila-kita.html

Kenapa kaki terasa kebas bila kita berada di sesuatu posisi, contohnya duduk bersila, terlalu lama? Mulanya saya terfikir, mungkin sebab pengaliran darah ke bahagian kaki tersekat atau tak berapa lancar menyebabkan kaki seolah-olah terasa ‘lumpuh’ dan dicucuk-cucuk. Tapi sebenarnya bukan macam tu dan bukan semudah itu. Dalam istilah perubatan, keadaan ini disebut sebagai paresthesia.

Apabila kita duduk terlalu lama, atau tidur dalam keadaan beralaskan lengan, atau apa-apa saja posisi yang menyebabkan any parts of our body being pressed, terutamanya untuk tempoh masa yang lama, kita sebenarnya dah block nerve (saraf) pathway antara otak kita dengan anggota badan tersebut. Jadi, nerves tak dapat memindahkan impulses (maklumat) daripada otak ke bahagian anggota badan dengan sempurna. Apabila keadaan ini berlaku, kaki atau tangan kita seolah-olah telah hilang deria rasa, dan otak juga tak mampu ‘memberi arahan’ kepada bahagian anggota badan tersebut. Keadaan ini juga disebut sebagai ‘fall asleep’.

Selain itu, arteries (salur darah) also will be squeezed menyebabkan nutrien tak dapat dihantar ke sel-sel badan menyebabkan cells mungkin akan behave abnormally dan seterusnya turut mengganggu sistem deria rasa anggota badan kita.

Kenapa kita rasa seperti digigit semut pada tangan atau kaki yang kebas?

Keadaan ini berlaku disebabkan oleh pemindahan impulses yang tak teratur daripada sel-sel saraf. Walaupun kita rasa kurang selesa seolah-olah dicucuk jarum atau digigit semut, ia sebenarnya adalah satu signal untuk memberitahu kita supaya menukar atau membaiki posisi tubuh kita supaya berada dalam keadaan yang lebih selesa.

Dan, apabila kita menukar posisi tubuh atau meregangkan kaki dan tangan untuk menghilangkan rasa kebas, ia akan mengambil masa untuk pemindahan impulse menjadi kembali normal. Keadaan ini akan menyebabkan rasa mencucuk-cucuk (tingling sensation) akan bertambah, dan mungkin akan disertai dengan burning sensation. Akhirnya, apabila semua nerves and nerves pathway sudah berfungsi secara normal, rasa kebas akan hilang, dan keadaan ini juga disebut sebagai ‘wake up’.

Walaupun rasa kebas kaki dan tangan ini hanya satu perkara biasa, tapi kita harus juga berwaspada kerana jika nerve pathway terganggu untuk tempoh masa yang lama, contohnya beberapa jam, saraf mungkin akan mengalami kerosakan yang serius; dan sel saraf, tidak seperti sel-sel badan yang lain, adalah antara sel yang tidak boleh regenerate apabila sudah rosak; so it will cause permanent damage to nerve cells.

 

Saturday, 28 January 2012

Dr M: Banyak perkara mendukacitakan berlaku di negeri pembangkang

Jamaluddin Muhammad 7:20PM Jan 28, 2012 - Malaysiakini


Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata prestasi pembangkang di negeri-negeri yang ditadbir mereka jauh daripada apa yang boleh diharapkan.
  
"Mereka sudahpun diberi banyak peluang. Kita bagi di Perak, di Pulau Pinang; banyak perkara yang mendukacitakan berlaku di Pulau Pinang, sama (dengan apa yang berlaku) di Selangor.
  
"Dah bagi dah. Nak try (cuba) apa lagi. Kalau bagi sampai dah hancur, nak pulih balik susah lah," katanya kepada Bernama di Bangkok.
  
Beliau ditanya mengenai strategi pembangkang yang meminta pengundi memberi satu peluang kepada mereka untuk memerintah Malaysia dan bahawa mereka boleh ditukar jika gagal.
  
Menjawab soalan lain, Dr Mahathir, yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun sehingga 2003, berkata pandangan di peringkat akar umbi juga perlu diambil kira dalam pemilihan calon BN yang boleh menang dalam pilihan raya umum akan datang.

"Jika mereka tidak sokong calon yang boleh menang, calon yang boleh menang itu tidak boleh menang," kata Dr Mahathir.
  
Beliau berkata anggota komponen BN juga perlu bersedia menyokong calon-calon yang dipilih tanpa mengira siapa calon itu.
  
Dr Mahathir juga menolak dakwaan bahawa proses pilihan raya Malaysia tidak adil.
  
"Di Malaysia, sepanjang sejarah pilihan raya kita, tak pernah yang pembangkang tak boleh menang. Mereka menang sehingga dapat menawan negeri-negeri.
  
"Banyak negeri jatuh ke tangan pembangkang. Kalaulah ada manipulasi, mana mereka boleh menang," katanya.

- Bernama

Tahun Naga dengan semangat kekuatan


Dr Wan Azizah Wan Ismail
9:33PM Jan 23, 2012 - Ruangan Surat Malaysiakini
 
Di kesempatan ini saya mengambil sedikit ruang untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina - Gong Xi Fa Cai kepada seluruh bangsa Tiong Hua di Malaysia. Juga kepada rakyat Malaysia yang sama-sama menghormati sambutan tahun baru ini.

Mengikut kalendar kepercayaan kaum Cina, tahun ini adalah tahun Naga. Tahun yang akan dipenuhi dengan semangat kekuatan, kesihatan serta membawa nasib yang baik.

Kita rasa beruntung dengan keharmonian di antara kaum yang telah dipupuk sekian lama. Inilah semangat perpaduan dan hormat menghormati yang perlu kita semua pertahankan.

Walaupun ada pihak yang terus menyebarkan fitnah dan mengadu domba di antara kaum, namun PKR tetap yakin bahawa rakyat kini sudah matang dan bersedia untuk tinggal secara harmoni tanpa membezakan kepercayaan dan budaya itu satu penghalang kepada keadilan serta hak.

Isu-isu penyelewengan dan salah guna kuasa sudah tidak dapat disembunyikan lagi.

Pendedahan terus dibongkar agar rakyat dapat memahami bagaimana pentadbiran negara yang diuruskan itu menyebabkan merudumnya ekonomi negara. Malah rakyat dikaburi dengan berita yang kononnya negara berada di landasan yang selamat.

Hakikatnya, lihatlah sahaja harga barang-barang keperluan yang tidak terkawal. Kebebasan rakyat juga disekat. Pandangan rakyat tidak diambil peduli. Generasi kini terus ditekan demi mempertahankan golongan elit yang tamakkan kuasa.

Oleh itu, adalah menjadi kewajipan kita semua sebagai rakyat yang cintakan kedamaian dan keadilan untuk terus konsisten dalam agenda membersihkan Malaysia dari gejala-gejala yang mencemarkan negara.

PKR menyeru kepada semua golongan, tidak kira di kampung atau pun kota, anak muda dan juga mahasiswa, profesional dan kakitangan awam, inilah masanya untuk kita sepakat membina kebangkitan bangsa berteraskan maruah, keadilan, penghormatan dan persaudaraan.

Bayaran gaji Feb penjawat awam berdasarkan SSM

8:56PM Jan 27, 2012 - Malaysiakini

Pembayaran gaji penjawat awam bagi bulan Februari akan dibayar berdasarkan gaji Sistem Saraan Malaysia (SSM), setelah kerajaan memutuskan pembayaran gaji di bawah skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) hanya akan dibuat selepas semakan semulanya dimuktamadkan.
  
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini berkata pembayaran baki perbezaan gaji bulan Januari bagi penjawat awam yang memilih opsyen SBPA pada 31 Januari ini juga tidak dapat dilaksanakan seperti yang diumumkan sebelum ini pada 9 Januari.
  
"Pembayaran pelarasan gaji berdasarkan SBPA hanya akan dibuat setelah semakan semula SBPA dimuktamadkan dengan mengambil kira tarikh kuat kuasa SBPA pada 1 Januari 2012," katanya.
  
Menurut kenyataan itu, keputusan itu juga berdasarkan permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).
  
Pada Sabtu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata jawatankuasa khas yang dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam diberikan tempoh tiga bulan bagi membuat kajian dan penambahbaikan pelaksanaan SBPA.
Cuepacs kemuka lima perkara utama
Sementara itu, Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengemukakan lima perkara utama untuk dipertimbang dalam semakan semula SBPA.
  
Presidennya Datuk Omar Osman berkata lima perkara itu menumpukan kepada aspek keadilan dan kesaksamaan khususnya bagi penjawat awam pada gred 54 dan ke bawah.
  
Lima perkara terbabit ialah mengkaji semula pindahan gaji bagi gred 54 dan ke bawah; mengekalkan kedudukan kekananan yang ada dalam SSM sebelum bertukar kepada SBPA; mengkaji semula kedudukan gaji penjawat yang telah lama mencapai tahap gaji maksimum; mengkaji semula kenaikan gaji antara tujuh dan 13 peratus; dan semak kembali penstrukturan semula di semua peringkat gred.
  
"Kami harap  hasil semakan  semula ini akan memberikan keceriaan kepada semua penjawat awam," katanya kepada pemberita selepas taklimat SBPA kepada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, di George Town.
  
Omar berkata beliau juga meminta agar tiga lagi pegawai tertinggi dalam Cuepacs dibenarkan menyertainya pada mesyuarat pasukan petugas khas SBPA itu.

"Sekiranya tiga pegawai saya tidak dibenarkan untuk turut serta dalam mesyuarat itu  saya akan tarik diri dari pasukan itu, kerana ia tidak adil bagi saya. Saya adalah wakil  kepada 1.3 juta penjawat awam yang lain," katanya.
  
Selain itu katanya, Cuepacs akan membuat sesi jelajah sehingga April depan bagi memberi  penerangan kepada penjawat awam tentang SBPA.
  
"Sekarang ini kita cuma boleh minta semua penjawat awam supaya bersabar dan bertenang, tunggu sehingga tempoh semakan semula selesai," katanya.
  
SBPA yang sepatutnya dilaksana bulan ini ditangguhkan sementara bagi memberi peluang kepada pasukan petugas khas menyemak semula skim itu yang dikatakan persatuan penjawat awam sebagai agak kurang adil serta mengelirukan.
  
Pasukan petugas khas itu yang ditubuhkan pada pertengahan bulan ini diberi masa tiga bulan untuk melakukan semakan dan mengemukakan cadangan baru kepada
kerajaan.

- Bernama

Wednesday, 25 January 2012

Anwar bebas, Umno pecah

Amin Iskandar 11:36AM Jan 12, 2012 - Ruangan Kolum Malaysiakini
http://www.malaysiakini.com/columns/186391

Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, apabila ditanya mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim, secara sinikal beliau menjawab:

"Walaupun saya hairan jugalah pasal dia (Anwar) tak bersalah. Tapi ini bukti bahawa tidak ada konspirasi dari dulu sampai sekarang.

"Apabila pihak mahkamah berpendapat dia (Anwar) tidak bersalah, mereka (mahkamah) berkata dia tidak bersalah. Mungkin ada pihak yang nak appeal, saya tak tahulah."

Mahathir memang terkenal dengan komen-komen sinikalnya. Anwar Ibrahim adalah bekas anak didik yang ditatang beliau satu ketika dahulu.

Namun akhirnya Anwar menjadi musuh politik nombor satu Mahathir yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun itu. Anwar juga merupakan satu-satunya ahli politik yang masih belum dapat “dibunuh” karier politiknya olehnya.

Ahli-ahli politik lain seperti Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tun Musa Hitam dan ramai lagi, terpelanting dengan mudah apabila bertembung dengan Mahathir.

Sudah pasti Mahathir adalah orang yang paling tidak gembira dengan keputusan mahkamah tersebut. Jika Anwar didapati bersalah Isnin lalu, Mahathir sudah boleh berehat dengan tenang bersama keluarganya menghabiskan sisa-sisa hayatnya yang masih ada.

Apabila Mahathir berkata, “Mungkin ada pihak nak appeal, saya tak tahulah” – ini merupakan satu isyarat bahawa kes liwat II ini masih belum selesai dan sudah pasti bapa kepada Datuk Mukhriz itu mahu rayuan dilakukan terhadap keputusan mahkamah supaya perang liwat II berterusan.

Peperangan politik antara Mahathir-Anwar masih belum selesai walaupun ia telah memakan masa hampir 12 tahun. Suka tak suka pertembungan antara kedua-dua ahli politik ini telah mengheret seluruh negara bersama.

Glongan pro transformasi

Walaupun kecil dalam Umno, golongan ini sedikit sebanyak membantu memulihkan sokongan orang muda terhadap Barisan Nasional (BN). Golongan ini, kebanyakannya, adalah bekas penyokong Anwar sewaktu dalam Umno dahulu.

Golongan ini gembira dengan keputusan mahkamah dan selepas selesai kes liwat II ini, mereka mahu perlawanan antara BN dan Pakatan Rakyat naik ke tahap yang lebih matang iaitu ke tahap polisi.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah adalah antara yang tergolong dalam golongan ini. Keberanian beliau untuk berhadapan dengan politikus Pakatan dalam majlis-majlis debat sedikit sebanyak telah memenangi hati anak-anak muda dan pengundi atas pagar.

Akan tetapi di dalam parti Umno, golongan pro-transformasi terlalu lemah dan jika  transformasi politik itu bukan program Datuk Seri Najib Razak selaku presiden dan perdana menteri, sudah pasti golongan ini telah lama dikuburkan.

Sebab itu kita boleh lihat kurangnya komen-komen dari golongan pro-transformasi mengenai keputusan mahkamah Isnin lalu.

Mungkin golongan ini mengambil sikap berhati-hati oleh kerana kini, umum tahu golongan “garis keras” dalam Umno yang dipayungi oleh Mahathir sedang marah.

Sokong parti kuat

Politik Melayu itu mudah. Sokongan diberikan kepada parti yang kuat. Arwah atuk penulis sendiri pernah berpesan, jika mahu menyertai politik, ikutlah parti yang kuat.

Keputusan mahkamah Isnin lalu telah memberikan satu kekuatan baru kepada Anwar Ibrahim dalam usaha untuk memenangi hati majoriti pengundi Melayu terutamanya di kawasan luar bandar sekaligus menawan Putrajaya.

Bekas menteri Umno yang masih ahli parti tersebut, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir secara terang-terangan telah menunjukkan sokongannya terhadap Anwar.

Beliau hadir ke rumah Anwar dan menemani mantan timbalan perdana menteri itu ke mahkamah pada hari keputusan diumumkan.

Tindakan Kadir ini juga boleh dilihat sebagai isyarat jelas beliau tidak bersama Najib. Jika Datuk Zaid Ibrahim pada satu ketika dahulu dipecat dari Umno kerana hadir di kongres PKR, apa pula tindakan yang bakal dikenakan terhadap Kadir yang juga merupakan timbalan presiden AMANAH – di bawah pimpinan Ku Li.

Setidak-tidaknya, penyokong Kadir akan mengikut jejak langkah beliau untuk memberikan sokongan kepada Anwar Ibrahim. Ini merupakan satu kerugian politik kepada Najib Razak.

Apa yang bakal terjadi?

Kita lihat nanti apabila pendakwaraya membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah Isnin lalu. Apabila itu berlaku, lebih jelas lagi perpecahan dalam Umno kelihatan.

Najib akan berusaha keras untuk pastikan keputusan mahkamah Isnin lalu kekal di mahkamah rayuan. Jika keputusan mahkamah rayuan berbeza, hilang terus kepercayaan golongan atas pagar terhadap program transformasi politik beliau.

Sementara golongan “garis keras” yang berdiri di belakang timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahukan Anwar disimpan dalam penjara agar ketua pembangkang itu mengalami nasib seperti mantan pengerusi Putera-AMCJA, Dr Burhanuddin Helmy – menghabiskan masa lama dalam penjara sepanjang perjuangan politiknya.

Jika gagal menjinakkan golongan garis keras dalam Umno,Najib akan berada dalam keadaan, “yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran”. Apatah lagi pada ketika ini Umno mengalami masalah besar di basis sokongan mereka – Melayu kawasan pedalaman apabila Skandal NFC diketahui umum.

ULASAN ini adalah pandangan peribadi penyumbang/penulis dan tidak semestinya mencermin pendirian sidang pengarang Malaysiakini.Amin Iskandar menerima anugerah zamalah Intelektual Awam Asia (API) 2009-10 untuk menjalankan kajian tentang sejarah pemantauan pilihan raya di Filipina dan Indonesia. Memblog di http://www.aminiskandar.blogspot.com  dan berkicau di   http://www.twitter.com/aminiskandar.

SBPA: TEMPOH 3 BULAN WUJUDKAN SKIM TERBAIK

Utusan Malaysia
25/1/2012

KUALA LUMPUR 23 Jan. - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap pasukan petugas khas yang diberi tempoh tiga bulan bagi menyemak skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) mampu menjadikan skim itu yang terbaik dan diterima semua penjawat awam.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, sebelum ini ramai penjawat awam tidak berpuas hati dan memahami isi kandungan skim tersebut.

"Jadi kami berharap, selepas tiga bulan hasil yang diterima mampu memuaskan hati semua pihak dan mereka benar-benar memahami maksud yang terkandung dalam skim itu.

"Tiga bulan adalah satu tempoh yang wajar dan kami berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Najib semalam yang memberi jaminan semakan semula SBPA oleh pasukan petugas khas akan memberi kepuasan menyeluruh kepada setiap peringkat perkhidmatan awam.

Menurut Najib, pasukan petugas khas itu yang diberi tempoh tiga bulan akan melakukan semakan sebaik-baiknya supaya tidak ada lagi situasi yang boleh diibaratkan sebagai 'rumah siap, pahat berbunyi.'

Sementara itu, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Abdul Halim Mansor berkata, tempoh tiga bulan merupakan satu tempoh yang panjang dan relevan bagi menyemak semula skim tersebut.

"Melalui semakan semula skim itu, diharap selepas ini semua penjawat awam berpuas hati dan tidak menyalahkan mana-mana pihak mengenai kelemahan skim tersebut," katanya.
Abdul Halim turut berharap, skim tersebut menggunakan bahasa yang mudah difahami agar semua peringkat penjawat awam dapat memahami segala perkara yang terkandung dalam skim tersebut.

"Ia bagi mengelakkan mereka salah tafsir perkara yang disampaikan di dalam skim tersebut," katanya.


NAJIB BERI TEMPOH 3 BULAN

Utusan Malaysia
Oleh HERMAN HAMID
pengarang@utusan.com.my
22/1/2012

KUANTAN 21 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan semakan semula skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang sedang diteliti pasukan petugas khas akan memberi kepuasan menyeluruh kepada setiap peringkat perkhidmatan awam.

Menurut Perdana Menteri, pasukan petugas khas itu yang diberi tempoh tiga bulan akan melakukan semakan sebaik-baiknya supaya tidak ada lagi situasi yang boleh diibaratkan sebagai 'rumah siap, pahat berbunyi.'

"Sebelum ini saya dengar yang di bawah, kenaikannya terlalu rendah dan yang di atas kenaikannya terlalu tinggi, macam-macam saya dengar.

"Tak apalah, saya bagi tempoh tiga bulan kepada jawatankuasa ini kaji semula dan insya-Allah kita akan dapatkan hasil yang disifatkan sebaik-baiknya supaya kita dapat memberi kepuasan kepada semua," katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Kakitangan Awam bersama Perdana Menteri di Universiti Malaysia Pahang (UMP), Gambang dekat sini hari ini.

Majlis yang dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob itu disertai kira-kira 7,000 kakitangan awam melibatkan pelbagai peringkat termasuk Pusat dan negeri.

Satu pasukan petugas khas yang dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam ditubuhkan setelah Najib mengarahkan SBPA disemak semula untuk menyelesaikan beberapa isu yang dibangkitkan oleh pihak tertentu. 

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) baru-baru ini mendakwa lebih 1.3 juta penjawat awam Gred 54 ke bawah tidak berpuas hati dengan skim SBPA yang didakwa tidak adil terhadap mereka.

Sementara itu, dalam ucapannya juga, Najib sekali lagi mengingatkan penjawat awam bahawa era kerajaan mengetahui segalanya sudah berakhir maka sebab itu pendekatan sekarang adalah secara merendah diri.

Katanya, malah beliau sendiri tidak boleh mendakwa bahawa kerajaan yang ada sudah cukup sempurna dan mana-mana kepincangan yang wujud perlu diperbetulkan dan ditambah baik.

"Kalau rakyat kata tak betul, kita lakukan penambahbaikan, kalau sudah laksanakan pun, kalau perlu kaji, kita kaji balik. Yang penting sekali, rakyat terbela sepenuhnya," jelasnya.

Dalam pada itu, Najib berkata, pemberian subsidi secara langsung seperti menerusi pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dilihat memberi impak besar kepada penerima yang cukup menghargainya.

Katanya, ini berbeza dengan pemberian subsidi tidak langsung seperti petrol, gas memasak dan barangan keperluan asas lain walaupun jumlahnya melibatkan peruntukan yang jauh lebih besar.

"Subsidi untuk keperluan asas ini bertambah setiap tahun dengan tahun ini sahaja kita sediakan RM22 bilion untuk membantu rakyat. Tetapi anehnya yang BR1M ini kita bagi RM500, dia punya impak lebih daripada RM22 bilion.

"Saya semalam di Wilayah Persekutuan, tengok penerima dapat RM500, cium tangan kita tahap lain macam. Rupanya impak tunai lain, ia berkait psikologi manusia. Bila dapat tunai, orang Kedah kata 'ketaq lutut.'

"Apa pun kita buat ini kerana rakyat perlukan bantuan kerajaan yang kita boleh berikan hasil daripada perancangan jangka panjang kita," ujarnya.

Wednesday, 18 January 2012

Tunjuk bukti Hang Tuah wujud, kata Khoo Kay Kim

8:04PM Jan 18, 2012 - Malaysiakini
http://www.malaysiakini.com/news/186993

Matlamat menjadi tamadun moderat tidak akan tercapai jika subjek sejarah terus dipinggirkan oleh pelajar di negara ini, kata tokoh sejarawan negara Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim.
  
Beliau juga berasa bingung dengan situasi yang berlaku di negara ini sekarang apabila ramai pelajar tidak tahu sejarah negara, sedangkan subjek itu merupakan ibu kepada segala bidang.
  
"Memang amat menyedihkan, ketika kita menjadi semakin moden kita menjadi bertambah jahil, tetapi kita amat bagus berkonfrontasi. Tanya mereka tentang Malaysia...siapa orang Melayu pertama menjadi doktor, siapa yang pertama menjadi penjawat awam, mereka tidak tahu...90 daripada 100 kali ditanya mereka tidak dapat jawab," katanya di Kuala Lumpur hari ini.
  
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk "Peranan Pendidikan dalam Menyuburkan Kesederhanaan" di Persidangan Antarabangsa Pergerakan Moderat Global (ICGMM).
  
Khoo juga mendedahkan bilangan pelajar yang mengambil subjek sejarah semakin merosot, di mana Jabatan Sejarah di Universiti Malaysia yang sebelum ini menerima 1,300 pelajar setahun kini hanya disertai tidak lebih 300 penuntut.

Pada masa yang sama, Khoo berkata adalah penting bagi subjek itu diberi  penekanan daripada segi fakta bukan unsur mistik.
  
"Saya banyak dikritik kebelakangan ini kerana saya mengatakan tidak wujud manusia seperti Hang Tuah, Hang Jebat yang mereka fikir amat penting. Jika anda tidak bersetuju tunjukkan bukti kepada saya, padahal bagi saya mereka sekadar unsur mistik dan anda tidak boleh memberi penekanan kepada unsur mistik.
  
"Di Kuala Lumpur misalnya, ada Jalan Hang Tuah, Jalan Hang Jebat tetapi tidak ada Jalan Sutan Puasa (dan) beliau pemimpin Mandailing, yang pertama membuka KL (Kuala Lumpur)," katanya yang menyarankan kajian semula subjek sejarah.
  
Ditemui selepas itu, Khoo berkata bagi menghasilkan masyarakat moderat, sistem pendidikan harus memberi lebih penekanan kepada nilai murni bagi mengelakkan pelajar menjadi bangsa materialistik.    
  
"...kalau kita sebut perkara itu (nilai murni) kepada mereka di universiti, mereka akan ketawa, yang mereka mahu ialah cara yang paling cepat untuk jadi kaya, materialisme sudah begitu penting dalam masyarakat kita," katanya.
  
Ditanya sama ada konsep kesederhanaan dapat dilaksanakan dalam sistem pendidikan, Khoo berkata perkara itu boleh dilakukan dengan syarat pelajar sentiasa diberi nasihat yang sewajarnya sepanjang masa.

"Kalau kita nak mengutamakan aspek itu kita perlu meyakinkan murid-murid kita supaya mereka seharusnya lebih sabar, jangan nak bergaduh sahaja," katanya.

- Bernama

Pakar sejarah: Hang Tuah, Hang Li Po tak wujud

12:38PM Jan 17, 2012 - Malaysiakini
http://www.malaysiakini.com/news/186810

Buku teks sejarah akan ditulis semula bagi menyelaraskannya dengan fakta dan bukannya mitos dan legenda, kata pakar sejarah Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim.

Sebagai contoh, katanya, tiada rekod menunjukkan laksamana Melaka Hang Tuan dan Hang Jebat serta Puteri Hang Li Po benar-benar wujud, lapor The Star.

Bagaimanapun, tidak jelas sama ada anekdot sejarah yang tidak dapat disahkan akan dimasukkan dalam cadangan baru sukatan pelajaran sejarah untuk 2014.

Khoo (kanan) yang juga sebahagian daripada anggota jawatankuasa bagi menganalisis kurikulum itu berkata, cakap-cakap tidak wajar dimasukkan sebagai fakta dalam buku teks.

"Agenda utama jawatankuasa ini untuk menanamkan unsur patriotisme" (di kalangan pelajar)

"Pandangan peribadi saya, mitos dan legenda tidak patut dimasukkan dalam kurikulum.

"Bagaimanapun, jika mereka pilih memasukkannya, ia mesti dengan jelas menyatakan bahawa cerita-cerita itu bukan berasaskan fakta," beliau dipetik sebagai berkata kepada harian berbahasa Inggeris itu.

Wednesday, 11 January 2012

PERKASA: Segalanya belum muktamad

1:19PM Jan 9, 2012 - Malaysiakini
http://www.malaysiakini.com/news/186081

Kumpulan pendesak Melayu PERKASA berkata, walaupun Mahkamah Tinggi memutuskan membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat, "proses keadilan belum selesai" sekiranya pendakwaan mahu merayu.

Presidennya Datuk Ibrahim Ali berkata, masih terdapat proses lain melibatkan Mahkamah Rayuan yang mempunyai tiga hakim dan Mahkamah Persekutuan dengan tiga hingga tujuh hakim.

"Jadi segala gala nya belum muktamad," kata anggota parlimen Pasir Mas itu.

Mahkamah hari ini memutuskan Anwar tidak bersalah terhadap tuduhan yang dibuat Saiful pada 2008 kerana hakim mendapati tiada bukti yang menyokong keterangan pengadu.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berkata, mahkamah tidak dapat mensabitkan ahli politik berumur 64 tahun itu dengan pertuduhan semata-mata berdasarkan kepada keterangan Saiful.

Dalam kenyataannya hari ini, Ibrahim berkata, setelah selesai proses itu, semua pihak mesti menerima kententuan Allah "sama ada di dunia atau di akhirat".

"Oleh itu semua pihak hendaklah bersabar dan sentiasa membantu menjamin keamanan negara dan sentiasa menghormati undang-undang dan perlembagaan negara," katanya.

PERKASA juga menyerus semua pihak menghormati kedaulatan undang-undang dan tidak membuat huru hara dan mendahului mahkamah.

"Sebelum ini ada pihak terang-terang tuduh mahkamah berat sebelah, konspirasi dan mahu rakyat jadi hakim. Apa mereka mahu kata sekarang. Apakah mereka tidak percaya kepada keadilan Mahkamah.Jika tidak serah kepada mahkamah rakyat," katanya.

Demi selamatkan BN...

Abdul Aziz Bari 11:53AM Jan 10, 2012 - Malaysiakini
http://www.malaysiakini.com/news/186175

Anwar telah berulang-kali mengatakan bahawa Pakatan Rakyat pasti menguasai Putrajaya pada pilihan raya umum yang akan datang jika beliau dihumbankan ke penjara. Tetapi jika tidak, Pakatan tetap mempunyai peluang yang cerah untuk menumbangkan BN.

Adalah sukar untuk meyakinkan rakyat yang merasakan diri mereka telah sekian lama ditipu oleh BN bahawa keputusan 'tidak bersalah' semalam sebenarnya bertujuan menyelamatkan BN daripada terus terjerumus.

Bagaimana pula dengan pengaiban dan label-label negatif yang dilemparkan oleh pemimpin-pemimpin Umno dengan tujuan memburuk-burukan keperibadian Anwar selama ini?

Itulah sebabnya saya katakan keputusan perbicaraan liwat II semalam tidak banyak dapat membantu nasib BN.

Mahkamah juga perlu menjawab mengapa ia menunggu sehingga sekarang membuat keputusan itu, selepas begitu banyak masa dan wang yang dicurahkan untuk perbelanjaan perbicaraan.

Rakyat yang membayar cukai masih mempunyai alasan untuk tidak berpuas hati dengan cara BN memperkudakan mahkamah untuk kepentingan mereka.

Keputusan penghakiman yang memutuskan Anwar tidak bersalah meliwat pembantu peribadinya itu tidak bermakna bahawa badan kehakiman benar-benar bebas dan berkecuali. Bagaimanapun, sememangnya, itu adalah apa yang BN dan hakim-hakim akan kata.

Tetapi kebebasan badan kehakiman adalah satu persepsi dan ini bergantung kepada fakta-fakta tertentu, mereka perlu menerima apa yang rakyat memikirkannya.

Hakikatnya, bahawa pilihan raya umum akan datang perlu diadakan dalam masa kira-kira setahun dari sekarang dan BN telahpun terus tergelincir akibat pelbagai skandal dan sebagainya.



ULASAN ini adalah pendapat peribadi penyumbang/penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang pengarang Malaysiakini.
Abdul Aziz Bari adalah pakar perlembagaan negara.

Dr Mahathir hairan dengan keputusan mahkamah

10:10PM Jan 9, 2012 - Malaysiakini
http://www.malaysiakini.com/news/186152

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata walaupun hairan dengan keputusan mahkamah berhubung kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun katanya keputusan itu membuktikan tiada konspirasi atau campur tangan kerajaan terhadap badan kehakiman negara.

Dr Mahathir berkata keputusan mahkamah hari ini juga membersihkan imej dan kredibiliti kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan dakwaan-dakwaan buruk, kononnya zalim sehingga boleh memanipulasikan hakim dan keputusan mahkamah di negara ini.

"Walaupun saya hairan jugalah pasal dia (Anwar) tak bersalah. Tapi ini bukti bahawa tidak ada konspirasi dari dulu sampai sekarang. Apabila pihak mahkamah berpendapat dia (Anwar) tidak bersalah, mereka (mahkamah) berkata dia tidak bersalah. Mungkin ada pihak yang nak appeal, saya tak tahulah," katanya.

Dr Mahathir berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian insentif kepada pemenang pingat emas acara tenis kerusi roda, Abu Samah Borhan, di Sukan Para Asean ke-6 di Solo Indonesia yang berlangsung baru-baru ini.  

Tegas beliau badan kehakiman negara sentiasa bebas dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak termasuk pihak kerajaan atau pembangkang dalam membuat sebarang keputusan.
"Itulah sangkaan buruk mereka (pembangkang) iaitu ada konspirasi untuk menganiaya beliau. Mereka sangka kononnya tentu dia (Anwar Ibrahim) akan didapati bersalah tetapi dia didapati tidak bersalah (oleh mahkamah)," katanya.

Dr Mahathir berkata sangkaan buruk sesetengah pihak termasuk pembangkang berhubung sistem kehakiman negara selama ini ternyata salah dan tidak berasas sama sekali.

"Kononnya kerajaan ini zalim sampai hakim pun kerajaan manipulate. Ini tak pernah berlaku. Di dalam negara kita berapa kali kita dah lihat pihak kerajaan didapati bersalah," katanya.

- Bernama

Najib: Keputusan sangkal tuduhan terhadap k'jaan

9:09PM Jan 9, 2012 - Malaysiakini
http://www.malaysiakini.com/news/186151


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata keputusan mahkamah hari ini yang membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat telah dapat membersihkan sama sekali kerajaan daripada tuduhan berhubung campur tangan dan konspirasi kerajaan terhadap pemimpin pembangkang itu.

"Keputusan hari ini sekali lagi menunjukkan bahawa di sebalik apa yang telah didakwa, sistem kehakiman Malaysia adalah sebuah institusi bebas di mana baik politik mahupun ahli politik mempunyai sebarang pengaruh berhubung pelaksanaan keadilan," katanya.

Najib berkata ini sebaliknya mengukuhkan pemisahan kuasa yang jelas bagi setiap cabang kerajaan Malaysia, dan begitu juga cabang lain tidak campur tangan dalam urusan cabang yang lain.

"Sebagai ketua cabang eksekutif, saya hormati keputusan cabang lain dalam kerajaan, badan kehakiman, kata Perdana Menteri dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebaik kepulangan beliau hari ini daripada satu lawatan ke Afrika Selatan.

Mahkamah Tinggi hari ini melepaskan dan membebaskan Anwar atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, pada 2008.

Najib berkata kes ini dibawa oleh seorang individu persendirian dan adalah penting tuduhan beliau itu didengar di mahkamah.

"Jauh daripada menjadi satu perbicaraan bermotifkan politik, ia telah menjadi satu gangguan yang tidak dialu-alukan daripada hal yang lebih penting untuk mentadbir negara kita demi kepentingan rakyat Malaysia," katanya.

Ini merupakan tuduhan meliwat yang kedua dihadapi Anwar. Pada 8 Ogos, 2000, dia disabitkan dan dihukum penjara sembilan tahun selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi kerana meliwat pemandu Azizan Abu Bakar.

Bagaimanapun, empat tahun kemudian, dia dibebaskan selepas Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 2-1, mengubah sabitan itu dan mengetepikan hukuman penjara.

- Bernama

Catatan dari Mumbai, Anwar sedia maafkan...

Anwar Ibrahim  3:50PM Jan 10, 2012 - Malaysiakini
http://www.malaysiakini.com/news/186215

Saya dan Azizah tiba di Mumbai dan menuju Panchgani sebagai tetamu kepada sahabat lama, Rajmohan Gandhi, penyala obor perjuangan datuknya, pejuang besar India Mahatma Gandhi.

Lebih tiga bulan lalu saya berjanji untuk bersama beliau menyemarakkan semangat perjuangan Gandhi bagi menegakkan demokrasi yang mempedulikan nasib rakyat serta menolak kezaliman dan rasuah.

Sepanjang dalam perjalanan selama tiga jam, saya menerima ribuan panggilan telefon, mesej dari Twitter dan Facebook, komen di blog serta SMS dari pelbagai lapisan masyarakat Malaysia dan dunia yang menyatakan kesyukuran dan rasa gembira.

Fikiran saya melayang mengenangkan wajah gelisah, sedih, derita keluarga dan rakyat terutama di saat cemas menunggu penghakiman pagi semalam.

Alhamdulillah, saya bersyukur kerana setelah sekian lama difitnah dan diaibkan oleh pemimpin dan media Umno, Hakim Datuk  Zabidin Mohd Diah memutuskan -- berlandaskan undang-undang dan fakta --  bahawa dakwaan seseorang tanpa saksi dan sebarang bukti sokongan adalah tidak dapat diterima. Malah keterangan forensik dan DNA yang dikemukakan pihak pendakwaan turut dipertikaikan kesahihannya.

Saya tidak berhasrat menyingkap permasalahan lalu atau memberikan sebarang tafsiran mengapa penghakiman mengejutkan ini berlaku. Walaubagaimanapun, saya bersyukur ke hadrat Allah Azzawajalla kerana saya bebas dari fitnah jahat sedemikian.

Kasih sayang Azizah dan keluarga; kesetiaan rakan-rakan PKR; dukungan PAS dan DAP;  para reformis dan sokongan dan iringan doa rakyat bukan saja ibarat penawar malah membajai penyuburan semangat dan daya juang saya.

Seperti lazimnya saya tidak cenderung untuk merintih kisah derita silam malah sedia memaafkan. Hanya yang dimasyghulkan ialah kebiadaban gerombolan kecil termasuk media Umno yang berdendam kesumat dan terus memfitnah saya.

Saya ingin mengajak saudara-saudari bersama rakyat Malaysia untuk  melonjakkan perjuangan menuntut kebebasan rakyat; pemerintahan yang telus dan adil; ekonomi yang dipacu segar tetapi mempedulikan nasib rakyat serta menolak keangkuhan kuasa dan rasuah.

Kami sekeluarga amat terharu dengan luahan simpati dan dukungan semua. Semoga usaha murni kita bersama direstui dan diberkati Allah SWT.

Tuesday, 10 January 2012

Saya akhirnya 'dibersihkan', kata Anwar

12:45PM Jan 9, 2012 - Malaysiakini


Dalam keputusan yang kurang dijangkakan oleh banyak pihak, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dalam penghakiman ringkasnya yang tidak melebihi lima minit berkata kedua-dua bukti iaitu DNA dan oral-lisan tak boleh sabit kesalahan.

"Selepas meneliti bukti, saya tidak boleh pasti 100 peratus bahawa integriti bukti tidak diusik.

“Saya mendapati adalah tidak selamat untuk bergantung kepada bukti DNA. Justeru, mahkamah hanya ada keterangan Saiful.

"Justeru, mahkamah keberatan menerima bukti sedemikian dari SP1 Saiful.

"Oleh kerana ini adalah jenayah seksual, mahkamah keberatan untuk menyabitkan berdasarkan keterangan Saiful. Tertuduh oleh itu dibebas dan dilepaskan," katanya.

Isteri Anwar, Dr Wan Azizah Wan Ismail kelihatan menanggis sambil memeluk suaminya dalam kegirangan.

Seluruh mahkamah kecoh seketika dengan penyokong Anwar menjerit gembira.

Dalam reaksi spontannya, Ketua Pembangkang itu mengucapkan alhamdulillah dan bersyukur kerana kebenaran akhirnya dapat ditegakkan.
Terima kasih

“Saya berterima kasih kepada Wan Azizah dan keluarga kerana menyokong dan juga barisan peguam.

“Saya akhirnya dibebaskan selepas diaibkan sedemikian,” katanya di luar mahkamah.

Beliau mengucapkan terima kasih atas sokongan pemimpin Pakatan dan ahli-ahli serta orang ramai yang menyokongnya.

Katanya, agenda reformasi bagi menentang rasuah dan kebebasan media mesti diteruskan.Anwar mengucapkan terima kasih kepada peguamnya.

Pada perbicaraan sejak tahun 2008 itu Anwar diwakili oleh pasukan peguam yang diketuai oleh Karpal Singh manakala peguam cara II negara Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden mengetuai pihak pendakwaan.

Beliau didakwa meliwat pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan di Kondominium Desa Damansara pada 26 Jun 2008.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Ini merupakan kes liwat kedua melibatkan beliau selepas didapati bersalah dan dihukum penjara sembilan tahun pada Ogos 2000 kerana meliwat pemandu, Azizan Abu Bakar.

Bagaimanapun, empat tahun selepas itu, beliau dibebaskan selepas Mahkamah Persekutuan menukar pensabitan itu kepada tidak bersalah dan mengetepikan hukuman penjara terhadapnya.

Keputusan liwat II: Anwar TAK bersalah!

7:26AM Jan 9, 2012 - Malaysiakini

Keputusan perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa meliwat bekas pembantu peribadinya akan dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini selepas pendengaran 87 hari mulai tahun 2008.

Anwar didakwa meliwat pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan di Kondominium Desa Damansara pada 26 Jun 2008 dan menghadapi hukuman penjara sehingga 20 tahun jika didapati bersalah.

Beliau menafikan tuduhan itu dan ia sebagai satu konspirasi politik untuk memusnahkan kerjaya politiknya dan juga peluang Pakatan Rakyat bagi menumbangkan BN pada pilihan raya umum akan datang.

Seawal jam 5 pagi, penyokongnya mula berkumpul di tempat letak kereta perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, walaupun ketika itu hujan renyai-renyai bagi menunjukkan sokongan mereka.

Lebih ramai juga dijangka akan tiba sebelum keputusan perbicaraan liwat II yang membabitkan ketua pembangkang itu diumumkan hari ini.

Tidak kurang juga tedapat puluhan kenderaan polis dan anggotanya yang dikerahkan bagi memantau keadaan di situ.

Penyokong yang hadir itu antara lain membawa sepanduk yang tertera perkataan "Rakyat Hakim Negara" dan "Tolak Fitnah, Lawan Konspirasi".

Mereka juga memakai kain berwarna biru dengan tertera perkataan "Keadilan" dan kain lilit kepala hijau dengan perkataan "Hidup Anwar".

LAPORAN LANGSUNG

11.38am: Saksi kejadian yang merupakan seorang peniaga memberitahu tidak nampak apa-apa berlaku ketika letupan berlaku.
11.20am: Dua orang dipercayai tercedera akibat letupan sebelum ini.
11.15am: Kawasan tempat letupan kedengaran yang ditutup dengan garisan kuning menempatkan tiga kenderaan penjaja dan beberapa buah kenderaan awam lain termasuk motorsikal.

Polis membenarkan kenderaan yang diparkir di bawah medan selera keluar daripada kawasan berpagar kuning.

Polis juga membawa dua ekor anjing pengesan untuk memeriksa keadaan sekeliling.

11.10am: Orang ramai mula bersurai setelah diarahkan polis kerana keadaan tidak selamat.

11.04am:
Keseluruhan tiga letupan kedengaran di kawasan mahkamah antara jam 10.15 hingga 10.55 pagi.

10.48am: Anwar disekat lagi ketika dalam perjalanan untuk keluar daripada mahkamah, kali ini oleh pihak media yang mahukan kenyataannya.

Selepas kenyataan ringkas, Anwar dibawa dengan kenderaan untuk menunaikan solat syukur di masjid.

Ribuan rakyat masih lagi berhimpun di atas jalan raya mendengar ucapan daripada pemimpin Pakatan Rakyat antaranya Tian Chua, Nasrudin Hasan dan Badrul Hisham Shaharin.

10.46am: Kira-kira 30 polis bergegas ke kawasan letupan dan memagarnya dengan garisan kuning.

10.22am: Orang ramai yang hadir duduk diatas jalan raya mendengar ucapan sempena pembebasan anwar daripada tuduhan liwat.

Naib Presiden PKR Tian Chua menyifatkan kemenangan ini memperlihatkan kebangkitan rakyat.

Manakala Nasrudin pula menyifatkan kemenangan adalah "langkah menghampiri Putrajaya dan rakyat merupakan hakim negara.

Sementara Badrul mendakwa walaupun anwar dibebaskan tetapi wujudnya konspirasi dan rakyat tak bolah berdiam diri.
"Kita kena bangkit, peguam negara letak jawatan," katanya.

Bahkan beliau mendesak Najib letak jawatan kerana beliau bertanggung bertemu dengan Saiful.

"Saiful jumpa Najib, bermakna beliau bertanggungjawab, Najib letak jawatan," katanya diiringi sorakan penyokong.

"Najib masih ditampuk (pemerintahan), rakyat tidak akan duduk diam," katanya sambil disambut laungan "bangkit rakyat", "undur Najib" dan "letak jawatan".

"Kita cabar Najib, kalau hebat, kita tuntut bubar parlimen," katanya.

10.22am
: Polis berusaha untuk menyuraikan kumpulan pro-Saiful di dalam masjid untuk membolehkan penyokong Anwar memasuki kawasan tersebut.

10.10am:  Polis bagaimanapun tidak membenarkan kumpulan berkenaan terus mara untuk mengelakkan satu lagi pergaduhan tercetus. Orang ramai yang melalui kawasan masjid ‘boo’ penyokong PERKASA dan Perkida.

9.58am: Menurut Tian Chua, keputusan hari ini membuktikan tuduhan ke atas Anwar adalah palsu. 

9.50am: Orang ramai mula bergerak dari tempat parkir kereta ke medan selera berhampiran Masjid Wlayah persekutuan.

Tian Chua dan beberapa pemimpin PKR kelihatan berucap kepada orang ramai yang sedang bergembira itu dari bumbung bangunan.

9.42am: Anwar mengucapkan alhamdulillah dan berkata kebenaran akhirnya dapat ditegakkan.

“Saya berterima kasih kepada Wan Azizah dan keluarga kerana menyokong dan juga barisan peguam.

“Saya akhirnya dibebaskan selepas diaibkan sedemikian,” katanya di luar mahkamah.

Beliau mengucapkan terima kasih atas sokongan pemimpin Pakatan dan ahli-ahli serta orang ramai yang menyokongnya.

Katanya, agenda reformasi bagi menentang rasuah dan kebebasan media mesti diteruskan.

9.32am: Dalam reaksi spontannya, anak Anwar - Nurul Izzah menulis di Twitter:

"Judge: reading results immediately. Evidence not corroborated. Papa is acquitted! Takbir!"

9.23am: Hakim Mohamad Zabidin, dalam keputusan yang mengejutkan memutuskan Anwar tidak bersalah dan mengarahkan supaya beliau dibebas dan dilepaskan.

Hakim Mohamad Zabidin yang tidak membaca penghakiman penuh kecuali kesimpulannya berkata kedua-dua bukti iaitu DNA dan juga bukti lisan tak boleh menyabit kesalahan.

"Selepas meneliti bukti, saya tidak boleh pasti 100 peratus bahawa bukti telah diusik.

"Justeru, mahkamah keberatan menerima bukti sedemikian dari SP1 Saiful."

Isteri Anwar, Dr Wan Azizah Wan Ismail kelihatan menanggis sambil memeluk suaminya dalam kegirangan.  

Seluruh mahkamah kecoh seketika dengan penyokong Anwar menjerit gembira.

9.20am: Perbicaraan dimulakan dengan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah mengambil tempatnya. 

9.17am: Satu pergaduhan kecil tercetus apabila lebih 50 orang kumpulan penyokong Saiful bergerak turun daripada kawasan masjid dan bergerak menuju ke kawasan letak kereta mahkamah.

Kumpulan itu dihalang oleh ratusan lagi penyokong Anwar di jalan yang menempatkan pusat penjaja medan selera di jalan tersebut.

Kumpulan penyokong Anwar tidak berpuas hati dengan tindakan penyokong Saiful yang membawa kain sepanduk ketika berarak.

Cabar mencabar di kalangan kedua-dua kumpulan penyokong berlaku dan berlaku pergelutan kecil di antara beberapa orang.

Kumpulan penyokong Saiful kemudiannya berundur apabila terus diasak kumpulan pro Anwar dan kemudiannya masuk semula ke kawasan masjid.
Polis yang tiba beberapa minit selepas itu kemudiannya bertindak menutup pintu pagar masjid.

Polis juga tidak membenarkan kumpulan pro-Anwar terus mara ke dalam masjid untuk mengelakkan satu lagi pergaduhan tercetus.

10.46am Ribuan lagi masih menunggu di hadapan medan selera di Jalan Khidmat Setia untuk mendengar ucapan Anwar. Tiba-tiba terdengar letupan kuat dari kawasan pencawang elektrik berhampiran medan selera.

10.25am Anwar keluar dari mahkamah dengan sorakan daripada penyokong yang bersemangat.

Dalam ucapannya kepada kumpulan penyokong itu, Anwar berkata keputusan hari ini bukan keputusan seorang lelaki dan menjadi tanggungjawab untuk membebaskan rakyat.

Beliau kemudian menuju ke arah Masjid Wilayah.

9.15am: Pemimpin supremo DAP Lim Kit Siang juga berada dalam mahkamah.

9.14am: Menurut laman Facebook Polis, setakat jam 9 pagi, jumlah orang ramai yang berhimpun pada ralli 901 ini dianggarkan berjumlah 4,500.

9.05am: Seorang penyelaras perhimpunan memberitahu orang ramai bahawa Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat juga hadir dan beliau telah dibenarkan masuk ke dalam mahkamah.

9.01am: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan naib presidennya Datuk Mahfuz Omar aantara pemimpin PAS yang hadir. 

8.59am: Annie Ooi yang dikenali sebagai Makcik Bersih tiba di mahkamah bagi menunjukkan sokongan kepada Anwar dengan memakai kemeja T kuning 'Generation 709'.

Katanya kepada wartawan beliau datang dengan menaiki bas.

"Senang sahaja datang sini,” katanya cuba mengelakkan jurugambar daripada merakamkan gambarnya.

"Banyak marah, apa diaorang buat pada rakyat".

8.37am: Para diplomat dan wartawan mula dibenarkan masuk. Turut dibenarkan ialah Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

8.32am: Turut kelihatan adalah Nasir Hashim PSM dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim yang bersama dengan rakyat. 

8.30am: Anwar dan keluarganya tiba sambil diberi sambutan gemuruh dengan laungan “reformasi’ bergema sekitar kawasan ini. Jumlah yang hadir semakin ramai dan sukar dianggarkan dengan tepat kerana mereka tidak berkumpul setempat.

Beliau memakai baju biru dan seluar hitam dan kelihatan tenang.

8.25am: Bekas speaker Perak V Sivakumar berkata: "Di kompleks mahkamah ini, kita tahu apa yang berlaku dahulu - semua kes kita semasa krisis Perak, kita kalah.

"Kita tahu pengadilan macam mana yang akan kita terima tetapi rakyat Malaysia tetap akan menuntut Keadilan!”

8.22am: Duta dan perwakilan asing dari Amerika Syarikat, Kanada, Australia, United Kingdom dan beberapa negara Eropah mula berbaris menunggu dibenarkan masuk ke mahkamah untuk mengikuti perbicaraan ini.

Pemerhati antarabangsa dari Kesatuan Parlimen Antarabangsa atau Inter Parliamentary Union Mark Trowell juga hadir.

8.20am: Setiausaha Agung Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas) Zulkifly Sharif berkata pihaknya kini sedang mengumpul ahli-ahlinya termasuk PERKASA, PEKIDA dan Putra Malaysia berkumpul di anjung B Masjid Wilayah.

Mereka juga turut mengagihkan baju kuning tertera tulisan "Antik Sex Bebas 901" kepada ahli-ahli.

Jumlah yang hadir tidak lebih 50 orang.

8.15am: Menteri Besar Perak yang disingkirkan Datuk Seri Nizar Jamaluddin memberitahu hadirin bahawa mereka berkumpul dengan harapan hakim kes perbicaraan ini tidak dipengaruhi oleh kehendak pemimpin Umno.

“Kami berharap hakim akan buat keputusan yang tidak memihak,” katanya.
Sementara itu, polis juga mula mengarahkan orang ramai supaya bergerak ke arah kawasan parkir kereta dan tidak berkumpul di jalan.

8.05am:  Laungan reformasi oleh penyokong Anwar di kawasan parkir mahkamah jelas kedengaran pada jarak dianggarkan 500 meter dari kawasan Masjid Wilayah Persekutuan.

Kawasan masjid bagaimanapun masih tenang dengan kumpulan penyokong Mohd Saiful Bukhari Azlan membuat persediaan demo dengan memakai kemeja-t khas "anti seks bebas 901", sambil menunggu ketibaan para pembesar mereka.

8.12am: Antara pemimpin PKR yang dilihat berada di luar mahkamah adalah Azmin Ali, N Surendran dan Datuk Chua Jui Meng.

8.05am: Beberapa orang penyokong Pekida dikesan di dalam kawasan parkir masjid sambil membawa bendera pertubuhan tersebut.

Kumpulan ini dipercayai sedang menunggu pemimpin mereka.

8.03am: Ketua Srikandi PKR Siti Aishah Shaik Ismail berucap pada hadirin.

"Apapun keputusan hari ini, gelombang ini mesti bangkit dan pastikan Umno tumbang.”

7.45am: Ketua BERSIH 2.0 Datuk S Ambiga tiba dan diikuti oleh Sasterawan Negara Datuk A Samad Said. Jumlah yang hadir dianggarkan 5,000 orang.

7.40am: Penyelaras perhimpunan meminta penyokong supaya beralih ke tempat letak kereta kerana jumlah yang semakin ramai itu mula berkumpul di jalan-jalan menuju ke mahkamah.

7.40am: Belum ada tanda-tanda kumpulan Pekida atau PERKASA berada di Masjid Wilayah Persekutuan, tempat sepatutnya mereka berkumpul.

Malah kumpulan yang banyak berada di sekitar masjid adalah kumpulan pro-Anwar yang sekarang sedang berpusu-pusu keluar ke kawasan parkir mahkamah.

7.36am: Setiausaha agung DAP yang juga adalah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng juga hadir. Selain itu kelihatan juga pemimpin lain seperti Tian Chua, Rafizi Ramli dan S Sivarasa.

7.31am: Naib presiden PKR memberitahu hadirin bahawa hanya terdapat satu kes di mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Katanya, Anwar dan beberapa pemimpin Pakatan yang lain akan menyampaikan ucapan ringkas sebelum masuk ke mahkamah pada jam 8.30 pagi.

Menurut beliau lagi, hanya Anwar dan ahli keluarganya, diplomat, media dan 10 orang dari Pakatan dibenarkan masuk ke mahkamah manakala yang lain terpaksa tunggu di luar.

Ketika perbicaraan berlangsung, pihaknya akan mengatur supaya apa yang berlaku dapat disampaikan kepada mereka yang menunggu di luar. 

7.30am: Jumlah penyokong di luar mahkamah semakin ramai. Dianggarkan sekitar dua ribu yang hadir. Kelihatan juga beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat yang mula tiba. 

7.19am:  Dua buah kenderaan van polis mengambil tempat di ruang parkir Masjid Wilayah Persekutuan yang mulai dipenuhi kenderaan.

Van ambulans turut mengambil tempat di dalam kawasan masjid.

7.12 am: Di Masjid Wilayah Persekutuan, tempat PERKASA dan sekutunya mengadakan perhimpunan kelihatan seorang penceramah sedang menyampaikan kuliah subuh.

Tidak kelihatan pemimpin PERKASA atau Pekida setakat ini di dalam ruang solat utama masjid. Situasi dalam masjid lengang, kecuali kira-kira 30 jamaah sedang mendengar kuliah subuh. 

7.01 am: Ketua Srikandi PKR Siti Aishah Ismail memberitahu para penyokong bahawa smua plakad selain "Bebaskan Anwar 901 dibenarkan di bawa masuk ke tempat berhimpun.

Orang ramai ketika ini kelihatan berpusu-pusu masuk ke kawasan berhimpun sambil mengucapkan salam kepada pegawai polis yang mengawal di hadapan pintu masuk.

Jumlah kenderaan polis itu termasuk;
21 trak polis
1 meriam air
33 van
1 mobile command post
3 bas yang membawa anggota polis
4 Landrovers Light Strike Force 

7.00 am: Antara penyokong hadir termasuk dari Dapsy, ABU, Jingga 13, PKR dan ahli PAS.

Sunday, 1 January 2012

2012 tanpa Ibrahim Chik

Amin Iskandar
12:09PM Jan 1, 2012 - Ruangan Kolum Malaysiakini
http://www.malaysiakini.com/columns/185398

Sedar tak sedar berakhir juga 2011. Masa berlalu dengan begitu pantas. Setiap kali tiba hujung tahun, sebuah lagu akan bermain dalam fikiran.

Lagu ini akan memberikan keinsafan pada diri memikirkan apa yang telah dilakukan sepanjang tahun.

Lagu tersebut ciptaan John Lennon - mantan anggota kumpulan The Beatles, sebuah nama besar yang masih kuat dalam ingatan ramai.

Dalam lagu Happy Xmas (War Is Over), lirik yang menyentuh hati diawal lagu tersebut.

"So this is Christmas, And what have you done? Another year over, A new one just began."
(Hari Natal telah tiba, Apa yang telah kamu lakukan? Setahun telah berakhir, Tahun baru telah menjelma)

Mendengar lagu ini membuatkan diri menilai kembali apa yang telah dilakukan sepanjang tahun. Dalam tempoh 12 bulan, sudah pasti banyak perkara baik buruk yang telah berlaku.

Ada yang menguntungkan dan merugikan diri dan ada pula menguntungkan dan merugikan masyarakat.

Kita tidak mungkin akan dapat memutarkan masa kembali kebelakang untuk mengubah kembali kesilapan yang telah dilakukan. Setakat ini, belum ada saintis atau tok bomoh yang mampu membawa kita kembali ke masa lampau.

Kalau ada, sudah pasti kaya-raya mereka. Pasti ramai yang mahu kembali kebelakang untuk mengubah sejarah. Kesilapan yang telah dilakukan lebih baik dijadikan pengajaran agar kita menjadi lebih baik pada masa hadapan.

Yang pergi tak akan kembali

Sepanjang 2011, sudah pasti kita kehilangan sesuatu. Boleh jadi kita kehilangan wang, masa, teman dan ada juga yang kehilangan orang yang tersayang.

Orang di sekeliling kita datang dan pergi. Semoga sewaktu mereka masih ada, kita telah manfaatkan sebaiknya. Pada 29 Disember lalu, negara kehilangan seorang tokoh kemerdekaan.

Ibrahim Chik yang bangkit bersama-sama pemuda-pemudi lain untuk menghalau penjajah dari bumi yang tercinta ini menghembuskan nafas terakhir di rumah anaknya, Taman Setia Jasa, Temerloh, Pahang.

Sebelum sempat Umno ditubuhkan, Ibrahim Chik telah bersama Angkatan Pemuda Insaf (API) yang bergabung dengan pertubuhan antipenjajah lain seperti Angkatan Wanita Sedar (Awas), Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Parti Komunis Malaya (PKM), Hizbul Muslimin dan banyak lagi.

British yang takut dengan kekuatan pertubuhan anti penjajah yang bergabung di bawah Putera-AMCJA, mengistiharkan darurat dan mengharamkan kesemua pertubuhan anti penjajah dan membiarkan parti politik perkauman seperti Umno, MCA dan MIC.

Selain itu tangkapan besar-besaran dilakukan. Pemuda yang cintakan negara seperti Ibrahim Chik tidak mempunyai pilihan lain selain dari masuk ke hutan untuk mengangkat senjata dan bergabung dengan Regimen ke 10, PKM.

Seperti arwah Mat Indera, Ibrahim juga tidak pernah menyerah kepada penjajah sehingga akhir hayatnya. Al-Fatihah, semoga arwah damai disisi penciptanya.

Apa yang menanti pada 2012?

2012 sudah pasti menarik. Apatah lagi terdapat ramalan bahawa dunia akan berakhir pada 2012. Telah ada filem yang menggambarkan kemusnahan dunia pada Disember 2012.

Benar atau tidak bumi akan musnah pada 2012, hanya pencipta kepada bumi yang tahu. Hidup mesti diteruskan.

Dalam politik tidak kurang hebatnya, 2012 akan dibuka dengan keputusan perbicaraan kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diumumkan pada 9 Januari.

Keputusan ini akan memberikan impak yang besar dalam politik negara. Mantan Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah meramalkan Anwar akan dihantar ke penjara.

Menurut Ku Li, jika Anwar dibiarkan bebas diluar, Umno - parti yang dianggotai beliau akan hancur.

PKR telah melakukan mobilisasi besar-besaran untuk menghimpunkan rakyat di Kuala Lumpur pada tarikh tersebut.

Sebagai serangan balas, Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) pimpinan Datuk Ibrahim Ali telah membuat laporan polis bagi menghalang perhimpunan tersebut.
Diberitakan, sebuah NGO Melayu akan membuat laporan polis di seluruh negara bagi menghalang perhimpunan 901.

Jika dilihat dari pengalaman perhimpunan BERSIH lalu, PERKASA dan juga Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mampu menghalang kebangkitan rakyat untuk berhimpun di Kuala Lumpur walaupun seluruh pintu masuk ke Kuala Lumpur ditutup.

Tahun pilihan raya

Tahun 2012 juga diramalkan sebagai tahun pilihan raya umum ke-13 (PRU 13). Ramai penganalisis politik percaya Datuk Seri Najib Razak tidak mampu menunggu sehingga habis penggal pada 2013 untuk menjamin survival politiknya.

Sebab itu keputusan kes Anwar Ibrahim dilihat berkait rapat dengan PRU-13. Jika Anwar dipenjara, dipercayai akan dapat melemahkan Pakatan Rakyat. Sekali gus mampu mengucar-kacirkan hubungan antara PAS dan DAP oleh kerana ketua umum PKR itu adalah pengikat kepada kedua-dua parti tersebut.

Kepercayaan politik sebegini untuk saya adalah keprcayaan kuno. Untuk saya PR telah matang dan jika Anwar dipenjara, penyatuan ketiga-tiga parti ini akan menjadi lebih kuat.

Telah ramai tokoh dalam PR yang telah dilatih sepanjang tempoh waktu pakatan politik ini ditubuhkan. Krisis juga akan melahirkan kepimpinan baru. Satu ketika dulu, Datuk Seri Wan Azizah hanyalah seorang suri rumah.

Kini lihatlah bagaimana perkembangan berlaku dalam diri wanita tersebut. Krisis kali ini jika berlaku, keadaan Wan Azizah berbeza dari tahun 1998.

Dalam erti kata lain, mantan ahli parlimen Permatang Pauh itu lebih bersedia keadaanya daripada Corazon "Cory" Aquino pada ketika suaminya, Ninoy Aquiono ditembak oleh regim Marcos di Filipina pada tahun 1983.

Jika Cory Aquino yang berada dalam keadaan "terkejut" mampu untuk memimpin rakyat Filipina menjatuhkan regim Marcos tiga tahun selepas kematian suaminya, Wan Azizah berada dalam keadaan lebih bersedia.

Buang yang keruh ambil yang jernih

Sepanjang tahun 2011, pasti ada kesilapan yang telah dilakukan. Jadikanlah ia satu pengajaran untuk membentuk jatidiri yang lebih baik pada 2012. Jangan masuk ke dalam "lubang biawak" dua kali seperti kata orang tua-tua.

Tahun baru pasti akan melahirkan semangat baru. Cuma selama mana semangat itu mampu bertahan menjadi cabaran pada diri kita.

Semangat itu mungkin juga akan menjadi "hangat-hangat tahi ayam" seperti yang sudah-sudah.

Masa akan berlalu dengan pantas tanpa menunggu kita. Kita pasti akan ditinggalkan oleh masa. Manfaatkanlah masa agar kita tidak menyesal dikemudian hari.

Selamat menyambut tahun baru buat semua. Semoga segala impian, mimpi dan cita-cita dapat dicapai pada tahun yang baru.

Amin Iskandar menerima anugerah zamalah Intelektual Awam Asia (API) 2009-10 untuk menjalankan kajian tentang sejarah pemantauan pilihan raya di Filipina dan Indonesia. Memblog di http://www.aminiskandar.blogspot.com/ dan berkicau di http://www.twitter.com/aminiskandar.

Hidup sebuah misteri, kembara

Dr Mohd Asri Zainul Abidin
12:31PM Okt 16, 2011 - Ruangan Kolum Malaysiakini

Saya sedang berada di Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford (OCIS). Hadir ke sini di bawah program visiting research scholar (sarjana penyelidik pelawat) selama sepuluh bulan.

Saya pernah datang ke sini dulu sekadar melawat kawan-kawan. Tidak sangka pula, ada peluang datang pula untuk buat kajian di sini dengan agak lama, berserta sedikit elaun yang diberikan oleh British Council.

Saya tinggalkan Malaysia dalam keadaan ramai yang menasihati bahawa sekarang bukan masa yang sesuai. Kebanyakan alasan mereka; pilihan raya sudah dekat. Duta British juga kata begitu kepada saya.

Padahal, saya seperti rakyat marhaen yang lain tidak terlibat dengan pilihan raya melainkan sekadar seorang pengundi biasa. Itu bukan alasan yang kukuh. Saya ingin terus mengembara selagi mampu. Mengutip bekalan selagi ada upaya membawanya.

Merentasi denai dan lurah. Mendaki gunung dan cuba menggapai awan, jika diizinkan Allah. Biarlah apa tafsiran orang terhadap kehidupan kita, selagi insan berpaksikan Tuhan, dia akan melihat keindahan dimensi hidup dalam pelbagai spectra dan rupa.

Ini tulisan pertama saya di sini. Saya belum mahu mula. Saya hanya mahu meletakkan satu mukadimah yang boleh kita kongsi bersama mengenai kehidupan. Sesuatu yang kita semua alami dan rasai.

Allah menyuruh kita mengawal diri sendiri dan membetulkan keadaan dengan kadar kemampuan dan ruang yang kita miliki. Namun, tiada siapa dalam kalangan makhluk yang dapat memastikan episod-episod dalam perjalanan hidup.

Misteri kehidupan


Ya, hidup penuh keajaiban. Penuh misteri yang tersimpan di sisi Ilahi. Ada perkara yang insan jangka dan sangka, ia tidak berlaku. Ada perkara yang tidak diduga ia menjelma dalam pelbagai rupa dan warna. Tiada siapa boleh menyatakan yang dia menguasai perjalanan kehidupannya. Tidak! Sama sekali tidak!

Dia mungkin menguasai dirinya bukan perjalanan hidupnya. Dalam alam ini yang penuh dengan pelbagai watak, episod, musim dan rasa, maka tiada siapa yang berkuasa melainkan Allah. Manusia merancang dan mengatur. Ada kala rancangan itu berjaya, ada kala gagal, ada kala berubah arah dan pelbagai lagi.

Dunia ini bukan kita saja yang menghuninya; insan lain, alam sekeliling dan segala yang wujud. Semuanya mempunyai agenda mereka yang tersendiri. Kadang-kala agenda itu bersaing dengan hasrat kita. Mungkin kita menang, atau kalah. Atau tiada siapa yang mendapatnya. Atau semua mendapat ruang dan peruntukan masing-masing.

Itulah kehidupan. Sebab itu kita disuruh bertawakkal iaitu setelah berusaha semampunya hendaklah berserah pasrah dan menggantungkan segala doa dan harapan kepada-Nya.

Firman Allah (maksudnya): "...dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari masalahnya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang dia tidak sangka.

"Dan sesiapa bertawakal kepada Allah, maka cukuplah Allah itu baginya (untuk menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala urusanNya. Allah telahpun menentukan kadar bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu." (Surah al-Talaq: 2-3).
Kudrat Tuhan
Ya, sesiapa yang bertawakal kepada Allah, maka cukuplah Allah sebagai pengatur urusannya. Ketika menyerah pasrah dirinya kepada Allah, insan mungkin mempunyai pelbagai bayangan bagaimana kehendak atau hajatnya akan tercapai.

Namun kuasa, kudrat dan kehendak Allah merentasi segala bayangan dan igauan insani.

Dalam menunai hasrat seseorang insan, Allah kadang-kala takdirkan pelbagai kejadian dan episod hidup agar insan belajar, mendapat ganjaran pahala, menemui pelbagai hikmat dan menjadi hamba yang lebih bersyukur dan akur dengan keagungan-Nya.

Cara sesuatu hasrat itu muncul dan menjelma juga, tidak semestinya sama. Pelbagai warna dan rupa. Mungkin insan ingin sesuatu, Allah gantikan yang lain yang lebih baik daripadanya.

Mungkin insan tidak tahu kejelekan di sebalik sesuatu yang indah pada matanya sehingga dia mengidamnya.

Apabila insan menyerah diri kepada Tuhan dengan jiwa yang luhur dan akur, Allah akan memberikan ganti yang lain, yang mungkin insan kurang suka, tapi itu lebih baik untuknya.

Demikian Allah menegaskan (maksudnya):"...dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya". (Surah al-Baqarah: 216).
Hanya pada tangan-Nya kekuasaan mutlak terhadap perjalanan alam ini. Jika Dia mahu memberikan sesuatu, tiada siapa yang dapat menghalang-Nya. Jika Dia mahu menghalang sesuatu, tiada siapa yang memberikannya.

Dia Maha Berkuasa menghadirkan hajat seseorang insan dalam pelbagai bentuk dan rupa, jalan yang disangka dan yang tidak diduga.

Dia Maha Mengetahui apa yang terselit dalam benak insani ketika seseorang itu mengadu kepada-Nya. Padahal kadang-kala insan itu sendiri alpa dan lupa hasratnya yang sebenar.

Allah mungkin menunaikan hasrat yang tersirat walaupun tidak dalam gambaran yang tersemat. segalanya atas rahsia alam atau hikmat kehidupan yang Allah Maha Tahu.

Apa yang penting Allah tidak mensia-siakan hamba yang bertawakal kepada-Nya. Percaya, jika kita serahkan jiwa raga dengan penuh pasrah kepada Allah, harinya akan menjelma dalam pelbagai bentuk dan rupa. Kebahagiaan itu jika Allah berikan tiada siapa yang dapat merampasnya dalam dada kita, sekalipun tubuh diluka dan dipenjara.

Sengsara jika Allah campakkan kepada kita, tiada harta yang dapat menghalangnya, tiada wanita yang dapat menceriakannya dan kuasa yang dapat menangkisnya. Percayalah, dan berjalanlah atas keimanan itu menelusuri diari kehidupan ini.
Hidup ini kembara
Setiap insan mengembara di mayapada ini. Samada dia pernah keluar dari daerahnya ataupun tidak. Dia bagaikan pengembara. Perjalanan diari hidupnya sendiri yang bermula dari hari dilahirkan sehingga menemui kematian. Berjumpa dengan pelbagai watak dan bertemu dengan pelbagai episod dalam hayatnya.

Dalam menelusuri rantai-rantai hari yang datang pergi, insan disuruh mengabdikan diri kepada Ilahi. Melakukan yang disuruh dan meninggalkan yang dilarang. Insan itu insan. Akan ada episod duka, salah, silap dan episod suka, benar dan tepat.

Ada kala dosa, ada kala pahala. Itulah insan. Namun, dalam kembaranya hendaklah dia pastikan kesilapan akan diikuti dengan pembetulan, dosa diikuti dengan istighfar dan taubat. Pastikan kebaikan yang mengusai dirinya, sementara kejahatan sesuatu yang asing dan terpencil.

Pastikan dalam kembara hidup ini dia tidak membawa beban yang menyukar dia pulang ke pangkuan Tuhan.

Sabda Nabi SAW: "Ada apa aku dan dunia ini! Tiadalah dunia dan aku ini melainkan seperti seorang pengembara yang berlindung dari panas di bawah sepohon pokok, kemudian pergi meninggalkannya". (Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).
Walaupun hidup menyerupai sebuah kembara, insan disuruh pula untuk mengembara melihat alam ciptaan Allah. Mengambil iktibar dari pelbagai kejadian dan peristiwa.

Begitu banyak ayat dalam al-Quran, Allah menyebut "Tidakkah kamu lihat?!" dan "berjalanlah kamu di bumi".

Pelbagai perkara al-Quran menyuruh kita lihat; gunung-ganang, peristiwa lampau dan lain-lain. Demikian dalam riwayat al-Bukhari bagaimana Jabir bin ‘Abdillah menyembara selama sebulan untuk mendapat sebuah hadis sahaja daripada Abdullah bin Unais.

Maka saya terus mengembara lagi dan mengulangi ungkapan Abu Firas al-‘Amiri yang dikenali dengan Majd al-‘Arab:

"Berpisahlah, nescaya kau dapati ganti orang yang kau tinggalkan. Mengembaralah di bumi, nescaya kau temui petunjuk dalam perjalanan itu. Singa jika tidak meninggalkan hutannya, tidak akan garang. Anak patah jika tidak meninggalkan busarnya tidak akan mengena sasaran". (Fawat al-Fawayat 3/87, Beirut: Dar al-Sadir).

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin merupakan bekas mufti Perlis.

Harga dan nilai Kg Baru

Hishamuddin Rais
12:23PM Okt 24, 2011 - Ruangan Kolum Malaysiakini
http://www.malaysiakini.com/columns/179493

Pembaca yang budimana, saudara saudari pasti telah terbaca atau terdengar kenyataan pak menteri Islam dari United Malay National Organisation tentang betapa berharganya tanah Kampung Baru.

Dari akhbar dan televisyen kita semua diberitahu bahawa tanah Kampung Baru ini berhampiran dengan bangunan Petronas. Justeru tanah Kampung Baru ini setaraf harganya dengan tanah di Segi Tiga Emas Bukit Bintang.

Kenyataan pak menteri Islam ini amat tepat. Para menteri Melayu Islam ini memang tahu harga yang betul. Kita diberitahu bagaimana harga tanah dia Jalan Raja Alang hanya RM2 untuk satu kaki persegi berbanding dengan 2,000 ringgit di Jalan Pudu.

Ini adalah kenyataan sahih. Kenyatan yang tidak boleh kita pertikaikan keafdalannya. Jelas, kenyataan menteri Melayu Islam ini bertujuan untuk membuktikan bahawa dia bijak dan kita semua bodoh.

Kita dianggap bodoh kerana menentang status Kampung Baru. Kita bodoh kerana kita berkempen menentang rang undang-undang Kampung Baru yang ingin diluluskan oleh parlimen.

Kita dianggap bodoh kerana menentang rang undang-undang yang membolehkan tanah Kampung Baru dijual di pasaran terbuka. Malah sesiapa sahaja yang tidak tahu harga tanah Kampung Baru di pasaran terbuka akan imasukkan ke dalam kumpulan OBKG - Orang Bodoh Kampung Baru.

Sayugia diingati, menteri-menteri Malayu Islam ini amat bijak kerana mereka tahu semua harga. Mereka tahu harga tanah, tahu harga rumah, tahu harga sawah atau tahu harga hutan balak. Tanyalah tentang harga, dengan sekelip mata mereka akan menjawab. Menteri-menteri Melayu Islam cukup arif dengan harga barangan.

Tanah strategik
Tetapi ada sesuatu yang menteri Melayu Islam ini bebal dan tidak tahu. Menteri Melayu Islam tahu semua harga barang tetapi mereka tidak tahu nilainya. Mengetahui harga bukan bermakna mengetahui nilainya. Nilai bukan harga. Di sini kita semua akan melihat dengan jelas kebebalan Menteri Melayu Islam ini.

Menteri Melayu Islam ini telah berbuah-buih mulut menyatakan betapa strategik letaknya tanah Kampung Baru ini. Tanah seluar 123 hektar yang terletak ditengah kota Kuala Lumpur ini akan menjadi hempeh kalau tidak dijual ke dalam pasaran terbuka.

Malah menurut menteri Melayu Islam ini tidak ada tanah strategik ini akan ditinggalkan oleh sesiapa yang waras otaknya tanpa dijual untuk dijadikan modal. Tanah seluas ini jika tidak dibangunkan maka akan memperlihakan kebodohan orang Melayu yang gagal dalam perjuangan untuk menjadi kaya.

Di sini biar saya bangangkan menteri Melayu Islam yang suka menipu Orang Melayu ini. Ucapan dan kenyataan menteri Melayu Islam ini tidak berpijak di bumi yang nyata. Kenyataan ini ‘diterima' untuk dijaja kepada manusia Melayu kerana selama ini Manusia Melayu telah dibongsaikan akal fikrah mereka.

Otak bonsai ini telah dipaku pula dengan budaya feudal. Otak bonsai dan budaya feudal adalah campuran dua kimia yang telah berjaya melahirkan Manusia Melayu untuk menjadi tukang angguk. Otak bonsai tidak berkeupyaan untuk memiliki fikrah yang cerdas dan kritikal.

Manusia Melayu ditipu dengan maklumat yang tidak lengkap. Betul tanah Kampung Baru strategik letaknya. Tetapi dalam dunia ini ada lagi tanah strategik yang harganya berjuta-juta kali ganda dari harga tanah Kampung Baru.

Orang Melayu tidak diberitahu tentang wujudnya tanah-tanah kosong yang paling strategik tetapi masih ditinggalkan kosong. Tanah tanah kosong yang hektarnya lebih luas dari tanah Kampung Baru masih tersadai kosong di London dan di New York.

Kota London adalah kota perniagaan paling tua. Kota London pernah menjadi kota terbesar dalam dunia. Ertinya harga tanah cukup mahal dalam kota ini. Di tengah-tengah kota London ada tanah seluas 253 hektar yang kosong.

New York kota Yahudi
Ia menjadi padang rumput yang dipenuhi dengan pokok-pokok dan dihiasi oleh beberapa buah tasik. Di sebelah tanah kosong ini adalah kawasan hotel dan kawasan perumahan yang harganya berjuta ringgit.

Tanah ini telah dibiarkan kosong semenjak tahun 1637 lagi. Tanah kosong ini telah diwakafkan untuk kegunaan orang ramai bersantai. Selama lebih dari 500 tahun belum ada kedengaran cadangan dari menteri British yang kafir untuk membuka dan menjualkan sebahagian dari tanah ini. Menteri-menteri kafir ini tahu harga tanah ini. Tetapi dalam masa yang sama menteri kafir ini tahu juga akan nilai tanah ini.

Dari kota London biar saya bawa para pembaca ke satu lagi kawasan tanah yang paling strategik dalam dunia ini. Tanah seluar 341 hektar ini berada ditengah-tengah kota New York.

Tanah ini dibiarkan bagitu sahaja - menghutan dan merimba. Rasa saya mungkin tidak ada harta tanah yang paling berharga dalam dunia ini melainkan tanah kosong ini di New York. Di sebelah tanah hutan ini ialah pejabat dan gedung-gedung perniagaan antarabangsa.

Bayangkan kota New York ini adalah kota Yahudi. Masyarakat Yahudi ini sering dikatakan memiliki kesedaran perniagaan yang cekap dan licik. New York ialah tempat orang Yahudi berniaga mencari untung. Justeru tidak jauh dari tanah kosong ini ialah tempat di mana para kapitalis gergasi dan kaum pemodal antarabangsa dunia ini berniaga.

Di tepi tanah kosong in para peniaga antarabanga meniagakan riyal, dolar, dinar, minyak, rempah, emas, intan dan apa sahaja yang boleh diniagakan. Bukan sahaja di sini mereka berniaga harta tanah, malah di Wall Stret ini mereka meniagakan turun naiknya sesebuah kerajaan.

Bayangkan di New York - kota Yahudi - masih ada tanah kosong seluas 341 hektar. Tetapi tidak terlintas di kepala ahli-ahli perniagaan Yahudi New York ini untuk membelit para politikus Amerika.

Tidak terlintas di kepala peniaga Yahudi ini untuk menipu warga New York agar bersetuju diubah undang-undang tubuh Kota New York agar tanah ini dapat dijualkan kepada Vincent Tan, Ananda Krishnan atau Teik Jo Low.

Lihat betapa berbezanya menteri kafir di London dengan menteri Melayu Islam di Malaysia. Lihat betapa berbezanya ahli perniagagan Yahudi di New York dengan menteri Melayu Islam di Putrajaya. Apakah menteri kafir di Lodon tidak tahu akan harga tanah di Hyde Park?

Cukong
Apakah ahli perniagaan Yahudi di New York tidak sedar akan harga tanah di Central Park? Apakah ahli perniagaan Yahudi New York ini tidak memiliki pengaruh? Saya jamin mereka tahu harganya. Mereka bukan hanya tahu harga tanah kosong tetapi mereka juga tahu akan nilai tanah kosong ini.

Di sini jelas menteri Melayu Islam ini tidak mengetahui makna nilai. Kerana mereka tidak mengetahii nila maka bangunan-bangunan lama dirobek. Lihat bagaimana rumah pasung Lama, pejabat pos lama, kedai-kedai lama diruntuhkan agar kroni dapat projek baru untuk mendirikan bangunan baru.

Jangan sesekali kita melupakan bagaimana penjara Pudu yang berumur lebih dari 100 tahun telah juga dirobek untuk dijualkan kepada para cukong.

Untuk anak-anak muda, untuk mereka yang berumur di bawah 40 tahun ingin saya beritahu di sini bahawa satu ketika dahulu Bukit Ceylon itu adalah satu kawasan hutan tropikal asli yang tidak pernah diusik.

Juga ingin saya beritahu disini bahawa pada satu ketika dahulu bangunan parlimen kita dikelilingi oleh taman tasik berhutan tanpa Kancil, Rusa dan Kelisa menaburkan karbon monoksida.

Hari ini sejarah telah memperlihat bagaimana hutan Bukit Gasing digondolkan. Kita telah melihat bagaimana hutan Bukit Lanjan musnah. Tidak lama lagi kita akan melihat padang di hadapan rumah pasung Brickfeild musnah dilelong. Hari ini kita telah mendengar bagaimana padang Kelana Jaya tempat warga bersantai telah dilelong.

Apa sebenarnya makna semua ini? Bagaimana kita hendak memahaminya? Biar saya jelaskan bahawa semua ini adalah manifestasi dari sistem ekonomi kapitalis. Dalam sistem ekonomi kapitalis yang diutamakan ialah keuntungan maksima.

Dalam sistem ekonomi kapitalis apa yang boleh dijual akan dijual. Apa yang boleh membuat untung akan dijual. Kalau anak, isteri atau ibu bapa boleh mendatangkan keuntungan maka, mereka juga akan dijual.

Kapitalis Dunia Ketiga
Tetapi kenapa tanah kosomg Central Park di New York dan Hyde Park di London tidak dijual. Bukankah mat saleh kafir dan Yahudi New Yok itu pengamal sistem kapitalis?

Betul mereka mengamalkan sistem kapitalis. Tetapi para kapitalis kita adalah kapitalis dari Dunia Ketiga. Kapitalis Dunia Ketiga baru muncul - mereka lucah, rakus dan tidak memiliki nilai.

Manakala kaum kapitalis di Eropah dijana ratusan tahun dahulu. Mereka lahir dari pertempuran.Mereka bangun berjuang menentang sistem feudal yang memerangkap mereka. Mereka pemula. Mereka memeta dunia. Mereka menjana seni dan budaya. Mereka melahirkan kaum pemikir dan kaum intelektual.

Semua nilai ini tidak dimiliki oleh kaum kapitalis Dunia Ketiga seperti di Malaysia. Kaum kapitalis di Malaysia ini, seni budaya dan nilai hidup bukan milik mereka.

Kalau mereka kapitalis Melayu, ini adalah kumpulan yang baru dimunculkan oleh Dasar Ekonomi Baru. Mereka ini memiliki sifat yang amat hodoh. Lebih hodoh dari kapitalis bangsa lain yang telah wujud agak lama.

Kaum kapitalis Melayu ini jadi kaya kerana menjual kontrak dan pencari komisen. Mereka bukan pemula, pereka atau berniaga. Inilah hakikat kapitalisme di Malaysia hari ini.

Kumpulan kapitalis Melayu ini pula akan bersekongkol dengan politikus menteri Melayu Islam. Amat susah untuk kita mencari garis pisah antara usahawan Melayu berniaga kontrak dengan menteri Melayu Islam.

Dua kumpulan ini sering bekerjasama dan kadangkala orang yang sama. Mereka berpolitik untuk mendapat projek agar menjadi kaya dengan cepat. Justeru jalan pintas untuk kaya dengan cepat inilah dengan menjual tanah Kampung Baru.

Raja Petra: Anwar bukan lagi pilihan

9:42AM Jan 1, 2012 - Malaysiakini
http://www.malaysiakini.com/news/185384

Penulis blog terkenal Raja Petra Kamarudin hari ini membuat kejutan dengan mengkritik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bukan lagi pilihan rakyat Malaysia, antaranya kerana mempunyai isu moral.

Dalam wawancara eksklusif kepada Mingguan Malaysia, Raja Petra dilaporkan berkata, ketua umum PKR itu juga tidak mampu menjadi penasihat ekonomi Selangor, apatah lagi untuk mentadbir negara.

Antara lain, Raja Petra mendakwa Anwar berbohong apabila menyatakan tidak mengenali Datuk Eskay Shazryl Abdullah yang terlibat menayangkan video seks pelakunya kelihatan seperti Anwar.

Menurut Mingguan Malaysia lagi, Raja Petra berkata, hanya PKR memerlukan Anwar sedangkan DAP dan PAS tidak akan mengharapkan pemimpin itu lagi sekiranya pakatan pembangkang gagal membentuk kerajaan pada pilihan raya umum akan datang.

"Soalnya, jika anda nak jadi gay, teruskanlah. Anda tak boleh jadi pemimpin dan gay sekali gus. Di Australia, anda boleh.

"Di Malaysia, anda kena pilihlah. Kalau nak jadi perdana menteri dan gay sekali gus, sudah tentu di Malaysia tak boleh," laporan itu dipetik.