Search Everything

Wednesday, 25 January 2012

SBPA: TEMPOH 3 BULAN WUJUDKAN SKIM TERBAIK

Utusan Malaysia
25/1/2012

KUALA LUMPUR 23 Jan. - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap pasukan petugas khas yang diberi tempoh tiga bulan bagi menyemak skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) mampu menjadikan skim itu yang terbaik dan diterima semua penjawat awam.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, sebelum ini ramai penjawat awam tidak berpuas hati dan memahami isi kandungan skim tersebut.

"Jadi kami berharap, selepas tiga bulan hasil yang diterima mampu memuaskan hati semua pihak dan mereka benar-benar memahami maksud yang terkandung dalam skim itu.

"Tiga bulan adalah satu tempoh yang wajar dan kami berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Najib semalam yang memberi jaminan semakan semula SBPA oleh pasukan petugas khas akan memberi kepuasan menyeluruh kepada setiap peringkat perkhidmatan awam.

Menurut Najib, pasukan petugas khas itu yang diberi tempoh tiga bulan akan melakukan semakan sebaik-baiknya supaya tidak ada lagi situasi yang boleh diibaratkan sebagai 'rumah siap, pahat berbunyi.'

Sementara itu, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Abdul Halim Mansor berkata, tempoh tiga bulan merupakan satu tempoh yang panjang dan relevan bagi menyemak semula skim tersebut.

"Melalui semakan semula skim itu, diharap selepas ini semua penjawat awam berpuas hati dan tidak menyalahkan mana-mana pihak mengenai kelemahan skim tersebut," katanya.
Abdul Halim turut berharap, skim tersebut menggunakan bahasa yang mudah difahami agar semua peringkat penjawat awam dapat memahami segala perkara yang terkandung dalam skim tersebut.

"Ia bagi mengelakkan mereka salah tafsir perkara yang disampaikan di dalam skim tersebut," katanya.


No comments:

Post a Comment