Amin Iskandar
12:09PM Jan 1, 2012 - Ruangan Kolum Malaysiakini
12:09PM Jan 1, 2012 - Ruangan Kolum Malaysiakini
http://www.malaysiakini.com/columns/185398
Sedar tak sedar berakhir juga 2011. Masa berlalu dengan begitu pantas. Setiap kali tiba hujung tahun, sebuah lagu akan bermain dalam fikiran.
Lagu ini akan memberikan keinsafan pada diri memikirkan apa yang telah dilakukan sepanjang tahun.
Lagu tersebut ciptaan John Lennon - mantan anggota kumpulan The Beatles, sebuah nama besar yang masih kuat dalam ingatan ramai.
Dalam lagu Happy Xmas (War Is Over), lirik yang menyentuh hati diawal lagu tersebut.
"So this is Christmas, And what have you done? Another year over, A new one just began."
(Hari Natal telah tiba, Apa yang telah kamu lakukan? Setahun telah berakhir, Tahun baru telah menjelma)
"So this is Christmas, And what have you done? Another year over, A new one just began."
(Hari Natal telah tiba, Apa yang telah kamu lakukan? Setahun telah berakhir, Tahun baru telah menjelma)
Mendengar lagu ini membuatkan diri menilai kembali apa yang telah dilakukan sepanjang tahun. Dalam tempoh 12 bulan, sudah pasti banyak perkara baik buruk yang telah berlaku.
Ada yang menguntungkan dan merugikan diri dan ada pula menguntungkan dan merugikan masyarakat.
Kita tidak mungkin akan dapat memutarkan masa kembali kebelakang untuk mengubah kembali kesilapan yang telah dilakukan. Setakat ini, belum ada saintis atau tok bomoh yang mampu membawa kita kembali ke masa lampau.
Kalau ada, sudah pasti kaya-raya mereka. Pasti ramai yang mahu kembali kebelakang untuk mengubah sejarah. Kesilapan yang telah dilakukan lebih baik dijadikan pengajaran agar kita menjadi lebih baik pada masa hadapan.
Yang pergi tak akan kembali
Sepanjang 2011, sudah pasti kita kehilangan sesuatu. Boleh jadi kita kehilangan wang, masa, teman dan ada juga yang kehilangan orang yang tersayang.
Orang di sekeliling kita datang dan pergi. Semoga sewaktu mereka masih ada, kita telah manfaatkan sebaiknya. Pada 29 Disember lalu, negara kehilangan seorang tokoh kemerdekaan.
Ibrahim Chik yang bangkit bersama-sama pemuda-pemudi lain untuk menghalau penjajah dari bumi yang tercinta ini menghembuskan nafas terakhir di rumah anaknya, Taman Setia Jasa, Temerloh, Pahang.
Sebelum sempat Umno ditubuhkan, Ibrahim Chik telah bersama Angkatan Pemuda Insaf (API) yang bergabung dengan pertubuhan antipenjajah lain seperti Angkatan Wanita Sedar (Awas), Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Parti Komunis Malaya (PKM), Hizbul Muslimin dan banyak lagi.
British yang takut dengan kekuatan pertubuhan anti penjajah yang bergabung di bawah Putera-AMCJA, mengistiharkan darurat dan mengharamkan kesemua pertubuhan anti penjajah dan membiarkan parti politik perkauman seperti Umno, MCA dan MIC.
Selain itu tangkapan besar-besaran dilakukan. Pemuda yang cintakan negara seperti Ibrahim Chik tidak mempunyai pilihan lain selain dari masuk ke hutan untuk mengangkat senjata dan bergabung dengan Regimen ke 10, PKM.
Seperti arwah Mat Indera, Ibrahim juga tidak pernah menyerah kepada penjajah sehingga akhir hayatnya. Al-Fatihah, semoga arwah damai disisi penciptanya.
Apa yang menanti pada 2012?
2012 sudah pasti menarik. Apatah lagi terdapat ramalan bahawa dunia akan berakhir pada 2012. Telah ada filem yang menggambarkan kemusnahan dunia pada Disember 2012.
Benar atau tidak bumi akan musnah pada 2012, hanya pencipta kepada bumi yang tahu. Hidup mesti diteruskan.
Dalam politik tidak kurang hebatnya, 2012 akan dibuka dengan keputusan perbicaraan kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diumumkan pada 9 Januari.
Keputusan ini akan memberikan impak yang besar dalam politik negara. Mantan Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah meramalkan Anwar akan dihantar ke penjara.
Menurut Ku Li, jika Anwar dibiarkan bebas diluar, Umno - parti yang dianggotai beliau akan hancur.
PKR telah melakukan mobilisasi besar-besaran untuk menghimpunkan rakyat di Kuala Lumpur pada tarikh tersebut.
Sebagai serangan balas, Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) pimpinan Datuk Ibrahim Ali telah membuat laporan polis bagi menghalang perhimpunan tersebut.
Diberitakan, sebuah NGO Melayu akan membuat laporan polis di seluruh negara bagi menghalang perhimpunan 901.
Jika dilihat dari pengalaman perhimpunan BERSIH lalu, PERKASA dan juga Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mampu menghalang kebangkitan rakyat untuk berhimpun di Kuala Lumpur walaupun seluruh pintu masuk ke Kuala Lumpur ditutup.
Tahun pilihan raya
Tahun 2012 juga diramalkan sebagai tahun pilihan raya umum ke-13 (PRU 13). Ramai penganalisis politik percaya Datuk Seri Najib Razak tidak mampu menunggu sehingga habis penggal pada 2013 untuk menjamin survival politiknya.
Sebab itu keputusan kes Anwar Ibrahim dilihat berkait rapat dengan PRU-13. Jika Anwar dipenjara, dipercayai akan dapat melemahkan Pakatan Rakyat. Sekali gus mampu mengucar-kacirkan hubungan antara PAS dan DAP oleh kerana ketua umum PKR itu adalah pengikat kepada kedua-dua parti tersebut.
Kepercayaan politik sebegini untuk saya adalah keprcayaan kuno. Untuk saya PR telah matang dan jika Anwar dipenjara, penyatuan ketiga-tiga parti ini akan menjadi lebih kuat.
Telah ramai tokoh dalam PR yang telah dilatih sepanjang tempoh waktu pakatan politik ini ditubuhkan. Krisis juga akan melahirkan kepimpinan baru. Satu ketika dulu, Datuk Seri Wan Azizah hanyalah seorang suri rumah.
Kini lihatlah bagaimana perkembangan berlaku dalam diri wanita tersebut. Krisis kali ini jika berlaku, keadaan Wan Azizah berbeza dari tahun 1998.
Dalam erti kata lain, mantan ahli parlimen Permatang Pauh itu lebih bersedia keadaanya daripada Corazon "Cory" Aquino pada ketika suaminya, Ninoy Aquiono ditembak oleh regim Marcos di Filipina pada tahun 1983.
Jika Cory Aquino yang berada dalam keadaan "terkejut" mampu untuk memimpin rakyat Filipina menjatuhkan regim Marcos tiga tahun selepas kematian suaminya, Wan Azizah berada dalam keadaan lebih bersedia.
Buang yang keruh ambil yang jernih
Sepanjang tahun 2011, pasti ada kesilapan yang telah dilakukan. Jadikanlah ia satu pengajaran untuk membentuk jatidiri yang lebih baik pada 2012. Jangan masuk ke dalam "lubang biawak" dua kali seperti kata orang tua-tua.
Tahun baru pasti akan melahirkan semangat baru. Cuma selama mana semangat itu mampu bertahan menjadi cabaran pada diri kita.
Semangat itu mungkin juga akan menjadi "hangat-hangat tahi ayam" seperti yang sudah-sudah.
Masa akan berlalu dengan pantas tanpa menunggu kita. Kita pasti akan ditinggalkan oleh masa. Manfaatkanlah masa agar kita tidak menyesal dikemudian hari.
Selamat menyambut tahun baru buat semua. Semoga segala impian, mimpi dan cita-cita dapat dicapai pada tahun yang baru.
Amin Iskandar menerima anugerah zamalah Intelektual Awam Asia (API) 2009-10 untuk menjalankan kajian tentang sejarah pemantauan pilihan raya di Filipina dan Indonesia. Memblog di http://www.aminiskandar.blogspot.com/ dan berkicau di http://www.twitter.com/aminiskandar.
No comments:
Post a Comment