Search Everything

Wednesday, 25 January 2012

NAJIB BERI TEMPOH 3 BULAN

Utusan Malaysia
Oleh HERMAN HAMID
pengarang@utusan.com.my
22/1/2012

KUANTAN 21 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan semakan semula skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang sedang diteliti pasukan petugas khas akan memberi kepuasan menyeluruh kepada setiap peringkat perkhidmatan awam.

Menurut Perdana Menteri, pasukan petugas khas itu yang diberi tempoh tiga bulan akan melakukan semakan sebaik-baiknya supaya tidak ada lagi situasi yang boleh diibaratkan sebagai 'rumah siap, pahat berbunyi.'

"Sebelum ini saya dengar yang di bawah, kenaikannya terlalu rendah dan yang di atas kenaikannya terlalu tinggi, macam-macam saya dengar.

"Tak apalah, saya bagi tempoh tiga bulan kepada jawatankuasa ini kaji semula dan insya-Allah kita akan dapatkan hasil yang disifatkan sebaik-baiknya supaya kita dapat memberi kepuasan kepada semua," katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Kakitangan Awam bersama Perdana Menteri di Universiti Malaysia Pahang (UMP), Gambang dekat sini hari ini.

Majlis yang dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob itu disertai kira-kira 7,000 kakitangan awam melibatkan pelbagai peringkat termasuk Pusat dan negeri.

Satu pasukan petugas khas yang dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam ditubuhkan setelah Najib mengarahkan SBPA disemak semula untuk menyelesaikan beberapa isu yang dibangkitkan oleh pihak tertentu. 

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) baru-baru ini mendakwa lebih 1.3 juta penjawat awam Gred 54 ke bawah tidak berpuas hati dengan skim SBPA yang didakwa tidak adil terhadap mereka.

Sementara itu, dalam ucapannya juga, Najib sekali lagi mengingatkan penjawat awam bahawa era kerajaan mengetahui segalanya sudah berakhir maka sebab itu pendekatan sekarang adalah secara merendah diri.

Katanya, malah beliau sendiri tidak boleh mendakwa bahawa kerajaan yang ada sudah cukup sempurna dan mana-mana kepincangan yang wujud perlu diperbetulkan dan ditambah baik.

"Kalau rakyat kata tak betul, kita lakukan penambahbaikan, kalau sudah laksanakan pun, kalau perlu kaji, kita kaji balik. Yang penting sekali, rakyat terbela sepenuhnya," jelasnya.

Dalam pada itu, Najib berkata, pemberian subsidi secara langsung seperti menerusi pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dilihat memberi impak besar kepada penerima yang cukup menghargainya.

Katanya, ini berbeza dengan pemberian subsidi tidak langsung seperti petrol, gas memasak dan barangan keperluan asas lain walaupun jumlahnya melibatkan peruntukan yang jauh lebih besar.

"Subsidi untuk keperluan asas ini bertambah setiap tahun dengan tahun ini sahaja kita sediakan RM22 bilion untuk membantu rakyat. Tetapi anehnya yang BR1M ini kita bagi RM500, dia punya impak lebih daripada RM22 bilion.

"Saya semalam di Wilayah Persekutuan, tengok penerima dapat RM500, cium tangan kita tahap lain macam. Rupanya impak tunai lain, ia berkait psikologi manusia. Bila dapat tunai, orang Kedah kata 'ketaq lutut.'

"Apa pun kita buat ini kerana rakyat perlukan bantuan kerajaan yang kita boleh berikan hasil daripada perancangan jangka panjang kita," ujarnya.

No comments:

Post a Comment