Search Everything

Monday, 31 October 2011

Mahkamah: Seksyen 15(5) AUKU tidak sah



Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan bahawa Seksyen 15(5) Akta Universiti dan Kolej Universiti yang membenarkan universiti mengambil tindakan disiplin terhadap pelajarnya adalah tidak sah dan mencabul kebebasan bersuara.

Dalam keputusan penanda itu, dua hakim menyanggah keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengisytiharkan AUKU sebagai salah di sisi perlembagaan dalam menguatkuasakan sekatan tertentu.

Keputusan majoriti ini diperoleh apabila Hakim Mohd Hishamudin Mohd Yunus dan Linton Albert membenarkan rayuan empat bekas mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Seorang lagi hakim Low Hop Bing berbeza pendapat.

Mahkamah Tinggi pada 28 September menolak saman pemula yang dikemukakan empat pelajar jurusan sains politik UKM bagi mencabar tindakan tatatertib terhadap mereka yang didakwa terlibat dalam kempen pilihan raya kecil pada April lalu.

Keputusan dibuat oleh Hakim Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas Datuk Aziah Ali.

Pelajar-pelajar terbabit, kesemuanya bekas ahli Majlis Tertinggi Kelab Sains Politik UKM, ialah Hilman Idham (presiden), Ismail Aminuddhin (naib presiden), Azlin Shafina Adzha (setiausaha agung), Wong King ChaƬ (exco).

Sultan lepas jawatan canselor jika pelajar terbabit dalam perhimpunan haram

From - http://www.malaysiakini.com/news/179957

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengingatkan penuntut dan graduan agar tidak terjebak dengan gejala tidak sihat seperti menyertai perhimpunan haram sehingga menggugat kestabilan negara.
  
Sultan Ibrahim, yang juga Canselor Universiti Tun Hussein Onn
Malaysia (UTHM) bertitah sebaliknya mereka perlu bersyukur dengan peluang diberikan untuk menuntut ilmu dan tidak terlibat dengan aktiviti politik, atau menjadi pengikut kumpulan politik jalanan yang antikerajaan.
  
"Saya ingin menegaskan di sini bahawa sekiranya gejala sebegini berlaku dalam kalangan pelajar-pelajar universiti ini, pada masa akan datang saya tidak teragak-agak untuk melepaskan jawatan saya sebagai Canselor universiti ini.
  
"Adalah lebih baik untuk saya mengundurkan diri daripada nama saya turut tercemar dengan perbuatan yang akan memburukkan nama dan imej universiti ini," titah baginda semasa menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Ke-11 UTHM hari ini.
  
Seramai 2,245 graduan menerima sijil masing-masing di konvokesyen tersebut, yang merangkumi Ijazah Doktor Falsafah seramai sembilan orang , Sarjana (164), Sarjana Muda (1,832) dan Diploma (240).
  
Sultan Ibrahim juga bertitah antara gejala sosial yang sering dipaparkan akhbar melibatkan segelintir penuntut perempuan melakukan aktiviti tidak bermoral seperti menjual maruah diri semata-mata untuk memperoleh kemewahan dengan cara mudah.
  
Sehubungan itu, baginda berpesan kepada penuntut dan graduan agar menjadi manusia yang berpegang teguh kepada ajaran agama, serta berusaha mengharumkan nama universiti selain membalas pengorbanan dan jasa kedua ibu bapa tercinta.
  
Baginda turut mengingatkan pihak pentadbiran UTHM agar mempercepatkan pembinaan kampus bidang aeronautik di Tanjung Labuh.
  
"Kelewatan projek ini hanya akan menjejaskan pelaksanaan pengajian bidang aeronautik dan melibatkan kos sampingan," titah baginda.

- Bernama

Sunday, 30 October 2011

Akal, fakta & emosi

Anwar Ridhwan 8:50PM Okt 25, 2011- Ruangan Kolum Malaysiakini

Sungguhpun emosi tidak dapat dipisahkan daripada fitrah kehidupan manusia, tetapi dalam pembentukan masyarakat bertamadun, akal dan fakta harus diletakkan lebih tinggi daripada emosi.
Dalam sesebuah masyarakat yang sedang membentuk serta memperkukuhkan tamadunnya, seperti Malaysia, sesuatu isu turut ditanggapi oleh sesetengah pihak dengan akal dan fakta yang berasas kerangka perlembagaan atau akta berkaitan, kerana inilah kaedah yang lama kelamaan akan memperkasa tamadun.
Akan tetapi sesetengah pihak akan menanggapi isu yang sama berasaskan emosi semata-mata, kerana emosi boleh menjadi ‘bahan bakar' bagi sesuatu tujuan tertentu, umpamanya untuk mengampu, untuk mendapat perhatian, atau untuk mendapat publisiti segera, bukan tujuan memperkasa tamadun.

Golongan ini tidak menggunakan perlembagaan atau akta berkaitan sebagai paksi penghujahan mereka. Golongan ini lebih gemar melakukan pendekatan konfrontasional.
Tidak pernah tercatat, emosi memperkasa sesuatu tamadun umat manusia.
Sebab itu dalam sesebuah negara diperlukan jaringan kerjasama sosial, sivik serta organisasi kemasyarakatan yang lebih waras, yang berhujah dan bertindak dengan akal dan fakta, untuk membuat masyarakat berfungi dengan lebih baik.

Individu dan organisasi yang bertanggungjawab mempunyai kebebasan untuk bersuara rasional dan memberi kritikan membina walaupun agak pedas.

Bagaimanapun kaedah yang intelektual dan ‘tenang' ini selalunya kurang disenangi oleh golongan yang suka membakar emosi, bersensasi dan konfrontasional.
Barometer tamadun sesebuah negara dan masyarakat dapat diukur melalui tenang atau tidaknya perjalanan sehari-hari masyarakatnya.

Jika masyarakat sering bergejolak semata-mata akibat pembakaran emosi, maka ia memberi petanda jauhnya dari semangat tamadun yang tinggi.
Akan tetapi individu, organisasi dan masyarakat seluruhnya berkemungkinan akan mencipta suatu gerakan kolektif secara besar-besaran, sekiranya timbul isu yang melibatkan kepentingan, tujuan serta nilai bersama.

Suatu ‘revolusi' terpaksa digerakkan bagi menumbangkan rejim yang menindas kepentingan, tujuan serta nilai murni rakyat yang mengharapkan kehidupan lebih baik sebagai petanda dekatnya dari semangat tamadun yang tinggi.

Negara-negara Arab dan beberapa negara sedang membangun di Asia dan Afrika sedang melalui lebuh raya perubahan ini.
Pemerintah dengan segala programnya adalah entiti yang berbeza dengan kumpulan yang berusaha membina masyarakat bertamadun - walaupun kadang-kadang terdapat titik pertemuan antara kedua-dua entiti ini.

Pendekatan politik pemerintah acap kali disandarkan pada kepentingan jangka pendek, sehingga boleh menjejaskan perancangan jangka panjang tamadun bangsanya.

Dalam situasi inilah entiti kumpulan yang berusaha membina masyarakat bertamadun melakukan semakan dan pembetulan, agar pelbagai aspek kehidupan masyarakat berfungsi dengan baik, teratur dan berkesan.
Tidak banyak pemerintah yang secara terbuka dan lapang dada menerima kritikan, walaupun kritikan yang membina.

Di negara yang masih jauh dari usaha pemerkasaan tamadun, pengkritik biasanya akan menerima nasib buruk, kerana banyak pihak yang beremosi mahu pengkritik itu menerima nasib buruknya, mengikut skrip mereka.
Pada hal jika menurut skrip proses ketamadunan, yang benar akan menang, dan yang emosional akan menerima nasib buruknya.

Komen Pembaca 

  • Raja Abdul Rahman · Petaling Jaya, Malaysia
    Allah tidak menjadikan sesuatu dengan sia-sia.DilengkapNya manusia dengan emosi dan nafsu untuk membolehkan kita menikmati pembangunan dan kemajuan. DiturunkanNya Al-Qur'an sebagai panduan untuk kesejahteraan hidup. DiingatkanNya kita untuk memasuki Islam keseluruhannya. Masalahnya sebahagian dari kita memilih-milih mana yang kita mahu ikut dan itulah sebabnya keadaan bercelaru.Ayat pertama dalam Al-Qur'an minta kita membaca dan mencari ilmu pengetahuan.Allah suruh kita menggunakan akal dan berfikir serta mengamalkan kesabaran dan tidak terburu-buru membuat sesuatu.Allah tulus dan tiada yang tersorok. Contohnya dihukum potong tangan orang mencuri kerana diakhirat Allah kunci mulut kita dan membenarkan tangan dan kaki menjadi saksi. Manakan kita akan terlepas azab Allah jika tangan kita mensabitkan kesalahan kita mencuri.

    Diperi...ntahNya kita membayar zakat untuk menolong orang yang susah. Seandainya tugas ini dilaksanakan dengan amanah dimana yang bertanggung jawab turun padang untuk mencari orang yang susah dan tidak menunggu di pejabat pasti berkurangan kejadian jenayah, gejala sosial buruk dan murtad dikalangan orang Islam. Sebaliknya menderulah orang bukan Islam masuk Islam.

    Pada soalan mengapa sesetengah pemimpin berkesudahan hina ini mungkin disebabkan mereka pernah berlaku syirik dan dengan itu menjadi zalim dimana Allah sesatkan mereka. Ayat 29 surah Ar-Ruum Juz 21 menjelaskan perkara ini :-

    " 29. Orang-orang zalim itu (tidak berfikir) bahkan menurut hawa nafsu mereka (melakukan syirik) dengan tidak berdasarkan pengetahuan. Maka tiada sesiapa yang dapat memberi pertunjuk kepada orang yang disesatkan oleh Allah (disebabkan bawaannya sendiri), dan tiada pula bagi mereka sesiapa yang dapat menolong melepaskan mereka dari azab."

    Benar emosi dan hawa nafsu yang tiada dikawal mengikut panduan Al-Qur'an membawa kerosakan.
    Lihat seterusnya..
  • Imran Rasid · KYUEM
    Di negara yang masih jauh dari usaha pemerkasaan tamadun, pengkritik biasanya akan menerima nasib buruk, kerana banyak pihak yang beremosi mahu pengkritik itu menerima nasib buruknya, mengikut skrip mereka..
  • Abd Aziz Ishak · Ketua Pusat Sumber / Pensyarah at IPGM Pulau Pinang
    Tapi IQ, EQ, SQ dan QQ selalunya tak diselaraskan...jgn lupa saudara AR...emosi juga penting dan memberi sumbangan kpd tamadun. dan ..sbb manusia diberi emosi...minda , emosi , rohani Allah garapkan dalam diri manusia. Lihat falsafah pendidikan kebangsaan....
  • Abd Aziz Ishak · Ketua Pusat Sumber / Pensyarah at IPGM Pulau Pinang
    QQ atau al-Quran...mengupas jika minda tak sampai...emosi tanpa kawalan...tapi tak semua kita menerima itu utk diterapkan dalam hidup!!
  • Zahman Za

    Rakyat dalam sesebuah negara tanpa kira apa sistem pemerintahan sama ada bersistem Islam, demokrasi, sosialis, komunis adalah penguas tertinggi(bukan kerajaan, bukan parlimen).Kerajaan mahupun parlimen ada golongan kecil yang diberi amanah dan tanggungjawab mengurus negara(iairu mengurus hal kehidupan rakyat).Senang atau susah kehidupan sesebuah masyarakat dalam mana-mana negara bergantung kepada sejauhmana bijak cerdik atau betul salah urus/salah tadbir yang diamalkan oleh pengurus negara tersebut. Logikkah pengurus sesebuah negara ambil keputusan tembak/bunuh/tangkap/penjara dan diseksa atas alasan ganggu ursan pemerintahan.

    Justeru, rakyat kena prihatin, ambil peduli terhadap segala keputusan yang dibuat/diputuskan sebagai dasar negara sama ada perkara kecil mahupun besar kerana ia beri kesan terhadap tamaddun sesebuah negara itu.
    Rakyat yang berpeluang dalam sistem demokrasi berparlimen serta ada peti undi, maka berilah pula undi kepada kerajaan lain/baru untuk mengurus negara sebagaimana janji-janji yang mereka laung dalam manifestu parti.
    Tiada pilihan lain kecuali undi Pakatandalam Rakyat(PR) dlm PRU13 pada tahun hadapan untuk rasai suatu suasana baru seperti yang ditunjuk sedikit dalam negeri-negeri bawah pimpinan Pakatan Rakyat.
     
  • Mohdzaki Halim · Top Commenter
    Damainya dunia kalau semua manusia berlandaskan akal dlm setiap tindak tanduk dan tutur bicara mereka. Segalanya bertitik tolak drp pemilikan 'ilmu' akhirat ( dosa pahala ) dan dunia utk kehidupan semasa.

Monday, 24 October 2011

Surat terbuka untuk HIMPUN

Abdul Manaf Abdullah
6:17PM Okt 21, 2011 - Malaysiakini


Assalamualaikum wbth...

Saya merupakan mahasiswa kelahiran Malaysia. Secara asasnya, jiwa Melayu bergelora di dalam diri saya. Terlalu lama menetap dalam rumah kayu beratap bata berdinding rotan, berkejaran dengan lembu dalam kebun getah, menjala ikan di sungai tepi sawah dan bermain gurah dan gasing di tepi rumah.

Belajar quran dengan arwah datuk yang garang, menyalin buku-buku agama karya tangan warisan berzaman dan berjalan ke surau waktu pagi yang dingin itu adalah kegiatan yang menggamit kenangan.

Inilah kehidupan beradat beragama yang penuh dengan ketenangan. Tiada lagi perlu dipertikaikan betapa Melayu dan Islamnya saya dalam menulis surat ini untuk tatapan peserta HIMPUN.

Setelah dewasa dan berhadapan dengan pelbagai kerenah alam, pandangan berubah, kematangan bercambah, pemikiran tidak lagi berada dalam sifir keluarga, tetapi merebak untuk kepentingan sejagat.

Dahulu, dididik bahawa bangsa kita perlu dimartabatkan tanpa menghirau bangsa lain yang bercambah dan membiak di persekitaran. Ini lumrah dilahirkan Melayu, dilahirkan untuk menjadi rasis. Namun, dengan izin Allah, perasaan perkauman itu kurang menebal dalam diri, kerana dibatasi dengan larangan Allah swt terhadapnya.

Arakian, bertemulah saya dengan susuk bernama HIMPUN dalam beberapa nafas yang lepas. Mendengar ucapan dan percakapan sekreteriatnya yang begitu bersemangat. Dari percakapannya, jelas fikrah kumpulan yang diwakilinya.

Tiada dapat diselindungkan lagi fikrahnya itu. Dari tulisan penulis-penulis pendokong HIMPUN, semakin lama semakin jelas fikrah perhimpunan ini. Jelasnya fikrah ini adalah seperti kuatnya bau durian yang disimpan dalam kereta di waktu tengah hari yang terik panasnya. Dengan memahami fikrah mereka, barulah kita dapat mengikuti secara jelas tujuan perhimpunan ini.

Niat murni

Adapun niat murni yang ingin disalurkan kepada umat Islam, iaitu mengukuhkan aqidah umat Islam, justeru sangatlah patut disokong oleh sekalian umat Islam. Kerana aqidah yang tepat dan murni adalah diperlukan untuk melahirkan umat yang benar dan berwibawa.

Adapun niat yang murni perlu disokongi dengan perlakuan yang benar. Perlakuan yang kebaikannya melebihi keburukan. Perlakuan yang mengambil kira sensitiviti dan perasaan kaum minoriti.

Perlakuan yang tidak melanggar hak kafir zimmi yang duduk berlegar bersama kita tanpa ada sedikit pun dalam fikiran mereka untuk memberontak dan menghancurkan rumah ibadat kita. Perlakuan yang tidak akan menikam kita dari belakang sehinggakan orang bukan Islam semakin jauh daripada kebaikan dan keadilan Islam.

Siapakah perosak kemurnian niat?

Pihak yang merosakkan niat murni ini adalah pihak HIMPUN sendiri. Niat murni ini tidak disusuli dengan perancangan teliti oleh sekreteriatnya. Cuba lihat salah satu daripada objektifnya yang terang menuding jari kepada pihak lain.

Objektif itu menulis, "khasnya terhadap gerak-kerja Kristianisasi termasuk peristiwa 3 Ogos 2011". Dalam sidang media, mereka berkata, "Kes yang terakhir ini membuktikan betapa pihak yang mendalangi usaha pemurtadan umat ini semakin berani dan aggresif dalam menggerakkan dakyah mereka." dengan merujuk kepada kes DUMC sedangkan Sultan bertitah, bahawa JAIS dapat maklumat bahawa berlaku proses tersebut, tetapi, "keterangan yang diperolehi tidak mencukupi untuk tindakan undang-undang diambil."

Sekreteriat HIMPUN secara semberono melanggar titah raja dengan menyatakan bahawa berlakunya usaha ini walaupun pihak kerajaan sendiri tiada maklumat yang boleh mensabitkan kesalahan terhadap mereka atau dalam bahasa yang senang difahami, "ianya hanya khabar angin sahaja".

Malahan, lihat, bagaimana tiada satu pun objektif yang meminta kita kembali kepada ajaran Allah supaya boleh bertahan jika aqidah digoncangkan dengan gempa hujah dari agama luar.
Mungkin pihak HIMPUN lupa bahawa jika seseorang itu mempunyai aqidah yang kukuh, mereka tidak akan goyah sedikitpun walau datang seribu paderi dan sami buddha untuk memesongkan aqidahnya.

Adakah pihak HIMPUN beranggapan bahawa aqidah umat Islam walaupun sekuat mana pun, mampu dipesongkan oleh paderi dan sami? Adakah pihak HIMPUN beranggapan hujah Islam kurang gagah berbanding hujah Kristian dan agama lain?

Target yang salah

Jelas sekali target HIMPUN adalah salah. Objektif mereka ada pesongan yang jauh daripada untuk mencapai keputusan yang memberangsangkan untuk kepentingan Islam.
Islam memandang usaha yang dilakukan oleh umatnya tidak mengambil kira keberjayaan usaha itu. Tetapi, Islam menyuruh kita membuat sesuatu usaha atas untuk mencapai keputusan yang baik, dengan perancangan yang teliti, dan dengan kesungguhan yang melebihi kesungguhan golongan bukan Islam.

Islam melarang umatnya membuat sesuatu tanpa usaha untuk mencapai kemenangan. Cuba lihat, Rasulullah berhijrah dengan penuh teliti perancangannya. Sedangkan, Rasulullah itu pasti akan dilindungi Allah swt.
Jika umat Islam yang ingin berhijrah, ditangkap dan dibunuh sekalipun, mereka beroleh syurga kerana usaha mereka mengikuti suruhan Allah. Namun, Rasulullah masih lagi merancang dengan teliti. Mengapa perancangan HIMPUN begitu tidak sempurna?

Target sebenar
Target yang sebenar yang perlu dihapuskan dengan buluh runcing bersalut racun adalah kelemahan aqidah umat Islam itu sendiri. Kelemahan yang disebabkan oleh tangan-tangan umat Islam itu sendiri.

Cuba lihat, betapa banyaknya program realiti TV yang mengajak umat Islam ke arah hiburan yang melaghakan. Cuba lihat berapa banyak konsert yang mengajak pergaulan tanpa batasan. Cuba lihat betapa matapelajaran Pendidikan Islam dianaktirikan sehinggakan ia dianggap picisan. Cuba lihat betapa hukum Islam diaibkan setiap hari oleh umat Islam sendiri.

Keimanan yang tinggi kepada Allah berserta aqidah yang murni, pasti tidak akan berupaya dipesongkan lagi. Jadi, pihak HIMPUN perlulah meminta supaya pihak kerajaan mengurangkan hiburan dalam negara kerana ini yang menyebabkan iman rakyat boleh menjadi senipis rambut.

Dengan menguatkuasakan akta murtad, murtad masih lagi boleh berlaku, kerana untuk murtad, tidak perlu kepada persetujuan mahkamah. Sambil-sambil tengok TV pun boleh murtad!

Kristianisasi

Menurut makna dari Dewan Bahasa dan Pustaka, Kristianisasi ialah istilah bagi gerakan penganut Kristian untuk menyebarkan agama mereka dalam kalangan masyarakat seluruh dunia. Secara jelas dan terang ditulis di laman sesawangnya, "tema himpunan tertumpu atau fokus kepada kegiatan kristianisasi, kesan dan cabarannya kepada masyarakat majmuk di negara ini."

Tapi, dalam terang mentari suluhan objektif perhimpunan ini sendiri yang menuding jari kepada warga kristian atas kelonggaran aqidah umat Islam, mereka masih lagi cuba mengelirukan dengan pernyataan songsang mereka, bahawa "ia bukanlah provokasi terhadap orang Kristian".

Kesan HIMPUN kepada Masa Depan

1. Hubungan antara Islam dan Kristian semakin jauh. Cuba kita teliti dan baca setiap komen-komen antara umat Islam dan rakyat bukan Islam, yang boleh dibaca dalam Malaysiakini dan Malaysian Insider. Disebabkan HIMPUN ini, orang bukan Islam berkeinginan mengadakan juga perhimpunan mereka. Dan, umat Islam membalas dengan kata-kata yang kasar seperti, "tak sedar diri duduk negara orang". Inikah yang ingin dicapai?

2. Umat Islam yang sudah dipesongkan tidak kembali kepada Islam disebabkan HIMPUN ini. Cuba lihat tentatif HIMPUN. Orang yang berharap 250000 orang (seperti yang didakwa Mufti Perak) akan kembali kepada Islam, pastinya manusia yang berfikiran positif tanpa mengetahui hakikat sunnatullah, "iaitu usaha tangga kejayaan". HIMPUN hanyalah satu pertunjukan bilangan umat Islam kepada bukan Islam.

3. Orang Krisitian tetap tidak akan berhenti menyebarkan fahaman mereka walaupun perlembagaan menghalang mereka. Dalam ajaran mereka, menyebarkan Kristian adalah kewajipan, seperti yang ditulis dalam Gospel of Matthew."Go ye therefore, and teach all nations, baptizing them in the name of the Father, and of the Son, and of the Holy Ghost: Teaching them to observe all things whatsoever I have commanded you: and, lo, I am with you always, even unto the end of the world. Amen."

Sekatan ini tidak akan menyebabkan mereka berhenti. Adakah umat Islam akan berhenti menutup aurat jika kerajaan Malaysia melarang penutupan aurat? Umat Islam tetap akan menutup aurat, kerana ianya kewajipan agama. Jadi, orang Islam tidak boleh berangan-angan, bahawa dengan adanya akta itu, Kristian tidak akan lagi disebarkan. Penganut Kristian yang kukuh pegangan kepada Kristian tetap akan menyebarkannya.


HIMPUN, ataupun Perhimpunan Sejuta Umat ini, secara realitinya adalah program berniat murni tapi, dilaksanakan dengan salah. Ketegangan agama pasti akan berlaku, jika Islam terus dimomokkan sebegini oleh umat Islam sendiri. Jika mahukan kejayaan, pastikan umat Islam dilengkapi dengan kenyataan balas terhadap hujah mereka, serta sediakan hujah dari sebelah kita untuk menunjukkan kemurnian agama kita.

Sekian, semoga kejayaan bersama masyarakat beriman.

Assalamualaikum wbth.

Abdul Manaf Abdullah

HIMPUN: Peluang sejuta keikhlasan daulatkan Islam

Zainal Salleh 2:42PM Okt 23, 2011 - Malaysiakini

Seperti diduga Perhimpunan Sejuta Umat atau HIMPUN bagi menyelamatkan akidah umat Islam yang diadakan di Stadium Shah Alam semalam mendapat sambutan yang hambar.

Hanya kira- kira 5,000 orang hadir. Sekretariat HIMPUN mensasarkan 100,000 umat Islam akan menggegarkan stadium itu dengan laungan azam mahu memperkukuh iman dan menghindar sebarang terjahan terhadap akidah mereka.

Memang tidak sukar difahami mengapa ini berlaku. Sejak awal lagi pelbagai kecurigaan sudah masuk menyelinap di kalangan orang Islam sendiri berhubung mengapa dan siapa yang menganjurkan pertemuan bersejarah ini.

Lantas, memang sejak mula idea ini dilontarkan ke tengah masyarakat isu HIMPUN ini telah diwarnai dengan pertimbangan politik.

Apabila sebut politik sahaja, ia pasti meresapkan kecurigaan dan prasangka. Parti-parti Melayu-Islam sebelah kem Pakatan Rakyat – PAS dan PKR – ada pendekatannya sendiri dalam soal penghayatan agama ini. Apatah lagi bila mengambil kira bahawa sikap lebih lunak mereka dalam menjalin hubungan dengan bangsa dan penganut agama lain sejak kebelakangan ini menjanjikan pulangan dividen politik yang agak lumayan.

Sikap PAS dan PKR dalam isu penggunaan kalimah Allah di kalangan penganut Kristian, kitab Injil dalam bahasa Malaysia dan soal murtad nampaknya berjaya meyakinkan rakyat bukan keturunan Melayu juga bukan Islam bahawa mereka lebih mudah bertolak ansur dalam pembahagian kesejahteraan politik di masa hadapan.

Lantas, sikap tidak ‘partisipatif’ Pakatan Rakyat dalam HIMPUN yang cuba memperagakan kekuatan dan keresahan umat Islam terhadap aktiviti segelintir bukan Islam yang cuba memesong akidah orang Islam, adalah berbaloi. Ia satu percaturan politik yang pasti dapat memenangi hati pengundi bukan Islam di ambang persiapan pilihanraya umum ke- 13 nanti.
Kesetiakawanan bangsa, agama

Di sebelah saf BN pula, Umno, tunjang parti Melayu-Islam juga tidak begitu ghairah untuk melekatkan namanya pada penganjuran HIMPUN. Perkiraannya juga sama. Jika tersohor penglibatan Umno dalam aktiviti yang boleh ditafsirkan sebagai memperaga kekuatan dan mencabar keberanian pihak lain berguling dalam kancah perbedaan agama, sudah pasti keyakinan dan kesetiakawanan antara bangsa dan agama dalam BN pula akan menipis.

Akibatnya, pasti dirasakan pada pilihanraya umum akan datang.

Maka tinggallah pihak penganjur sendirian untuk meyakinkan umat bahawa memang benar ada terjahan terhadap sempadan perhubungan antara agama di negara ini. Mereka terpaksa berdiri sendiri menyusun hujah dan prasarana untuk membentuk imej bahawa hubungan kaum dan agama memang kini tergugah.

Apabila hampir dengan tarikh 22 Oktober 2011 yang dinobatkan sebagai hari simbolik mempamerkan solidariti umat, sekretariat HIMPUN cuma boleh mengharapkan simpati umat Islam biasa yang tidak begitu cenderung dengan hujah parti-parti politik. Yang diharapkan ialah untuk dapat menyentuh hati orang Islam yang benar-benar sayangkan akidah sahaja

Namun satu perkara agak nyata. Kecekapan dan kebijaksanaan ahli-ahli politik Melayu terserlah dalam isu HIMPUN ini. Bukan sahaja mereka berjaya menghindar diri dari dikaitkan nama peribadi dan parti mereka dalam aktiviti yang julung kali diadakan ini tetapi melakar ruang untuk menggarap dividen politik jika projek itu berjaya atau kurang berjaya. Malah jika HIMPUN gagal sekalipun mereka mencongak laba politiknya.
Bagi kita sama ada penyertaan setiap pihak itu adalah atas nama parti atau individu dalam projek HIMPUN bukan natijah yang harus menjadi persoalannya. Secara simboliknya, HIMPUN seharusnya dilihat sebagai peluang untuk memulakan satu usaha bersama dalam suasana ukhuwah Islamiah tulen untuk memurni dan memekarkan akidah umat Islam Malaysia.

Soal murtad adalah natijah banyak kepincangan dalam masyarakat Islam hari ini. Ia adalah manifestasi kelalaian umat dan pemimpin mereka; keculasan institusi agama dan pengendalinya; dan juga kecurangan ahli politik dalam cara memelihara kesucian agama Islam dan meletakkannya di persada harmoni dalam hubungan dengan penganut lain di Malaysia.
Citra Islam sebenar

Ini semua bukan mustahil diperbaiki. Malah HIMPUN boleh jadi pelancar pesawat agama untuk melakar potret dan citra Islam sebenar. Apa salahnya jika setiap parti politik Melayu Islam meletakkan glosari hujah politik mereka ke samping dan meletakkan simpulan iman mereka pada platform HIMPUN dan bicarakan kebobrokan citra umat Islam yang dipancarkan kepada umum hari ini?

Biarlah HIMPUN jadi cermin keikhlasan bukan hanya untuk bersatu memerangi pihak bukan Islam yang berhasad dengan Islam tetapi bersatu untuk mengatur susila untuk bermuhasabah sebagai satu umat yang total komitmennya dalam menghayati ajaran Rasulullah.

Banyak yang boleh diusahakan bersama. Misalnya, unsur murtad dan aktiviti yang memurtadkan tidak boleh dihapuskan sendirian dan sekelip mata. Ia perlu program dakwah dan tarbiyah yang tersusun. Untuk itu input semua pihak berkepentingan tidak kira individu, pertubuhan sosial atau parti memang mempunyai banyak ruang dan peluang untuk mengorak langkah bersama untuk mencerah dan menyegarkan aktiviti dakwah di Malaysia yang jelas agak longlai dewasa ini.

Usahlah terjebak dalam kancah dan kotak istilah persengketaan. Bingkas menghukum adalah penyakit kronik dalam akidah. Apabila satu pihak rimas atau kurang senang dengan gelagat lain berhubung penghayatan dan pemahaman agama, segera diletakkan personaliti dan citra pihak yang kurang disenangai di dalam kotak istilah fasiq, zalim dan munafik tanpa mungkin memikirkan alur pemikiran ia sendiri adalah demikian.

Ingatlah pesan Rasulullah apabila seseorang itu berkata kepada saudara “hai munafik, maka sudah pasti munafik salah seorang daripadanya”.

Mengapa letakkan diri dalam kancah bahaya di ruang akidah ini? Unsur iman ini perlu digilap dan dibajai sentiasa. Akidah perlu dipelihara dengan disiplin menuruti perintah Allah dan keikhlasan. Usahlah lebih “ikhlas” menegakkan assabiyah atau sikap berpuak-puak sesama sendiri hingga mengkaburkan ketulusan hubungan dengan Rabbul Jalil.

Neraca Allah

Kebenaran adalah hak mutlak Allah. Jangan kagum dan bangga dengan kerangka pemikiran sendiri mengenai isu kebenaran. Setiap manusia ada kecacatannya. HIMPUN adalah wadah yang memberi peluang kepada ummah untuk menjadikannya jambatan dalam usaha memahami satu lagi sisi kebenaran dan kebeningan akidah.

Usah lepaskan peluang yang Allah ciptakan dalam bentuk terjahan akidah umat Islam Malaysia hari ini untuk bermuzakarah, bermuhasabah dan mungkin bermubahalah, jika masih kurang selesa dengan pihak orang lain mengatur fikrah dalam kehidupan yang segera berubah-rubah ini.

Jika ada keikhlasan sesama sendiri, rasa hormat akan pasti terbit dan keikhlasan ini akan memancarkan satu kerukunan bukan sahaja sesama muslim tetapi menyelubungi seluruh umat manusia di Negara ini. Jangan tenggelam dalam perangkap ujub dan riya’ bahawa hanya pemikiran dan pendekatan sendiri yang lebih betul, lebih suci dan diredhai Ilahi.

Hanya neraca Allah yang sempurna. Jauhi ego dalam beragama.

ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi sidang pengarang Malaysiakini.

Perhimpunan anti-murtad di Shah Alam


Salhan K Ahmad
3:06PM Okt 22, 201 - Malaysiakini

Stadium Shah Alam mula dipenuhi orang ramai yang menyertai Perhimpunan Sejuta Umat.

Satu kumpulan nasyid memulakan acara dengan mempersembahkan
nyanyian lagu-lagi nasyid.

Beberapa kain rentang turutn dipasang di kawasan stadium, antaranya tertulis Pertahankan Institusi Raja, Hidup Melayu Hidup Islam, Melayu Sepakat Islam Berdaulat.

Selain itu, beberapa orang di kalangan orang ramai yang hadir juga dilihat membawa satu risalah bertajuk "siapa bertanggungjawab Kristiankan Melayu di Selangor?"

Seorang individu mengumumkan melalui pembesar suara di stadium
bahawa terdapat pihak tertentu yang mengedarkan risalah yang "boleh timbulkan masalah."

"This is a peaceful assembly. Tolong jangan resahkan perhimpunan ini.

"Siapa yang jumpa orang yang edar risalah itu, tangkap dan bawa kepada polis," kata individu yang membuat pengumuman itu lagi.

Risalah, yang kelihatan seperti buku kecil (di bawah), memaparkan salib besar pada kulit, dan di dalam menggambarkan pastor kanan Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), Daniel Ho sebagai 'dalang' kepada dakwaan usaha mengkristian tersebut.

Ia juga mengandungi gambar pastor tersebut dan isterinya serta individu lain dalam DUMC dan Sinar Harapan - NGO yang terbabit dalam kontroversi tersebut.

3pm: Dianggarkan sekitar 5,000 orang telah mengambil tempat di kawasan tempat duduk stadium.

3.34pm: Duduk di tempat VIP ialah exco kerajaan Selangor bagi halehwal agama Islam, Datuk Hasan Ali dan bekas timbalan naib canselor UiTM, Datuk Ibrahim Abu Shah; pemimpin TERAS, Mohd Azmi Abdul Hamid dan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.Turut kelihatan di kawasan VIP ialah bekas menteri besar Perlis, Tan Sri Shahidan Kassim.Difahamkan seorang pemimpin Pemuda PAS akan berucap di perhimpunan tersebut.

3.40pm: Pihak penganjur sekali lagi mengingatkan para peserta bahawa ia adalah satu perhimpunan aman dan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang percubaan untuk mencetuskan gangguan.

3.50pm: Pengerusi bersama HIMPUN, Mohd Yusri Mohamad mula menyampaikan ucapan.

4pm: Dalam ucapannya, Mohd Yusri Mohamad dalam ucapannya menjelaskan bahawa perhimpunan hari ini bertujuan menyuntik kebenarannya kepada orang Islam dalam berdepan dengan isu murtad.

"Kita harap dapat suntik keberanian dalam diri kita, semuanya akan gerakkan perubahan dari segi undang-undang, dasar dan sikap terutamanya di kalangan mereka yang berkeras ingin murtadkan umat Islam, sedangkan ia kesalahan sebar agama lain kepada orang Islam."

4.20pm: Penulis yang pernah buat kajian ke atas isu Natrah - Fatini Yaacob - pula menyeru supaya golongan bukan Islam berhenti memurtadkan orang Melayu dan membuat provokasi ke atas orang Islam.

"Marilah hormati pilihan agama masing-masing," katanya yang berkata perhimpunan orang Islam yang membuat bantahan dalam isu Natrah pada waktu itu juga disertai golongan bukan Islam.

4:40pm: Berucap seterusnya ialah Farhan Abdullah - seorang pendakwah dari Sabah - yang mahu perlembagaan persekutuan dipinda untuk menyekat murtad.

Menurutnya, Perkara 11 menyatakan bahawa terdapat kebebasan beragama untuk semua yang berumur 18 tahun ke atas.

Beliau menggesa ahli parlimen meminda perlembagaan untuk menambah 'kebebasan agama hanya untuk orang bukan Islam'.

Tidak ada kebebasan (untuk menukar agama) untuk orang Islam, katanya.

Bagaimanapun, Farhan tidak mengulas lanjut mengenai bagaimana usaha memurtadkan orang Islam berlaku di Malaysia.
Beliau memberitahu hadirin bahawa mereka yang berminat, hendaklah membeli bukunya, yang hasil jualannya adalah untuk membina sebuah pusat Islam di Sabah.

4:50pm: Seorang wakil NGO belia dari Felda, Abdullah Abu Bakar, pula berikrar bahawa tidak akan ada kes murtad di tanah rancangan Felda.

Beliau tidak menyebut sama ada pernah ada kes seumpama itu sebelum ini.
Sementara itu, pihak penganjur memuji para hadiran kerana
semuanya berjalan dengan aman.

5.00pm: Bekas timbalan naib canselor UiTM, Datuk Ibrahim Abu Shah membangkitkan kegiatan kristian militan yang kini didakwa mempunyai 13 orang mubaligh di Malaysia, Indonesia dan Filipina yang bermatlamat memurtadkan orang Islam.
Memetik dari buku 'Armies of God' tulisan Iain Buchanan, beliau menambah buku itu menyatakan bahawa mereka itu berada di Indonesia, Malaysia dan Filipina.

Katanya murtad berlaku kerana umat Islam tidak bersatu dan bercakaran antara satu sama lain walaupun berdepan dengan
ancaman.
Apa yang diminta adalah supaya umat Islam tidak diganggu, dan untuk semua mengikut undang-undang, katanya merujuk kepada kontroversi Gereja Methodist Damansara Utama.

Beliau juga menyentuh dakwaan konspirasi bahawa Ahli Parlimen Jelutong Jeff Ooi dan beberapa pemimpin Kristian, merancang untuk menjadikan Malaysia menjadi sebuah negara Kristian.

5.10pm: Wakil Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis), Ahmad Syazwan Mohamad Hasan berkata berkata pertubuhan itu berharap supaya media menyampaikan fahaman Islam yang betul dan bagi memantapkan kefahaman dan ilmu Islam.

Tujuannya supaya anak muda tidak mudah disongsangkan.

"Kita harap keterbukaan media dalam beri laporan kerana anak muda tolak pemberitaan yang banyak bermotif keutamaan politik dan orang tertentu.
"Kita mahu golongan penyampai maklumat media harus bebas
memberi maklumat," katanya.
Gamis juga mahu silibus pembelajaran Islam di universiti dikaji semula kerana mendakwa kegiatan murtad juga berlaku di kampus.

5.18pm: Pihak penganjur kemudian bertanya kepada para hadirin sama ada mereka bersetuju jika Himpun diadakan di seluruh negara. Para hadirin bersetuju.

Menurut pihak penganjur, tidak kira berapa ramai yang hadir hari ini tetapi apa yang penting ialah suara mereka sekuat seolah-olah terdapat satu juta orang yang hadir di situ.

Kelihatan ada orang yang beredar meninggalkan stadium.

5.35pm: Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamada yang mewakili Front Bertindak Anti Murtad berkata "musuh Islam' membuat tuntutan melalui 'interfaith commission' kerana orang Islam berpecah.

Beliau berharap perhimpunan hari ini menjadi titik mula untuk perpaduan Islam di Malaysia.

"Marilah kita ketepi perbezaan ideologi dan bersatu atas kalimah shahadah," katanya.

Dalam ucapannya, Kamaruzzaman turut membaca sebuah sajak bertemakan anti-murtad karangan ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan.

5.40pm: Hujan mula turun sejurus sebelum Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria memulakan ucapan.

5:43pm: Mufti Perak itu memulakan ucapannya kepada para hadirin. Ramai yang kelihatan bangun dari tempat duduk mereka untuk pergi lebih dekat kepada mufti untuk mengambar gambar.

Harussani berkata masyarakat Melayu merupakan golongan paling istimewa berbanding bangsa lain di dunia kerana "Melayu dikaitkan dengan Islam dalam perlembagaan".

Orang Melayu juga istimewa kerana mempunyai lidah yang fasih. Allah menurunkan Islam dalam bahasa Arab, tetapi orang Melayulah yang menguasainya, kata Harussani.Beliau membaca ayat-ayat suci Al-Quran kepada para hadirin bahawa Allah telah memberi amaran mengenai malapetaka jika manusia gagal melindungi iman mereka.

Hujan berhenti selepas beberapa minit Harussani selesai berucap.

6.00pm: Pengerusi bersama HIMPUN yang pengerusi Teras Pengupayaan Melayu, Mohd Azmi Abdul Hamid mempersoalkan pihak yang mempertikaikan penganjuran Perhimpunan Sejuta Umat.

"Apakah salahnya orang Islam berhimpun untuk membincangkan masalah mereka?" katanya yang turut membaca 10 resolusi HIMPUN.

Antara lain, Mohd Azmi berkata kerajaan mesti menggubal undang-undang pencegahan murtad walau kerajaan hendak memansuhkan ISA.

HIMPUN juga mahu media dikawal supaya penyiaran perkara yang
menyentuh sensitiviti orang Islam diambil tindakan segera.

6.15pm:  Exco hal ehwal agama Selangor yang ADUN PAS bagi Gombak Setia, Datuk Dr Hasan Ali (kiri) menutup perhimpunan tersebut dengan memimpin bacaan doa.

Bagaimanapun, pengumuman dibuat bahawa Dr Hasan hadir sebagai seorang Islam, dan bukan sebagai ahli politik dan ahli exco.

Majlis tersebut berakhir dan diikuti dengan satu sidang akhbar

10 resolusi Perhimpunan Sejuta Umat

http://www.malaysiakini.com/news/179403

Berikut adalah 10 resolusi Perhimpunan Sejuta Umat

1) Menyeru agar semua pihak menghormati dan mendokong peranan Raja-raja Melayu untuk melaksanakan amanah sebagai ketua dan payung kepada pentadbiran Islam di Negara ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang tubuh negeri.

2) Kerajaan yang memerintah baik diperingkat pusat mahupun negeri mestilah memastikan bahawa sensitiviti yang tertinggi di dalam Islam dari perlembagaan sebagai pedoman yang tertinggi di dalam negara yang dihormati. Sebarang bentuk pelanggaran termasuk menghina dan kedudukan Islam hendaklah dihukum berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada.

3) Menuntut supaya kerajaan dalam usaha memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri hendaklah memastikan supaya undang-undang pencegahan yang tegas dan kukuh untuk memelihara kemuliaan Islam di dalam perlembagaan dapat dimasukkan sebeagai kandungan utama.

4) Menuntut supaya kerajaan mengambil langkah segara menggubal undang-undang khusus untuk mencegah dan membendung gejala memurtadkan umat Islam selaras dengan kedudukan Islam di dalam perlembagaan persekutuan.

5) Menuntut agar sistem pendidikan negara disemak semula untuk memastikan tidak ada unsur yang boleh mendedahkan pelajar kepada penghakisan aqidah. Kami menggesa pihak Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia supaya menggubal sistem pendidikan yang berpaksi kepada aqidah tauhid dan penerapan akidah yang berkesan kepada pelajar-pelajar.

6) Meminta kerajaan supaya mengadakan program-program penerangan yang menyeluruh dan berkesan di setiap saluran supaya masyarakat yang berbilang kaum dan agama di negara kita dapat memahami Islam dan kedudukannya di dalam negara untuk menghilangkan prasangka buruk dan kekeliruan terhadap Islam.

7) Menyeru kepada seluruh pertubuhan politik dan bukan politik supaya meletakkan Islam sebagai agenda tertinggi dan utama melebihi kepentingan yang lain serta mengambil sikap yang serius terhadap sebarang usaha untuk menganggu-gugat kesucian Islam.

8) Menyeru semua institusi dalam masyarakyat terutamanya ibu bapa mengambil tanggungjawab yang tegas di dalam mendidik anak-anak dengan kefahaman yang syumul agar dapat membentengi anak dan waris terdekat daripada terjebak di dalam aktiviti pemesongan akidah.

9) Menggesa kerajaan supaya memantau dan mengawal aktiviti pihak media samada media cetak, media elektronik dan media baru. Sebarang bentuk penyiaran yang menyimpang dan menyentuh sensitiviti umat Islam dan keharmonian bernegara perlulah diambil tindakan yang tegas mengikut peruntukan undang-undang yang ada.

10) Menyeru seluruh umat Islam yang hadir dalam perhimpunan ini mahupun yang tidak dapat hadir, melupakan segala perbedaan fahaman politik dan lain-lain hambatan untuk bersama bersatu menyongsong tugas berat mempertahan dan menyelamatkan aqidah umat daripada sebarang bentuk pencerobohan.

Saturday, 22 October 2011

Mobilisasi besar untuk demo sokong pensyarah

http://www.malaysiakini.com/news/179208

Kumpulan mahasiswa akan menggerakkan golongan itu secara besar-besaran daripada seluruh kampus di Lembah Klang untuk berdemonstrasi terhadap Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang menggantung tugas Prof Dr Abdul Aziz Bari sebagai pensyarah.

Pengerusi NGO Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Syukri Abd Razab berkata, dijangkakan hampir 1,500 mahasiswa dan anak muda akan hadir bagi "mempertahankan kebebasan akademik".

"Solidariti Mahasiswa Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan Universiti Islam Antarabangsa menggantung tugas Prof Dr Abdul Aziz Bari.

"Tindakan UIA adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab kerana membelakangkan prinsip 'kebebasan akademik'," kata Syukri (kiri).

Perhimpunan itu dijadual berlangsung di masjid kampus di Gombak selepas solat Jumaat.

Dalam kenyataannya hari ini, beliau berkata, sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi, UIA seharusnya mempertahankan Aziz atas dasar kebebasan akademik dan kebebasan berpendapat.

Alumni UIA diseru protes
Malaysiakini difahamkan, bukan sahaja diberi surat tunjuk sebab, UIA juga menggantung tugas Aziz sebagai pensyarah undang-undang sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.

Beliau digantung bergaji kerana didakwa "memberikan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti" dan diberi masa sehingga 25 Oktober depan untuk menjawabnya.
Sementara itu, Ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Md Akin (kanan) turut menggesa seluruh alumni universiti itu turut serta mengadakan protes di UIA pada masa yang sama.

Menyifatkan penggantungan tugas itu sebagai tindakan "unilateral" itu, Shamsul mengingatkan kumpulan itu tidak menjadi "alat politik".

"Keberadaan Prof Aziz Bari di universiti mesti dipertahankan," katanya yang juga graduan undang-undang daripada universiti itu dalam pesanan Twitter beliau.

Tindakan terhadap Aziz dipercayai ekoran reaksinya sebelum ini terhadap titah Sultan Selangor dalam isu Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC).

Beliau berkata, Sultan Selangor sebagai ketua agama negeri mempunyai hak campurtangan tetapi ia perlu selaras dengan ajaran Islam.

Siswa berdemo desak tarik balik gantung tugas Aziz Bari

Abdul Rahim Sabri dan Fadzly Esa
1:54PM Okt 21, 2011 - Malaysiakini

Tidak kurang 700 mahasiswa hari ini berhimpun bagi membantah tindakan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) yang menggantung tugas Profesor Dr Abdul Aziz Bari sebagai pensyarah.

Perhimpunan itu berlangsung di perkarangan masjid UIA selepas solat Jumaat kira-kira jam 1.45 petang.

Bantahan diketuai beberapa pemimpin mahasiswa. Antara mereka, Pengerusi Solidiriti Mahasiswa (SMM) Ahmad Syukri Abdul Razab dan aktivis mahasiswa Mohd Hilman Idham.

Mereka melaungkan "Hidup Ilmu", Lawan Kezaliman", "Bebas Aziz Bari" dan seterusnya menuntut kebebasan akademik di seluruh universiti di seluruh negara khususnya di kampus berkenaan.

Mahasiswa yang berang itu menyokong dan mendokong Abdul Aziz serta mendesak universiti membatalkan hukuman penggantungan kepada pakar pelembagaan itu.

Semalam UIA menggantung tugas Abdul Aziz sebagai pensyarah undang-undang sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.

Beliau didakwa "memberikan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti" dan diberi masa sehingga 25 Oktober depan untuk menjawabnya.
Tindakan terhadap pakar itu dipercayai berikutan reaksinya sebelum ini yang mengulas titah Sultan Selangor berhubung isu pemeriksaan sebuah gereja Methodist di Damansara Utama.

Abdul Aziz dipetik berkata, Sultan Selangor sebagai ketua agama negeri mempunyai hak campurtangan tetapi ia perlu selaras dengan ajaran Islam.

Kenyataannya itu mengundang kontroversi apabila beberapa pemimpin Umno termasuk media yang dikuasai mereka mendakwa tindakan itu cuba memburuk-burukkan institusi raja-raja Melayu sehingga tekanan dibuat bagi beliau digantung tugas.

Cabul kebebasan pensyarah

Dalam bantahan hari ini, sebelum bergerak untuk menyampaikan memorandum kepada Rektor UIA Prof Datuk Zaleha Kamaruddin, kedua-dua pemimpin mahasiswa itu menyampaikan ucapan ringkas membantah keras penggantungan Abdul Aziz.
"Itu adalah tindakan tidak bertanggungjawab kerana mancabul hak kebebasan pensyarah," kata Mohd Hilman yang disambut dengan laungan "Hidup Mahasiswa" dan "Bantah Kezaliman dari hadirin.

Ahmad Syukri pula menuntut pihak universiti memberikan kebebasan akademik kepada pensyarah.

Bahkan beliau juga mempersoalkan apakah Dr Abdul Aziz membuat fitnah sehingga beliau dikenakan tindakan gantung tugas.

"Kalau ilmu lawan dengan ilmu, bukan dengan tindakan menggantung," katanya.

Beliau juga mempersoalkan mengapa Profesor Datuk Zainal Kling dari UPSI tidak dikenakan sebarang tindakan susulan kenyataannya bahawa negara ini tidak pernah dijajah.

Selepas ucapan ringkas itu, Ahmad Syukri mengajak mahasiswa berarak bersama-samanya ke pejabat Zaleha untuk menyerahkan memorandum tersebut.

Sewaktu berarak, berlaku kekecohan apabila pengawal keselamatan universiti dan beberapa anggota polis cuba menghalang mereka daripada menuju ke pejabat rektor UIA, menyebabkan berlakunya tolak menolak.

Hal demikian menyebabkan berlakunya pergelutan antara mahasiswa, pengawal keselamatan dan beberapa anggota polis di situ.

Ketika kejadian, mahasiswa lain pula, terus melaungkan "Hidup Mahasiswa" beberapa kali.

Tolak menolak

Tolak menolak selama kira-kira 10 minit itu menyebabkan beberapa pemimpin mahasiswa yang lain termasuk Mohd Hilman cuba menenangkan keadaan dan berbincang dengan pihak keselamatan.

Hasilnya, beliau bersama Ahmad Syukri dibenarkan menyerahkan memorandum berkenaan  kepada timbalan rektor UIA di pejabatnya kira-kira jam 2.15 petang.

Bercakap kepada hadirin selepas itu, Ahmad Syukri berkata perjuangan mahasiswa masih belum selesai kerana Abdul Aziz masih belum dibebaskan.

"Kita jangan (cepat) berpuas hati, kita akan tampil pada masa akan datang kalau (isu) ini tidak selesai.

"Kita jangan mengeluh dan jangan mengalah," katanya yang disambut dengan sorakan mahasiswa.

Menurutnya, sekiranya tidak selesai, perkara itu akan dilanjutkan pada 25 Oktober ini, apabila  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijadual melawat universiti berkenaan.
Sehubungan itu, beliau menggesa pentadbiran universiti menyelesaikan perkara ini sebelum "perkara lebih besar" akan berlaku.

Sementara itu, Mohd Hilman berkata perhimpunan mereka hari ini adalah untuk menghantar "mesej yang jelas" kepada UIA.

"Kalau mereka tekan mahasiswa, kita lawan. Kalau mereka tekan pensyarah, lagi kita lawan," tegasnya mendapat sorakan gemuruh mahasiswa yang lain.

Beliau juga menggesa rakan-rakannya meneruskan perjuangan "selagi universiti tidak menarik balik" penggantungan Abdul Aziz.

'Turun lebih besar'

Kata-katanya itu disambut dengan laungan setuju oleh mahasiswa yang lain.
"Dengar khabar ada pemimpin negara akan datang, kita minta UIA jangan sampai kita turun lebih besar," katanya.

Turut hadir dalam perhimpunan tersebut adalah beberapa pemimpin PKR. Antara mereka, ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Tian Chua (Batu) dan Amiruddin Saari (ADUN Batu Caves).

Mereka hadir memberi sokongan kepada perjuangan mahasiswa yang menuntut penggantungan ahli akademik itu ditarik balik.

Sebelum itu, sejak tengahari tadi, pengawal keselamatan melakukan pemeriksaan ketat di pintu gerbang UIA manakala orang awam dihalang daripada memasuki bangunan tersebut.

Menurut seorang pengawal keselamatan, selain orang awam, pihak media juga tidak dibenarkan masuk.

"Hanya sidang media jam 12 tengahari sahaja dibenarkan, selepas itu orang awam tak dibenarkan masuk, nak sembahyang Jumaat pun tak boleh.
"Kami terima arahan tak benarkan orang awam dan media masuk hari ini,” kata pengawal keselamatan itu.

Pagi tadi, Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mendesak Rektor UIA Prof Datuk Zaleha Kamarudin menarik balik hukuman terhadap pakar perlembagaan itu.

Mereka menuntut penggantungan tersebut ditarik balik dengan kadar segera "bagi memulihkan imej UIA sebagai institusi akademik yang disegani".

Sokongan SMM

Mereka juga mendesak agar pihak universiti mengadakan siasatan secara adil terhadap kenyataan akademik Abdul Aziz dan bukan melalui "tekanan undang-undang-undang yang bercanggah dengan prinsip akademik".

"Mahasiswa menuntut agar pihak universiti menghormati prinsip kebebasan akademik selaras dengan tuntutan universal yang termaktub dalam Deklarasi Prinsip Kebebasan Akademik dan Ahli Akademik 1970, Senarai Hak Akademik 2001 dan Kempen Akademik untuk Kebebasan Akademik," kata mereka dalam satu memorandum.

Memondum tersebut disokong oleh sembilan ahli gabungan dalam SMM antaranya Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Pro Mahasiswa Nasional (Pro-MN), Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GAMIS) dan Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI).

Aziz Bari jawab kenyataan rektor UIA

http://www.malaysiakini.com/news/179367

Peguam yang mewakili Prof Abdul Aziz Bari berkata kenyataan Rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Datuk Dr Zaleha Kamaruddin berkaitan penggantungan perkhidmatan pensyarah undang-undang itu selama tujuh hari dan bahawa beliau bebas masuk ke dalam premis UIAM adalah tidak tepat.

Sebaliknya, kata peguam Dr Zulqarnain Lukman, berdasar surat tunjuk sebab dari UIA, adalah jelas bahawa penggantungan perkhidmatan Prof Aziz Baru adalah berkuatkuasa serta merta sehingga siasatan selesai dan bukan hanya dalam tempoh tujuh hari.
Dr Zulqarnain berkata, beliau telah mendapat arahan daripada anakguamnya untuk membuat kenyataan berhubung kenyataan yang diberikan oleh rektor UIA itu yang disiarkan oleh akhbar hari ini khususnya oleh Bernama.
Menurutnya, tempoh tujuh hari yang dinyatakan Rektor UIA itu adalah merujuk kepada tempoh menjawab surat tunjuk sebab, bukan tempoh penggantungan. Tempoh penggantungan tidak ditetapkan, ertinya sepanjang yang mungkin  selagi tidak ditamatkan secara rasmi oleh UIAM.
"Begitu juga bahawa adalah jelas anakguam tidak dibenarkan masuk ke premis universiti atau berhubung dengan mana-mana staf UIAM melainkan terdapat kebenaran bertulis daripada Dekan Kulliyah Undang-Undang.

"Jika benar terdapat sebarang perubahan kepada notis yang diberikan kepada anakguam, seharusnya pihak universiti mengeluarkan notis baru membatalkan kandungan notis bertarikh 19/10/2011 ini.'

"Akhirnya, anakguam memohon pihak UIAM tidak mengeluarkan kenyataan yang berkonflik dan bercanggah satu sama lain yang membingungkan masyarakat awam," katanya.

Peguam, ahli akademik teguh di belakang Aziz Bari

http://www.malaysiakini.com/news/179321

Rakan-rakan seperjuangan pakar undang-undang perlembagaan Prof Abdul Aziz Bari dalam bidang perundangan dan akademik, berdiri teguh di belakang beliau yang digantung tugasnya oleh Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Dalam satu kenyataan media semalam, Persatuan Kakitangan
Akademik Universiti Malaya (PKAUM) membantah tindakan tersebut yang dianggapnya telah melanggar kebebasan akademik Aziz Bari dan hak umumnya untuk bersuara.

Dalam mempertahankan Abdul Aziz, presiden PKAUM dan Prof Madya undang-undang, Azmi Sharom (kiri) berkata, Akta Hasutan membenarkan kritikan membina terhadap pemerintah.

Dalam kes Abdul Aziz, katanya, apa yang telah beliau lakukan adalah semata-mata memberi pandangan bahawa seorang raja telah bertindak di luar batasan perlembagaan.

Menurutnya, ia adalah komen yang sah dengan tiada kenyataan - secara langsung atau tersirat - yang dibuat untuk menimbulkan kebencian terhadap raja.

Pensyarah Universiti Malaya itu turut menggesa supaya dihentikan siasatan polis terhadap Abdul Aziz.

Menurutnya, sebagai seorang ahli akademik, Abdul Aziz diminta memberi komen mengenai perkara yang berkaitan dengan bidangnya, dan "tugas beliau adalah untuk menggunakan kepakarannya untuk memberi penjelasan kepada umum dalam isu-isu semasa yang berkaitan dengan bidangnya".

Azmi berkata, mana-mana ahli akademik mestilah dibenarkan untuk berbuat demikian, dan tindakan yang diambil terhadap Aziz Bari akan menanam rasa takut di kalangan masyarakat akademik.

Beliau menyifatkannya sebagai satu petunjuk bahawa tiada kebebasan akademik di Malaysia dan tanpanya, adalah mustahil untuk sebarang pembangunan dalam kapasiti intelek negara.
Sementara itu, Lawyers for Liberty, pula berkata tindakan terhadap Abdul Aziz itu jelas merupakan satu penafian terhadap hak asasinya dalam kebebasan bersuara yang dijamin di bawah Perkara 10 perlembagaan persekutuan.
Kumpulan peguam hak asasi manusia itu, yang juga terdiri daripada alumni UIA, melahirkan rasa kecewa atas sekatan kebebasan akademik, yang menurutnya, menjadi pra-syarat kepada transformasi Malaysia.

Dalam satu kenyataan hari ini, anggota Lawyers for Liberty, Afiq M Noor menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya tidak "melangkaui sempadannya" dalam siasatan terhadap Abdul Aziz dan portal berita Malaysiakini, yang menyiarkan komennya.

Timbalan menteri padang berat...

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah turut menyuarakan rasa "terganggu dan sedih mendengar kes tersebut".
"Saya tidak semestiny setuju dengan semua pendapat Aziz Bari.
Kalau benar dia bersalah, wajar dihukum.

"Kini ia masih dalam siasatan. Justeru, tindakan UIA menggantungnya saya dapati menimbulkan persoalan," tulisnya dalam SMS kepada Malaysiakini.

Saifuddin (kanan) menambah, beliau telah meminta laporan bertulis daripada pihak universiti berhubung perkara itu.

Katanya, beliau juga mendapat maklumat bahawa mahasiswa  merancang berdemonstrasi membela Aziz Bari, sambil menambah: "Itu hak mereka.".

Persatuan k'tangan akademik UIA bela Aziz Bari

http://www.malaysiakini.com/news/179326


Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (PKA UIAM) hari ini menyatakan sokongannya terhadap Prof Abdul Aziz Bari dalam menjalankan amanahnya sebagai seorang murabbi dan sarjana Perlembagaan Malaysia.
"Kami berasa terkilan atas campurtangan pihak luar ke atas
sistem pendidikan di negara ini yang sepatutnya bebas dan bersifat professional.

"Tohmahan serta tekanan yang tidak berasaskan ilmu yang dilemparkan kepada Prof Abdul Aziz Bari hanya membuang masa dan merendahkan status negara di mata dunia," tegas PKA UIAM dalam satu kenyataan hari ini.

Sebaliknya, katanya, Prof Abdul Aziz sepatutnya diberi penghargaan kerana berjaya membuat satu negara berfikir dan memberi reaksi di dalam pelbagai cara. Beliau bagaimanapun tidak harus dihukum kerana reaksi pihak ketiga ini.

Berikut adalah kenyataan penuh:


Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (PKA UIAM) ingin menyatakan sokongannya terhadap Professor Abdul Aziz Bari di dalam menjalankan amanahnya sebagai seorang murabbi dan sarjana Perlembagaan Malaysia.
Kami berasa terkilan atas campurtangan pihak luar ke atas
sistem pendidikan di negara ini yang sepatutnya bebas dan bersifat professional.

Tohmahan serta tekanan yang tidak berasaskan ilmu yang dilemparkan kepada Professor Abdul Aziz Bari hanya membuang masa dan merendahkan status negara di mata dunia.

Professor Abdul Aziz Bari adalah seorang yang berwibawa
dan berkelayakan untuk membuat kenyataan ilmiah dan rasional dalam bidang kepakaran beliau. Ini adalah seperti yang dinyatakan didalam Al-Quran:

Surah al-Anbiya’ (21:7): “Kami tiada mengutus rasul-rasul sebelum kamu, melainkan beberapa orang-laki-laki yang Kami beri wahyu kepada mereka, maka tanyakanlah olehmu kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tiada mengetahui”

Mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan pandangan beliau sepatutnya memberi beliau ruang untuk berdebat secara lebih terbuka kerana proses konstruktif sebegini akan meningkatkan tahap pemikiran masyarakat di negara tercinta ini. Peringatan ini jelas berkait rapat dengan ayat Al-Quran dalam Surah al-Baqarah (2:111):

“Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: "Tidak sekali-kali akan masuk syurga melainkan orang-orang yang berugama Yahudi atau Nasrani". Yang demikian itu hanya angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai Muhammad): "Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar".

Professor Abdul Aziz Bari sepatutnya diberi penghargaan kerana berjaya membuat satu negara berfikir dan memberi reaksi di dalam pelbagai cara. Beliau bagaimanapun tidak harus dihukum kerana reaksi pihak ketiga ini.

Sebagai seorang ahli akademik, Professor Abdul Aziz Bari berhak menyatakan pendapat seperti yang telah dilakukannya. Ini adalah sebahagian dari kebebasan akademik yang dipunyai oleh setiap ahli akademik.

Mana-mana negara yang mahukan universiti mereka disanjungi dan dihormati sebagai universiti bertaraf dunia pasti menyokong, menghormati dan melindungi kebebasan akademik ini.

Kami tidak mahu tindakan ini kelak dijadikan satu 'precedence' pada masa akan datang kerana ia boleh menyekat sumbangan intelektual dari ahli akademik terhadap isu-isu kenegaraan sama ada yang dianggap sensitif atau sebaliknya.

Sebarang tafsiran dan pandangan yang dibuat dari hasil kepakaran seseorang ahli akademik sewajarnya disambut secara lapang dada oleh mana-mana pihak.

Kritikan inteletek adalah sangat penting di dalam dunia akademik kerana dengannya budaya keilmuan di sesebuah universiti itu boleh berkembang dan menyumbang sesuatu kepada pembangunan anak bangsa dan negara

Kebebasan akademik ini telah disaran oleh UNESCO melalui peruntukan dalam “Recommendation Concerning the Status of Higher Education Teaching Personnel” yang dihasilkan melalui persidangan UNESCO pada 11 November 1997, seperti dalam Artikel 26 dan 27 yang berbunyi:

“the right to contribute to social change through freely expressing their opinion of state policies and of policies affecting higher education”.


PKA UIAM menyeru semua pihak supaya menghayati dan menghormati kebebasan akademik. Keprihatinan pihak-pihak yang berkepentingan (stakeholders) dalam perkara ini amat perlu untuk memertabatkan Malaysia sebagai hub pendidikan tinggi antarabangsa dengan universiti-universitinya
bertaraf dunia.

Pakar perlembagaan akan saman Utusan



Pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari berkata akan menyaman akhbar Umno Utusan Malaysia kerana didakwa memfitnahnya dalam laporan berkaitan kenyataannya terhadap titah diraja dan isu agama.

"Sebab utamanya kerana Utusan memutarbelit dan pusing kenyataan saya.

"Mereka menggambarkan saya sebagai sombong, angkuh, tidak tahu hormat dan dan keras kepala," kata pensyarah kanan undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) kepada Malaysiakini hari ini.

Aziz pada 11 Oktober lalu berkata, tindakan Sultan Selangor Sultan campurtangan berhubung isu pemeriksaan sebuah gereja Methodist di Damansara Utama pada 3 Ogos lalu, bukan tindakan yang lazim.

Menurutnya, sebagai ketua agama Islam di negeri itu, baginda mempunyai hak untuk campurtangan tetapi ia perlu dijalankan selaras dengan ajaran Islam.

Aziz berkata beliau sudah mengarahkan peguamnya Hanipa Maidin bagi menyaman Utusan dan seorang lagi peguam Zulqarnain Lukman bagi menguruskan perkara berkaitan laporan polis yang dibuat terhadapnya.

"Isunya di sini, saya bercakap berdasarkan pengetahuan dan kepakaran saya," katanya - ahli akademik tunggal yang menulils tesis doktor fasafah tentang peranan raja-raja dalam Islam dan demokrasi.

"Tetapi mereka bukannya memberitahu saya pandangan mereka, sebaliknya pergi ke merata tempat dan membuat dakwaan terhadap saya." 

Utusan terus kritik

Katanya lagi dalamSementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Utusan melalui kolumnis kontroversinya Awang Selamat terus mengkritik Aziz dan Malaysiakini yang menyuarkan kenyataan pensyarah itu sebelum ini.

Awang menulis, Aziz memberikan isyarat salah kepada pelbagai pihak termasuk bukan Islam bahawa Sultan boleh disanggah biarpun bawah bidang kuasa baginda.

Katanya, sebagai rakyat Malaysia dan orang Islam, reaksi Aziz yang mempertahankan kenyataannya dan enggan memohon maaf kepada Sultan Selangor, dilihat angkuh.

"Awang percaya seandainya kenyataan Sultan Selangor berhubung insiden di gereja itu dilihat memihak kepada pembangkang, nescaya Abdul Aziz akan berdiam.

"Tidak mungkin beliau akan menyanggah baginda kerana ada percaturan lain yang mengatasi soal kepentingan agama dan perlembagaan," coretnya.

UIA gantung tugas pakar perlembagaan Aziz Bari


Jimadie Shah Othman 11:59AM Okt 20, 2011 - Malaysiakini

Bukan sahaja diberi surat tunjuk sebab, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) juga menggantung tugas pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari sebagai pensyarah undang-undang universiti itu.

Malaysiakini difahamkan, perkara itu turut terkandung dalam notis yang dikeluarkan padanya daripada unit undang-undang UIA.

Pensyarah paling kanan di fakulti undang-undang itu digantung bergaji sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.
Selain itu, difahamkan Aziz juga tidak dibenarkan memasuki pejabatnya di kampus Gombak ekoran kad aksesnya harus dipulangkan kepada pentadbiran universiti.

Difahamkan penggantungannya itu akan menjejaskan lebih 100 pelajarnya daripada daripada peringkat sarjana muda hingga ke doktor falsafah (PhD).

Aziz berkhidmat dengan UIA sejak 22 tahun lalu.

Sementara itu, dalam surat tunjuk sebab yang diserahkan tangan kepada Aziz, beliau dituduh "memberikan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti".

Aziz diberi masa sehingga 25 Oktober depan untuk menjawabnya.

Timbalan menteri sedih, mohon laporan UIA
Sementara itu, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata beliau "terganggu dan sedih" terhadap apa yang berlaku pada Aziz.

Justeru, tambahnya, beliau telah meminta laporan bertulis daripada UIA berhubung isu itu.

"Jika orang ramai/mahasiswa mahu sokong Aziz Bari, itu hak mereka," tulisnya di laman Twitter.

Usaha Malaysiakini mendapat reaksi daripada bahagian pentadbiran dan pengurusan UIA setakat ini masih belum berhasil.

Bagaimanapun, Berita Harian hari ini melaporkan sumber dari pejabat rektor UIA, Datuk Prof Zaleha Kamaruddin mengesahkan surat itu dikeluarkan pihaknya semalam.
Aziz dalam masa yang sama disiasat polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung reaksinya kepada titah Sultan Selangor berhubung pemeriksaan sebuah gereja di Petaling Jaya.

Wartawan Malaysiakini turut disiasat oleh pihak berkuasa kerana portal itu menyiarkan pandangan kontroversi itu.

Aziz sebelum ini berkata baginda sebagai ketua agama negeri mempunyai hak campurtangan tetapi ia perlu selaras dengan ajaran Islam.

Selepas dikritik pelbagai pihak, Aziz kemudian menjelaskan Akta Hasutan 1948 memperuntukan tidak menjadi kesalahan mengkritik Raja-Raja Melayu selagi tidak menuntut pemansuhan institusi itu.
Sebelum ini, SKMM dan pihak polis juga telah menyoal beberapa kakitangan Malaysiakini, termasuk wartawan dan editornya berhubung isu yang sama.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan Ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Md Akin mengajak alumni universiti itu mengadakan protes di Masjid UIA di Gombak selepas solat Jumaat esok bagi menyatakan sokongan kepada Aziz.

Shamsul antara lulusan universiti itu dalam bidang undang-undang.

Aziz Bari terima surat tunjuk sebab dari UIA

http://www.malaysiakini.com/news/179127
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada pensyarah undang-undangnya Profesor Abdul Aziz Bari, yang baru-baru ini mengundang kontroversi berhubung kenyataan mengenai perlembagaan dan Raja-Raja Melayu.

Menurut sumber, Abdul Aziz diberikan surat tunjuk sebab itu petang tadi.
Tidak jelas mengenai kandungan surat itu kerana pakar perlembagaan itu tidak dapat dihubungi.

Malaysiakini juga belum dapat mengesahkan perkara itu dengan pihak universiti kerana ketika berita ini ditulis, waktu pejabat telah berakhir.

Abdul Aziz kini disiasat mengikut Akta Hasutan berikutan laporan Senator Ezam Mohd Nor pada 13 Oktober lalu.

Difahamkan sekurang-kurangnya lima laporan polis dibuat berhubung perkara yang sama.

Sementara itu, Malaysiakini terus dikunjungi oleh pihak berkuasa berhubung kenyataan Abdul Aziz yang disiarkan oleh portal berita berkenaan.
Malaysiakini terus disiasat
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang menyoal siasat wartawan Malaysiakini pada Isnin lalu, sekali lagi datang dengan dua pegawai yang sama bagi mendapatkan butiran lanjut daripada kakitangan lain.
Editor berita, Wee Yu Meng disoal selama sejam dan diminta mengesahkan bahawa Abdul Aziz mengirimkan emelnya kepada portal berita berkenaan dan sejauh mana ketepatan berita yang disiarkan.

Selain SKMM, Malaysiakini hari ini juga disiasat oleh pihak polis berhubung isu yang sama.

Pegawai penyiasat dari ibu pejabat polis daerah Shah Alam, ASP Effandi Main merakamkan kenyataan daripada Wee selama satu jam setengah.

Beliau disoal sejauh mana dirinya mengenali Abdul Aziz dan berhubung kredibiliti pensyarah kanan undang-undang itu.

Pihak polis juga meminta dibekalkan salinan emel kenyataan yang dibuat oleh Abdul Aziz tetapi Wee berkata salinan yang dimilikinya telah dipadamkan setelah berita itu dimuat-naik.
Abdul Aziz dipercayai disiasat mengikut Akta Hasutan.

Beliau pada 11 Oktober lalu berkata tindakan Sultan Selangor campurtangan dalam isu pemeriksaan gereja Methodist di Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu, bukan tindakan lazim.
Selaras ajaran Islam
Menurutnya, sebagai ketua agama Islam negeri, baginda mempunyai hak untuk campurtangan  tetapi ia perlu dijalankan selaras dengan ajaran Islam.
Selepas dikritik pelbagai pihak, Abdul Aziz sehari kemudian menjelaskan bahawa Akta Hasutan 1948 memperuntukkan bahawa tidak menjadi kesalahan mengkritik Raja-Raja Melayu asalkan mereka tidak menuntut pemansuhan institusi itu.
Tidak puas hati dengan kenyataan itu, Ezam dan beberapa  aktivis NGO tampil membuat laporan serentak dengan mendakwa Aziz berlaku biadap dan derhaka kepada institusi raja Melayu.

Sultan sebelum itu bertitah bahawa baginda amat tersinggung dengan usaha pihak tertentu yang cuba melemahkan kepercayaan dan akidah orang Islam di Selangor.

Titah baginda, cubaan memesongkan akidah umat Islam itu berjaya dibuktikan hasil siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tetapi ia tidak mencukupi untuk diambil tindakan undang-undang.

Azizbarisme sudah melanda

Mohamed Hadi al-Majwi 12:06PM Okt 21, 2011 - Malaysiakini

Saya mengenali Profesor Abdul Aziz Bari sebagai pensyarah undang-undang perlembagaan saya ketika saya belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Mudah ceritanya, Aziz Bari ialah tok guru saya dan sudah tentulah saya berasa amat terhutang budi kepada beliau.

Saya percaya ribuan pelajar dan bekas pelajar beliau turut berkongsi sentimen yang sama dengan saya.

Saya mengenali Aziz Bari sebagai seorang yang teguh dengan prinsip dan mempertahankan pandangan akademiknya berteraskan hujah ilmiah. Pandangan beliau yang tegas mengenai isu-isu perlembagaan dan kenegaraan sudah tentu perlu dibayar dengan risiko.

Ini yang selalu dipesankan oleh beliau kepada para pelajarnya. Disebabkan kelantangan beliaulah, beliau pernah berkata beliau tidak akan mempunyai peluang untuk menjadi Dekan di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim (AIKOL), Timbalan Rektor, apatah lagi Rektor UIAM.

Pingat dan darjah kebesaran daripada istana, jauh sekali! Tetapi inilah harga yang perlu dibayar untuk mempertahankan maruah ilmu yang dijunjung oleh beliau.

Di dalam memberi ulasan dan pandangan, saya melihat Aziz Bari sebagai seorang yang berterus-terang dan tidak berlapik-lapik atau berdolak-dalik di dalam mengutarakan buah fikirannya. Tidak seperti sesetengah profesor kangkung dan bayam yang kita boleh kenal ciri-cirinya.

Buku-buku penulisan beliau mengenai perlembagaan juga secara terbuka mengkritik parti pemerintah dan tokoh-tokoh politik seperti Tun Dr Mahathir Mohamad. Bukan baru sekarang, tetapi konsisten sejak dahulu lagi.

Bacalah hasil penulisan beliau (masalahnya yang menghentam beliau pun tak pernah membaca buku-buku dan artikel-artikel beliau). Kalau orang menuduh Aziz Bari pro-pembangkang, ini juga saya fikir melucukan kerana kita masih belum terlupa beliau pernah mengkritik kepimpinan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara terbuka di media massa.

Ulasan Aziz Bari seringkali ditagih di dalam soal-soal berkaitan perlembagaan, dari zaman Meor Atiqulrahman, membawa kepada Lina Joy, sehinggalah krisis perlembagaan Perak dan terkini isu titah Sultan Selangor mengenai serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sebuah gereja.

Sudah tentulah tidak semua pandangan beliau boleh diterima oleh semua pihak, tetapi kalau tidak bersetuju, balaslah dengan hujah akademik. Tetapi di bumi bertuah ini, hujah intelek selalunya dibalas dengan laporan polis, soal siasat pihak berkuasa, surat tunjuk sebab dan pelbagai bentuk intimidasi lain.

Satu perkara lagi yang saya kagum dengan Aziz Bari ialah beliau seorang yang sangat rajin menulis, baik santai mahu pun ilmiah inti penulisannya. Tulisan-tulisan ini pula bukanlah dipetik daripada langit, tetapi beliau berkorban masa untuk menghasilkannya.

Para pelajar dan pensyarah di AIKOL boleh mengesahkan, sewaktu cuti-cuti umum, sewaktu UIAM lengang tidak berpenghuni, kita boleh melihat kereta Mercedes antik merah beliau di parkir kereta pensyarah dan lampu biliknya menyala hingga ke lewat malam. Pengampukah orang sebegini? Kaki bodekkah? Kangkungkah?

Sepanjang yang saya tahu, Aziz Bari tidak bercita-cita tinggi pun di dalam politik. Cita-citanya hanyalah para pelajar, buku-buku ilmiah dan hasil kajiannya sahaja. Setahu saya, Aziz Bari tidak ada telefon bimbit pun. Takkanlah orang yang tiada telefon bimbit sebegini cita-citanya mahu jadi wakil rakyat dan seterusnya menjadi menteri kabinet atau Perdana Menteri?

Terkini, beliau telah digantung tugas daripada UIAM disebabkan tuduhan-tuduhan jahat ke atas beliau. Saya percaya bekas pelajar-pelajar beliau yang sudah menjadi "orang-orang besar" menggeleng-geleng kepala dengan perkembangan ini.

Bagi saya, ini tidaklah aneh kerana warga UIAM sudah masak dengan wayang murahan sebegini. Kita pun tahu apa sudah berlaku sewaktu Ustaz Azhar Idrus dijemput berceramah di UIAM. Hilang seorang profesor, berderet-deret universiti luar negara yang akan mengambil beliau untuk berkhidmat di luar negara. Akhirnya siapa yang menjadi mangsa? Para pelajar kita juga.

Saya cuma insan kerdil yang tidak mempunyai kuasa dan upaya untuk mengubah keadaan. Saya hanyalah bekas anak murid Aziz Bari dan saya menukilkan pendapat saya ini sebagai tanda sokongan penuh saya kepada beliau. Warga UIAM dan bekas para pelajar beliau, marilah kita berdoa supaya Profesor Dr. Abdul Aziz Bari diberikan segala kekuatan untuk menghadapi ujian ini.

Berpegang teguhlah Prof, kami semua mendoakan. Sesudah Sabuisme, kita kini menyaksikan gelombang Azizbarisme.

Fenomena Aziz Bari: Di mana silapnya?

Muhammad Kamil Abdul Munim 6:03PM Okt 20, 2011 - Malaysiakini

Tidak sukar untuk kita memahami amalan demokrasi di negara ini. Dosa besar dalam amalan demokrasi di Malaysia ialah berkata benar kepada pemimpin. Arak, judi, zina, bukan lagi ‘dosa’.

Budaya ini mengimbau kembali kepercayaan melayu kuno terhadap sultan iaitu sebagai jelmaan tuhan di bumi. Ini jahil dan amalan jahiliyah ini perlu dihapuskan.

Kenyataan Professor Dr Abdul Aziz Bari yang disiarkan di laman berita Malaysiakini telah mencetuskan kemarahan mereka yang jahil tentang peranan sultan sebagai ketua agama Islam berikutan kenyataan Sultan Selangor mengenai pemeriksaan ke atas gereja yang dilakukan oleh JAIS baru baru ini.

Mereka ingin dilihat sebagai Melayu sejati yang mebela ketuanan Melayu walhal tindakan sedemikian boleh dikategorikan sebagai tindakan ‘bodoh’ atau ‘kurang cerdik’ dalam bahasa yang lebih sopan.

Menyamakan titah sultan sebagai titah Tuhan adalah syirik.

Sultan bukan nabi atau malaikat. Mereka ialah manusia biasa yg diciptakan dari setitis air mani sama seperti manusia lain, mempunyai sifat sifat yang dimiliki oleh manusia lain seperti bodoh, pemalas, pelupa, rajin dan sebagainya.

Isu sebenar yang dibangkitkan oleh beliau adalah bagaimana peranan sultan dalam menggunakan kuasa yang diperuntukkan kepada mereka. Tidak ada apa apa yang salah di sisi undang-undang. Bahkan beliau sendiri ialah seorang pakar dalam undang undang perlembagaan. Justeru beliau mempunyai hak untuk bercakap dalam konteks perlembagaan.

Tindakan menggantung beliau sebagai pensyarah adalah permulaan kepada kesilapan. Modus operandi ini sama digunakan oleh British ketika menentang kebangkitan golongan anti penjajah dengan menggantung mayat Tok Janggut dan diusung di sekitar Kota Bharu bagi meberi amaran kepada mereka yang cuba menetang British.

Kini Aziz Bari menjadi simbol amaran kepada ahli akademik yang cuba mendedahkan kebenaran kepada masyarakat maka mereka akan dihukum.

Malangnya situasi ini harus dihentikan secepat mungkin kerana dikhuatiri kesan daripada isu ini boleh meledakkan kemarahan rakyat khususnya di kalangan anak muda kerana penafsiran mereka terhadap institusi diraja sangat kritikal. Risau-risau nanti ada pula gerakan menentang institusi monarki.

Oleh kerana itu, ‘hujah mesti dibalas dengan hujah’. Amalan biasa yang dilakukan di Malaysia adalah ‘hujah dibalas dengan kezaliman’ dan amalan ini harus dihentikan.

Oleh kerana kami berpendidikan, kami benci bila kami diperbodohkan.

Penulis adalah pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Monday, 17 October 2011

Hidup Sebuah Misteri Dan Kembara

HIDUP SEBUAH MISTERI DAN KEMBARA
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)

Saya sedang berada di OCIS, Oxford. Hadir ke sini di bawah program ‘Visiting Research Scholar’ selama sepuluh bulan. Saya pernah datang ke sini dulu sekadar melawat kawan-kawan. Tidak sangka pula, ada peluang datang pula untuk buat kajian di sini dengan agak lama, berserta sedikit elaun yang diberikan oleh British Council.

Saya tinggalkan Malaysia dalam keadaan ramai yang menasihati bahawa sekarang bukan masa yang sesuai. Kebanyakan alasan mereka; pilihanraya sudah dekat. Duta British juga kata begitu kepada saya. Padahal, saya seperti rakyat marhaen yang lain tidak terlibat dengan pilihanraya melainkan sekadar seorang pengundi biasa. Itu bukan alasan yang kukuh. Saya ingin terus mengembara selagi mampu. Mengutip bekalan selagi ada upaya membawanya. Merentasi denai dan lurah. Mendaki gunung dan cuba menggapai awan, jika diizinkan Allah. Biarlah apa tafsiran orang terhadap kehidupan kita, selagi insan berpaksikan Tuhan, dia akan melihat keindahan dimensi hidup dalam pelbagai spektra dan rupa.

Ini tulisan pertama saya di sini. Saya belum mahu mula. Saya hanya mahu meletakkan satu mukadimah yang boleh kita kongsi bersama mengenai kehidupan. Sesuatu yang kita semua alami dan rasai. Allah menyuruh kita mengawal diri sendiri dan membetulkan keadaan dengan kadar kemampuan dan ruang yang kita miliki. Namun, tiada siapa dalam kalangan makhluk yang dapat memastikan episod-episod dalam perjalanan hidup.

Misteri Kehidupan

Ya, hidup penuh keajaiban. Penuh misteri yang tersimpan di sisi Ilahi. Ada perkara yang insan jangka dan sangka, ia tidak berlaku. Ada perkara yang tidak diduga ia menjelma dalam pelbagai rupa dan warna. Tiada siapa boleh menyatakan yang dia menguasai perjalanan kehidupannya. Tidak! Sama sekali tidak! Dia mungkin menguasai dirinya bukan perjalanan hidupnya. Dalam alam ini yang penuh dengan pelbagai watak, episod, musim dan rasa, maka tiada siapa yang berkuasa melainkan Allah. Manusia merancang dan mengatur. Ada kala rancangan itu berjaya, ada kala gagal, ada kala berubah arah dan pelbagai lagi.

Dunia ini bukan kita saja yang menghuninya; insan lain, alam sekeliling dan segala yang wujud. Semuanya mempunyai agenda mereka yang tersendiri. Kadang-kala agenda itu bersaing dengan hasrat kita. Mungkin kita menang, atau kalah. Atau tiada siapa yang mendapatnya. Atau semua mendapat ruang dan peruntukan masing-masing. Itulah kehidupan. Sebab itu kita disuruh bertawakkal iaitu setelah berusaha semampunya hendaklah berserah pasrah dan menggantungkan segala doa dan harapan kepadaNya. Firman Allah (maksudnya):
“..dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari masalahnya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang dia tidak sangka. dan sesiapa bertawakal kepada Allah, maka cukuplah Allah itu baginya (untuk menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala urusanNya. Allah telahpun menentukan kadar bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. (Surah al-Talaq: 2-3).

Kudrat Tuhan

Ya, sesiapa yang bertawakal kepada Allah, maka cukuplah Allah sebagai pengatur urusannya. Ketika menyerah pasrah dirinya kepada Allah, insan mungkin mempunyai pelbagai bayangan bagaimana kehendak atau hajatnya akan tercapai. Namun kuasa, kudrat dan kehendak Allah merentasi segala bayangan dan igauan insani.

Dalam menunai hasrat seseorang insan, Allah kadang-kala takdirkan pelbagai kejadian dan episod hidup agar insan belajar, mendapat ganjaran pahala, menemui pelbagai hikmat dan menjadi hamba yang lebih bersyukur dan akur dengan keagunganNya. Cara sesuatu hasrat itu muncul dan menjelma juga, tidak semestinya sama. Pelbagai warna dan rupa. Mungkin insan ingin sesuatu, Allah gantikan yang lain yang lebih baik daripadanya. Mungkin insan tidak tahu kejelekan di sebalik sesuatu yang indah pada matanya sehingga dia mengidamnya.

Apabila insan menyerah diri kepada Tuhan dengan jiwa yang luhur dan akur, Allah akan memberikan ganti yang lain, yang mungkin insan kurang suka, tapi itu lebih baik untuknya. Demikian Allah menegaskan (maksudnya):
“..dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya”. (Surah al-Baqarah: 216).
Hanya pada tanganNya kekuasaan mutlak terhadap perjalanan alam ini. Jika Dia mahu memberikan sesuatu, tiada siapa yang dapat menghalangNya. Jika Dia mahu menghalang sesuatu, tiada siapa yang memberikannya. Dia Maha Berkuasa menghadirkan hajat seseorang insan dalam pelbagai bentuk dan rupa, jalan yang disangka dan yang tidak diduga. Dia Maha Mengetahui apa yang terselit dalam benak insani ketika seseorang itu mengadu kepadaNya. Padahal kadang-kala insan itu sendiri alpa dan lupa hasratnya yang sebenar.

Allah mungkin menunaikan hasrat yang tersirat walaupun tidak dalam gambaran yang tersemat. Segalanya atas rahsia alam atau hikmat kehidupan yang Allah Maha Tahu. Apa yang penting Allah tidak mensia-siakan hamba yang bertawakal kepadaNya. Percaya, jika kita serahkan jiwa raga dengan penuh pasrah kepada Allah, harinya akan menjelma dalam pelbagai bentuk dan rupa.

Kebahagiaan itu jika Allah berikan tiada siapa yang dapat merampasnya dalam dada kita, sekalipun tubuh diluka dan dipenjara. Sengsara jika Allah campakkan kepada kita, tiada harta yang dapat menghalangnya, tiada wanita yang dapat menceriakannya dan kuasa yang dapat menangkisnya. Percayalah, dan berjalanlah atas keimanan itu menelusuri diari kehidupan ini.

Hidup Ini Kembara

Setiap insan mengembara di mayapada ini. Samada dia pernah keluar dari daerahnya ataupun tidak. Dia bagaikan pengembara. Perjalanan diari hidupnya sendiri yang bermula dari hari dilahirkan sehingga menemui kematian. Berjumpa dengan pelbagai watak dan bertemu dengan pelbagai episod dalam hayatnya.

Dalam menelusuri rantai-rantai hari yang datang pergi, insan disuruh mengabdikan diri kepada Ilahi. Melakukan yang disuruh dan meninggalkan yang dilarang. Insan itu insan. Akan ada episod duka, salah, silap dan episod suka, benar dan tepat. Ada kala dosa, ada kala pahala. Itulah insan.

Namun, dalam kembaranya hendaklah dia pastikan kesilapan akan diikuti dengan pembetulan, dosa diikuti dengan istighfar dan taubat. Pastikan kebaikan yang mengusai dirinya, sementara kejahatan sesuatu yang asing dan terpencil. Pastikan dalam kembara hidup ini dia tidak membawa beban yang menyukar dia pulang ke pangkuan Tuhan. Sabda Nabi s.a.w: :
“Ada apa aku dan dunia ini! Tiadalah dunia dan aku ini melainkan seperti seorang pengembara yang berlindung dari panas di bawah sepohon pokok, kemudian pergi meninggalkannya”. (Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).
Walaupun hidup menyerupai sebuah kembara, insan disuruh pula untuk mengembara melihat alam ciptaan Allah. Mengambil iktibar dari pelbagai kejadian dan peristiwa. Begitu banyak ayat dalam al-Quran, Allah menyebut “Tidakkah kamu lihat?!” dan “berjalanlah kamu di bumi..”. Pelbagai perkara al-Quran menyuruh kita lihat; gunung-ganang, peristiwa lampau dan lain-lain. Demikian dalam riwayat al-Bukhari bagaimana Jabir bin ‘Abdillah menyembara selama sebulan untuk mendapat sebuah hadis sahaja daripada Abdullah bin Unais.

Maka saya terus mengembara lagi dan mengulangi ungkapan Abu Firas al-‘Amiri yang dikenali dengan Majd al-‘Arab:
“Berpisahlah, nescaya kau dapati ganti orang yang kau tinggalkan. Mengembaralah di bumi, nescaya kau temui petunjuk dalam perjalanan itu. Singa jika tidak meninggalkan hutannya, tidak akan garang. Anak panah jika tidak meninggalkan busarnya tidak akan mengena sasaran”. (Fawat al-Fawayat 3/87, Beirut: Dar al-Sadir).