Search Everything

Monday, 3 October 2011

Siapa tokoh pejuang kemerdekaan tulen?

Nik Abdul Aziz Nik Hassan Okt 2, 1111:38am - Ruangan Surat Malaysiakini

Sudah tentu tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan ialah mereka yang berjuang ke arah membebaskan bangsa dan negara daripada dijajah oleh kuasa penjajah, dan nilai-nilai negatif yang terdapat dalam masyarakat negara itu yang mencengkam, mengongkong dan membelenggu minda masyarakat tadi. 

Selalunya kuasa penjajah dan nilai-nilai negatif itu akan menjajah masyarakat dan negara secara fizikal, mental, spiritual dan moral dalam bidang politik, ekonomi dan sosial. Oleh yang demikian, apabila dikatakan kuasa penjajah, ia bukan sahaja merujuk kepada kuasa penjajah secara fizikal seperti kuasa-kuasa kolonial Barat iaitu Portugis, Belanda, Inggeris dan kuasa kolonial Timur iaitu Jepun.

Akan tetapi, ia juga merujuk kepada penguasaan suatu nilai dalam satu budaya dan masyarakat yang menindas dan mengongkong minda serta “Worldview” masyarakat itu. Secara mudahnya dapatlah disimpulkan pola-pola dan nilai-nilai penjajahan yang wujud dalam sejarah masyarakat Malaysia sebagaimana berikut.

1. Kedatangan kuasa-kuasa penjajah ke alam Melayu seperti kuasa Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun. Kedatangan kuasa-kuasa itu menguasai, mengongkong, menindas dan memeras kehidupan anak-anak tempatan dari segi politik, ekonomi dan sosial demi kepentingan hegemonisme kuasa masing-masing.

2. Secara mental dan spiritualnya, kuasa-kuasa penjajah tadi menyogok dan menakluki pemikiran dan jiwa masyarakat tempatan dengan suatu falsafah bahawa bangsa penjajah adalah “superior” dan bangsa yang dijajah adalah “inferior”. 

Falsafah demikian boleh mewujudkan anak tempatan kehilangan kayakinan diri dan boleh digolongkan dalam istilah “the captive mind” atau orang-orang yang terjajah pemikirannya. Kewujudan era perang dingin selepas peperangan dunia ke II di antara blog liberal Barat dan blog Komunis turut memperhebatkan lagi ciri-ciri penjajahan minda ini ke atas Worldview masyarakat dunia yang dijajah termasuk masyarakat Malaysia. 

Ciri-ciri penjajahan minda dalam era ini wujud dalam bentuk yang lebih sofistikated lagi. Kemudiannya pula dalam era kini apabila wujud kuasa tunggal dunia iaitu gabungan kuasa Amerika Syarikat dan Inggeris selepas kejatuhan empayar Kesatuan Soviet dalam penghujung abad ke-20, maka pola politik, ekonomi dan sosial dunia banyak pula dijalurkan oleh gabungan kuasa Hegemoni ini. 

Masyarakat Malaysia turut merasai bahang kerakusan fizikal, mental, moral dan spiritual tindakan kuasa Neo Kolonialisme tadi.

3. Kesinambungan nilai-nilai saikologikal feudalisme dalam masyarakat Melayu kini. Maksud saikologikal feudalisme di sini ialah wujudnya pemikiran dan jiwa masyarakat yang setia melulu kepada badan-badan, nilai-nilai dan personalit-personaliti tertentu. Kesetiaan demikian akan melahirkan ciri-ciri tertentu pula. Antaranya ialah sebagaimana berikut:

a. Membela yang salah dan menghukum yang benar.
b. Masyarakat yang terlalu mementingkan upacara (ceremonial) sehingga mengatasi sesuatu objektifnya.
c. Wang pemimpin dan wang badan atau negeri tidak ada garis pemisah yang jelas.
d. Wujud kepercayaan tahayul yang kuat dalam masyarakat.
e. Masyarakat yang mementingkan ciri-ciri kepahlawanan dan kekuatan lebih daripada keilmuan dan kebenaran.

Nilai-nilai ini berpokok-pangkal daripada masyarakat Melayu tradisional dahulu. Nilai-nilai ini juga mencengkam dan mengongkong pemikiran serta jiwa Melayu. Kewujudan nilai-nilai ini dalam masyarakat kini ialah dalam bentuk dan rupa yang baru. Kewujudan nilai-nilai ini turut pula mempolarisasi minda dan bentuk politik, ekonomi dan sosial bangsa. Pada penulis nilai-nilai ini turut menjajah pemikiran dan jiwa Melayu sehingga wujudnya ramai orang-orang Melayu yang masih belum merdeka pada erti kata yang sebenarnya.

Walaupun Malaya diisytihar merdeka dalam tahun 1957 dan Malaysia dalam tahun 1963, akan tetapi justeru kerana wujudnya pula pola dan nilai-nilai tadi berterusan dalam masyarakat dan negara, maka hakikat kemerdekaan masyarakat kita yang sebenarnya masih boleh dipersoalkan lagi. 

Berasaskan kepada pola-pola dan nilai-nilai di atas timbul persoalan di sini siapa sebenarnya tokoh-tokoh yang berjuang kearah memerangi pola-pola dan nilai-nilai negatif demikian? 

Pendudukan kuasa penjajah penjajah di Malaysia mulai tahun 1511 memberi impak kepada wujudnya ciri-ciri kebangkitan masyarakat Melayu menentang kuasa kolonial tadi. Kebangkitan-kebangkitan ini mengalami kesinambungannya, semenjak kedatangan kuasa penjajah Portugis(1511) sehingga tahun 1957. Secara ringkasnya dapat kita lihat siri siri kebangkitan ini sebagaimana berikut.

1. Kewujudan empayar Johor/Riau/Lingga sebagai suatu menifestasi penentangan masyarakat Melayu terhadap pendudukan kuasa Portugis di Melaka. Kewujudan empayar ini bermula pada awal abad ke-16 dan berakhir dalam awal abad ke-19 dengan termeterainya Perjanjian London (1824).

2. Kebangkitan tokoh-tokoh tradisional Melayu Dol Said (Tok Naning) di Melaka, Mat Kilau/Datuk Bahaman/Tok Gajah di Pahang, Datuk Maharajalela/Puntung di Perak dalam abad ke-19 dan Haji Hassan (Tok Janggut) di Kelantan serta Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu dalam awal abad ke-20.

3. Kebangkitan ulama-ulama reformis yang dikenali dengan panggilan ulama-ulama kaum muda Sheikh Tahir Jalaluddin, Syed Sheikh Alhadi, Haji Abas Taha dalam awal abad ke-20 sehingga perang dunia ke II dengan fokus perjuangannya ke arah mengislahkan pemikiran Islam masyarakat Melayu dengan terselit juga semangat anti-kolonial dan cogan kata kearah Pan Islamisme.

4. Kebangkitan aliran Nasionalisme progresif di bawah pimpinan Ibrahim Yaakub, Dr Burhanuddin Al Helmy, Ahmad Boestaman dan Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) dengan perjuangan ke arah kemerdekaan Malaya dalam lingkungan Indonesia Raya dan secara maksudnya juga perjuangan mereka kearah menentang nilai-nilai saikologikal feudalisme dan sikap kapitalisma serta oportunisma rakus. Perjuangan mereka ini dapat dilihat melalui badan-badan Politik Kesatuan Melayu Muda (KMM), Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), KRIS, Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS).

5. Kebangkitan puak-puak progresif dalam nisbah konservatisma anak-anak aristokrat feudal bermula dengan penentangan menentang Malayan Union di bawah pimpinan Dato Onn Jaafar, Dato Abdul Razak Hussin, Capt Hussein Onn dan kemudian membawa kepada wujudnya UMNO dan seterusnya Independence Malayan Party (IMP) dan parti negara (Dato Abdul Razak kekal dalam UMNO kecuali Dato Onn dan Capt Hussein Onn menyertai IMP dan parti negara seterusnya).

Siri-siri kebangkitan ini kalaulah dilihat dalam konteks Worldview perjuangan dalam era masing-masing menampakkan wujudnya kepelbagaian warna. Kewujudan kepelbagaian Worldview inilah yang perlu dianalisa berasaskan kepada pola-pola dan nilai-nilai yang penulis rencanakan pada bahagian awal tadi. 

Pendekatan demikian diambil demi untuk membuat suatu kesimpulan siapa sebenarnya pejuang-pejuang kemerdekaan tulen. Sifat ketulenan inilah yang sepatutnya menjadi inspirasi dan ikutan kepada generasi kini sebagai suatu paradigma untuk mentransformasikan bangsa Malaysia tercinta dalam bidang politik, ekonomi dan sosial demi menghadapi realiti persoalan masyarakat kini dan gelombang arus globalisasi yang penuh dengan pancaroba ini.

Generasi kini yang Patriotis semestinya merasa bangga dengan wujudnya kebangkitan empayar Johor/Riau/Lingga mulai awal abad ke-16 hingga awal abad ke-19 sebagai suatu menifestasi penentangan umat Melayu terhadap pendudukan kuasa Portugis dan kuasa Belanda di Melaka. 

Kebangkitan ini perlu dihormati oleh kita kini justeru kerana ia menunjukkan bahawa nenek moyang kita ada mempunyai maruah dalam konteks tidak rela bangsa dan negara tercinta dijajah dan dizalimi oleh kuasa-kuasa penjajah. Pun demikian kalaulah dinilai dari segi matlamat perjuangannya ke arah mengristorasikan kewujudan sistem pemerintahan raja yang mutlak, maka banyak pula persoalan yang boleh ditimbulkan dalam konteks kini.

Sudah tentu sistem demikian adalah 'outdated' dan bercanggah dengan prinsip hak asasi manusia dan prinsip keadilan itu sendiri. Demikian juga kalau kita lihat kepada matlamat pokok perjuangan kebangkitan Tok Naning di Melaka, Dato Bahaman/Mat Kilau/Tok Gajah di Pahang, Dato Maharajalela/Puntung di Perak, Tok Janggut di Kelantan dan Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu dalam penentangan mereka menentang kuasa kolonial Inggeris di negeri masing-masing. 

Mungkin kebangkitan Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu ada sedikit kelainannya dari segi matlamat. Kelainan ini wujud justeru kerana jiwa ulamanya. Akan tetapi persoalannya apakah Worldview dan persepsi politik Islamnya sejajar dengan Worldview politik Islam yang didokong oleh Rasulullah SAW dan para sahabat dahulu.

Penulis berpendapat masih banyak kekaburan kalaulah Worldview perjuangan Islam Haji Abdul Rahman Limbong hendak dianalisakan dari sudut itu. Apa yang dapat dilihat ciri-ciri jiwa kebangkitan tokoh-tokoh pejuang bangsa dalam abad ke-19 dan awal abad ke-20 dalam menentang kuasa kolonial Inggeris masih di selang-seli dengan penghayatan mereka terhadap nilai-nilai saikologikal feudalisme dan dokongan mereka terhadap sistem pemerintahan raja yang mutlak. Perjuangan demikian walaupun cocok dalam konteks budaya Melayu pada masa itu akan tetapi meleset kalaulah dilihat dalam konteks arus globalisasi kini.

Kebangkitan ulama-ulama kaum muda dalam awal abad ke-20 sehingga perang Jepun dengan ada juga menyentuh semangat anti-kolonial dan kearah gagasan Pan Islamisme memang enak didengar. Akan tetapi pada penulis dalam konteks periodisasi tadi dimana semangat nasionalisme sedang membara di seluruh alam Islami dengan persoalan negara bangsa masing-masing apakah gagasan ini mampu direalisasikan? 

Lebih-lebih lagi pula umat Islam pada keseluruhannya pada masa itu tidak bersatu dan berpecah-belah atas persoalan berlainan mazhab dan persoalan-persoalan khilafiyah agama yang banyak.

Era mulai tahun 1930 sehingga tahun 1957 di Malaysia adalah penuh dengan pergolakan anti-kolonial dan persoalan persepsi politik dan ideologikal. Dalam era inilah muncul tokoh-tokoh nasionalis yang datang daripada pelbagai latar belakang keluarga dan pendidikan yang kemudian mencorak Worldview perjuangan masing-masing.

Pada umumnya kebangkitan semangat nasionalisme Melayu dalam era ini kalaulah hendak dikategorikan dalam konteks ideologikal terbahagi kepada 3 kumpulan besar.

1. Kumpulan nasionalisme kiri (istilah kiri ini ialah istilah penjajah) yang progresif.
2. Kumpulan nasionalisme kanan (istilah kanan ini istilah penjajah).
3. Kumpulan madrasah dan pondok yang dipimpin oleh ulama-ulama.

Kumpulan Nasionalisme Kiri yang progresif

Kumpulan ini mewujudkan parti politik KMM (1937), KRIS, PKMM, API dan AWAS (kesemuanya dalam tahun 1940-an). Gabungan PKMM, API dan AWAS mewujudkan PUTERA (juga dalam tahun 1940-an)

Kumpulan Nasionalisme Kanan

Wujud parti politik sebagai wadah perjuangan kearah kemerdekaan dikalangan kumpulan ini berlaku selepas suatu kebangkitan perhimpunan Melayu yang dipimpin oleh Dato Onn Jaafar menentang Malayan Union kuasa Inggeris dalam tahun 1946. 

Parti ini yang dikenali dengan nama UMNO pada umumnya dipimpin oleh anak-anak aristocrat feudal. Kemudian UMNO berpecah dan ujud IMP dan seterusnya parti negara. 

Dalam UMNO juga muncul PAS dalam tahun 1952 apabila keluar kumpulan agama dalam parti itu yang dipimpin oleh Haji Ahmad Fuad (parti PAS ini kemudiannya dipimpin oleh Dr Hj Abas sekejap dan seterusnya anggota parti itu mempelawa Dr Burhanuddin Al Helmi untuk memimpin parti ini. Di bawah pimpinan Dr Burhanuddin Al Helmi parti ini lebih dekat kepada kumpulan Nasionalisme Kiri yang progresif).

Kumpulan Madrasah dan Pondok

Kumpulan ini menubuhkan sebuah parti politik dalam tahun 1947 bernama Hizbul Muslimin di bawah pimpinan Haji Abu Bakar Al Baqir. Kebangkitan kumpulan ini disokong oleh Dr Burhanuddin Al Helmi akan tetapi ditentang oleh Dato Onn Jaafar pemimpin Nasionalisme Kanan. Usia parti ini singkat kerana diharamkan oleh kuasa Inggeris.

Semangat Nasionalisme dan tuntutan kearah kemerdekaan negara bangsa di Asia sedang membara dan memuncak dalam tahun-tahun 1940-an. 

Hakikat ini dapat dilihat di India, Burma, Indonesia dan Filipina. Kebangkitan-kebangkitan ini membimbangkan dan menakutkan kuasa-kuasa penjajah.
Di Malaysia dalam konteks kepartian KMM lah yang memulakan perjuangan kearah kemerdekaan Malaya dalam lingkungan Indonesia Raya. Selepas pengharaman KMM oleh kuasa Inggeris, semangat ini diteruskan oleh PKMM, API dan AWAS. 

Kebangkitan dan keberanian pemimpin-pemimpin nasionalisme kiri ini patut diberi pujian yang tinggi kerana dalam era ini ramai anak-anak Melayu terutama anak-anak aristokrat feudal yang menduduki dalam birokrasi kuasa Inggeris masih lena dan selesa berada di bawah kuasa penjajah itu. 

Mereka juga tidak yakin Melaya mampu merdeka. Kebangkitan puak-puak Nasionalisme Kiri yang progresif ini dipimpin oleh Ibrahim Yaakub, Dr Burhanuddin Al Helmi, Ahmad Boestaman dan Ishak Hj Muhammad (Pak Sako).
Kebangkitan mereka ini merisaukan kuasa Inggeris. Lebih-lebih lagi apabila melihat personaliti dan Worldview tokoh-tokoh pejuang ini yang sangat tidak cocok dengan jiwa Hegemonisma mereka. 

Menyedari bahawa adalah suatu yang mustahil untuk menyekat arus Nasionalisma Melayu dalam tahap ini dan melihat pula ujudnya kebangkitan anak-anak Aristokrat feudal yang progresif yang pula mendapat latar belakang pendidikan di London seperti Dato Onn Jaafar mulai tahun 1946, maka kuasa Inggeris di Malaya berusaha mengatur strategi baru ke arah mewujudkan senario yang berbeza dalam arus kebangkitan nasionalisme Melayu seterusnya.
Strategi ini dibuat dengan percubaan kuasa Inggeris mengenepikan tokoh-tokoh kiri yang progresif ini melalui pengharaman parti-parti nasionalisme kiri dan penangkapan pemimpin-pemimpin mereka. Pemimpin-pemimpin ini pula diberi imej kiri dan pro-komunis melalui media massa kuasa Inggeris yang menguasai penyebaran berita dan maklumat pada masa itu.

Strategi untuk mewujudkan senario baru dalam kebangkitan nasionalisme Melayu ini lebih dirasakan oleh kuasa Inggeris khususnya selepas tahun 1950, apabila disedari bahawa mahu tidak mahu Malaya mesti diberikan kemerdekaan dalam waktu-waktu yang terdekat. Kesedaran ini timbul di kalangan pihak kolonial Inggeris apabila melihat pula kepada faktor-faktor berikut.

1. Kejayaan masyarakat Melayu bersatu baik kumpulan kanan, kumpulan kiri dan kumpulan madrasah dan pondok untuk menentang gagasan Malayan Union Inggeris dalam tahun 1946 di bawah pimpinan Dato Onn Jaafar.

2. Kejayaan negara-negara di Asia mencapai kemerdekaan dalam tahun-tahun 1940-an lebih-lebih lagi Indonesia, benar-benar membuka mata ramai orang-orang Melayu ke arah menuntut kemerdekaan.

3. Perjuangan anggota PKM dalam hutan menentang kuasa Inggeris mulai tahun 1948 menampakkan ada juga sokongan anak-anak Melayu. Tidak mustahil sekiranya kuasa Inggeris menangguh-nangguh dan melambatkan pemberian kemerdekaan kepada Malaya maka ramai lagi orang-orang Melayu yang kecewa dan tidak sabar dengan kuasa Inggeris akan memberi sokongan pula kepada gerakan-gerakan nasionalisme kiri yang progresif dan gerakan PKM yang bergerak secara militan di dalam hutan (PKM pada masa itu sudah pun mendapat sokongan ramai orang-orang Cina).

Gabungan faktor-faktor di atas dan dengan faktor kemunculan anak Aristokrat feudal Dato Onn Jaafar yang mempunyai latar belakang pendidikan Barat dengan Worldview beliau yang banyak cocok dengan orientasi Barat serta pula mempunyai daya karisma yang tersendiri (daya karisma beliau ini terbukti dengan kebangkitan masyarakat Melayu di bawah seruan dan pimpinannya menentang gagasan Malayan Union). 

Kuasa Inggeris mulai nampak pola nasionalisme kiri yang menguasai arus nasionalisme Melayu dalam tahun 1940-an boleh dicorak ke arah dominasi kumpulan nasionalisme kanan seterusnya. Pada kuasa Inggeris pola nasionalisme demikian penting dibentuk apabila kuasa kolonial ini mulai awal tahun 1950 an menyedari bahawa kuasanya tidak dapat bertahan lama lagi di Malaya.
Mahu tidak mahu kuasanya terpaksa menyerahkan kemerdekaan kepada Malaya dalam masa yang terdekat. Pada kuasa Inggeris Malaya di bawah pimpinan tokoh nasionalisme kanan seperti Dato Onn Jaafar selepas merdeka kelak lebih menjamin keselamatan ekonomi mereka berbanding dengan Melaya merdeka di bawah kuasa kepimpinan puak-puak kiri yang progresif. 

Justeru kerana itu kuasa Inggeris mengatur strategi ke arah pembinaaan imej pemimpin-pemimpin nasionalisme kanan seperti Dato Onn Jaafar. Strategi Inggeris ini membantu kearah memberi laluan yang lebih mudah kepada pemimpin nasionalisme kanan untuk menguasai dan mendominasi perjalanan nasionalisme Melayu bermula selepas perlaksanaan perlembagaan persekutuan tahun 1948.

Oleh kerana hasrat Dato Onn Jaafar dalam awal tahun 1950-an hendak menjadikan UMNO parti yang benar-benar bersifat nasional dengan membuka keahliannya kepada yang bukan Melayu yang sudah pun menjadi rakyat pada waktu itu dan oleh kerana hasrat itu ditolak oleh ahli-ahli UMNO, maka UMNO seterusnya mengalami perubahan kepimpinan. 

Perubahan berlaku apabila Dato Onn Jaafar berkeras dengan hasratnya itu dan seterusnya meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO. Kekosongan jawataan yang tertinggi dalam UMNO ini kemudiannya diisi oleh Tunku Abdul Rahman Putra melalui proses perlembagaan parti. (Dato Onn keluar UMNO dan menubuhkan IMP dan seterusnya Parti Negara). 

Perubahan pucuk pimpinan parti UMNO dan kemenangan besar UMNO dalam pilihan raya tahun 1952 (pilihanraya Majlis Bandaran Kuala Lumpur) dan dalam tahun 1955 (pilihan raya umum Malaya) mengalah parti Dato Onn dalam gabungan semangat ketiga-tiga bangsa Melayu, Cina dan India dalam konteks yang berbeza daripada IMP iaitu gabungan 'Inter Party' UMNO/MCA/MIC tidak juga membimbangkan kuasa kolonial Inggeris. Ketidak bimbangan ini juga ujud di kalangan kuasa kolonial Inggeris apabila melihat latar belakang keluarga pendidikan dan Worldview umum Tunku Abdul Rahman tidaklah jauh sangat berbeza daripada Dato Onn. 

Kebijaksanaan Tunku seterusnya dari segi diplomasi dan perundingan dengan kuasa Inggeris menyebabkan Malaya (1957) dan seterusnya Malaysia (1963) mencapai kemerdekaan.

Memang kuasa kolonial Inggeris licik dalam mengatur strategi politik kearah menjaga kepentingannya di tanah jajahan ini. Cara dan pendekatannya dalam soal ini tidak ubah seperti memberi makanan yang enak-enak kepada musuhnya. Akan tetapi disebalik makanan tadi ada pula racun arseniknya yang begitu berbisa. Racun arsenik ini pula boleh membunuh manusia secara perlahan-lahan tanpa disedari oleh bangsa kita. Demikianlah nasib bangsa kita di bawah penjajahan Inggeris, disamping ada menerima elemen elemen positif daripada kuasa penjajah itu secara kebetulan, banyak pula menerima elemen elemen yang memusnah dan mematikan jiwa Melayu.

Elemen elemen yang negatif ini masih wujud dalam masyarakat kita sehingga kini. Kelicikan kuasa Inggeris ini sangat berbeza dengan pendekatan dan strategi kuasa kolonial Belanda dan kuasa hegemonisme komunis Soviet Union.
Hakikat ini dapat dilihat dengan pendekatan dan strategi kuasa Inggeris di negeri-negeri Melayu dan pendekatan serta strategi kuasa Belanda dalam skima penjajahannya di Indonesia. 

Pendekatan kuasa Inggeris untuk mencapai cita-cita penjajahannya di negeri negeri Melayu Bersekutu dan di negeri negeri Melayu tidak Berasekutu ialah dengan menjajah dan memerintah melalui meresap masuk kuasa itu dalam sistem politik Melayu dengan mengekalkan institusi kesultanan di peringkat tertinggi dari segi De Juri. Manakala realiti kuasa politik dan pentadbiran di sebalik De Juri institusi kesultanan dan pembesar-pembesar Melayu diambil oleh penasihat Inggeris atau 'British Resident' atas nama dan istilah sebagai penasihat. 

Sedangkan pada realiti atau De Factonya apa yang di nasihati oleh penasihat Inggeris atau 'British Resident' mesti diikuti oleh sultan dan pembesar-pembesar Melayu. Sebaliknya pula kuasa kolonial Belanda menjajah dan memerintah Indonesia melalui mengubah sistem politik dan nilai-nilai pribumi. Oleh itu kita lihat di negeri-negeri Melayu bersekutu (Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Perak) dan di negeri-negeri Melayu tidak bersekutu (Johor, Kedah, Kelantan, Terengganu) dalam abad ke-19 dan awal abad ke-20 tidak timbul penentangan masyarakat Melayu tempatan secara besar-besaran dan merata. 

Sebaliknya pula kita lihat rakyat di Jawa dan di Sumatera menentang kuasa Belanda secara nisbinya jauh lebih hebat dan terbuka berbanding dengan apa yang berlaku di negeri-negeri Melayu bersekutu dan di negeri-negeri Melayu tidak bersekutu. Kuasa Inggeris juga licik dalam melaga-lagakan di kalangan orang-orang Melayu dan orang-orang bukan Melayu demi untuk mengelakkan perpaduan dan kerjasama di antara orang-orang Melayu dengan orang-orang bukan Melayu terutamanya orang-orang Cina. Dengan cara taktik demikian kuasa kolonial Inggeris akan sentiasa menjadi perlu dan relevan untuk terus memerintah di Malaya secara De Fakto.

Latar belakang sejarah permainan sepak terajang politik kuasa Inggeris secara halus inilah yang perlu di analisa sebelum kita membuat suatu kesimpulan tentang sesuatu kebangkitan dalam perkembangan nasionalisme di Malaysia. Permainan jahat politik kuasa kolonial Inggeris ini difahami oleh puak-puak nasionalisme kiri yang progresif di Malaysia. 

Lebih-lebih lagi pemimpin dan anggota PKM. Justeru kerana itu pemimpin-pemimpin nasionalisme kiri di Malaysia dan pengikut-pengikut mereka menganggap kepimpinan nasionalisme kanan Malaysia termasuk pegawai-pegawai kerajaan dan anggota-anggota polis pada awal tahun 1950-an sebagai alat dan boneka kepada kuasa penjajah.

Atas dasar inilah ujudnya serangan dan pembakaran balai polis bukit kepong dalam tahun 1950 oleh anggota PKM dengan disertai orang-orang Melayu kiri termasuk Mat Indra. Penglibatan Mat Indra dalam peristiwa yang menyedihkan ini adalah ekoran daripada manifestasi kemarahan yang amat sangat orang-orang Melayu kiri kepada kuasa Inggeris. Kemasukan tokoh-tokoh Melayu seperti Musa Ahmad, Abdullah CD, Rashid Maidin, Samsiah Fakeh dan lain-lain kedalam hutan bersama-sama dengan kepimpinan dan anggota PKM untuk menentang kolonial Inggeris adalah ekoran daripada terlalu benci dan marah dengan kejahatan kuasa kolonial itu.

Akan tetapi malangnya kemarahan mereka terhadap kuasa Inggeris telah dapat digunakan dan dimanipulasi oleh PKM yang pula didalangi oleh gerakan komunis antarabangsa yang juga mempunyai sifat hegemoni. 

Justeru kerana itu kalaulah dianalisa dalam perspektif yang adil peristiwa serangan bukit kepong yang melibatkan Mat Indra di satu pihak dengan Kopral Jamil dan lain-lain anggota polis di pihak lain boleh diibaratkan seperti pelanduk lurus bendul (dalam perspektif politik percaturan kuasa kuasa besar dunia antara blok liberal barat dengan blok kesatuan Soviet) berperang sama pelanduk lurus bendul dan kemudian kedua-duanya mati di tengah-tengah dan di celah-celah kedua-dua gajah yang hegemonis yang sedang bertarung dengan menggunakan pelanduk-pelanduk di pihak masing-masing tadi (Kopral Jamil dan ramai polis-polis serta isteri isteri dan anak mati dalam peristiwa serangan komunis di bukit kepong itu. 

Mat Indra salah seorang yang mengepalai serangan itu juga dalam masa yang lain turut mati dibunuh oleh tentera gurka bagi pihak kuasa kolonial Inggeris).
Inilah salah satu episod tragis dan menyedihkan dalam perkembangan arus kebangkitan nasionalisme Malaysia. Episod ini gagal dianalisa secara adil oleh ramai ahli-ahli politik dan lebih menyedihkan lagi ialah beberapa tokoh-tokoh sejarah dan ahli akademik menara gading Malaysia. 

Penulis berpendapat kegagalan orang-orang yang arif dalam menganalisa peristiwa serangan ini ialah kerana faktor dalaman masing-masing yang pada hakikatnya hanya Allah SWT dan diri mereka sahaja yang tahu.

Pejuang-pejuang nasionalisme seperti Dr Burhanuddin Helmi, Ahmad Boestaman, Ishak Hj Muhammad dan rakan-rakan kiri yang progresif yang tidak menyertai PKM nampaknya bebas daripada kedua-dua kuasa hegemoni tadi. Mereka juga marah kepada nilai-nilai saikologikal feudalisme yang mengongkong 'Worldview Melayu'. 

Demikian juga mereka tidak boleh kompromi dengan kapitalis rakus dan oportunis rakus. Sebaliknya pula pemimpin-pemimpin nasionalisme kanan seperti Dato Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman Putra, dan Dato Abdul Razak Hussen dan Kapten Hussein Onn walaupun mereka berjuang untuk kemerdekaan tanah air daripada kuasa kolonial Inggeris akan tetapi dari segi perspektif dan Worldview mereka banyak terikat dengan nilai-nilai Barat.

Walaupun pemimpim-pemimpin nasionalisme kiri yang progresif tidak bersetuju dengan nilai-nilai saikologikal feudalisme akan tetapi atas dasar memahami latar belakang sejarah dan budaya Melayu dalam konteks Malaysia mereka tetap mendokong konsep raja berpelembagaan. Dalam isu ini mereka tidak berbeza dengan perjuangan pemimpim nasionalis kanan.

Satu perkara yang perlu juga disentuh di sini ialah tentang perjuangan pemimpim-pemimpin nasionalisme kiri dalam penghujung tahun 1930-an dan tahun tahun 1940-an kearah kemerdekaan Melaya dalam linkungan Indonesia Raya. 

Mungkin ramai dikalangan generasi kini merasa aneh dengan perjuangan demikian, akan tetapi kalaulah dilihat kepada sejarah dan semangat jiwa Melayu Islam nusantara, perjuangan demikian ada asas sejarahnya. Sejarah telah memberitahu kepada kita bahawa perpecahan Melaya dengan Indonesia dari segi geopolitiknya ialah bermula dengan perpecahan empayar Johor/Riau/Lingga, akibat permainan dan percaturan politik dan ekonomi di antara Inggeris dan Belanda melalui perjanjian London (1824).

Pun demikian menyedari tentang realiti politik di Malaya yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan menyedari susahnya Malaya untuk mencapai kemerdekaan nasional tanpa kerjasama dengan bangsa-bangsa lain maka PUTERA (gabungan PKMM, API dan AWAS) semasa di bawah pimpinan Dr Burhanuddin Helmi mengorak langkah kearah berunding dengan AMCJA dibawah pimpinan Tan Cheng Lock. 

Usaha ini merupakan satu fenomena menarik dalam konteks sejarah kerjasama bangsa Melayu dengan bangsa yang lain kearah menuntut kemerdekaan di Malaya. Kerjasama demikian merupakan langkah pertama dalam sejarah parti-parti politik di Malaysia kearah bergabung dan bekerjasama di antara parti Melayu dengan parti bukan Melayu. 

Namun demikian oleh kerana langkah demikian diusahakan oleh kumpulan nasionalisme kiri Melayu, maka ia tidak mendapat sokongan moral dan kerjasama dari kuasa Inggeris.

Berdasarkan pada fakta-fakta sejarah, perjuangan parti-parti politik yang dipimpin oleh tokoh-tokoh nasionalisme kiri yang progresif, secara kronologinya dapat dilihat bahawa tokoh-tokoh nasionalisme inilah yang sebenarnya mula meletakkan tapak perjuangan ke arah kemerdekaan nasional, sehingga kemudian timbul kesedaran di kalangan orang-orang Melayu seterusnya kearah cita-cita murni ini. 

Pemimpin-pemimpin nasionalisme kiri yang progresif ini juga menampakkan gigih berjuang walaupun terpaksa meringkuk dalam penjara kolonial Inggeris. Malangnya pola sejarah nasionalisme Melayu yang didominasi oleh parti-parti haluan kiri dalam penghujung tahun 1930-an dan tahun tahun 1940-an telah berubah kepada penguasaan tokoh-tokoh anak-anak aristokrat feudal dalam tahun-tahun 1950-an justeru kerana permainan politik kuasa kolonial Inggeris sebagaimana yang sudah dinyatakan.

Ironinya tokoh-tokoh nasionalisme kiri yang jauh lebih awal berjuang dan bersedia bergadai nyawa dan kepentingan keluarga menentang kuasa kolonial Inggeris demi untuk kemerdekaan tanah air, seterusnya mengalami tragedi yang sama pula selepas Malaya dan Malaysia mencapai kemerdekaan. Fakta sejarah telah menunjukkan mereka iaitu Dr Burhanuddin Al Helmi, Ahmad Boestaman dan Ishak Hj Muhammad selepas Malaya dan seterusnya Malaysia mencapai kemerdekaan sekali lagi pula disumbat dalam penjara oleh kerajaan perikatan pimpinan Tunku Abdul Rahman di bawah akta ISA dengan alasan-alasan yang boleh dipersoalkan. 

Antara yang paling menderita ialah Dr Burhanuddin Al Helmi yang justeru kerana ditahan dalam keadaan kesihatan yang kurang baik menyebabkan penyakitnya itu bertambah kronik semasa dalam penjara, sehingga kemudiannya beliau dihantar oleh kerajaan ke Australia untuk berubat.

Selepas beliau dibebaskan daripada tahanan ISA dan selepas pulang ketanah air dari Australia beliau kemudiannya menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Nyata pemimpin-pemimpin nasionalisme kiri yang meletak asas perjuangan ke arah kemerdekaan tanah air telah mengalami tribulasi demi tribulasi samada sebelum negara merdeka atau pun selepas negara merdeka. 

Inilah hadiah penjara yang dianugerahkan oleh negara merdeka Malaysia kepada mereka selepas begitu lama mereka dan keluarga masing-masing sengsara berjuang di bawah kolonial Inggeris. Demikianlah satu lagi episod kesengsaraan dan kepedihan yang terdapat dalam arus perkembangan nasionalisme Malaysia.

Demi kerana prinsip kebenaran sejarah, penulis tidak boleh menafikan juga peranan tokoh-tokoh nasionalisme kanan seperti Dato Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman Putra, Dato Abdul Razak Hussen, Dr Ismail Abdul Rahman dan Kapten Hussein Onn dalam memberi sumbangan kearah kemerdekaan Malaya tahun 1957 dan kemerdekaan Malaysia tahun 1963. 

Kalaulah Dato Onn Jaafar memain peranan besar dalam memimpin masyarakat Melayu menentang gagasan Malayan Union dan Tunku Abdul Rahman pula berjaya memperolehi kemerdekaan negara, Tun Abdul Razak Hussen pula telah menunjukkan suatu khidmat cemerlang zaman era perdana menterinya dalam mengisi kemerdekaan dengan mewujudkan falsafah negara iaitu rukun negara dan dasar nasional negara seperti dasar luar negara yang neutral, dasar ekonomi baru, dasar pendidikan nasional dan dasar pembangunan luar bandar. 

Walaupun ada kelemahan-kelemahan tertentu dalam zaman pemerintahannya akan tetapi sejarah tidak boleh menafikan beliau bersama-sama dengan rakan-rakan politiknya baik tokoh-tokoh kanan maupun tokoh-tokoh kiri, benar-benar meletakkan asas pembangunan negara kearah kecemerlangan. 

Sayang usaha gigih dan baik Tun Abdul Razak Hussein ini kemudiannya selepas era pengharaman UMNO dan perlaksanaan dasar pengswastaan negara, kita telah mengalami keadaan yang penuh haru biru dan krisis dalam bidang politik, ekonomi, sosial, kehakiman, pendidikan, moral dan lain-lain.

Penutup

Fakta-fakta sejarah di atas boleh memandu kita dalam menentukan hala tuju jiwa merdeka negara seterusnya. Kebangkitan tokoh-tokoh nasionalisme kiri progresif dalam tahap awal cuba meletakkan platfom nasionalisme di atas prinsip keadilan politik, ekonomi dan sosial yang berpaksi kepada pembelaan terhadap kaum Marhaen seperti kaum buruh, nelayan, petani dan mereka yang berpendapatan kecil. 

Nasionalisme mereka menuntut jiwa keislaman yang tinggi dan tidak boleh berkompromi dengan kaum kapitalis rakus, oportunis-oportunis rakus, nilai-nilai saikologikal feudalisme dan jiwa serta pemikiran 'The Captive Mind'. 

Dalam konteks masyarakat Malaysia nasionalisme mereka bersifat “Multiracialist” dan dalam konteks politik antarabangsa sikap dan dasar mereka ialah bebas daripada dibelenggu oleh kuasa besar liberal Barat dan kearah negara Malaya dan Malaysia yang neutral di antara kuasa blok liberal barat dengan kuasa komunis Kesatuan Soviet dan tanah besar China. 

Penulis berpendapat platfom nasionalisme demikian sepatutnya menjadi sumber inspirasi kepada kebangkitan jiwa merdeka kini. 

Adalah menjadi kesilapan yang besar apabila peranan tokoh-tokoh nasionalisme kiri progresif seperti Dr Burhanuddin Al Helmi, Ahmad Boestaman, Ishak Hj Muhammad dan rakan-rakan seperjuangan di 'Blackout' oleh media massa kerajaan kini. 

Sebagai tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan tulen yang mengasaskan kebangkitan nasionalisme di Malaysia. Idealisme dan peranan tokoh-tokoh ini sepatutnya di review kembali dalam penulisan sejarah semoga generasi kini boleh mengambil iktibar daripada falsafah politik mereka. 

Lebih-lebih lagi tokoh Dr Burhanuddin selaku seorang ulama yang reformis, sufi, bersifat progresif, nasionalis dan multirasialis adalah suatu tokoh unik yang hebat. 

Idealisme politik dan agamanya sekiranya dimanafaatkan mungkin boleh membantu kearah penyelesaian masalah dan dilemma dalam banyak hal yang dicetuskan oleh tokoh-tokoh Islam kini dalam apa yang dikatakan era kebangkitan Islam dalam konteks realiti politik, ekonomi dan sosial dunia kini.

Penulis adalah bekas pensyarah Jabatan Sejarah dan Ketua Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan UKM

No comments:

Post a Comment