Search Everything

Tuesday, 29 November 2011

'Aliran keras Umno berubah perlahan-lahan'

Hafiz Yatim & Abdul Rahim Sabri 4:21PM Nov 29, 2011 - Malaysiakini
http://www.malaysiakini.com/news/182712

Sekalipun Umno mentadbir negara ini sejak merdeka, ahli Majlis Tertingginya Datuk Saifuddin Abdullah mengakui parti itu masih  dikuasai ahli yang dianggap sebagai hardliner atau beraliran keras.

Bagaimanapun, katanya, kumpulan itu perlahan-lahan semakin mengecil dengan kehadiran golongan yang percaya pada tranformasi dan mahu membuat perubahan berdasarkan kehendak pucuk pimpinan parti.

Jumlah kedua-dua kumpulan itu kini masih lagi kecil, dan beliau berharap untuk melihat bilangannya bertambah.

"Sokongan terhadap reform (pembaharuan) - atau istilah yang Datuk Seri Najib (Razak) transformasi - saya lihat ia berlaku dalam tiga keadaan.

"Pertama, memang ada kumpulan dalam Umno yang percaya kepada tranformasi, dan mereka akan bercakap tentang tranformasi itu, sama ada Datuk Seri Najib bercakap ataupun tidak. Yang ini angkanya sangat kecil.

"Kedua, ada yang menyokong tranformasi, bila Datuk Seri Najib cakap. Bila Datuk Seri Najib cakap, dia akan sokong. Kalau Datuk Seri Najib tak cakap, dia tak sokong. Dan dia pun tak cakap.

"Yang ketiga dan lebih besar ialah (mereka) yang selesa dengan keadaan semasa dan merasakan apa yang Umno lakukan sudah memadai," kata Saifuddin ketika ditanya tentang cabaran pembaharuan Umno, yang terpaksa berdepan "orang lama" dan kumpulan "beraliran keras".

Beliau berkata kumpulan ketiga ini cuma mahu parti itu membuat penambahbaikan dari sudut strategi dan taktik untuk menang dalam pilihan raya.

Ketika diwawancara Malaysiakini sempena perhimpunan agung Umno, Saifuddin juga berkata jumlah kumpulan ketiga - yang beraliran keras - adalah kumpulan terbesar berbanding yang lain.

"Walaupun ada dalam kumpulan ketiga ini, bila Datuk Seri Najib cakap berubah menjadi nombor dua; tetapi yang saya fikir Umno perlukan adalah tambah kumpulan nombor pertama dan juga tambah kumpulan dua pun tak mengapa.

"Saya fikir nombor satu itu bertambah empat kali ganda agaknya dan nombor dua itu jadi majoriti, pun cukup (untuk membuat tranformasi)," katanya.

'Bulatan kedua'

Ditanya bagaimana Umno berdepan dengan kumpulan beraliran keras itu, Saifuddin menggesa keseluruhan ahli Umno memahami bahawa rakyat sudah berubah, bukan sahaja dalam politik dan pilihan raya, tetapi dengan cara yang lebih besar.

"Saya lihat dalam sejarah manusia, ada waktu-waktu tertentu, perubahan itu berlaku atas faktor-faktor yang tertentu, misalnya apa yang berlaku di negara Arab. Dia kalau nak berubah, dia tak boleh tahan," tegasnya.

Dengan memberi contoh, pada tahun 1970-an perubahan berlaku di negara Islam termasuk Malaysia, India, Pakistan, Bangladesh, Indonesia dan Selatan Thailand susulan fenomena kebangkitan Islam yang dianggapnya sebagai 'bulatan pertama'.

"Sekarang ini berlaku lagi, saya panggilkannya sebagai 'bulatan kedua'. Saya fikir kita sebagai negara merdeka sudah lama, walaupun rakyat Malaysia ada bermacam-macam, ada kelas menengah, ada golongan intelektual dan sebagainya.

"Dalam bulatan kedua ini, berlakunya realiti baru ini... Ada media baru. Dalam bulatan pertama media baru itu ada, tetapi hanya digunakan sebagai alat komunikasi.

"Walaupun saya ada Facebook dan Twitter dan saya sharing online (berkongsi online), tetapi anak saya, buat tutorial (secara) online. Itu sudah lain dah tu, maknanya pada dia adalah cara hidup," katanya sambil menegaskan media baru membuka luas pandangan rakyat berbanding bulatan pertama.

PLUS sesuai jadi mangkin kempen galakan membaca

Zahiruddin Zabidi 9:55AM Nov 21, 2011 - Malaysiakini
http://www.malaysiakini.com/letters/181920

Bermula dari Tol Jalan Duta hingga ke tol terakhir PLUS di negeri Kedah, terdapat kira-kira lebih daripada 10 buah lokasi “Rehat dan Rawat” sama ada berkapasiti besar dan sederhana.

Biasanya lokasi yang menjadi pilihan para pengguna lebuhraya PLUS adalah RnR Sungai Buloh, RnR Rawang, RnR Tapah dan RnR Bukit Semanggol dan banyak lagi.

Banyak kemudahan yang disediakan seperti gerai makan yang bersih dan cantik dekorasinya, surau yang sangat selesa serta gerai-gerai menjual buah-buahan yang begitu menarik perhatian para penyinggah.

Fasilitis dan perkhidmatan kelas A sentiasa disediakan oleh pihak PLUS sentiasa wajar dipuji dan sepadan dengan bayaran tol yang dikenakan.

Di samping itu ada juga beberapa buah gerai yang menjual buku contohnya di RnR Sungai Buloh menuju ke Kuala Lumpur. Menurut pemiliknya, sambutan kepada belian buku-buku agama agak memberangsangkan.

Selain daripada itu, tiada lagi kedai buku yang benar-benar menjual buku selain beberapa hentian sahaja.

Perjalanan yang panjang di atas Lebuhraya PLUS yang memakan masa berjam-jam sewajarnya dimanfaat oleh para penumpang seperti penumpang bas, kereta khususnya mereka yang berkeluarga dan mempunyai anak-anak kecil. Kerana masa yang begitu lama dalam perjalanan wajar dimanfaatkan dengan membaca.

Ibu bapa wajar mengambil kesempatan dalam perjalanan ini bagi berinteraksi dan memujuk anak-anak mereka dengan membaca.

Dengan membelikan kepada mereka bahan-bahan bacaan yang menarik dan cantik selain daripada mempunyai maklumat dan ilmu yang sesuai dengan peringkat umur. Mewujudkan persaingan sesama anak-anak juga memberikan kesan yang positif dalam membaca.

Saya melihat pihak pengurusan PLUS sangat berpeluang memainkan peranan yang sangat strategik di sini.

Ia boleh menjadi satu daripada sumbangan sosial yang sangat besar kepada masyarakat sekali gus mengangkat nama PLUS sebagai sebuah organisasi yang sangat caknakan rakyat bukan hanya tahu mengaut keuntungan semata-mata.

Bayangkan, di setiap hentian RnR punya sebuah kedai buku dengan buku-buku yang terpilih dan terbaik dikelola sendiri oleh PLUS, uniknya kedai ini adalah diskaun tinggi yang diberikan kerana motif penjualan buku-buku ini bukan untuk keuntungan namun ia bersifat sumbangan masyarakat dalam jangka masa yang berterusan.

Kedai-kedai ini mungkin boleh menjual dengan harga modal sahaja sebagaimana biasanya penerbit akan memberikan diskaun paliing tidak 35 - 50 peratus bagi para pengedar dan penjual yang mengambil dalam kuantiti yang besar.

Pastinya ibu bapa akan lebih bersemangat bagi membeli buku-buku paling tidak sebuah seorang kepada anak-anak mereka dan diri sendiri.

Sekali lagi, sifat suka membaca itu harus dibudayakan dan ianya perlu diperjuangkan oleh semua pihak. Masyarakat membaca adalah masyarakat yang menguasai dunia dan hanya dengan membaca manusia itu dapat memastikan ketamadunan agama dan bangsanya terus gemilang.

Di sini, masyarakat masa depan akan berterima kasih kepada PLUS atas inisiatif ini.

Memali: Sejarah berdarah dan ISA

Amin Iskandar 11:38AM Nov 19, 2011 - Malaysiakini
http://www.malaysiakini.com/columns/181806

Genap 26 tahun lalu, terjadi satu peristiwa penting dalam sejarah politik negara. Sejarah berdarah menyayat hati dan tidak mungkin akan dilupakan.

Pada ketika itu, Malaysia dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri manakala Tun Musa Hitam adalah timbalannya dan menteri hal ehwal dalam negeri.

Peristiwa yang dikenali sebagai "Tragedi Memali" ini berlaku di Kampung Memali yang terletak di bawah mukim Siong, Baling, Kedah.

Daerah Baling merupakan satu daerah yang istimewa kerana banyak peristiwa bersejarah berlaku di situ, seperti Rundingan Baling pada 1955 antara kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Parti Komunis Malaya (PKM).

Demonstrasi Baling pada 1974 ekoran isu kemiskinan juga berlangsung di tempat sama.

As-Syahid Ibrahim Libya dan 13 orang pengikutnya terkorban di tangan anggota keselamatan lengkap dengan pelbagai senjata termasuk senjata automatik dan kereta kebal.

Diberitakan lebih 3,500 anggota keselamatan dikerah oleh kerajaan Malaysia untuk berhadapan dengan Ibrahim Libya dan pengikutnya serta penduduk Kampung Memali.

Pada ketika itu, kerajaan Malaysia menjustifikasikan pembunuhan beramai-ramai itu dengan alasan Ibrahim Libya atau nama sebenarnya Ibrahim bin Mahmud membawa ajaran sesat.

Kemudian pertuduhan diubah - as-syahid dikatakan membawa fahaman subversif yang berniat untuk mencetuskan huru-hara.

Siapa Ibrahim Libya?

Almarhum Ibrahim dilahirkan pada tahun 1944 ketika Malaya masih lagi dalam genggaman Jepun di Kampung Carok Putih berhampiran dengan Kampung Memali.

Mendapat pendidikan awal tentang Islam dari ayahnya sendiri Tuan Haji Mahmud - seorang guru agama yang disegani di kampungnya.

Ibrahim kemudian melanjutkan pengajian Islamnya di India, Mesir dan Libya. Selepas tamat pengajian, beliau pulang ke tanah air pada awal 1970-an.

Selepas pulang, beliau berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebagai pendakwah di Pusat Islam. Populariti beliau meningkat naik oleh kerana syarahan-syarahan agama yang diberikan dan seringkali diundang untuk berbicara mengenai Islam di RTM1.

Beliau kemudiannya berhenti dari JPM dan bekerja sebagai pegawai dakwah dengan kerajaan Libya. Selepas tamat berkhidmat dengan kerajaan Libya, beliau pulang ke Kampung Memali.

Madrasah didirikan untuk Ibrahim memulakan kelas pengajian agama. Bermulalah kariernya sebagai pendakwah bebas. Kepetahannya berceramah menyebabkan beliau sering diundang berceramah di sekitar negeri Kedah.

Ibrahim Libya kemudiannya menyertai PAS dan pernah bertanding dalam pilihan raya tahun 1978 di kawasan Bayu yang terletak dalam daerah Baling.

Beliau mendapat undi sebanyak 5,081 manakala calon BN mendapat 6,169 undi. Dalam pilihan raya tahun 1982 beliau turut bertanding di kawasan yang sama tetapi kalah.

'Dosa' Ibrahim Libya

Ibrahim Libya menjadi ancaman kepada "pihak-pihak tertentu" yang risau dengan popularitinya. Jika dibiarkan terus berleluasa, beliau akan menjadi ancaman yang lebih besar.

Menurut Senator Yusuf Husin yang penulis temui berberapa tahun lalu, selepas menyertai PAS, Ibrahim Libya menjadi ancaman kepada pemerintah oleh kerana gesaannya dalam setiap ceramah agar perubahan dilakukan terhadap kepimpinan negara.

Inilah puncanya sehingga akhirnya Ibrahim Libya dikehendaki oleh kerajaan Malaysia untuk ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Jika tidak menggunakan ISA, sudah pasti Ibrahim Libya akan memberikan kerjasama dengan syarat beliau dibicarakan di mahkamah.

Oleh kerana ISA menjadi pilihan kerajaan, beliau tidak mahu menyerah dan tunduk kepada undang-undang yang dianggap sebagai kejam, zalim dan tidak berperikemanusiaan.

Pengikut-pengikut dan anak-anak murid Ibrahim Libya juga tidak mahu beliau menyerah diri dan bertindak mempertahankannya.

Kampung Memali di kepung oleh ribuan anggota keselamatan untuk menangkap Ibrahim Libya dan pengikutnya.

Pada 19 November 1985, akhirnya Ibrahim Libya dan 13 orang pengikutnya gugur ke bumi sebagai syuhada selepas bertempur dengan anggota keselamatan.
Orang-orang kampung yang hidup ditahan oleh kerajaan Malaysia di bawah ISA termasuklah Yusuf Husin.

Simbol perlawanan terhadap ISA

Ibrahim Libya dan 13 orang lagi yang gugur di Kampung Memali merupakan simbol perlawanan terhebat terhadap ISA.

Seperti yang dikatakan oleh Editor Harakah, Ahmad Lutfi Othman dalam tulisannya sempena ulang tahun ke 25 tragedi Memali tahun lalu:
"Beliau (baca: Ibrahim Libya) menentang akta zalim itu bukan dengan memorandum atau demonstrasi, tetapi mempertaruhkan nyawanya. Dan ini merupakan satu rekod 'termahal' dalam usaha menyanggah ISA."

Benar apa yang dikatakan oleh Ahmad Lutfi itu, tindakan Ibrahim Libya dan para pengikutnya mengorbankan nyawa kerana tidak sujud kepada ISA adalah satu tindakan yang mulia.

Para syuhada Memali sebagai adalah simbol perlawanan terhebat rakyat Malaysia terhadap ISA.

Jika satu hari nanti ISA dimansuhkan, muzium bagi memperingati para syuhada Memali harus dibina agar generasi akan datang tahu bahawa ISA bukan sahaja telah merampas kebebasan ribuan orang tanpa dibicarakan di mahkamah, ISA juga telah menyebabkan nyawa melayang.

Secara peribadi, saya menganggap Tragedi Memali ini masih belum selesai.

Suruhanjaya Kebenaran dan Perdamaian atau Truth and Reconciliation Comission harus ditubuhkan untuk menyiasat kembali peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Memali yang berlaku pada tahun 1985 itu.

Hasil penyiasatan haruslah didedah kepada orang ramai dan pesalah-pesalah yang terlibat secara langsung dalam kezaliman ini harus diheret ke mahkamah untuk dibicarakan.

Selepas 26 tahun sejarah berdarah ini berlalu, tragedi Memali terus dikenang. Kampung tempat gugurnya 14 orang syuhada itu menerima pelawat yang ramai sepanjang tahun untuk melihat sendiri saki baki sejarah tragedi Memali yang masih tertinggal.

Begitulah hebatnya Ibrahim Libya dan 13 orang pengikutnya. Salut kepada para syuhada. Salut kerana melawan ISA. Salut kepada penduduk Kampung Memali yang berani.


Amin Iskandar menerima anugerah zamalah Intelektual Awam Asia (API) 2009-10 untuk menjalankan kajian tentang sejarah pemantauan pilihan raya di Filipina dan Indonesia. Memblog di http://www.aminiskandar.blogspot.com/ dan berkicau di www.twitter.com/aminiskandar.

'Martabat semula raja berperlembagaan'

Salhan K Ahmad 3:04PM Nov 25, 2011 - Malaysiakini
http://www.malaysiakini.com/news/182404

Ketua Pemuda PKR (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin menuntut supaya institusi raja berperlembagaan dimartabatkan semula agar tidak dipergunakan sebagai alat politik oleh parti pemerintah.

Dalam ucapan dasarnya di kongres pergerakan itu di Johor Bahru hari ini, Shamsul berkata institusi beraja harus dilihat berwibawa dan mengambil peranan aktif untuk menyekat tindakan melampau pemerintah.

Katanya lagi, raja tidak seharusnya sekadar menjadi simbol tetapi turut mengambil peranan untuk memberi perlindungan kepada golongan lemah dan membela golongan tertindas.

"Institusi raja-raja harus mampu menjadi pengimbang dan penegak ketertiban dengan mengambil peranan aktif menyekat sebarang tindakan melampau permerintah atau sebarang cubaan melibatkan istana untuk kepuasan serakah politik.

"Raja cuba diheret sama bagi memperkuatkan agenda perkauman. Tindakan ini telah mencemar fungsi dan peranan raja untuk menjadi penegak keadilan.

"Padahal, menjalankan keadilan itu merupakan tugas asasi raja sebagaimana terkandung di dalam sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong," katanya lagi kepada lebih 2,000 perwakilan di kongres itu.

Shamsul Iskandar membangkitkan isu yang sering dianggap tabu itu dalam kongres kelapan PKR yang kali pertama diadakan di Johor Bahru, sejajar dengan usaha PKR untuk meluaskan pengaruh mereka di negeri yang menjadi kubu kuat Umno itu.

Shamsul juga berkata, soal reformasi institusi beraja tidak sepatutnya menjadi isu tabu kerana soal membincangkannya bukanlah bermakna tidak mengasihi raja.

"Hormat dan kasih kita itu membuatkan kita percaya bahawa perlu ada reformasi agar raja berperlembagaan dapat memainkan peranan yang benar-benar berkesan di negara ini," katanya.

Tambahnya, raja dan Yang di-Pertuan Agong perlu disediakan dengan ilmu dan pengalaman sebagai prasyarat sebelum diangkat ke jawatan berkenaan, memandangkan raja perlu memenuhi tuntutan jawatan berkenaan sebagai ketua agama Islam.

Katanya lagi, raja sepatutnya mampu menjadi simbol ketuanan rakyat dengan mengambil peranan sebagai "penaung kepada semua rakyat dan tidak terhad kepada orang Melayu."

PKR AMK: PM untuk Melayu 'cabaran mendahului zaman'

Salhan K Ahmad 4:26PM Nov 27, 2011- Malaysiakini
http://www.malaysiakini.com/news/182568

Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar Md Akin berkata beliau berasa kagum kerana ketua umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim memahami cabarannya kepada Umno supaya mememinda perlembagaan untuk membolehkan hanya orang Melayu menjadi perdana menteri.

Jelasnya, cabaran yang "mendahului zaman" itu hanyalah "alat retorik" untuk mencabar Umno, seperti tindakan seorang strategis muda China yang mengasaskan Dinasti Jin, Sima  Yi.

Katanya, pandangan Sima Yi ketika itu bukan sahaja menimbulkan kemarahan pemimpin, malah turut menimbulkan kemarahan maharaja.

"Dalam kes saya, ramai tak faham. Itu 'rhetorical device' untuk cabar Umno. Saya kagum sebab Anwar sahaja yang faham sebab dia baca (kisah sejarah berkenaan) dan faham," kata Shamsul dalam ucapan penggulungannya di Kongres Nasional PKR hari ini.

Kongres yang berlangsung di Pulai, Johor itu diuar-uarkan sebagai usaha PKR untuk menembusi kawasan kubu kuat Umno di negeri berkenaan.

Di sebalik isu yang ditimbulkannya itu, cabaran untuk PKR waktu ini adalah untuk meningkatkan undi Melayu kerana parti itu perlu bertanding di kawasan berkenaan dan mendapatkan sokongan masyakat itu, kata Shamsul lagi.

Bagaimanapun, PKR tetap memperjuangkan politik yang tidak berasaskan perkauman dengan menampilkan Anwar sebagai "bapa orang Melayu, bapa orang India dan bapa orang Cina."

"(PKR) kena cari jalan betul yang komprehensif untuk pastikan sokongan semua kaum pada tahap maksimum, untuk bubar kerajaan (pusat) dan bukan semata-mata menjadi pembangkang," katanya lagi.

Isu yang ditimbulkannya ketika menyampaikan ucapan dasar di kongres sayap parti itu kelmarin mencetus kontroversi sehinggalah dijelaskan oleh Anwar semalam.

Tuesday, 22 November 2011

Harimau 'ngap' Garuda

2011/11/22 - Berita Harian

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Harimau_ngap_Garuda/Article 

  • Foto

SKUAD bola sepak gah memenangi 'ibu segala pingat', malam tadi apabila kesebelasan Harimau Muda tampil garang mempertahankan mahkota kejuaraan buat kali kedua berturut-turut menewaskan tuan rumah, Indonesia 4-3 menerusi penentuan penalti selepas terikat 1-1 sehingga masa tambahan.

Sorakan dan ejekan lebih 100,000 penyokong Garuda Muda jelas gagal menyekat impian besar Ong Kim Swee dan anak didiknya yang hadir berbekal mental kuat mengatasi sorak gempita di Stadium Gelora Bung Karno untuk memaksa lawan menggigit jari terlepas pingat emas paling bernilai di Sukan SEA di laman sendiri.

Kebetulan, kali terakhir Malaysia berjaya mempertahankan gelaran bola sepak secara berturut-turut adalah di Jakarta pada 1979 ketika menewaskan Indonesia 1-0 hasil jaringan Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari.

Kemenangan itu membantu kontinjen negara mengutip keseluruhan 59 emas malam tadi selepas skuad berbasikal trek menyumbang empat dan satu daripada renang berirama.

 


Syabas Malaysia!

Utusan Malaysia - 22 November 2011
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm


Pemain-Pemain Malaysia meraikan kejayaan memenangi pingat emas acara bola sepak Sukan SEA XXVI selepas menewaskan Indonesia 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, malam tadi. – Bernama



JAKARTA - Tiada apa yang lebih sempurna daripada merangkul pingat emas Sukan SEA; ‘ibu’ kepada segala pingat sebagai penutup tirai temasya kali ke XXVI buat kontinjen Malaysia.

Setelah berjuang habis-habisan di Stadium Gelora Bung Karno untuk lebih dua jam, skuad Harimau Muda kebanggaan kita memakbulkan harapan setiap rakyat Malaysia yang menyaksikan kelibat mereka di kaca televisyen malam tadi.
Tidak mengapa kita ketinggalan pada awal permainan. 

Wira-wira kita tidak mengalah, sebaliknya mereka bangkit dengan segera untuk menyamakan kedudukan dan seterusnya mengawal permainan, sekali gus membuatkan kira-kira 100,000 penyokong fanatik tuan rumah terdiam.

Bermula dari saat itu, perlawanan berlangsung agak seimbang menyaksikan kedua-dua pasukan buntu mencari gol pada waktu sebenar permainan, malah 30 minit tambahan pun tidak berkesudahan.

Setiap kali penjaga gol sensasi kita, Khairul Fahmi Che Mat diperlukan, dia tidak pernah mengecewakan dan semalam dia membuktikan keupayaannya sekali lagi, komitmen yang sering kali ditunjukkannya apabila dengan tenang menyelamatkan sepakan penalti Ferdinan Sinaga.

Dan ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar; salah seorang anggota skuad yang menjuarai temasya Vientianne dua tahun lalu melaksanakan tugasnya untuk mempertahankan pingat emas buat kali pertama sejak 1979 yang mana ketika itu turut dilakar di Jakarta.

Tangisan para penyokong Laskar Garuda adalah difahami. Bukan saja tewas di bumi sendiri, malah sudah dua dekad tidak mengecapi kejayaan sejak mereka menang di Manila 1991.

Indonesia mungkin telah meraih 170 pingat emas (setakat pukul 12 tengah malam semalam dan jumlah itu dijangka terus bertambah pada hari terakhir hari ini), namun terlepas pingat emas bola sepak sudah tentu sesuatu yang mendukacitakan.

Andai mampu merangkul 200 emas sekali pun, luka mereka tidak akan terubat
Bagi kontinjen negara pula, sasaran baru 60 pingat emas yang diletakkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dua hari lalu sepatutnya dalam jangkauan jika petinju kita, Muhamad Farkhan Mohd. Harun mampu meraih pingat emas ke-59 kita.

Malangnya, dia ditumbangkan secara kontroversi oleh peninju tuan rumah, Alex Tatontos di Palembang.

Terdahulu Malaysia, dipimpin Fatehah Mustapa, membuktikan kejaguhannya dalam arena berbasikal trek yang tiada tolok bandingnya dengan menambah empat pingat emas di Velodrom Ramawangun. Begitu juga dengan gadis- gadis kolam renang kita yang menyapu bersih kesemua lima emas dipertandingkan dalam sukan renang berirama di Pusat Akuatik Kompleks Jakabaring.

Kontinjen negara dijangka tidak akan menambah pungutan pingat emas untuk menggenapkan angka 60 kerana hanya tinggal sukan paragliding yang bukan merupakan sukan harapan pada hari terakhir temasya .

Ia sudah lebih daripada memadai, syabas diucapkan!

Harimau Muda pertahankan emas Sukan SEA



2:15AM Nov 22, 2011 - Malaysiakini
http://www.malaysiakini.com/news/182016

Malaysia mempertahankan pingat emas acara bola sepak Sukan SEA ke-26 selepas menundukkan Indonesia 5-4 melalui sepakan penalti setelah terikat 1-1 pada perlawanan penuh 90 minit.

Perlawanan berlangsung di Stadium Utama Gelora Bung Karno di Jakarta malam tadi.

Dengan itu Malaysia mempertahankan pingat emas dalam acara bola sepak Sukan SEA.

NONEGol yang memberi kemenangan kepada Malaysia dilakukan ketua pasukan Baddrol Bakhtiar selepas kedudukan terikat 4-4 sebelum itu.

Pemain tuan rumah Ferdinan Sinaga gagal menyumbat gol untuk menewaskan penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat.

Kekalahan ini memusnahkan harapan skuad Indonesia kendalian Rahmad Darmawan untuk meraih pingat emas sejak 20 tahun lalu di mana kali terakhir Indonesia memperolehi emas adalah pada 1991.

Beraksi di hadapan lebih 100,000 lautan merah putih, Malaysia terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan gol lawan seawal minit keempat menerusi tandukan pemain pertahanan, Gunawan Dwi Cahayo.

Ia berpunca daripada sepakan sudut di sebelah kiri gawang negara yang diambil oleh pemain tengah Octovianus Maniani sebelum Gunawan mudah menanduk masuk bola menewaskan penjaga gawang negara, Khairul Fahmi Che Mat.

Gol tersebut menyaksikan penyokong tuan rumah bersorak girang dengan jaringan pembukaan itu.

Walaupun tertekan dengan jaringan awal tersebut, anak didik Ong Kim Swee jelas tidak mudah mengalah dan melajukan rentak dengan mengatur beberapa serangan menerusi gandingan Baddrol Bakhtiar, Ahmad Fakri Saarani dan A Thamil Arasu, namun tagihan aksi negara masih belum panas.

Pada minit ke-16, skuad negara dikejutkan dengan jaringan kedua Indonesia namun pengadil dari Jepun, Tojo Minoru menafikan jaringan Titus Bonai yang dianggap 'offside'.

Barisan pertahanan yang dilihat longgar memudahkan Octovianus Maniani melorongkan bola kepada Titus, pemain kelahiran Papua New Guinea itu.

Kesungguhan Malaysia dapat dilihat apabila banyak peluang negara terhidang.
NONEMalah kesempatan terbaik Malaysia untuk membolosi gawang lawan muncul pada minit ke-19 tetapi sepakan deras Mohd Irfan Fazail berjaya dibaca penjaga gol Indonesia, Kurnia Meiga.

Aksi trio penyerang sensasi tuan rumah Octovianus, Patrich Wanggai dan Titus sering kali cuba menguji penjaga gawang Malaysia menerusi percubaan jarak jauh dan gerakan serang balas dan Khairul Fahmi nyata lebih bekerja keras pada malam tadi.

Asraruddin Putra Omar berjaya memecah kebuntuan penyamaan gol pada minit ke-33 menerusi tandukannya yang mudah membolosi gawang, lawan hasil hantaran cantik daripada Baddrol di luar kotak penalti.

Terikat seri 1-1 pada separuh masa pertama, kedua-dua pasukan menggandakan asakan untuk mencari gol kemenangan.

Malaysia tampak mendominasi perlawanan separuh masa kedua bila berjaya mengekang asakan lawan dan menghentikan hantaran jauh mereka menyebabkan penyerang lawan tidak mendapat bantuan apabila berada di hadapan pintu gol Malaysia.

Benteng Malaysia yang dikendalikan oleh Khairul Fahmi dan pemain pertahanan perlu diberi pujian kerana berjaya mengekang asakan lawan dan ketika barisan penyerang Malaysia ketandusan idea, Kim Swee memasukkan Muhd Nazmi Faiz Mansor bagi menggantikan K  Gurusamy pada minit ke-77 dan Yong Kuong Yong menggantikan Thamil Arasu selang tiga minit kemudian.

Ini ternyata merupakan percaturan yang baik di mana Muhd Nazmi dan Yong bersama Mohd Irfan serta Baddrol banyak mengucar-kacirkan barisan belakang Indonesia yang dilihat kian goyang.

Baddrol yang juga merupakan perancang utama skuad negara hampir menambah gol hasil sepakan percuma kaki kanannya namun percubaan tersebut sedikit tersasar hingga menggusarkan Kurnia.

Permainan yang terikat seri 1-1 dipaksa berlarutan kepada 120 minit masa tambahan memaksa kedua-dua pasukan rancak menyerang balas namun masih tiada penyudah yang berkesan oleh kedua-dua negara hinggalah terpaksa ditentukan dengan sepakan penalti yang akhirnya memihak kepada negara.

Octovianus dipilih sebagai pemain terbaik dalam perlawana malam ini.

Sementara itu penentuan pingat gangsa menyaksikan Myanmar membelasah naib juara edisi 2009, Vietnam 4-1 pada aksi sebelum perlawanan Malaysia-Indonesia di stadium yang sama.

- Bernama

Friday, 18 November 2011

Perlunya parti mewakili kaum pekerja di Malaysia

Gonjeng Merlimau 3:19PM Nov 5, 2011 - Malaysiakini
http://www.malaysiakini.com/letters/180605

Sebenarnya isu mengenai penindasan majikan terhadap pekerja serta kenaikkan gaji yang terlalu rendah membuatkan kami seperti dianak tiri kan oleh kerajaan. Kami merasakan seolah-olah kerajaan hanya mementingkan sektor awam dari kami sektor swasta.

Kerajaan hanya mementingkan Cuepacs yang mewakili sektor awam dari MTUC yang mewakili sektor swasta. Kemuncaknya dari ketidakadillan itu satu rapat umum yang diadakan oleh MTUC yang mewakili sektor swasta kerana menentang akta pekerja 1955 yang diluluskan oleh parlimen.

Akta itu menurut pandangan kami merugikan kami sektor swasta. Malaysia akan mejadi negara maju 2020 tetapi terlalu banyak jurang-jurang pemisah diantara sektor awam dan sektor swasta terutama kenaikkan gaji. Kerajaan terlalu memanjakan Cuepacs sehinggakan segala kemahuan Cuepacs dituruti.

Sepatutnya kerajaan harus peka dalam peka dalam soal ini. Sesebuah negara maju sepatut tiada jurang pemisah di antara sektor awam dan swasta.

Di sini cuba perhatikan belanjawan 2012 adakah menguntungkan sektor swasta. Kenaikkan gaji sektor awam menyebabkan harga makanan meningkat apa akan jadi sektor swasta yang gajinya rendah maka di sini timbul kos sara hidup yang tinggi maka bolehlah diiibaratkan kais pagi makan pagi kais petang makan petang.

Kemiskinan akan timbul dan di sini saya akan bertanya inikah sebuah negara maju?  Oleh itu saya yang mewakili pekerja-pekerja sektor swasta mencadangkan perlunya sebuah parti politik yang mewakili kami sektor swasta seperti di negara barat terutama di Britan adanya Parti Buruh yang mewakili golongan pekerja.

Dengan adanya parti yang mewakili kami pekerja- pekerja sektor swasta segala luahan kami dapat didengar di parlimen dan ketidak adillan majikan dapat di dengari di parlimen dan akta-akta yang merugikan kami sektor swasta dapat dipinda serta jurang-jurang pemisah dapat dihindari.

Politik Islam Ennahda lawan model PAS

Shamsul Muda 6:28AM Nov 18, 2011 - Malaysiakini
http://www.malaysiakini.com/news/181693

ULASAN Bagi ramai umat Islam negara ini yang terbiasa dengan model politik Islam PAS, penampilan parti berteraskan Islam di Tunisia, Ennahda (An-Nahdhah), di pentas politik negara itu, tentu begitu mengejutkan dan sangat janggal.

Pada 22 Januari lalu – 8 hari selepas Ben Ali digulingkan - pemimpin utama Ennahda, Syaikh Rashid Ghannoushi memberikan kenyataan kepada akhbar Jerman, Der Spiegel, bahawa partinya tidak berusaha melaksanakan syariat Islam jika berpeluang memerintah Tunisia.

Objektif partinya jelas, iaitu membebaskan Tunisia daripada sistem satu parti, dalam apa jua bentuk.

Jika sikap dingin Ennahda terhadap perlaksanaan syariat Islam ini diteropong melalui jendela politik Islam versi PAS, ia tidak boleh diterima langsung - sebuah parti Islam mengumumkan tidak berusaha melaksanakan syariat Islam dalam negara yang dikuasainya!

Dalam persekitaran politik Islam versi PAS, tindakan sesebuah parti Islam tidak menyebut sebarang sikap berhubung perlaksanaan syariat Islam masih boleh diterima, walaupun dengan berat hati.

Ennahda bukan mengumumkan tidak akan melaksanakan hudud – juzuk kecil dalam syariat Islam – sebaliknya tidak akan berusaha melaksanakan syariat Islam itu sendiri!

Andainya pengumuman serupa – disebabkan pertimbangan tertentu yang wajar – dilakukan oleh parti Islam di Malaysia, barangkali ramai ahli akan meninggalkan parti. Paling kurang pun, parti akan dituduh mengorbankan perjuangan menegakkan agama Allah dan mencari keredaan-Nya, semata-mata kerana kuasa politik dan 'keredaan' pengundi (terutamanya bukan Islam)!

Jika pengumuman seperti itu dibuat oleh parti yang bukan dari aliran Islam, akidah pemimpinnya akan segera diragui, dan dengan pantas dilabel menolak hukum Allah serta lebih mengutamakan sokongan pengundi.

Negara sekular

Sejajar dengan pengumuman itu, persoalan berhubung perlaksanaan syariat Islam, termasuk hudud dan qisas, tidak didendangkan langsung oleh Ennahda dalam kempen pilihan raya Tunisia pada 23 Oktober lalu.

Ennahda yang diasaskan pada tahun 1981 terus membuat 'kejutan', apabila mengumumkan akan berusaha membentuk masyarakat sekular pelbagai parti yang menghormati hak-hak manusia!

Dalam iklim politik Malaysia, sikap Ennahda yang berterus terang sangat ‘melampau’ dan pasti mencetuskan perdebatan hukum yang serius.

Tindakan sebegitu sangat sensitif bagi umat Islam di sini, sehinggakan Umno sendiri, yang disifatkan PAS sebagai bukan parti Islam, tidak berani dan tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Umno sebaliknya bersungguh-sungguh mendakwa dirinya juga memperjuangkan perlaksanaan syariat Islam, dan Malaysia merupakan negara Islam.

Rentetan pendirian politik itu, pengasas Ennahda Rachid Ghannouchi mengambil sikap liberal atau sangat ‘longgar’ terhadap aktiviti penjualan dan penggunaan arak di Tunisia.

Beliau mengumumkan, partinya tidak akan menutup tempat penjualan arak dan tidak akan mengganggu budaya memakai bikini di pantai negara itu.

Sikap yang sama ditunjukkan dalam layanan parti Islam itu terhadap wanita. Mereka membenarkan wanita Islam tidak bertudung menjadi calonnya, disamping menjamin mempertahankan hak wanita Tunisia memakai apa jua pakaian yang dikehendaki.

‘Jenama Islam’

Pendirian politik dan sikap liberal Ennahda berhubung persoalan yang dinyatakan membentuk kesimpulan, iaitu parti Islam itu berusaha menyembunyikan ciri-ciri keislaman dalam tindak tanduk dan pendiriannya, demi maslahah yang lebih besar, iaitu menerajui negara.

Ennahda juga cuba menampilkan dirinya dalam bentuk sebuah parti yang dinamik, sederhana dan toleran.

Ini berbeza dengan PAS yang dilihat berusaha ke arah sebaliknya, iaitu menampilkan ciri-ciri keislaman dan ‘jenama Islam’.

Namun, perkembangan semasa memperlihatkan PAS semakin mendekati Ennahda apabila ‘menutup’ ciri-ciri keislamannya zahir dan ketara, iaitu penubuhan negara Islam, yang kini dengan idea negara berkebajikan.

Bezanya, Ennahda tidak mengambil masa untuk sampai kepada kedudukannya sekarang. Parti itu tampil dengan watak sebegitu sejak awal, sejak kejatuhan regim Ben Ali lagi.

Tidak seperti PAS - parti yang satu-satunya menamakan dirinya parti Islam itu  mengambil masa puluhan tahun untuk sampai kepada titik itu, iaitu titik pasca pilihan raya umum 2008, yang menyaksikannya tampil dengan karakter sederhana dan dinamik.

PAS mengambil masa puluhan tahun untuk menyolek dirinya. Dipercayai, banyak pihak, termasuk profesional dalam PAS, mengimpikan agar PAS tampil seperti bentuknya sekarang, paling tidak, sejak berjaya menawan Kelantan pada tahun 1990.

Tentunya ada pihak yang mengandaikan, jika parti itu bermula awal,
mungkin kedudukannya di pentas politik tanah air masa kini lebih baik dari sekarang atau sudah pun menguasai Putrajaya!

Ijtihad politik

Mengambil kira kedudukan Ghannoushi selaku seorang pemikir Islam yang banyak menghasilkan karya bermutu, menjadi pembantu setiausaha agung Kesatuan Ulama Islam Sedunia yang dipengerusikan oleh Yusuf Qaradhawi, pendirian Ennahda perlu dinilai sebagai ijtihad politik yang perlu dialu-alukan.

Ennahda melihat dirinya berhadapan dengan kewajipan membentuk negara yang adil serta kewajipan melaksanakan hukum hakam Islam berhubung arak, hudud dan penguatkuasaan etika Islam.

Pada pertimbangan Ennahda, kedua-dua kewajipan ini tidak dapat dilaksanakan serentak. Pelaksanaan hukum hakam berkaitan arak, hudud dan etika Islam dijangka akan mencetuskan tentangan rakyat, seterusnya mungkin mengakibatkan mereka gagal menerajui negara.

Sehubungan itu, Ennahda memilih memberi keutamaan kepada kewajipan membentuk negara yang adil, biarpun dengan menangguhkan buat sementara kewajipan lain.

Pendirian ini diambil kerana parti itu melihat ‘menerajui negara’ maslahahnya lebih besar. Ia akan memberi peluang kepada parti itu
melaksanakan agenda yang lebih menyeluruh kesannya, iaitu keadilan sosial, kebebasan undang-undang, perlaksanaan syura, ketelusan pentadbiran dan demokrasi. Pada hakikatnya ia tuntutan Islam yang besar dan utama.

Selain berpedomankan Fekah Awlawiyyat (fekah keutamaan) dalam membuat pendirian politik, Ennahda juga berpandukan kepada konsep tadarruj (beransur-ansur) dalam perlaksanaan Islam.

Realitinya, konsep ini kekal absah, bukannya 'tamat tempoh’ sebaik sahaja hukum hakam Islam lengkap dan sempurna, sejurus selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW.

Dalam ruangan yang terbatas ini, tindakan dan kenyataan Khalifah Umar Abdul Aziz sudah memadai untuk mengesahkan keabsahan konsep ini sehingga ke hari ini.

Umar, pada zaman pemerintahannya, pernah menangguhkan usaha-usaha penghapusan saki baki penyelewengan dan kezaliman pemerintah sebelum beliau (Lihat al-Qaradhawi dalam kitab al-Sahwah al-Islamiyyah Baina al-Juhud Wa al-Tatarruf, hlm 106).

Penangguhan ini bagaimanapun dibantah anak beliau Abdul Malik. Beliau berkata kepada Umar:

“Mengapa ayahanda tidak melaksanakan perkara-perkara ini (menghapuskan saki baki penyelewengan dan kezaliman)? Demi Allah, anakanda tidak peduli, sekalipun anakanda dan ayahanda menggelegak dalam kawah kerana menegakkan kebenaran!”

Khalifah Umar, selaku seorang yang faqih (memahami agama) membantah kenyataan anaknya itu dengan berkata:

“Jangan tergesa-gesa anakanda, kerana sesungguhnya Allah mencela arak dalam dua ayat (yang diturunkan pada waktu berbeza, tetapi tidak mengharamkannya) dan (hanya) mengharamkannya dalam ayat yang ketiga (yang diturunkan selepas itu).

“Sesungguhnya, ayahanda takut untuk mewajibkan al-haq (perkara yang benar) ke atas manusia sekali gus, bimbang mereka akan menolaknya sekali gus. (Jika demikian) akan wujud dari kalangan kita orang yang (menyebabkan) fitnah.” (Lihat Al-Syatibi dalam Al-Muwafaqat, jilid 2,
hlm 93-94).

Fekah Awlawiyyat

Realiti di Tunisia mungkin berbeza dengan negara ini. Tulisan ini tidak bermaksud memberi saranan kepada mana-mana pihak agar mengambil sikap politik yang sama dengan Ennahda.

Objektif tulisan ini ialah melambung persoalan Fekah Awlawiyyat agar menjadi pertimbangan dan perkiraan semua pihak, terutama gerakan Islam, dalam setiap tindak tanduk dan perdirian yang diambil.

Ya, mungkin suasana di Tunisia memerlukan Ennahda mengambil sikap yang begitu liberal terhadap perlaksanaan syariat Islam disebabkan latar belakang kehidupan rakyatnya yang dicengkam ‘sekularisme melampau’ sejak berdekad-dekad lamanya.

Namun, kita perlu berfikir panjang dan berhati-hati sebelum mengutarakan bahawa pendekatan, sikap dan pendirian politik yang serupa tidak sesuai di Malaysia, disebabkan perkembangan Islam yang pesat di negara ini dan kefahaman rakyatnya yang tinggi terhadap Islam.

Ini kerana, di sini terdapat fenomena yang memerlukan pertimbangan khusus, yang lebih ‘parah’ daripada ‘sekularisme melampau’ di Tunisia, iaitu kewujudan bukan Islam yang ramai dan menjadi penentu kepada kemenangan sesebuah parti dalam pilihan raya.

Jika realiti semasa Tunisia yang dilatari ‘sekularisme melampau’ dalam tempoh yang lama memerlukan Ennahda mengambil sikap sebegitu, bagaimana pula dengan realiti berteraskan kemajmukan agama dan kepercayaan seperti di Malaysia?

Mana-mana pihak yang menyakini politik tidak boleh dipisahkan daripada Islam dan percaya perjuangan menegakkan negara adalah tuntutan Islam, tidak perlulah tampil menyifatkan tindakan Ennahda sebagai mengorbankan prinsip perjuangan atau tuntutan agama demi kuasa politik.

Mereka tidak boleh berkata demikian kerana mereka juga yang melaung-laungkan bahawa perjuangan menegakkan negara dan memerintah negara adalah satu kewajipan dan tututan Islam.

Jika demikian, tindakan Ennahda itu termasuk dalam kategori mendahulukan kewajipan agama (menegakkan negara) yang dinilai lebih utama, dengan menangguhkan satu lagi kewajipan agama (perlaksanaan hudud dan penguatkuasaan etika Islam) yang dinilai sebaliknya.

Ia adalah berkaitan Fekah Awlawiyyat. Ia bukannya menggadai prinsip perjuangan demi kuasa!

Penulis adalah lepasan Fakulti Syariah dan Pengajian Islam, Universiti Mu’tah, Jordan. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkang pendirian rasmi sisang pengarang Malaysiakini.

Wednesday, 16 November 2011

Istana Negara lama ditutup secara rasmi

6:24PM Nov 15, 2011 - Malaysiakini
http://www.malaysiakini.com/news/181452

Apabila pintu masuk utama ke Istana Negara di Jalan Istana di sini dikunci pagi tadi, ia menandakan tempat bersemayam semua Yang di-Pertuan Agong sejak kemerdekaan negara itu, mengakhiri fungsinya secara rasmi hari ini.

Majlis penuh istiadat itu bermula 9 pagi dengan perarakan masuk anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) diiringi pasukan pancaragam pusat RAMD.

Kumpulan penurun bendera terdiri daripada 10 anggota RAMD kemudian menurunkan bendera peribadi Yang di-Pertuan Agong sambil diperdengarkan tiupan paluan akhir yang bertujuan memaklumkan bahawa Istana Negara akan berpindah ke Istana Negara di Jalan Duta.

Istiadat diteruskan dengan perarakan kumpulan penurun bendera bersama pasukan istiadat berkuda ke pintu masuk utama istana bagi menyerahkan bendera berkenaan kepada Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Tengku Farok Husin Tengku Abdul Jalil, mewakili pihak Istana Negara menandakan berakhirnya penugasan di Istana Negara.

Penyerahan bendera itu dilakukan oleh Pemangku Pegawai Memerintah Batalion Pertama RAMD Mejar Mohd Kadri Abu Bakar.

Sebagai simbol penutupan bangunan yang tersergam indah dan ditandai dua kubah emas itu, Tengku Farok Husin kemudiannya mengarahkan Bentara Istana Negara, Rosli Asri, mengunci pintu masuk utama istana menandakan segala tugas telah tamat di Istana Negara sebelum mengorak langkah ke Istana Negara Jalan Duta bagi istiadat menaikkan Bendera Peribadi Yang di-Pertuan Agong.

Kawalan itu dilaksanakan Batalion Pertama RAMD dan Skuadron Istiadat Berkuda berkekuatan seramai tiga pegawai, 69 anggota lain-lain pangkat dan 12 ekor kuda.

Antara kenamaan yang hadir menyaksikan istiadat penurunan bendera itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis Rasmi Negara Datuk Othman Mahmood, Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Lt Jen Datuk Raja Afandi Raja Mohd Nor dan Penolong Ketua Markas ATM Mej Jen Datuk Abdul Aziz Ibrahim.

Di Istana Negara Jalan Duta, istiadat menaikkan bendera bermula pada 10.25 pagi dengan penyerahan Bendera Peribadi Yang di-Pertuan Agong oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja kepada kumpulan penaik bendera bagi menandakan bermulanya penugasan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Istiadat menaikkan bendera di Istana Negara Jalan Duta dianggap unik kerana bendera itu dinaikkan secara automatik berbanding di Istana Negara "lama" yang dilakukan oleh anggota tentera.


Istana Negara telah berpindah dan mula beroperasi di kompleks baru di Jalan Duta secara berperingkat mulai 19 Oktober lalu manakala penugasan kepada anggota pengawal daripada ATM bermula hari ini.

Istana Negara lama di kawasan seluas 11.34 hektar asalnya adalah sebuah banglo dua tingkat yang dibina pada 1928 oleh jutawan tempatan, Chan Wing.

Kemudian banglo itu bertukar milik apabila kerajaan negeri Selangor membelinya dan selepas diubah suai ia dijadikan tempat bersemayam Sultan Selangor, Sultan Sir Hishamuddin Alam Shah.

Bangunan yang dijadikan sebagai istana kepada Sultan Selangor itu kemudian bertukar milik sekali lagi apabila Kerajaan Persekutuan membelinya dengan harga RM1.4 juta pada tahun 1957 untuk dijadikan tempat bersemayam Yang di-Pertuan Agong pertama, Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad, beberapa minggu sebelum pengisytiharan kemerdekaan.

Istana Negara baru yang dibina dengan ciri-ciri binaan Islam dan tradisional Melayu terletak di kawasan seluas 96.52 hektar dan akan menjadi lokasi pertabalan Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 Disember ini.

- Bernama

Sunday, 13 November 2011

Ke mana hala tuju Amanah cuba dibawa Ku Li?

7:48AM Nov 9, 2011 - Malaysiakini
http://www.malaysiakini.com/news/180834

Keputusan pemimpin veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah menerajui sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) masyarakat sivil, Angkatan Amanah Merdeka atau Amanah, mencetuskan teka-teki di kalangan ramai ahli politik dan penganalisis politik.

Mengapa beliau harus menyertai sebuah NGO? Apakah agenda beliau terutama ketika beliau masih dianggap seorang pemimpin Umno dan ahli parlimen BN yang memerintah?

"Apakah tujuan sebuah NGO sedemikian? Apakah langkah mereka seterusnya? Tiada MP mahu membentuk sebuah NGO tanpa sebarang agenda. Beliau punya sesuatu yang tersembunyi," kata ahli politik veteran MCA Datuk Yap Pian Hon, yang juga ketua publisiti BN Selangor.

Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM) percaya ahli-ahli politik di belakang Amanah, yang juga telah memperkenalkan diri mereka sebagai kumpulan minoriti, mungkin berhasrat menjadi pemangkin kepada apa yang dipanggil "kuasa ketiga" dalam BN.

Beliau berkata mungkin mereka memerlukan sebuah platform untuk mengulas isu-isu semasa oleh kerana kebanyakan pemimpin mereka pernah berada dalam kerajaan pada masa lalu.

Tengku Razaleigh pernah berkhidmat sebagai menteri kewangan. Sementara timbalan presiden Amanah Datuk Seri Ong Tee Keat, pernah menjadi presiden MCA dan menteri pengangkutan manakala Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir adalah menteri pelancongan dan penerangan; dan Datuk S Subramanian adalah timbalan menteri.
Corak undian

Ahli akademik itu berkata mereka akan menunggu untuk melihat sama ada Amanah dapat mempengaruhi corak undian dalam pilihan raya umum akan datang. 

Secara peribadi, beliau tidak fikir mereka boleh, tetapi jika mereka dapat menentukan tindakan dengan betul, mereka boleh menjadi sebuah kuasa yang perlu diambil kira.

Beberapa orang peramal politik percaya Ku Li mungkin cuba meletakkan dirinya pada kedudukan yang membolehkannya membuat tawaran: dengan berada dalam Amanah beliau mendapat kedudukan terbaik bagi mendapatkan tawaran terbaik dari kedua-dua puak politik bertentangan.

Misalnya, kata mereka, ini terutama berlandaskan latar belakang kemungkinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketua pembangkang, disabitkan kesalahan terhadap tuduhan sodomi dan dimasukkan penjara.

Dan isteri beliau yang juga presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah tidak layak untuk bertanding bagi tempoh lima tahun selepas beliau meletak jawatan sebagai MP Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada Anwar memenangi kerusi itu dalam pilihan raya kecil.

Beberapa orang penganalisis berpendapat Tengku Razaleigh mungkin muncul sebagai calon untuk memimpin pembangkang jika Anwar terpinggir.

Namun Setiausaha agung DAP Lim Guan Eng (kanan) pula menyatakan secara terbuka bahawa Anwar tetap menjadi calon pilihan Pakatan Rakyat untuk jawatan perdana menteri sekalipun beliau diheret ke penjara. 

"Tidak ada rundingan langsung (untuk Tengku Razaleigh menjadi pilihan Pakatan untuk jawatan perdana menteri). Kami tidak tahu pendirian politik Ku Li," kata anggota CEC DAP Jeff Ooi.

Naik helikopter

"Beliau tidak boleh menaiki helikopter (pantas) (untuk ke atas). Kami (PKR-DAP-PAS) telah bertungkus lumus membentuk sebuah front alternatif. Jika beliau ingin menyertai kami, kami tidak akan terus menolaknya tetapi hakikatanya bagi kami, beliau setakat mempunyai taraf putera raja".

Ooi juga berkata beliau tidak fikir pemimpin-pemimpin Amanah boleh memberi sebarang cabaran langsung terhadap Pembangkang kerana beliau percaya kebanyakan mereka adalah dari "era sudah berlalu" dan kurang daya tarikan kini.

"Ambil Tengku Razaleigh sebagai contoh. Beliau orang luar kepada Umno dan orang luar kepada Pakatan. Beliau hanya berada dalam kumpulannya sendiri. Tidak membawa sebarang kerosakan kepada kami," kata beliau, dan menambah langkah putera Kelantan itu mengetuai Amanah hanya menarik sedikit perhatian. 

Jadi apakah percaturan Amanah? Tengku Razaleigh masih "non-commital" dan samar-samar tentang rancangan.

Pada sidang akhbar semalam, untuk mengumumkan keputusan Pendaftar Pertubuhan meluluskan penubuhan Amanah, Tengku Razaleigh berkata walaupun Amanah akan kekal sebagai sebuah NGO dalam masa terdekat, beliau tidak menolak kemungkinan ia akan bergerak aktif dalam politik. 

Pelbagai kemungkinan

"Terpulang kepada anggota...Saya tidak kata ya atau kata tidak kerana ia bergantung pada anggota. Anda tidak boleh menolak apa jua perkara kerana kemungkinannya ada," kata beliau. 

Bila ditanya mengenai peranan beliau dalam pilihan raya umum akan datang, Ku Li menimbulkan teka teki kepada setiap orang bila beliau berkata adalah amat sukar untuk menyatakan apa beliau akan lakukan seterusnya.  

- Bernama

Amanah sokong p'raya selepas tugas PSC selesai

Kuek Ser Kuang Keng 1:33PM Nov 8, 2011 - Malaysiakini
http://www.malaysiakini.com/news/180772

NGO yang baru didaftarkan, Angkatan Amanah Merdeka atau Amanah, hari ini menyokong tuntutan bagi mendesak kerajaan supaya tidak membubarkan Dewan Rakyat selagi cadangan oleh Jawatankuasa Terpilih Khas Parlimen PSC) belum dilaksanakan.

Amanah diterajui oleh pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah dan dianggota boleh beberapa beks pemimpin utama BN yang lain.

Pada sidang akhbar hari ini, Tengku Razaleigh, yang mengakui bahawa beliau dan pemimpin Amanah memang dipinggirkan oleh parti-parti masing-masing dan oleh itu perlu terus untuk menyuarakan pendapat mereka di atas platform NGO baru itu.

Beliau mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk membentuk PSC yang bertujuan membuat cadangan berhubung pembaharuan dalam sistem pilihan raya di negara ini dan berharap pindaan undang-undang yang disyorkan jawatankuasa itu akan dilaksanakan sebelum pilihan raya umum akan datang.

"Kami berpendapat pilihan raya itu harus diadakan selepas jawatankuasa berkenaan selesai menjalankan kerja-kerja dan syor-syornya dilaksanakan. Jika tidak, tidak ada makna dalam penubuhan jawatankuasa ini," kata bekas menteri pelancongan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, yang merupakan seorang daripada enam timbalan presiden Amanah.

"Jika mereka adakan pilihan raya sebelum kerja-kerja PSC selesai, ia nampaknya seperti main-main dan drama, ini adalah tidak baik," katanya, sambil menambah perkara itu adalah pendirian dicapai oleh majlis pusat tertinggil Amanah yang bermesyuarat, hari ini.

Pada 15 Ogos lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembentukan PSC setelah didesak pelbagai pihak yang sistem pilihan raya dan undang-undang berkaitannya dikaji semula.

Zaid Ibrahim: Amanah mesti jelas niatnya

5:34PM Jul 27, 2011 - Malaysiakini
http://www.malaysiakini.com/news/171220

Ketua Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Datuk Zaid Ibrahim memohon kepada ahli parlimen Gua Musang supaya jelas dengan rancangan dan niat penubuhan NGO barunya, Angkatan Amanah Merdeka (Amanah).

"Saya lebih suka Tengku Razaleigh lebih tegas dan berterus terang mengenai rancangannya. Di negara ini, tidak ada jalan tengah dan pada masa yang sama mengharapkan impak pada pilihan raya,” kata Zaid yang mengulas pelancaran Amanah Jumaat lalu.

"Ini perlu, khususnya jika kita melihat dari segi transformasi politik. Seseorang itu sama ada bersama BN atau Pakatan Rakyat,” kata Zaid yang pernah berada di kedua-dua pihak.

Amanah dilancarkan di Memorial Tunku Abdul Rahman di Kuala Lumpur pada 22 Julai.

Meskipun terdapat spekulasi bahawa Amanah akan menjadi platform Tengku Razaleigh untuk menjadi perdana menteri yang akan datang dan memastikan dirinya terus relevan berikutan pengaruhnya di Umno yang semakin merosot, Zaid berpendapat tindakan Amanah adalah “setulus hati”.

"Saya lebih condong melihat tindakan Amanah sebagai penganjur adalah luhur, mulia dan ikhlas. Mereka mahu mengingatkan orang ramai supaya tidak mengketepikan prinsip-prinsip di mana negara ini diasaskan,” katanya.

Amanah ditubuh kerana tiada ruang bersuara dalam BN

6:00PM Nov 8, 2011 - Malaysiakini
http://www.malaysiakini.com/news/180807

Beberapa bekas pemimpin-pemimpin utama BN mendakwa bahawa ruang demokrasi dalam parti-parti masing-masing semakin terhakis dan berkurangan sehingga menyebabkan mereka menyertai NGO baru Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) agar suara mereka dapat didengar.

Pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah dan bekas Menteri Pelancongan Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir berkata kepimpinan semasa Umno tidak lagi membenarkan suara-suara yang membangkang daripada didengar.

"Bagi saya tak ada (ruang) lah," katanya ketika diaju soalan oleh wartawan.

"Sekarang ini nampaknya orang macam saya, Tan Sri (Abdul) Kadir (Sheikh Fadzir) tak ada tempat dah nak bersuara di sana (dalam Umno)," kata Razaleigh yang juga ahli parlimen Gua Musang.

Menurut beliau, ruang itu ditutup kerana Umno sekarang hanya bergantung kepada satu idea sahaja.

Beliau memberi contoh, semasa perhimpunan agung Umno, di mana, ahli-ahli yang mahu bercakap perlu mendapat kebenaran 'orang atasan' termasuk mendedahkan perkara yang hendak dibangkitkan untuk diluluskan terlebih dahulu.

"Oleh itu, suara dari bawah tidak mendengar," kata Razaleigh yang juga adalah presiden Amanah.

Nak kutuk

Bagi Abdul Kadir pula, kumpulannya itu masih menaruh keyakinan dalam Umno tetapi memilih ruang baru bagi menyuarakan pendapat mereka kepada orang ramai.

“Tidak ada ruang dalam parti (bagi perbezaan pendapat)," katanya.

Dakwanya, kebebasan menyuarakan pendapat yang berbeza wujud suatu ketika dulu dalam Umno tetapi dilenyapkan semasa pentadbiran presiden keempat parti itu, Tun Hussein Onn.

"(Dulu) nak kutuk ke, semua boleh cakap, tak ada masalah.

"(Sekarang) perhimpunan agung Umno untuk perkara-perkara yang sedap didengar sahaja," katanya kecewa.

Amanah dilancarkan Julai lalu dan pendaftarannya diluluskan  Pendaftar Pertubuhan dua minggu lalu.

Selain Razaleigh dan Abdul Kadir, turut serta pada sidang media itu adalah bekas presiden MCA  Datuk Seri Ong Tee Keat dan bekas timbalan presiden MIC Datuk S Subramaniam.

Amanah juga dianggotai oleh timbalan presiden United Pasokmomogun Kadazan Dusun Murut Organisation (Upko) Datuk Wilfred M Bumburing, ahli politik veteran Sarawak Datuk Daniel Tajem, bekas presiden Majlis Peguam Datuk K Ragunath dan bekas pesuruhjaya Suhakam, Tan Sri Simon Sipaun.

Sementara itu, Bernama melaporkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Umno tidak pernah menyekat mana-mana pemimpinnya di semua peringkat daripada menyuarakan pendapat tentang isu melibatkan parti kerana parti itu mengamalkan prinsip demokrasi.

Muhyiddin, yang juga timbalan presiden Umno berkata, setiap hari beliau membaca dalam akhbar banyak pendapat daripada pemimpin-pemimpin Umno yang mengulas mengenai pelbagai isu yang membuktikan tiada sekatan daripada parti.

"Tiada satu pun pekeliling yang dikeluarkan kepada mana-mana pemimpin Umno baik di peringkat negeri, bahagian atau individu mengatakan mulut mereka terkunci dan tertutup sepanjang masa.

“Kadang-kadang mereka bercakap lebih daripada yang sepatutnya pun,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan dialog terbuka dengan 50 graduan yang terpilih untuk menyertai program Teach For Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.

Hormat menghormati telah lenyap dari Umno BN

Khalil Idham Lim 3:50PM Nov 13, 2011 - Ruangan Surat Malaysiakini
http://www.malaysiakini.com/letters/181235

Saya ingin menjelaskan bahawa Umno BN telah berbohong buat kesekian kalinya apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak  menyatakan antara isi perkara pokok mesyuarat dewan tertinggi BN petang Jumaat lalu adalah membincangkan tentang betapa perlunya parti gabungan itu kembali kepada prinsip asal aitu semangat hormat menghormati antara sama lain.

Najib patut sedar bahawa selama ini pun prinsip tersebut sebenarnya telah lenyap berdasarkan rekod amalan pentadbiran BN yang secara jelas mencabuli prinsip itu secara total.

Sebagai contoh, hak Kelantan itu sendiri dalam isu tuntutan royalti petrolium yang sememangnya menjadi hak mutlak rakyat negeri Kelantan seperti mana perjanjian asal, di mana jaminan itu sendiri datangnya daripada Tun Razak Hussein yang merupakan mantan perdana menteri juga bapa kepada PM Najib.

Dalam isu ini bukan sahaja beliau selaku pemimpin tertinggi negara yang juga anak kepada Tun Razak tidak menghormati hak rakyat negeri Kelantan, malah beliau juga tidak menghormati amanat ayahnya sendiri .

Lalu bagaimana dan di manakah rasionalnya tindakan serta ungkapanNajib dalam isu menjaga kepentingan hormat menghormati antara satu dengan lain adalah prinsip dasar BN, tindakan sebegini tidak masuk akal dan tidak rasional.

Hormat sesama komponen BN sahaja bukanlah tafsiran tepat untuk menterjemahkan bahawa BN komited dengan prinsip tersebut.

Parti tua yang kolot seperti BN ini saban hari jelas menzahirkan bahawa mereka tidak akan berubah dan ingin terus berkuasa dalam masa sama bakal menyusahkan warga Malaysia jika rakyat tidak lakukan perubahan melalui undi khususnya.

Jalan paling selamat setakat ini ialah selamatkan Malaysia dari dikuasai BN melalui pemberian undi kepada PAS PKR dan DAP pada PRU13 tidak lama lagi.

Sikap hipokrit BN mestilah dihentikan dengan segera demi menyelamatkan Malaysia dari mereka.

Penulis adalah ketua penerangan PAS Perak dan ADUN Parit Buntar

Friday, 11 November 2011

Arak, bikini, hudud, Feqh Awlawiyyat & Parti Islam

Shamsul Muda
12:00PM Nov 5, 2011  -  http://www.malaysiakini.com/letters/180584

Sikap dan pendirian politik parti Harakah An-Nahdhah (Pergerakan Kebangkitan) Tunisia, sangat menarik dan penting untuk diteliti, memandangkan kedudukannya sebagai sebuah parti politik beraliran Islam, yang berpeluang mempraktikkan hak berpolitik dalam sebuah negara demokrasi.

Dengan ‘penerjunan’ Nahdhah ke arena politik Tunisia dan seterusnya menjadi ‘pemain’ dalam arena itu, ‘perpustakaan’ politik Islam akan dibekalkan dengan satu lagi model baru ‘perjuangan politik’ berteraskan Islam, yang boleh dijadikan rujukan dan teladan dalam mengemudi politik Islam, khususnya bagi umat Islam di negara ini.

Di sinilah letaknya kepentingan analisis dan pemerhatian terhadap ‘sepak terajang politik’ parti Nahdhah itu.

Parti Nahdhah menjadi perhatian disebabkan statusnya sebagai sebuah parti beraliran Islam yang dikemudi dan dianggotai bangsa Arab, yang begitu dekat dengan sumber ilmu-ilmu dan pemikiran Islam, yang secara asasnya ditulis dalam bahasa itu.

Status ini menjadikan tindak tanduk dan aksi politik parti itu, boleh dinilai sebagai ‘terjemahan berstandard tinggi’ kepada ajaran atau pemikiran Islam berkenaan politik, yang boleh dijadikan rujukan dan panduan oleh pergerakan-pergerakan Islam lain.

Sebelum memenangi pilihanraya Tunisia secara rasmi, parti Nahdhah telah memberikan bayangan kasar kepada bentuk kerajaan yang bakal diterajuinya. Bayangan ini dilakarkan oleh pemimpin parti itu, Syaikh Rashid al-Ghannoushi, 70 dan juga Setiausaha Agungnya, Hammadi al-Jibali, 62.

Lakaran bentuk negara Tunisia baru itu tertumpu kepada tiga perkara, iaitu dasar negara Tunisia pimpinan parti Nahdhah terhadap sektor pelancongan, dasar berhubung wanita dan sifat negara Tunisia baru yang bakal dibentuk.

Dalam melakar negara Tunisia baru, parti Nahdhah memberikan perhatian utama kepada sektor pelancongan negara itu disebabkan ia merupakan sebuah negara destinasi pelancongan, yang menerima kunjungan seramai 7 juta pelancong setiap tahun.

Mengambil kira realiti ini, Ghannoushi awal-awal lagi menyatakan dengan jelas, kerajaan Islam pada masa depan pimpinan parti beliau, akan mengekalkan kedudukan Tunisia sebagai sebuah negara destinasi pelancongan. (Rujukan : aljazeera.net)

Ghanoushi menyedari, ikrar ini menuntut parti pimpinan beliau yang bakal memerintah Tunisia, mengekalkan sektor pelancongan negara itu dalam keadaannya yang sedia ada, seperti di zaman pemerintahan sekular Ben Ali.

Justeru, tanpa teragak-agak, pemimpin utama parti Islam Tunisia itu menyatakan, parti pimpinan beliau tidak akan meletakkan sebarang syarat ke atas sektor pelancongan di Tunisia.

Beliau memberi jaminan, bila berkuasa nanti, partinya tidak akan mewajibkan masyarakat Tunisia atau jutaan pelancong dari Barat, yang menghabiskan cuti mereka di pantai-pantai negara itu, dengan etika dan akhlak tertentu. (Rujukan : aljazeera.net)

Sehubungan itu, Ghannoushi menyatakan, parti pimpinannya itu tidak akan menghalang penjualan arak dan pemakaian bikini, yang begitu sinonim dengan sektor pelancongan di kebanyakan negara, termasuk Tunisia. (Rujukan : aljazeera.net)

Senada dengan pendirian beliau ialah Setiausaha Agung parti Nahdhah, Hammadi al-Jibali, yang dilaporkan berkata, sektor pelancongan di Tunisia  dianggap sebagai “hasil pendapatan yang tiada ruang untuk diganggu”.

Beliau mempersoalkan, “adakah logik kita menimpakan ‘kelumpuhan’ ke atas sektor asasi seperti pelancongan, dengan mengharamkan arak dan pemakaian pakaian mandi dan perlakuan-perlakuan seumpamanya?”. (Rujukan : aljazeera.net)

Bimbang pendirian partinya yang liberal terhadap aktiviti berkaitan arak dan pemakaian bikini disalah tafsir, Ghannoushi menjelaskan, “ini tidak bermakna kami menggalakkan arak. Ini adalah haram dan kami tidak mengingininya.

Tetapi, tidak  mungkin untuk kita bersepakat dengan orang ramai (dalam sesuatu isu seperti arak) dengan kekuasaan, tetapi dengan kerelaan mereka. Maka, objektif kami bukan menghentikan arak, tetapi mengurangkan permintaan terhadap arak”. (Rujukan : aljazeera.net)

Kenyataan beliau ini merupakan pernyataan jelas tentang pendekatan yang bakal diambil oleh parti Nahdhah berhubung aktiviti membabitkan arak, iaitu pendekatan yang tidak berteraskan kuasa dan undang-undang, tetapi berteraskan pendidikan dan pemujukan, yang akan mencetus kerelaan meninggalkan sebarang kegiatan melibatkan minuman yang memabukkan itu.

Dalam rangka menangani secara berhikmah aktiviti membabitkan arak, Ghannoushi juga menjelaskan, partinya tidak akan menutup tempat-tempat penjualan arak, sebaliknya akan berusaha mewujudkan kawasan-kawasan perkelahan yang sesuai bagi golongan beragama yang menghormati nilai-nilai Islam. (Rujukan: aljazeera.net)

Pendekatan yang harmoni dan pertengahan juga akan digunakan oleh parti Nahdhah bagi mendepani budaya pemakaian bikini di kawasan perkelahan di negara itu, seperti yang dapat disaring daripada kenyataan Ghannoushi, “kita akan melakukan apa yang mampu untuk menjayakan  musim pelancongan, dan kita mahu menarik pelancong mengikut kadar termampu.

Tetapi, dalam masa yang sama, kita perihatin terhadap budaya setempat dan kita akan berusaha mencari kedudukan (sikap) yang pertengahan”. (Rujukan: aljazeera.net)

Perkara kedua yang menjadi tumpuan parti Nahdhah dalam melakar negara Tunisia di masa depan, ialah dasar parti Islam itu terhadap kaum wanita.

Lakaran awal dasar parti Nahdhah terhadap wanita yang digariskan oleh kepimpinan parti itu, sesungguhnya menggamit satu perasaan untuk memerhati lebih dekat pergerakan parti yang  ditubuhkan pada 1981 itu.

Sebaik sahaja keputusan tidak rasmi pilihanraya Tunisia menunjukkan parti Nahdhah memenangi lebih daripada 40% kerusi, Setiausaha Agung parti itu, Hammadi al-Jibali mengumumkan, parti itu telah memutuskan untuk memberi separuh daripada kerusi yang dimenanginya kepada aktivis-aktivis wanita parti itu.

Yang menarik dalam pengumuman itu ialah kenyataan beliau yang menyebut, kerusi-kerusi tersebut akan diberikan kepada aktivis-aktivis wanita yang bertudung dan yang tidak bertudung, tanpa diskriminasi. (Rujukan: onislam.net)

Sebenarnya, parti Nahdhah memang bersungguh-sungguh menampilkan dirinya sebagai sebuah parti yang tidak membezakan antara wanita yang bertudung dengan yang tidak bertudung, seperti yang dinyatakan oleh akhbar Washington Post dalam satu analisisnya.

Parti Nahdhah pergi lebih jauh dalam soal dasarnya terhadap wanita, apabila memberi jaminan akan mempertahankan hak wanita untuk memakai apa sahaja pakaian yang mereka kehendaki. Jaminan ini dicatatkan dalam flayers yang disebarkan parti itu, seperti yang dilaporkan oleh akhbar sama, Washington Post.

Pendekatan ini, mengikut akhbar itu lagi, telah berjaya menarik sokongan wanita yang bertudung dan tidak bertudung kerana dengan jaminan ini, wanita bertudung merasakan mereka dapat menikmati kebebasan memakai tudung, yang sebelum ini diharamkan oleh regim Ben Ali. (Rujukan: aljazeera.net)

Parti Nahdhah tidak menunggu sehingga memerintah untuk menunaikan jaminan yang diberikannya kepada kaum wanita Tunisia, apabila membenarkan seorang wanita yang tidak bertudung mengetuai salah satu senarai calon parti itu.

Lebih daripada itu, dalam satu majlis di pejabat parti Nahdhah bagi meraikan kemenangan tidak rasmi parti itu dalam pilihanraya, sebelum Pengarah Kempen Pilihanraya parti itu berucap, seorang calon wanita parti itu yang tidak bertudung, telah menyanyikan lagu-lagu Lubnan dan Tunisia di pentas, sambil menyatakan parti itu telah membuktikan kesederhanaannya apabila membenarkan wanita tidak bertudung menjadi calonnya. (Rujukan : aljazeera.net)

Perkara ketiga yang disentuh kepimpinan parti Nahdhah ketika mengemukakan lakaran bayangan bagi negara Tunisia baru, ialah sifat negara Tunisia yang bakal diasaskan.

Berhubung soal ini, parti Nahdhah-selaku sebuah parti Islam-dilihat mengambil sikap yang ‘mengejutkan’, apabila berjanji akan “berusaha mewujudkan sebuah masyarakat sekular pelbagai parti dan aliran yang menghormati hak-hak manusia”. (Rujukan: onislam.net)

Pendirian ini diambil di saat keputusan tidak rasmi pilihanraya negara itu, menunjukkan parti Nahdhah mendahului parti-parti lain dengan perbezaan kerusi yang besar, dan dijangka banyak pihak sebagai parti yang bakal mengetuai kerajaan baru Tunisia.

Bicara tentang sebuah parti Islam yang sedang berada di ambang pemerintahan negara seperti Nahdhah, seakan tidak lengkap jika tidak disentuh persoalan perlaksanaan Syariat Islam, termasuk hudud, dalam agenda parti Islam itu.

Walau bagaimana pun, persoalan ini mudah dijawab tanpa memerlukan kajian dan penelitian terhadap manifesto atau tawaran parti itu kepada rakyat Tunisia.

Hal ini demikian kerana sejak awal-awal lagi, iaitu pada 22 Januari 2011, pemimpin utama parti Nahdhah, Ghannoushi mengatakan, “partinya tidak berusaha untuk melaksanakan Syariat Islam di Tunisia, sebaliknya berusaha untuk membebaskan Tunisia daripada sistem satu parti dalam apa jua bentuk sekalipun, sambil menegaskan bahawa apa yang diperlukan Tunisia hari ini, ialah kebebasan”. (Rujukan: onislam.net)

Tinjauan sepintas lalu ke atas sikap dan pendirian politik parti Nahdhah seperti yang dipaparkan, sudah memadai untuk dirumuskan satu kesimpulan penting, iaitu sikap atau dasar parti itu berhubung sektor pelancongan (yang berkait rapat dengan arak dan bikini), wanita dan  sifat negara Tunisia di masa depan, secara umumnya tidak menepati kehendak dan tuntutan Islam.

Demikian juga kenyataan pemimpin parti itu, Ghannoushi yang terang-terang menyatakan, partinya itu tidak berusaha untuk melaksanakan Syariat Islam di Tunisia. Secara tersuratnya, ia jelas tidak menepati kehendak Islam yang diperjuangkan sendiri oleh parti pimpinannya itu.

Walau bagaimana pun, menariknya, tidak kedengaran suara-suara yang berkredibiliti samada dari dalam parti Islam itu atau dari luar, khususnya dari para ulama haraki, yang mengkritik pendirian politik parti Nahdhah itu.

Suara-suara yang melebalkan parti Nahdhah sebagai sebuah parti yang menang pilihan raya, tetapi kalah dalam menegakkan hukum Allah, atau keluhan ‘apalah maknanya kemenangan andai ketetapan Allah diketepikan’, juga tidak kedengaran.

Dakwaan bahawa parti itu-dengan mengambil pendirian politik yang liberal itu-lebih mementingkan kuasa berbanding melaksanakan hukum hakam Islam, juga tidak disuarakan oleh mana-mana pihak yang berwibawa setakat ini.

Tafsiran kepada keadaan ini, ialah kefahaman pemimpin-pemimpin pergerakan Islam dan para ulama haraki di Timur Tengah, terhadap tuntutan Islam yang menghendaki penganutnya ‘mengutamakan perkara yang utama, dan menangguhkan perkara kurang utama’, atau yang diistilahkan sebagai Feqh Awlawiyyat.

Tuntutan ini telah dipenuhi dengan jayanya oleh Nabi Muhammad SAW, apabila Baginda hanya memfokuskan kepada aspek dakwah dan tarbiyah semasa berada di Mekah, yang hanya berlegar sekitar dasar-dasar akidah, pengukuhan tauhid, mengkhususkan ibadat hanya kepada Allah, membuang kesyirikan, menjauhi taghut dan menghiasi diri dengan akhlak-akhlak terpuji.

Pengutamaan ke atas persoalan-persoalan teras dan utama ini, telah mendorong Baginda menangguhkan buat sementara pengajaran tentang hukum hakam Islam (seperti hudud, kekeluargaan, perkahwinan, jual beli dsb) dan melarang umat Islam mengangkat senjata bagi mempertahankan diri daripada kezaliman Musyrikin Mekah.

Adalah diyakini, kerana mendahulukan perkara-perkara yang lebih utama, iaitu pembentukan negara yang berteraskan kebebasan, kemuliaan rakyat dan keadilan, telah mendorong parti Nahdhah mengetepikan buat sementara soal pemakaian bikini, sifat sekular negara Tunisia dan penjualan arak di negara itu.

Soal pemakaian bikini dan penggunaan arak, biar pun ia ditegah oleh Islam, namun kesan dan akibatnya hanya terbatas kepada kelompok kecil manusia, yang menyebabkan soal menangani kemungkaran itu boleh dikemudiankan.

Berbeza dengan soal kewujudan sebuah negara yang bertunjangkan kebebasan, kemuliaan rakyat dan keadilan, ketiadaannya akan memberi kesan langsung ke atas seluruh rakyat, yang menuntut supaya soal ini didahulu dan diutamakan.

Demikian juga pemasyhuran Tunisia sebagai sebuah negara Islam, ia boleh dikemudiankan memandangkan keperluan dan keutamaan membentuk  negara Tunisia yang bebas, adil dan ‘dikemudi’ rakyat jelata, boleh juga dilakukan dalam sebuah negara sekular yang menghormati hak-hak manusia.

Dengan pendirian politik yang terpancar dari ‘mata air’ Feqh Awlawiyyat ini, parti Nahdhah telah berjaya meletakkan dirinya pada kedudukan sebuah parti Islam yang dinamik, realistik dan sederhana.

Tulisan ini tidak bermaksud mengajak mana-mana pihak meniru dan mencedok satu persatu pendirian parti Nahdhah ini. Semua itu tidak perlu kerana sesuatu tindakan yang sesuai di Tunisia, tidak semestinya secocok dengan negara-negara lain, disebabkan faktor perbezaan suasana dan realiti setempat.

Apa yang mustahak ialah parti-parti beraliran Islam walau di mana ia berada, mengambil semangat dan ruh yang mendasari sikap dan pendirian politik parti Nahdhah ini.

Feqh Awlawiyyat!

Penulis merupakan lulusan Fakulti Syariah dan Pengajian Islam Universiti Mu’tah, Jordan.

Wikileaks: 'Apa cara pun' Anwar akan didapati salah

1:00PM Sep 1, 2011 - http://www.malaysiakini.com/news/174565

Berdasarkan penilaian bahawa  Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus menjadi ancaman kepada Umno sekurang-kurangnya sehingga pilihan raya umum akan datang, ketua pembangkang itu akan didapati bersalah kerana meliwat - hukuman keduanya dalam tempoh 10 tahun.

Perkara itu didedahkan oleh kabel diplomatik Amerika Syarikat yang dibocorkan oleh portal Wikileaks yang juga melaporkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan pemimpin utama Umno memutuskan segala padah dan kos politik bagi mendakwa Anwar "boleh diterima". Mereka juga mahu perkara berkenaan diteruskan secara agresif di dalam dan juga di luar mahkamah.

Menurut nota diplomatik 2009 yang diklasifikasikan sebagai sulit oleh Mark D Clark, kaunselor politik di Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, matlamat utama mereka adalah bagi memenjarakan Anwar semula dan menyingkirkannya secara tetap dari politik.

"Walaupun mengakui perkara itu adalah semata-mata tindakan penguatkuasaan undang-undang, kerajaan berpendapat tekanan politik adalah diperlukan, dan sanggup menerima risiko reputasi dalam proses berkenaan supaya akhirnya mencapai keputusan bersalah selepas drama berprofil tinggi berbulan-bulan di mahkamah," kata kabel, yang telah dihantar kepada Jabatan Negara Amerika di Washington dua tahun lalu oleh Duta James R Keith.

"Mahkamah akan membicarakan dan menolak rayuan Anwar pada kadar yang segera sebelum menjelang pilihan raya umum negara pada tahun 2012 atau 2013," kata kabel itu.

Menurut Keith, senario itu berlaku semasa bulan-bulan awal kes itu dibicarakan terutamanya menjelang tarikh September 2008, di mana Anwar sepatutnya mengambil alih Putrajaya, tetapi kesannya berkurangan sejak itu.

Kabel yang bertajuk 'Perbicaraan liwat II Anwar Ibrahim' memberi  tiga senario berhubung bagaimana kes itu akan berakhir.

Dalam senario berkenaan, Kedutaan Amerika mengandaikan bahawa Najib akan berperanan sebagai "suara pemutus" berhubung keputusan perbicaraan, walaupun beliau juga perlu mendapatkan pendapat dan pandangan golongan elit Umno yang lain.

Dalam senario pertama, kerajaan akan memastikan dalam “apa cara sekalipun” Anwar akan didapati bersalah.

Senario kedua pula menurut Keith, kerajaan akan meneruskan pendakwaan tetapi tidak memberi tekanan yang sewajarnya untuk mendapatkan keputusan bersalah.

Ini akan berlaku sekiranya kerajaan percaya bahawa bukti-bukti yang dikemukakan semasa  prosiding mahkamah itu sendiri cukup telah merosakkan maruah atau reputasi Anwar sehingga tidak mampu menjejaskan kredibiliti Najib, kata Keith.

Thursday, 10 November 2011

Melayu jadi minoriti jika berpecah, kata Dr Mahathir

6:18PM Nov 10, 2011
http://www.malaysiakini.com/news/181026
Orang Melayu akan menjadi kumpulan minoriti yang tidak mampu memperjuangkan hak mereka jika mereka terus berpecah belah, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sambil menyatakan orang Melayu kini berpecah kepada tiga kumpulan, bekas Perdana Menteri itu berkata hanya dengan bersatu, orang Melayu boleh menjadi kumpulan majoriti yang berkesan untuk bertindak memelihara kepentingan mereka.
"Dulunya orang Melayu bersatu dalam satu parti hingga berjaya menentang (rancangan penubuhan) Malayan Union," katanya semasa menjawab soalan peserta yang hadir pada syarahan perdana oleh beliau bertajuk Pembinaan Tamadun dan Budaya Masyarakat Malaysia Ke Arah Pembentukan Sebuah Negara Maju, di Kuala Lumpur hari ini.

Dr Mahathir, 85, berkata suara orang Melayu akan tenggelam jika mereka berpecah menjadi beberapa kumpulan minoriti dan memerlukan sokongan pihak lain untuk mencapai hasrat perjuangan mereka memelihara bangsa sendiri.

Menyentuh mengenai kumpulan yang memperjuangkan hak asasi individu, Perdana Menteri Malaysia keempat itu berkata prinsip demokrasi yang asalnya mengutamakan hak majoriti kini mula mengetengahkan aspek hak asasi individu.
Katanya jika kebebasan individu dibenarkan tanpa batasan, ia bakal mewujudkan suasana yang tegang di dalam masyarakat.

Menurutnya, tindakan menunjuk perasaan atau berdemonstrasi adalah dibenarkan dalam demokrasi tetapi jika dilakukan secara besar-besaran tanpa batasan, ia boleh membawa kesan buruk seperti menjejaskan kegiatan perniagaan.

Dr Mahathir juga berkata adalah penting nilai diri yang baik dipupuk sejak kecil bermula dari rumah hinggalah ke alam persekolahan agar nilai mulia itu terus menjadi pegangan rakyat hingga dewasa.

- Bernama

Kelantan hantar amanat Tun Razak kepada PM

 


 
8:03PM Nov 10, 2011 - Malaysiakini
Kerajaan Kelantan hari ini menyerahkan sepucuk surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, bagi membuktikan kepadanya bahawa dalam jawapan yang diberikan oleh bapanya, Tun Abdul Razak Hussein, di Dewan Rakyat beliau menyokong tuntutan royalti minyak Kelantan.
Merujuk jawapan lisan kepada soalan yang diajukan oleh ahli parlimen DAP Lim Kit Siang yang berusia 34 tahun ketika itu, Abdul Razak yang menyelia pewartaan Akta Petroleum 1974, berkata royalti perlu dibayar walaupun minyak ditemui di luar pesisir.

Jawapan yang diberikan pada 12 November 1975 itu berbunyi:

"Mengikut Perjanjian itu, tiap-tiap negeri akan menerima 5 peratus daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperolehi dalam kawasan perairan (onshore) atau di luar perairan (offshore) negeri tersebut, yang dijadual oleh PETRONAS ataupun agensi-agensi ataupun kontraktor-kontarktornya,".

Sehubungan itu, Kelantan yang diwakili oleh exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa menyerahkan surat atau amanat berkenaan kepada wakil perdana menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di parlimen hari ini.

"Kami berharap dengan pulangnya Haji Datuk Seri (Najib Razak) Perdana Menteri, hati beliau terbuka untuk bayar balik royalti, kerana ini adalah pesanan Tun Razak, ayahanda beliau," kata Husam pada sidang media yang turut dihadiri oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Apa jasa Nalla kepada negara, kaum India?

Barathidasan Saminathan 8:49AM Nov 2, 2011 - Malaysiakini
http://www.malaysiakini.com/letters/180253

Persatuan Progresif India Malaysia (MIPAS) difahamkan bahawa Datuk KS Nallakaruppan dilantik sebagai senator dan dijadualkan mengangkat sumpah di Dewan Negara.

MIPAS ingin mempersoalkan adakah ia suatu majlis yang harus di bangga kan?  Nallakaruppan menubuhkan Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) setelah keluar daripada PKR, malangannya MIUP tidak menyertai pilihan raya umum ke-12, ia hanya menumpukan kepada kerja-kerja dalaman parti sahaja.

Selain daripada itu MIUP bukanlah sebuah parti majoriti yang mewakili masyarakat India.
MIPAS ingin bertanya apakah sumbangan  Nallakaruppan untuk masyarakat India dan negara? Pernahkah beliau membawa apa-apa perubahan dari segi ekonomi, sosial dan politik?

Juga apakah sumbangan beliau terhadap pembangunan negara dan isu-isu semasa seperti masalah setinggan, peluang perniagaan, pembelajaran, novel Interlok, perjuangan penduduk Ladang Bukit Jalil untuk mendapatkan tanah seluas empat ekar, kempen sejarah sebenar dan banyak lagi isu-isu semasa masyarakat India yang harus ditangani.

Bagi MIPAS, Nallakaruppan hanyalah merupakan bekas "rakan tenis" Datuk Seri Anwar Ibrahim, adakah untuk itu beliau dilantik sebagai senator?
 

Penulis adalah setiausaha agung, Persatuan Progresif India Malaysia

Wednesday, 9 November 2011

Mahfuz: Pentadbiran awam lebih cekap tanpa politik

1:14PM Nov 7, 2011 - Malaysiakini
http://www.malaysiakini.com/news/180706

Segala kepincangan dalam perkhidmatan awam hari ini bukan kerana salah kakitangan awam tetapi adalah akibat salah pentadbiran dan pengurusan negara yang tidak cekap serta tidak bijak, kata naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Jika sesuatu urusan sepatutnya membabitkan keputusan di peringkat sektor awam sahaja, mestilah dipastikan tidak ada campur tangan politik sama sekali," katanya dipetik akhbar rasmi PAS, Harakahdaily hari ini.

Menurut Mahfuz, beliau yakin, pengurusan bijak dan berhemah tanpa campur tangan politik akan membantu mengatasi banyak masalah ketirisan dan kebocoran yang menjadi teguran Ketua Audit Negara setiap tahun.

"Banyak kakitangan awam yang mengadu bahawa kebocoran, ketirisan dan pembaziran serta amalan rasuah berpunca dari campur tangan ahli-ahli politik yang berkuasa.

"Amalan rasuah dan penganiayaan kakitangan awam seperti pendakwaan beberapa ketua setiausaha kementerian akibat kerja jahat ahli-ahli politik tidak akan berhenti selagi parti perasuah menjadi pemerintah.

"Kakitangan awam sendiri mestilah memilih sama ada untuk terus menjadi mangsa seperti yang berlaku ke atas beberapa ketua setiausaha kementerian atau memilih era baru dengan usaha bersungguh-sungguh untuk mewujudkan undang-undang yang memastikan kerajaan dihalang dari menganiayai rakyat," katanya.

Optimumkan pulangan

Selain campurtangan politik, Mahfuz berkata setakat ini, tidak pernah terdapat laporan tentang usaha bagi mengaih-agihkan tenaga kerja secara bijaksana dan berkesan mengikut keperluan dan tuntutan untuk mengoptimumkan pulangan.

"Yang tidak henti-henti kita dengar ialah aduan-aduan awam yang berterusan tentang tindakan yang lambat, "red tape" yang berlebihan dan ada jabatan-jabatan tertentu yang seolah-olah sudah menjadi dinosaur yang besar tetapi lambat bergerak sedangkan pada masa yang sama ada jabatan-jabatan yang agak kritikal dari segi tenaga kerja," katanya.

Justeru, kata pemimpin kanan PAS itu lagi, perkhidmatan awam sebenarnya boleh mempelajari dari sektor korporat dan swasta mengenai kaedah-kaedah mengoptimumkan pulangan dari jumlah pekerja yang ada.

Harakahdaily juga memetik Mahfuz yang menafikan dakwaan dan laporan media arus perdana bahawa Pakatan Rakyat bercadang mengurangkan kakitangan awam yang berjumlah lebih sejuta orang buat masa ini.

Sebaliknya, gabungan itu, menurut beliau, menekankan kepada perlaksanaan pengurusan bijak dan berkesan bagi mengoptimumkan pulangan dari kakitangan awam sekarang.

"Jika pulangan tidak optimum demi kesejahteraan rakyat, adalah tidak bermakna dan sia-sia jumlah kakitangan awam yang banyak.

"Begitu juga, apa makna dan sia-sia sahaja dikurangkan jumlah kakitangan awam jika pulangan tidak optimum demi kesejahteraan rakyat," katanya.

Sejak kebelakangan ini, media-media arus perdana milik BN dan Umno menjadikan setiausaha publisiti DAP, Tony Pua (kiri) sebagai sasaran kerana dilaporkan berkata bagi mengurangkan bajet negara, Pakatan akan menamatkan perkhidmatan kakitangan awam yang tidak efisien seperti yang dilakukan kerajaan China.
'Melayu lebih sedikit'

Malah, akhbar Utusan Malaysia memilih menjadikan kenyataan itu sebagai isu perkauman dan terus membidas pemimpin Pakatan.

“Mereka (DAP) memang ada agenda tersembunyi menerusi hasrat tersebut dan bukanlah semata-mata mahu mengurangkan perbelanjaan kerajaan seperti didakwa.

“Mereka ini memang tidak boleh tengok orang Melayu lebih sedikit dalam sesuatu. Kita (Melayu) memang ramai dalam sektor awam, jadi mereka cuba untuk mengurangkan penguasaan kita dalam sektor tersebut,” ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin (kanan) dipetik sebagai berkata kepada akhbar milik Umno itu, hari ini.

Utusan Malaysia
juga menyiarkan kenyataan bekas ketua Pemuda PKR yang berpaling tadah, Ezam Mohd. Noor yang berkata, DAP bersikap rasis dan menanam kebencian terhadap orang Melayu dan asas negara.

“Cuma semangat rasis dan kebencian itu hanya muncul sekarang setelah DAP yakin mereka boleh peralat dan tunggang pemimpin Melayu yang terdesak seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sanggup gadai maruah bangsa dengan didokong sekelompok pro Anwar yang rakus kuasa di dalam PAS.

‘‘Ini membuatkan DAP semakin berani terjemah semangat rasisnya dengan kenyataan terbaru berhubung kakitangan awam itu,’’ katanya dipetik akhbar berkenaan.

Malaysia mempunyai lebih sejuta kakitangan awam atau kira-kira 4 peratus daripada jumlah penduduk negara yang dianggap antara tertinggi di dunia.

Agenda DAP hakis dominasi Melayu, karut, kata Aziz Bari

6:55AM Nov 8, 2011 - http://www.malaysiakini.com/news/180735

Kebimbangan yang cuba dibangkitkan oleh akhbar harian Utusan Malaysia bahawa DAP akan mengurangkan saiz perkhidmatan awam yang didominasi oleh orang Melayu adalah tidak berasas kerana kedudukan mereka dilindungi undang-undang, kata pakar perlembagaan negara Profesor Abdul Aziz Bari.

"Dalam mana-mana kes, kedudukan anggota perkhidmatan awam dilindungi oleh perlembagaan. Maka ketakutan yang cuba disemai oleh Utusan adalah karut semata-mata.

"Angota perkhidmatan awam tidak boleh dipecat dengan senang. Begitu juga dengan kenaikan pangkat mereka dan perkara sebagainya," kata Abdul Aziz dalam satu kenyataan media kepada Malaysiakini.

Beliau merujuk laporan muka depan akhbar milik Umno itu, semalam yang memetik ahli parlimen Kulim-Bandar Bharu Datuk Zulkifli Nordin sebagai berkata DAP mahu mengurangkan bilangan penjawat awam sekiranya dipilih sebagai pemerintah negara kerana parti berkenaan tidak selesa melihat penguasaan orang Melayu.

“Mereka (DAP) memang ada agenda tersembunyi menerusi hasrat tersebut dan bukanlah semata-mata mahu mengurangkan perbelanjaan kerajaan seperti didakwa.

“Mereka ini memang tidak boleh tengok orang Melayu lebih sedikit dalam sesuatu. Kita (Melayu) memang ramai dalam sektor awam, jadi mereka cuba untuk mengurangkan penguasaan kita dalam sektor tersebut,” kata Zulkifli (kiri) dipetik Utusan.

Akhbar itu juga memetik Senator Ezam Mohd Noor berkata, DAP bersikap rasis dan menanam kebencian terhadap orang Melayu dan asas negara.
Suruhanjaya Diraja

Ahad lalu kolumnis Mingguan Malaysia, Awang Selamat juga menghentam pemimpin DAP, terutama setiausaha publisiti parti itu, Tony Pua kerana dilaporkan berkata bagi mengurangkan bajet negara, Pakatan Rakyat akan menamatkan perkhidmatan kakitangan awam yang tidak efisien seperti yang dilakukan kerajaan China.

Meskipun Abdul Aziz berkata beliau bersetuju dengan hujah-hujah yang dibangkitkan oleh Pua dan kebimbangannya mengenai perkhidmatan awam di negara ini adalah benar, namun beliau menasihatkannya supaya berhati-hati dengan isu tersebut.

"Beliau telah menimbulkan beberapa hujah yang baik tetapi beliau mesti ingat bahawa majoriti besar perkhidmatan awam yang berjumlah 1.3 juta adalah orang Melayu. Kira-kira 150,000 adalah anggota tentera dan 100,000 lagi bersama pasukan polis."

Sebaliknya, Abdul Aziz berkata, jika Pakatan Rakyat berjaya berkuasa, mereka perlu menubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja untuk menilai kedudukan perkhidmatan awam dan mengesyorkan langkah-langkah perlu bagi memperkukuhkannya.

Ini, katanya, dapat mengatasi beberapa masalah dalam perkhidmatan awam, seperti keberkecualian yang telah terjejas, terutamanya semasa tempoh pentadbiran bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Ini termasuk melaksanakan sumpah setia atau Akujanji dan amalan memberi kontrak kepada pegawai atasan yang melunturkan semangat kakitangan perkhidmatan awam. Etika perkhidmatan awam tercemar kerana politi.”

Menurut Abdul Aziz, kakitangan awam perlu berkecuali kepada kerajaan yang medmerintah. Kesetian mereka hanya kepada negara dengan Yang Di-Pertuan Agong sebagai lambangnya.

"Atas sebab ini, bagi saya  Akujanji adalah tidak berperlembagaan," kata Abdul Aziz.