Search Everything

Tuesday, 22 November 2011

Harimau Muda pertahankan emas Sukan SEA



2:15AM Nov 22, 2011 - Malaysiakini
http://www.malaysiakini.com/news/182016

Malaysia mempertahankan pingat emas acara bola sepak Sukan SEA ke-26 selepas menundukkan Indonesia 5-4 melalui sepakan penalti setelah terikat 1-1 pada perlawanan penuh 90 minit.

Perlawanan berlangsung di Stadium Utama Gelora Bung Karno di Jakarta malam tadi.

Dengan itu Malaysia mempertahankan pingat emas dalam acara bola sepak Sukan SEA.

NONEGol yang memberi kemenangan kepada Malaysia dilakukan ketua pasukan Baddrol Bakhtiar selepas kedudukan terikat 4-4 sebelum itu.

Pemain tuan rumah Ferdinan Sinaga gagal menyumbat gol untuk menewaskan penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat.

Kekalahan ini memusnahkan harapan skuad Indonesia kendalian Rahmad Darmawan untuk meraih pingat emas sejak 20 tahun lalu di mana kali terakhir Indonesia memperolehi emas adalah pada 1991.

Beraksi di hadapan lebih 100,000 lautan merah putih, Malaysia terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan gol lawan seawal minit keempat menerusi tandukan pemain pertahanan, Gunawan Dwi Cahayo.

Ia berpunca daripada sepakan sudut di sebelah kiri gawang negara yang diambil oleh pemain tengah Octovianus Maniani sebelum Gunawan mudah menanduk masuk bola menewaskan penjaga gawang negara, Khairul Fahmi Che Mat.

Gol tersebut menyaksikan penyokong tuan rumah bersorak girang dengan jaringan pembukaan itu.

Walaupun tertekan dengan jaringan awal tersebut, anak didik Ong Kim Swee jelas tidak mudah mengalah dan melajukan rentak dengan mengatur beberapa serangan menerusi gandingan Baddrol Bakhtiar, Ahmad Fakri Saarani dan A Thamil Arasu, namun tagihan aksi negara masih belum panas.

Pada minit ke-16, skuad negara dikejutkan dengan jaringan kedua Indonesia namun pengadil dari Jepun, Tojo Minoru menafikan jaringan Titus Bonai yang dianggap 'offside'.

Barisan pertahanan yang dilihat longgar memudahkan Octovianus Maniani melorongkan bola kepada Titus, pemain kelahiran Papua New Guinea itu.

Kesungguhan Malaysia dapat dilihat apabila banyak peluang negara terhidang.
NONEMalah kesempatan terbaik Malaysia untuk membolosi gawang lawan muncul pada minit ke-19 tetapi sepakan deras Mohd Irfan Fazail berjaya dibaca penjaga gol Indonesia, Kurnia Meiga.

Aksi trio penyerang sensasi tuan rumah Octovianus, Patrich Wanggai dan Titus sering kali cuba menguji penjaga gawang Malaysia menerusi percubaan jarak jauh dan gerakan serang balas dan Khairul Fahmi nyata lebih bekerja keras pada malam tadi.

Asraruddin Putra Omar berjaya memecah kebuntuan penyamaan gol pada minit ke-33 menerusi tandukannya yang mudah membolosi gawang, lawan hasil hantaran cantik daripada Baddrol di luar kotak penalti.

Terikat seri 1-1 pada separuh masa pertama, kedua-dua pasukan menggandakan asakan untuk mencari gol kemenangan.

Malaysia tampak mendominasi perlawanan separuh masa kedua bila berjaya mengekang asakan lawan dan menghentikan hantaran jauh mereka menyebabkan penyerang lawan tidak mendapat bantuan apabila berada di hadapan pintu gol Malaysia.

Benteng Malaysia yang dikendalikan oleh Khairul Fahmi dan pemain pertahanan perlu diberi pujian kerana berjaya mengekang asakan lawan dan ketika barisan penyerang Malaysia ketandusan idea, Kim Swee memasukkan Muhd Nazmi Faiz Mansor bagi menggantikan K  Gurusamy pada minit ke-77 dan Yong Kuong Yong menggantikan Thamil Arasu selang tiga minit kemudian.

Ini ternyata merupakan percaturan yang baik di mana Muhd Nazmi dan Yong bersama Mohd Irfan serta Baddrol banyak mengucar-kacirkan barisan belakang Indonesia yang dilihat kian goyang.

Baddrol yang juga merupakan perancang utama skuad negara hampir menambah gol hasil sepakan percuma kaki kanannya namun percubaan tersebut sedikit tersasar hingga menggusarkan Kurnia.

Permainan yang terikat seri 1-1 dipaksa berlarutan kepada 120 minit masa tambahan memaksa kedua-dua pasukan rancak menyerang balas namun masih tiada penyudah yang berkesan oleh kedua-dua negara hinggalah terpaksa ditentukan dengan sepakan penalti yang akhirnya memihak kepada negara.

Octovianus dipilih sebagai pemain terbaik dalam perlawana malam ini.

Sementara itu penentuan pingat gangsa menyaksikan Myanmar membelasah naib juara edisi 2009, Vietnam 4-1 pada aksi sebelum perlawanan Malaysia-Indonesia di stadium yang sama.

- Bernama

No comments:

Post a Comment