KOLUM Ada yang bertanya saya mengenai hukum Muslim membela hak bukan Islam. Mereka merasa seakan berdosa seorang Muslim itu berpihak kepada non-muslim yang menuntut hak dari muslim, sekalipun non-muslim itu di pihak yang benar.

Ini kerana mereka merasakan membela hak bukan Islam yang menuntut dari Muslim bagaikan mengkhianati saudara seakidah ataupun ukhuwwah islamiyyah (Islamic brotherhood).

Anggapan mereka bahawa Muslim itu mesti setia bersama Muslim sekalipun saudara Muslimnya di pihak yang salah. Membela hak bukan Islam yang berselisah faham dan tuntutan dengan Muslim itu bagaikan satu pengkhianatan.
Ini sebenarnya anggapan yang tidak tepat. Memang benar orang Muslim itu bersaudara. Kecintaan antara kita amat tinggi. Kita membantu antara satu sama lain. Namun, ini tidak bererti kita diizinkan untuk menindas atau merampas hak mereka yang tidak seagama dengan kita.

Pendirian al-Quran

Kefahaman Islam tidak boleh hanya berdasarkan emosi, tetapi hendaklah berasas hujah dan dalil yang dibuktikan oleh al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Islam adalah agama sejagat. Inilah yang menjadikan ajaran itu contoh dan memimpin kehidupan manusia dengan adil dan saksama. Keadilan Islam yang merentasi sempadan agama, bangsa dan geografi

Inilah yang al-Quran tegaskan: (maksudnya): “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”. (Surah al-Maidah: ayat 8).

Bahkan al-Quran menyebut dalam ayat yang lain: (maksudnya) “dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami (Allah) memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan” (Surah al-An’am ayat 108).

Al-Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya al-Jami’ li Ahkam al-Quran ketika menafsirkan ayat di atas menyebut: “Kata para ulama: Hukum (larangan mencerca sembahan golongan non-muslim) kekal dalam umat ini dalam semua keadaan selagi seorang kafir (unbeliver) terhalang dari mencerca Islam ataupun Nabi a.s. ataupun Allah, maka tidak halal untuk muslim mencerca salib mereka, atau agama mereka atau gereja mereka. Jangan melakukan sesuatu yang membawa ke arah tersebut kerana ia sama dengan menggalakkan maksiat” (7/61, Beirut: Dar al-Fikr)

Akhlak Nabi Muhammad

Jika kita melihat kepada pendirian Nabi Muhammad s.a.w, kita dapati baginda adalah sebaik dan semulia-mulia insan dalam berinteraksi dengan semua pihak, termasuk mereka yang tidak beriman dengannya (unbelievers). Justeru itulah kedatangan Nabi Muhammad ke alam ini dianggap sebagai rahmat untuk seluruh alam yang meliputi Muslim, bukan Islam, manusia, haiwan, tumbuhan, alam sekitar dan segalanya.

Dalam hadis, Nabi Muhammad s.a.w bersabda: “Ketahuilah! sesiapa yang menzalimi mu’ahid (rakyat bukan Islam) ataupun mengurangkan haknya, ataupun membebankannya di luar kemampuannya, ataupun mengambil sesuatu (hak) daripadanya tanpa kerelaannya, maka aku menjadi penentang sesiapa yang berbuat demikian itu pada Hari Kiamat”. (Riwayat Abu Daud, sahih).

Dalam hadis ini Nabi Muhammad s.a.w memberi amaran kepada sesiapa yang melakukan apa sahaja bentuk penindasan kepada warga bukan Islam yang berada di bawah pentadbiran Muslim. Baginda memberikan jaminan kepada bukan Islam yang tertindas itu bahawa baginda sendiri akan berhujah menentang Muslim yang zalim pada Hari Kiamat kelak. Demikian indahnya keadilan Tuhan yang dinyatakan oleh Islam. Keadilan yang rentas sempadan agama, kaum, puak dan segala sempadan kehidupan.

Maka tidak hairanlah jika Islam dalam sejarahnya menjadi agama yang paling pantas diterima oleh masyarakat manusia di dunia ini. Keindahan budi dan sikap. Sikap Islam ini ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w pada lebih 1430 tahun yang lalu, pada masa masyarakat dunia belum membicarakan tentang toleransi agama.

Pada zaman kekejaman atas nama Tuhan berlaku di setiap lapisan masyarakat manusia, Nabi Muhammad membawa sikap yang begitu toleran sekali. Bahkan menjadikan menjadi hubungan baik antara penganut agama itu ada nilai dosa dan pahala di sisi Tuhan. Inilah yang membawa Islam menjadi kuasa yang dihormati dan manusia masuk ke dalamnya berbondong-bondong. Namun, apabila semua ini hilang dari akhlak kaum muslimin, maka kita sentiasa berada di belakang, merasa tertekan dan 'offensive' selalu.

Teladan sahabat

Pesanan Nabi s.a.w ini menjadi pegangan para pemerintah selepas baginda yang mengikuti jalan baginda. Marilah merenung surat Khalifah ‘Umar bin al-Khattab kepada gabenornya di Mesir iaitu ‘Amr bin al-‘As. Dalam surat itu ‘Umar menyebut: “Ketahuilah wahai ‘Amr, sesungguhnya Allah melihat engkau dan amalanmu. Sesungguhnya Allah berfirman dalam kitabnya “(mereka berdoa: wahai Tuhan) jadilah kami pemimpin orang-orang yang bertaqwa” (Surah al-Furqan:74) tujuannya agar dicontohi. Sesungguhnya (wahai ‘Amr) bersamamu terdapat ahl zimmah (rakyat bukan Islam) dan ‘ahd (bukan Islam yang mengikat perjanjian). Rasulullah s.a.w telah berpesan mengenai mereka.

Baginda juga berpesan mengenai kaum qibti (Coptic) dengan menyebut: “Aku berpesan agar kamu berbuat baik kepada kaum qibti kerana bagi mereka hak perlindungan dan hubungan rahim (keluarga)”. Kekeluargaan mereka disebabkan Nabi Ismail a.s. dari keturunan mereka. Nabi s.a.w juga bersabda: “Ketahuilah! sesiapa yang menzalimi mu’ahid (rakyat bukan Islam) ataupun membebankannya di luar kemampuannya maka aku menjadi penentang sesiapa yang berbuat demikian itu pada Hari Kiamat”. Jaga-jaga wahai ‘Amr jangan sampai Rasulullah itu memusuhimu kerana baginda akan menentang musuhnya…sesungguh aku ini takut jika seekor unta yang berada di bawah wilayahmu mati tersesat jalan lalu aku ditanya oleh Allah pada Hari Kiamat” (Kanz al-‘Umal 5/760).

Di manakah hendak kita cari ketelusan dan ketulusan yang seperti itu. Ramai yang mengakui pemerintah Muslim tapi bukan sahaja tidak kisah jika unta mati, bahkan tidak peduli jika rakyat terbunuh tanpa sebab yang sah.

Dalam riwayat dari Sa’sa‘ah, berkata: Aku bertanya Ibn ‘Abbas: “Kami berjalan di tanah ahl zimmah (rakyat bukan Islam) lalu kami ambil apa yang terdapat padanya”. Tanya Ibn ‘Abbas: “Tanpa sebarang harga?”. Jawabku: “Ya”. Tanya Ibn ‘Abbas lagi: “Apa pendapat kamu?”. Kami jawab: “Halal, tiada masalah”. Kata Ibn ‘Abbas: “Kamu bercakap macam dengan ahlul kitab (seperti yang al-Quran ceritakan dalam Surah Ali-‘Imran: 75) "(mereka berkata) Tidak ada jalannya kami menanggung dosa mengenai orang-orang yang ummi (buta huruf) dan, mereka selalu berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui”. (al-Qasim bin Salam, al-Amwal. 1/395).

Inilah Islam. Inilah keindahannya. Sikap yang benar dan adil untuk semua. Terlalu banyak riwayat dalam sejarah kegemilangan Islam jika hendak dinukilkan mengenai keadilan Islam kepada penganut agama lain. Islam yang seperti itu tidak "defensive' tetapi sentiasa maju ke depan mempengaruhi pemikiran manusia yang berakal.