- Bernama
- 8:36AM Jan 25 2013
- http://www.malaysiakini.com/news/219863
Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah bertitah perbuatan mencabar
perkara berkaitan Islam atau ucapan memetik contoh tidak tepat bertujuan
mencerminkan imej Islam secara negatif adalah melanggar adab resam
beragama secara harmoni dan aman.
Titah baginda akhir-akhir ini
garis sempadan menyentuh agama Islam kelihatan mula dilanggar malah ada
kalangan bukan Islam yang semakin lantang berbuat demikian.
"Raja
Melayu, ulama dan umat Islam tidak menindas, menghina atau
memperkecilkan agama lain. Malah mana-mana perbuatan ekstrem yang cuba
dilakukan mana-mana pihak akan dibanteras secara tegas dan pantas.
"Umat
Islam diasuh menghormati amalan agama lain dan pada lazimnya akan
menghindar daripada membuat ulasan secara terbuka terhadap pegangan,
kepercayaan, amalan, acara atau ritual agama-agama lain.
"Malah,
hak agama-agama lain, turut dijamin dalam Perlembagaan Negara," titah
baginda pada sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Perak di Maktab
Rendah Sains Mara Felda di Sungkai semalam.
Baginda bertitah
tindakan menjadi jaguh mana-mana isu agama bagi mendapat laba politik
adalah perbuatan yang tidak diasaskan kepada roh agama sebenar dan
kemungkinan besar menjadi perosak hubungan harmoni antara agama.
Isu
agama hendaklah ditangani dalam semangat dan roh agama, di kalangan
ulama dan mereka yang arif dalam ilmu agama masing-masing, dengan tujuan
dan hasrat mencari penyelesaian dan bukan secara mensensasikan isu
agama untuk mendapat laba politik, titah baginda.
Raja Nazrin
bertitah kepimpinan Nabi Muhammad S.A.W sangat wajar diteladani dan
diberi perhatian dalam menghadapi senario semasa dunia dan setempat.
"Ini
kerana kebijaksanaan Rasulullah S.A.W menggubal formula yang dapat
menjalin hubungan harmoni antara umat manusia yang telah Allah ciptakan
berbangsa-bangsa dan bersuku-suku amat penting untuk mewujudkan dunia
atau negara yang aman, tenteram, makmur lagi sejahtera.
"Ia amat
relevan dalam konteks negara kita yang dikurniakan warga pelbagai agama,
kaum, bahasa dan budaya. Komponen untuk mewujudkan keharmonian telah
dilaksanakan dengan bijak lagi tertib sepanjang hayat dan sepanjang
kepimpinan Rasulullah, begitu juga oleh para sahabat yang menghayati roh kepimpinan Baginda.
"Dalam
menangani konflik dan krisis melibatkan penganut dan kaum yang
berlainan, Baginda tidak mengamalkan diskriminasi tetapi teguh berpegang
kepada prinsip keadilan, berpandukan seruan Allah," titah Raja Nazrin.
Baginda
bertitah kepimpinan berintegriti Rasulullah S.A.W yang
dicerminkanmelalui sifat dan perbuatan Nabi Muhammad S.A.W juga perlu
dijadikan contoh terutama dari segi tidak memberi keistimewaan kepada
anggota keluarga mahupun kenalan terdekat.
"Perhatian baginda
(Rasulullah) lebih tertumpu untuk membela nasib golongan miskin dan
hamba abdi. Tidak ada orang menjadi kaya kerana berdamping dengan
baginda, sebaliknya orang yang telah sedia kaya, mengorbankan kekayaan
mereka untuk menyokong perjuangan baginda.
"Baginda mengotakan
apa yang baginda kata, baginda tidak berpura-pura, baginda tidak
bersandiwara, baginda tidak melakonkan watak jujur tetapi baginda
sesungguhnya bersifat jujur," titah Raja Nazrin.
Pemangku Raja
Perak bertitah budaya hipokrasi akan melemahkan tiang integriti kerana
berlakunya amalan 'pepat di luar rencong di dalam' dan membenarkan
'gunting selesa dalam lipatan'.
Titah baginda sebahagian besar
masalah umat pada hari ini berpunca daripada ketiadaan integriti
terutama apabila ia dilakukan oleh mereka yang diamanahkan dengan kuasa.
"Sebahagian
besar masalah ummah pada hari ini berpunca daripada krisis yang
tercetus kerana perebutan untuk membina kekayaan secara tidak luhur...
secara tidak telus. Malah berlakunya perebutan kuasa adalah kerana kuasa
dilihat
sebagai saluran atau konduit untuk membina kekayaan diri, kekayaan famili, kekayaan kroni," titah baginda.
sebagai saluran atau konduit untuk membina kekayaan diri, kekayaan famili, kekayaan kroni," titah baginda.
Raja
Nazrin bertitah, seruan, perbuatan dan sikap diam Rasulullah S.A.W
memiliki nilai sejagat merentasi sempadan agama, kaum dan wilayah yang
boleh dijadikan pesanan untuk kemanusiaan sejagat.
Oleh yang
demikian, Raja Nazrin menyarankan kepada penganjur supaya sambutan
Maulidur Rasul tidak eksklusif untuk umat Islam sahaja malah diberi
ruang penyertaan kepada orang bukan Islam.
Ia bertujuan supaya
fahaman terhadap Islam dapat ditingkatkan di samping nilai luhur
kemanusiaan sejagat didukung bersama-sama, titah baginda.
Raja
Nazrin bertitah sambutan itu mampu menjadi instrumen menyatupadukan
rakyat selain forum untuk meningkatkan kefahaman yang lebih luas
terhadap nilai kepimpinan dan keharmonian hubungan antara agama.
- Bernama
No comments:
Post a Comment