Search Everything

Monday, 14 January 2013

PAS: Terjemah 'God' kepada 'Allah' bawa kekeliruan

  • 11:26AM Jan 14 2013
  • http://www.malaysiakini.com/news/218848

Majlis Syura Ulama PAS memutuskan untuk mencegah penggunaan kalimah 'Allah' sebagai terjemahan kepada perkataan 'God' atau 'Lord' dari kitab agama bukan Islam.

Satu kenyataan PAS menyebut, perkara itu diputuskan dalam satu mesyuarat majlis berkenaan yang dipengerusikan mursyidul amnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada malam tadi.

"...Menterjemah kalimah 'God' atau 'Lord' dari mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan 'Allah' tidak dibolehkan kerana ianya salah dari segi makna dan salahguna, tidak menepati kehendak sebenar yang boleh membawa kekeliruan yang nyata.

"Oleh kerana itu ia hendaklah dicegah," kenyataan itu dipetik.

Ia seterusnya memberi alasan berikut:

"Allah adalah kalimah suci yang merujuk kepada Tuhan yang diimani umat Islam, iaitu Allah Yang Esa, Tunggal, tidak beranak dan tidak diperanakkan.

"Kalimah Allah adalah alami (universal) kerana Allah Tuhan sekalian alam. Siapa pun boleh menyebut kalimah Allah sepertimana orang Arab Jahiliah yang tidak Islam menyebut Allah lah yang menjadikan alam ini.

"Kalimah Allah adalah kalimah khusus yang Allah menamakan dirin-Nya Allah. Kalimah itu tidak boleh diterjemah ke dalam mana-mana bahasa dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar dari kalimah ini.

"Demikian juga, tidak boleh kalimah asing hendak diterjemah kepada kalimah Allah."

Kenyataan itu ditandatangani oleh Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz dan timbalannya, Datuk Dr Haron Din.

Berikut adalah kenyataan penuh Majlis Syura Ulamak.


Kenyataan Rasmi Majlis Syura Ulamak

Mesyuarat Majlis Syura Ulamak pada 2 Rabiul Awwal 1434 bersamaan 13/1/2013 mengambil keputusan sebulat suara bersetuju untuk menyatakan perkara-perkara berikut:

1)    Allah adalah kalimah suci yang merujuk kepada Tuhan yang diimani oleh umat Islam, iaitu Allah Yang Esa, Tunggal, tidak beranak dan tidak diperanakkan.


2)    Kalimah Allah adalah alami (universal) kerana Allah Tuhan sekalian alam. Siapa pun boleh menyebut kalimah Allah seperti mana orang Arab Jahiliyah yang tidak Islam menyebut Allah lah yang menjadikan alam ini.


3)    Kalimah Allah adalah kalimah khusus yang Allah menamakan diri-Nya Allah. Kalimah itu tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar dari kalimah ini. Demikian juga tidak boleh kalimah asing hendak diterjemahkan kepada kalimah Allah.

Oleh kerana itu, menterjemah kalimah God atau Lord dari mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan Allah tidak dibolehkan kerana ianya salah dari segi makna dan salah guna, tidak menepati kehendak sebenar yang boleh membawa kekeliruan yang nyata. Oleh kerana itu ia hendaklah dicegah.

Kenyataan media ini adalah memperjelaskan maksud kenyataan Al Mursyidul Am, Presiden dan seluruh kepimpinan PAS.

Mesyuarat Majlis Syura Ulamak PAS ini juga telah membincangkan isu sedutan ucapan Tuan Guru Presiden yang diangkat martabatnya menjadi amanat dan memutuskan untuk mendesak kerajaan supaya membenarkan Tuan Guru Presiden memperjelaskan isu tersebut sekurang-kurangnya satu jam secara langsung menerusi TV1 dan TV3.




Tuan Guru Datuk Bentara Setia

Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat
Al-Mursyidul Am, Parti Islam Se-Malaysia


Tuan Guru Datuk Dr Haron Din

Timbalan Al-Mursyidul Am, Parti Islam Se-Malaysia

No comments:

Post a Comment