Posted in Speeches on December 31st, 2012
http://1malaysia.com.my/speeches/perutusan-yab-perdana-menteri-sempena-tahun-baru-2013/
Bismillahirahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam 1Malaysia.
Tuan-Tuan dan Puan-Puan Rakyat Malaysia Sekalian,
1. Alhamdullilah, beberapa jam lagi kita akan menyambut tahun baru
2013. Sebagai rakyat Malaysia kita perlu bersyukur kerana kita akan
menyambut tahun baru ini dengan berlatarbelakangkan pelbagai kejayaan
dan pencapaian yang telah kita tempa dengan berkat usaha bersama di
sepanjang Tahun 2012.
2. Tahun 2012 telah menyaksikan tamatnya fasa pertama Prakarsa
Transformasi yang melibatkan lapangan Kerajaan, Ekonomi dan Politik.
Kesan inisiatif ini amat positif. Di peringkat antarabangsa misalnya,
angka tunjuk negara dalam pelbagai bidang telah meningkat secara yang
membanggakan. Laporan Bank Dunia, “Doing Business 2013” misalnya, telah
meletakkan Malaysia sebagai negara ke-12 paling mudah berurus niaga di
dunia manakala laporan “World Competitiveness Yearbook 2012” telah
menempatkan Malaysia sebagai negara ke-14 paling berdaya saing di dunia.
Rakyat Malaysia Yang DiKasihi,
3. Dalam menangani cabaran yang bakal mendatang untuk Tahun 2013,
serta dalam rangka membina kejayaan yang berterusan, kita perlu
mengambil iktibar dan pengajaran dari pengalaman yang lalu. Apa yang
baik dan telah terbukti berjaya perlulah kita teruskan dan tambahbaik
dengan segala kelemahan yang ada dibaiki. Sementara apa yang terbukti
gagal patut ditamatkan dan diambil teladan daripadanya. Untuk meneruskan
usaha bagi memastikan wawasan nasional Malaysia sebagai sebuah negara
maju berpendapatan tinggi akan tercapai, kita perlu membina di atas asas
yang telahpun diletakkan melalui lembayung Dasar Transformasi Nasional.
4. Bagi Tahun 2013, kita perlu meneruskan agenda nasional bagi
mengukuhkan perpaduan Kebangsaan yang merupakan teras kelangsungan
negara dengan berpandukan Falsafah 1Malaysia Rakyat Didahulukan,
Pencapaian Diutamakan.
5. Kedua, meneruskan usaha untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat
dengan sistem jaringan keselamatan sosial di mana setiap rakyat Malaysia
yang memerlukan bantuan akan memperolehnya, di mana bantuan kebajikan
dan subsidi adalah disasarkan kepada yang benar-benar memerlukan dan
diperkukuhkan lagi dengan jaringan kebajikan institusi keluarga,
korporat dan keagamaan.
6. Ketiga, meningkatkan kemakmuran negara dengan memastikan
pertumbuhan ekonomi yang mapan, kesihatan fiskal dan merangsang sistem
pergerakan sosial yang bertunjangkan harapan, di mana pencapaian
seseorang individu hanya dihadkan oleh daya imaginasi, daya keusahawanan
dan sejauh mana kesanggupan individu berkenaan untuk bekerja keras, di
mana kreativiti, inovasi dan kesanggupan mengambil risiko akan
mendatangkan laba yang lumayan.
7. Keempat, untuk memastikan Malaysia akan menjadi tempat terbaik
untuk membina sebuah kehidupan. Tempat terbaik untuk berkeluarga dan
membesarkan anak-anak, sebuah negara yang mempunyai masyarakat
penyayang, sistem keluarga yang kukuh, kejiranan dan jalan yang selamat
dari jenayah, alam sekitar yang lestari, sekolah dan institusi
pendidikan yang berkualiti serta sistem perkhidmatan kesihatan yang
terbaik dan berkemampuan.
Rakyat Malaysia Yang DiHormati,
8. Saya yakin dan percaya bahawa fajar kejayaan akan sentiasa
menyinari Malaysia dan kehidupan rakyatnya. InsyaAllah, dengan
perancangan yang rapi serta teliti, dan pelaksanaan yang berkesan, hari
ini akan lebih baik dari hari semalam dan hari esok akan menjanjikan
kemungkinan yang berterusan.
9. Marilah kita tanyakan diri kita apakah yang mampu kita lakukan
untuk menentukan apa yang kita dambakan, apa yang kita impikan mampu
tercapai. Tidak ada istilah sumbangan kecil atau besar, yang ada
hanyalah kesanggupan melakukan sesuatu. Negara memerlukan tuan-tuan dan
puan-puan. Marilah bersama-sama saya untuk menjadikan impian kita ini
suatu realiti. Berdirilah di sisi saya untuk kita bersama-sama
menentukan kejayaan, bergeraklah dan bekerjalah bersama-sama saya
untuk melakar sebuah masa depan yang terbaik, untuk negara dan
anak-anak kita.
10. Saya dan Kerajaan hari ini tidak akan mampu mengkhidmati rakyat
Malaysia dengan kadar yang terbaik tanpa sokongan dan dokongan padu
tuan-tuan dan puan-puan sekelian. Berikanlah kami mandat yang jelas dan
kami berjanji akan menggunakan kepercayaan tuan-tuan dan puan-puan itu
dengan sebaik-baiknya bagi membina sebuah Malaysia untuk semua. Selama
inipun, telah terbukti kami menepati segala janji dan komitmen yang
diberi.
Rakyat Malaysia Sekalian,
11. Masa depan negara dan anak-anak kita adalah terlalu penting untuk
dipertaruhkan mahupun untuk dijadikan bahan eksperimen. Membina sebuah
negara yang berjaya memerlukan usaha yang berterusan dengan halatuju
yang jelas. Meruntuhkan sebuah negara pula hanya memerlukan masa yang
pendek namun kesannya berpanjangan. Di tangan kitalah terletak keputusan
bagaimana masa depan negara hendak dicorakkan, ke mana Malaysia hendak
di bawa. Bapa-bapa dan ibu-ibu pengasas negara telah mengemudi Malaysia
ke mercu jaya dengan keringat, air mata dan darah. Hari ini
tanggungjawab terletak pula di bahu kita. Sama ada Malaysia terus mara
ke hadapan atau berundur.
12. Malaysia sesungguhnya ialah sebuah negara di mana peluang,
tanggungjawab, kemakmuran dan nilai murni dikongsi bersama oleh warga
yang majmuk, dipenuhi jutaan peluang di sebalik pelbagai kemungkinan
yang terbentang. Kemungkinan itu suatu rahmat. Kemungkinan itu asas
aspirasi. Saya menyeru untuk kita bersama-sama mencorakkan dalam
merealisasikan destini Malaysia muncul sebagai sebuah kemungkinan yang
terus menyinar.
13. Akhir kata, saya mendoakan agar Tahun 2013 ini menjanjikan kerahmatan kepada semua rakyat Malaysia.
Selamat Tahun Baru 2013.
Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment