Search Everything

Sunday, 7 August 2011

GSTT ancaman atau keperluan?

Abdul Rahman Usman - Ruangan Surat Malaysiakini
           Jul 27, 11 3:23pm
 
Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) merupakan individu yang berminat jadi guru namun tidak mempunyai sjil, diploma atau ijazah dalam bidang perguruan.

Kebiasaannya mereka akan menjadi guru ganti bagi memenuhi kekekurangan guru di sekolah. Merekta tertakluk bawah kontrak tertentu dan boleh ditamatkan bila-bila masa sahaja.

Perkembangan semasa menyaksikan Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Puad Zakashi mengeluarkan kenyataan berhubung penyerapan 13,000 GSTT kepada guru berjawatan.

Dilaporkan surat penawaran jawatan telah mula diedarkan kepada GSTT yang sedia ada dari bulan lepas lagi. Tindakan ini dilihat terlalu tergesa-gesa selepas rungutan GSTT tidak mendapat sambungan kontrak.

Apabila kenyataan ini dikeluarkan, ia memberi keuntungan kepada GSTT. Tahniah saya ucapkan.

Tetapi bagaimana dengan nasib bakal-bakal guru terlatih atau digelar sebagai Guru Sandaran Terlatih (GST) yang menamatkan pengajian pada Disember 2010 dan Mei 2011.

Apakah penempatan mereka akan diumumkan dalam masa yang terdekat?

Penulis menanti dengan penuh harapan, dari Disember 2010 sehingga penghujung Julai 2011. Hanya satu penempatan sahaja diumumkan pada bulan Jun untuk mereka yang mengisi borang pada bulan Januari 2011.

Penulis yang baru menamatkan pengajian pada bulan Disember 2011 tidak layak mengisi borang akibat kelewatan surat tamat pengajian dikeluarkan.

Sehingga kini, sudah tujuh bulan berlalu. Penantian untuk mendapat penempatan amat memeritkan. Jika hanya penulis seorang sahaja tidak mendapat penempatan, itu tidak mengapa.

Namun bagaimana dengan nasib graduan-graduan pendidikan daripada pelbagai universiti awam dan institut pengajian tinggi awam swasta (IPTS) yang menawarkan kursus sama jika tiada penempatan diumumkan dalam masa yang terdekat.

Sepanjang tempoh penungguan, jawapan yang diterima berbunyi: “Kami tidak dapat memberi tarikh tepat tentang bila borang penempatan akan dikeluarkan dan selalulah semak di laman web KPM (Kementerian Pelajaran Malaysia).”

Selalunya juga tiada orang yang menjawab panggilan telefon sekiranya kami menghubungi talian KPM.

Memang benar ada yang menyatakan, carilah kerja lain dulu. Tapi satu persepsi berkumandang di telinga penulis apabila pergi temuduga, susah bagi majikan sektor swasta mengambil graduan jurusan pendidikan atas anggapan kumpulan ini tidak akan lama berkhidmat.

Kami bakal warga pendidik tiada hasrat untuk menyalahkan pihak KPM mahupun pihak menteri yang berkenaan. Cuma kami berharap jika warga GSTT mendapat pembelaan sewajarnya, kami graduan pendidikan terlatih wajar mendapat penempatan dan keadilan.

Janganlah jadi seperti “kera di hutan disusukan, anak di rumah menangis kelaparan”.


Abdul Rahman Usman merupakan Graduan Fakulti Pendikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

No comments:

Post a Comment